SEORANG gadis di India enggan berkahwin selepas bakal suaminya gagal menjawab soalan matematik mudah. – AGENSI
UTTAR PRADESH 14 Mac – Seorang pengantin perempuan enggan meneruskan majlis perkahwinan selepas pengantin lelaki gagal menjawab soalan matematik mudah yang diajukan oleh keluarganya.
Laman web Mirror.uk melaporkan, pengantin perempuan yang digelar sebagai Lovely oleh Portal Times of India itu mengajukan soalan ‘15 tambah 6 sama dengan berapa’ kepada bakal suaminya, Ram Baran selepas curiga dengan tahap pendidikan lelaki itu.
Baran kemudian dengan yakin menjawab 17, tindakan yang menyebabkan Lovely membatalkan majlis perkahwinan berkenaan serta-merta.
“Mana-mana murid darjah satu pasti boleh menjawab soalan itu dengan mudah. Ahli keluarga pengantin lelaki sebelum ini begitu berahsia tentang tahap pendidikan anak mereka.
“Ini satu perkara yang memalukan. Kami sudah melakukan yang terbaik bagi memastikan majlis ini berjalan lancar. Tapi malangnya kami telah ditipu,” kata bapa pengantin perempuan, Mohar Singh.
Polis berkata, mereka tidak akan mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap pengantin perempuan selepas kedua-dua buah keluarga bersetuju menyelesaikan masalah berkenaan dengan cara baik.
“Kes ini sudah selesai. Kedua-dua buah keluarga juga bersetuju untuk memulangkan semula barangan kemas dan segala hadiah yang telah diberi,” jelas polis berkenaan.
No comments:
Post a Comment