Saturday, 12 July 2014

Anggota polis marin maut ditembak, rakan diculik

Sabah diceroboh
Sabah diceroboh 

SHAH ALAM - Seorang anggota Pasukan Gerakan Marin (PGM) maut ditembak manakala rakannya dipercayai diculik lapan lelaki dalam kejadian di Pulau Mabul, Semporna, malam tadi.


Dalam kejadian jam 11.10 malam itu, sekumpulan lapan lelaki berpakaian gelap serta bertopeng, dikatakan naik ke jeti resort berkenaan sebelum melepaskan tembakan rambang.



Konst Zakia (kiri)

Difahamkan, ketika kejadian dua anggota polis terbabit sedang makan menyebabkan mereka tidak sempat mencari perlindungan walaupun dapat membalas tembakan. 

Menurut sumber, sebuah bot ronda polis marin yang cuba memberi bantuan turut diserang, namun anggota terbabit dapat berlindung daripada tembakan. 

Pasukan keselamatan sedang menjalankan gerakan besar-besaran bagi mengesan kumpulan bersenjata terbabit di sekitar perairan Semporna hingga ke sempadan selatan Filipina," katanya ketika dihubungi.

Kpl Ab Rajah Jamuan


Difahamkan, tiada pelancong resort berkenaan mengalami kecederaan kerana ketika kejadian kebanyakan mereka berada dalam bilik penginapan masing-masing.

Kejadian itu disahkan Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mazlan Lazim, selepas beliau dihubungi, awal pagi ini, lapor sebuah portal.

Sementara itu, menurut sumber ‎mangsa, Koperal Ab Rajah Jamuan, 32, dipercayai hilang namun kemudian ditemui semula dan meninggal dunia dipercayai ditembak dalam kejadian terbabit.



Foto
AHLI keluarga anggota polis yang maut akibat serangan hendap kumpulan bersenjata di Pulau Mabul, Koperal Ab Rajah Jamuan, tidak dapat menahan kesedihan di Hospital Semporna, sebentar tadi. - Foto NSTP

Mangsa dikatakan sempat membalas tembakan sekumpulan lelaki terbabit sebelum gugur dalam pertempuran itu.

Katanya, rakan mangsa, Kostabel Zakia Aliep, 26, hilang dipercayai dilarikan kumpulan lelaki berkenaan yang memakai pakaian berceloreng.


Foto
ANGGOTA polis yang terkorban dalam kejadian serangan hendap oleh sekumpulan pengganas di Pulau Mabul, Semporna, malam tadi, Koperal Ab Rajah Jamuan (gambar kecil) manakala seorang lagi hilang dipercayai diculik, Konstabel Zakia Alip (kanan sekali). - Foto Abdul Rahemang Taiming

Allahyarham Ab Rajah yang barasal dari Semporna dikatakan sudah berkeluarga bertugas sebagai jurumudi kapal rondaan air 1, di balai polis Pulau Mabul dan pernah bertugas di Kampung Acheh.


Foto
Khairin Zafran, setahun, memegang gambar bapanya, Koperal Ab Rajah Jamuan ketika ditemui di rumahnya di Semporna, hari ini. 

Laporan itu turut menyebut, Zakiah turut sudah berkeluarga dan mempuyai seorang anak dan sebelum ini bertugas di Pulau Pinang.



Foto
ISTERI Koperal Ab Rajah Jamuan, Salamah Amad, 26, memegang anak tunggalnya, Khairil Zafran, setahun, ketika ditemubual media di rumahnya di Batu 2, Semporna.

 



Thursday, 10 July 2014

6 teka-teki Imam Al-Ghazali wajar jadi panduan

6 teka-teki Imam Al-Ghazali wajar jadi panduanSolat ibadah paling ringan tetapi ramai gagal melaksanakannya. - Gambar hiasan
Banyak pengajaran di sebalik jawapan diberikan ulama terkenal

Teka-teki adalah permainan yang sangat menarik. Mengimbau zaman kanak-kanak, kerap kali juga mengajukan soalan teka-teki antara satu sama lain dengan rakan sekelas sehingga ketawa terbahak-bahak. 

Ini kerana pelbagai jawapan yang diberi walaupun ada kala tiada kaitan langsung dengan teka-teki itu sangat mencuit hati. Benar kata orang, teka-teki jawapannya ada kala tidak terlintas di benak fikiran dan tidak logik tetapi ketepatannya sesuai dengan soalan. 



Kini, teka-teki bukan lagi menjadi permainan atau perkara yang dilakukan pada masa terluang bersama teman, tetapi dijadikan bahan bualan juruhebah di radio bagi menarik perhatian pendengar. 


Teka-teki dalam pembelajaran 

Manfaatnya begitu meluas sehinggakan sesetengah guru menggunakan pendekatan teka-teki di dalam pembelajaran bagi mengelak pelajar mengantuk atau bosan dengan cara pembelajaran yang sama setiap hari. 

Tambahan pula, teka-teki sedikit sebanyak dapat menghilangkan tekanan selain dapat meningkatkan kecerdasan minda. Kita akan berusaha sedaya upaya memikirkan apakah jawapan yang tepat dan cuba menjawab dengan pantas. Jawapan teka-teki sedikit rumit dan berputar belit. 
Melihat dari perspektif Islam sendiri, ada banyak kebaikan teka-teki dalam kehidupan kerana dapat memberi maklumat baru. Oleh itu, keunikan teka-teki boleh digunakan untuk mengajukan soalan yang mengingatkan kita kepada Allah SWT dan mempunyai unsur yang baik. 

Enam teka-teki yang ditanya oleh Imam Al-Ghazali kepada anak muridnya boleh juga dijadikan soalan untuk kita menjawabnya. Contohnya, apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia lalu muridnya menjawab, orang tua, guru, kawan dan sahabat. 

Imam Al-Ghazali berkata, semua jawapan yang diberikan adalah benar tetapi jawapan paling tepat sekali bagi soalan itu ialah mati. 

Kedua, beliau bertanya apakah yang paling jauh daripada diri kita di dunia lalu muridnya menjawab, negara China, bulan, matahari dan bintang. Imam Al-Ghazali menegaskan, semua jawapan yang diberi adalah betul tetapi yang paling betul ialah masa lalu. 

Walau dengan apa cara sekali pun, kita tidak akan dapat kembali ke masa lalu. Oleh itu, kita mesti menjaga hari ini dan hari mendatang dengan amalan soleh supaya tidak sesal di kemudian hari nanti. 

Ketiga, beliau bertanya apakah yang paling besar di dunia ini lalu muridnya menjawab, gunung, bumi, matahari. Imam Al-Ghazali berkata, semua jawapan yang diberi adalah tepat tetapi yang paling tepat ialah nafsu Kita mesti berhati-hati dengan nafsu, jangan sampai nafsu mengheret kita ke neraka jahanam. 


Tanggung amanah paling berat 

Keempat, Imam Al-Ghazali bertanya mengenai benda paling berat di dunia lalu muridnya menjawab, besi dan gajah. Imam Al-Ghazali mengatakan, semua jawapan adalah benar tetapi yang paling benar ialah menanggung amanah. Segala tumbuhan, binatang, gunung ganang tidak sanggup memikul amanah tetapi manusia sanggup memikulnya ketika Allah SWT meminta mereka menjadi khalifah di bumi. 

Manusia ramai yang rosak dan binasa kerana tidak mampu memikul amanah dengan baik akibat kecuaian serta kedegilan mereka mengikut lunas yang telah ditetapkan syarak. 

Soalan kelima, Imam Al-Ghazali bertanyakan apakah yang paling ringan di dunia lalu muridnya menjawab, kapas, angin, debu dan awan. Imam Al-Ghazali menyatakan semua jawapan yang diberi adalah benar tetapi yang paling benar ialah meninggalkan solat kerana manusia sering mempermudah dan meringankan sembahyang disebabkan terlalu mementingkan urusan dunia. 

Keenam, beliau bertanya benda yang paling tajam di dunia lalu muridnya menjawab, pedang. Imam Al-Ghazali mengatakan jawapan itu betul, tetapi yang paling betul ialah lidah manusia. 

Disebabkan lidah maka manusia suka menyakiti dan melukai perasaan orang lain sehingga berlakunya perbalahan serta perpecahan. 

Kita perlu sedar soalan teka-teki yang dikemukakan Imam Al-Ghazali nampak mudah untuk dijawab, namun jawapan sebenarnya berbalik pada diri manusia yang sering melakukan kesilapan dan kita patut mengambil pengajaran daripada teka-teki itu.



Credit: Husna Abd Halim

Tuesday, 8 July 2014

Kekal sihat dengan berpuasa

SABDA Rasulullah SAW yang bermaksud: “Berpuasalah nescaya kamu sihat." (riwayat At-Tobrani).

Walaupun tidak mempunyai teknologi canggih, namun ungkapan Rasulullah SAW mengenai kelebihan berpuasa pada lebih 1,000 tahun lalu ternyata berasas. Malah ia turut dibuktikan dengan pelbagai penemuan daripada hasil penyelidikan para Saintis Islam mahupun Barat.

Bukan satu bebanan, jauh sekali ingin menzalimi umatnya, namun kewajipan berpuasa yang terkandung dalam rukun Islam ketiga itu hakikatnya mempunyai pelbagai kelebihan bukan sahaja dari segi fizikal malah mempengaruhi gaya hidup dan juga mental.

Pensyarah Kanan Fakulti Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Dr. Irfan Mohamad dalam pemerhatian yang dilakukan melalui penyelidikan dan rujukan pakar mengakui segala perintah Allah SWT termasuk berpuasa adalah tidak sia-sia dan mempunyai pelbagai manfaat yang tersembunyi.

Beliau dalam kertas kerjanya bertajuk, ‘Puasa Menurut Perspektif Kesihatan’ turut menjelaskan, sekurang-kurang terdapat tujuh kelebihan amalan berpuasa meliputi aspek kesihatan, fizikal dan juga mental.

1. Risiko penyakit jantung
Kajian Intermountain Heart Collaborative Study terhadap 515 pesakit diuji daripada segi kesihatan jantung. Pesakit yang berpuasa mempunyai risiko rendah mendapat penyakit jantung. Puasa ditakrifkan sebagai meninggalkan jadual makanan utama, paling kurang dua kali. Manakala puasa sehari sebulan merendahkan risiko penyakit jantung.’

2. Mengurangkan berat badan
Laporan laman web www.deenislam.co.uk menunjukkan bahawa beberapa kajian yang berbeza mendapati penurunan berat badan antara sebanyak 1.7 kilogram, 1.8 kilogram, 2.0 kilogram dan 3.8 kilogram berlaku ke atas mereka yang berpuasa Ramadan sebulan penuh. Dan dianggarkan kira-kira 2.6 peratus berat badan berkurangan pada hari ke-29 Ramadan.

3. Penyakit mental
Penyelidikan oleh Proceedings of the National Academy of Sciences Online Edition terhadap tikus yang diberi makan berjadual, kemudian berpuasa selang seli mendapati mampu mengurangkan neurotoksin (toksin kepada saraf) yang menyebabkan punca penyakit Alzheimer.

4. Buah pinggang
Sebahagian pakar berpendapat berpuasa lebih atau selama 12 jam setiap hari selama sebulan boleh menjejaskan kesihatan buah pinggang. Namun penemuan hasil kajian saintifik (Khedmat H, Taheri S. Ramadan Fasting and Transplantation: Current Knowledge and What We Still Need to Know. Saudi J Kidney Dis Transpl 2010;21:417-20) mendapati fungsi buah pinggang adalah stabil dan puasa Ramadan tidak memudaratkan ke atasnya.

5. Kecederaan otak
Kajian yang diketuai Patrick Sullivan, UK Spinal Cord and Brain Injury Research Center dan diterbitkan dalam Journal of Neuroscience Research mendapati dengan berpuasa dapat mengurangkan kesan negatif ke atas pesakit yang mengalami kecederaan sederhana di bahagian otak

6. Detoksifikasi
Berpuasa dapat mencuci dan membersihkan badan daripada racun atau toksin, membuatkan organ-organ berehat, membuang kotoran dan juga menyegarkan sel-sel.

Pengkaji barat, Dr. Lonny J. Brown (Adventures in Therapeutic Fasting) berkata, "Sudah tiba masanya untuk kita mengamalkan sesuatu yang berbeza, iaitu mengamalkan puasa semasa sakit.

Malah Dr. Cindy Engles dalam Wild Health: How Animals Keep Themselves Well and What We can Learn From Them turut menemukan binatang apabila sakit menjauhi makanan. Pengkaji-pengkaji yang mengamati fenomena ini berpendapat menjauhi makanan dengan berpuasa adalah proses semula jadi ke arah penyembuhan.’

7. Gula dalam darah
Kajian yang dilakukan Dr. Soliman daripada Amman Hospital University dan Dr. F Azizi, Tehran Medical School University mendapati keputusan yang sama iaitu, puasa dapat menurunkan paras gula dalam darah ke tahap yang rendah tanpa mendatangkan kemudaratan.





Sunday, 6 July 2014

Seniman Dato' Aziz Sattar meninggal dunia


Foto
SUASANA sedih dan pilu menyelubungi kediaman yang dihadiri ahli-ahli keluarga serta rakan-rakan artis ketika memberi penghormatan terakhir dengan bacaan surah yassin kepada Allahyarham Datuk Aziz Satar di kediaman ahli keluarga di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras. - Foto Nashairi Mohd Nawi
CHERAS: Suasana hiba menyelubungi kediaman anak bongsu Allahyarham Datuk Aziz Sattar di Bandar Tun Hussein Onn, di sini apabila adik beradiknya yang datang dari Singapura terlampau sedih sehingga terpaksa dipapah.

Dua adiknya, Zaini dan Umaiyah tiba pada jam 9.40 pagi manakala seorang lagi saudara terdekat mereka, Aminah yang sampai lebih awal dilihat sudah berada di sisi jenazah sambil ditenangkan saudara mara. 


Foto

Seniman veteran itu menghembuskan nafas terakhir pada usia 89 tahun akibat penyakit jantung di Hospital KPJ Kajang, kira-kira jam 2 pagi tadi. 

Terdahulu, beliau dimasukkan ke wad sehari sebelumnya selepas mengadu sakit dada namun ketika itu keadaannya tidak membimbangkan.

Anak perempuannya, Sandakiah memaklumkan jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tun Hussein Onn selepas Zuhur.

Antara artis yang hadir menziarahi jenazah ialah Datuk Mustapha Maarof, Azlina Aziz, Rahim Jalani dan Aspalela Abdullah
.

Friday, 4 July 2014

Sharifah Aini meninggal dunia



KUALA LUMPUR 5 Julai - Biduanita negara, Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar, 61, meninggal dunia di Hospital Pakar Damansara di sini pada sekitar pukul 1.30 pagi tadi kerana komplikasi paru-paru.

Allahyarham disahkan mengidap masalah paru-paru yang serius semenjak dua tahun lalu dan sejak itu, berulang alik dirawat di hospital.

Isnin lalu, Sharifah dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) selepas mengadu sukar bernafas. 
Penyanyi yang terkenal dengan lagu Terbang Helang dan Seri Dewi Malam itu dibawa ke hospital untuk menerima rawatan oleh anak lelaki tunggalnya, Omar Ali selepas mengalami masalah penafasan.

Dilahirkan pada 2 Julai 1953, Sharifah Aini memulakan kerjaya nyanyian selepas menjuarai Bintang RTS di Singapura pada tahun 1968, membawakan lagu Tiga Malam.

Allahyarham seterusnya dilamar syarikat rakaman EMI pada tahun 1969 dan merakamkan album pertama, Seri Dewi Malam yang mendapat sambutan hebat. Pernah menghasilkan hampir 100 album, termasuk tujuh album bahasa Inggeris. anak didik Datuk Ahmad Nawab itu menjadi anak seni pertama yang menerima gelaran superstar.

Sumbangan besarnya terhadap industri hiburan negara dihargai apabila menerima Pingat Panglima Jasa Negara yang membawa gelaran Datuk oleh Yang Di Pertuan-Agong, Sultan Syed Sirajjudin Putra Jamalullail pada tahun 2003. 

Foto
Hasil perkahwinannya dengan Ali Bakar pada tahun 1981, arwah dikurniakan seorang anak lelaki . Perkahwinan mereka hanya bertahan setahun dan Sharifah mendirikan rumah tangga buat kali kedua dengan seoran ahli korporat bergelar Datuk tetapi bercerai pada tahun 1992.
Jenazah akan dibawa ke Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail untuk penghormatan terakhir sebelum dikebumikan selepas Zuhur.

Thursday, 3 July 2014

Beberapa isu hukum semasa berpuasa

Penggunaan ubat titis mata yang sedikit dan tidak menyebabkan ia mengalir ke kerongkong dan seterusnya adalah dibolehkan. - Gambar hiasan

MENJELANG Ramadan banyak hukum hakam sering dibangkitkan berkaitan puasa. Di sini saya senaraikan sebahagian daripada jawapan terhadap beberapa isu hukum berkaitan puasa.

Pandangan dipilih adalah yang saya yakini lebih mendekati maksud nas dan sifat Islam yang rahmat.


Bila habis waktu sahur?

Ada orang yang bersahur terlalu awal sedang waktu Subuh masih beberapa jam lagi. Ini tidak menepati amalan Nabi Muhammad SAW yang melewatkan bersahur sehingga tinggal baki beberapa minit sebelum masuk waktu Subuh. Kata Zaid bin Thabit: “Kami bersahur bersama Rasulullah, kemudian terus pergi untuk bersolat (Subuh)”. Anas bin Malik bertanya beliau: “Berapa lama antara sahur azan dan sahur tersebut?”. Jawab Zaid: “Kadar 50 ayat (al-Quran)”. (Riwayat Bukhari & Muslim)

Waktu sahur pula berterusan sehingga masuk waktu Subuh. Selagi tidak masuk waktu Subuh seseorang masih boleh bersahur. Masuknya Subuh adalah waktu imsak (bermula puasa) yang sebenar, bukan beberapa minit sebelum itu.

Ini dijelaskan Nabi Muhammad SAW dalam hadis Baginda SAW. Kata isteri Baginda SAW, Aishah RA: “Sesungguhnya Bilal azan pada waktu malam (azan pertama Subuh, sebelum masuk waktu). Maka Rasulullah SAW pun bersabda: “Makan dan minumlah sehingga Ibn Ummi Maktum azan, kerana beliau tidak akan azan melainkan setelah masuk waktu fajar (Subuh).” (Riwayat Bukhari & Muslim)

Dalam hadis Muslim pula, Baginda SAW bersabda: “Jangan kamu tersilap disebabkan azan Bilal, ataupun warna putih sehinggalah kelihatan waktu fajar (sebenar)”.
Hal ini selaras dengan kenyataan al-Quran: (maksudnya): “Makan dan minumlah kamu sehingga ternyata benang putih dari benang hitam dari waktu fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sehingga waktu malam”. (Surah al-Baqarah: 187)


Mandi kerana letih puasa
Antaranya, anggapan mandi ataupun basuh kepala apabila terlalu keletihan mengurangkan pahala puasa. Ada pula yang bertegas semasa puasa mandi selepas Asar makruh.

Ini tidak disokong oleh riwayat yang menunjukkan Nabi Muhammad SAW mencurahkan air ke atas kepala Baginda SAW ketika berpuasa kerana terlalu panas ataupun dahaga.

Dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Malik dalam al-Mawata’, Ahmad dan Abu Daud dalam sunannya, Abu Bakar bin Abd al-Rahman meriwayatkan: “Telah berkata sahabat yang menceritakan kepadaku: “Aku melihat Rasulullah SAW di al-`Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala Baginda ketika Baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas.”


Korek telinga batal puasa?

Antara anggapan lain ialah menyatakan semasa puasa tidak boleh memasukkan apa-apa benda ke dalam mata, telinga dan mulut, sekalipun bukan makanan dan minuman.

Ini menyebabkan mereka yang gatal telinga ataupun hidung menderita sepanjang hari berpuasa. Ia berlawanan dengan sifat Islam yang mudah. Ada yang melarang bercelak kerana bimbang masuk ke dalam rongga. Pegangan ini asalkan berasas riwayat kenyataan Ibn ‘Abbas: “Membatalkan puasa itu apa yang masuk, bukan apa yang keluar”. (Riwayat Ibn Abi Syaibah, sahih)

Namun, itu adalah ulasan Ibnu ‘Abbas kepada mereka yang berbekam bagi menunjukkan ia tidak membatalkan puasa.

‘Apa yang masuk’ bermaksud makanan ataupun minuman ataupun yang mempunyai fungsi yang sama seperti makanan dan minuman yang masuk ke dalam jasad. Jika sekadar alatan tertentu maka ia tidak termasuk dalam maksud ini.

Jika tidak mereka yang memasukkan berus gigi ataupun kayu sugi ke dalam mulut, ataupun berkumur semasa puasa tentu dianggap batal.

Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H) dalam Majmu al-Fatwa, setelah menyebut mengenai khilaf ulama, beliau menjelaskan puasa adalah amalan setiap Muslim.

Jika perbuatan seperti bercelak yang memang diamalkan secara meluas semasa zaman Nabi SAW itu membatalkan puasa, tentu Baginda SAW akan menerangkannya.

Juga tentu golongan sahabat akan bertanya mengenainya. Namun, apabila tiada hadis sahih tentang hal itu, maka menunjukkan memakai celak tidak membatalkan puasa.

Demikian juga tentang mencium wangian, menyapu minyak di badan dan seumpamanya.

Penggunaan eye drops yang sedikit dan tidak menyebabkan ia mengalir ke kerongkong dan seterusnya adalah dibolehkan. Demikian juga memakai minyak rambut dan minyak urut sekalipun sifat minyak itu mudah meresap ke dalam kulit.


Terlewat mandi wajib

Antara lain ialah menganggap tidak sah puasa mereka yang belum mandi junub sedangkan waktu Subuh sudah masuk. Ini berkaitan seseorang yang bersetubuh dengan isterinya, ataupun keluar air mani tetapi belum mandi junub sehingga masuk waktu Subuh iaitu waktu berpuasa. Ertinya ketika dia mandi wajib, waktu Subuh telah masuk.  Sah atau tidak puasa orang seperti ini?

Jawapannya, dalam hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aishah dan Ummu Salamah bahawa Nabi SAW pada waktu pagi (Subuh) dalam keadaan berjunub sedangkan Baginda berpuasa. Baginda berpuasa dan tidak berbuka (disebabkan hal itu).” (Riwayat al-Bukhari)

Maka, sesiapa yang terlewat mandi wajib sehingga masuk waktu Subuh masih sah puasanya pada hari berkenaan.

Muntah ketika berpuasa

Ada yang menyatakan sesiapa yang termuntah maka batal puasa. Sebenarnya, di sana ada perbezaan antara termuntah dan sengaja muntah.
Dalam hadis, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesiapa yang termuntah tidak wajib qada (ganti puasa). Sesiapa yang sengaja muntah, hendaklah dia qada”. (Riwayat al-Tirmizi, Abu Daud, Ibn Jarud & Ibn Hibban)

Maka sesiapa yang termuntah kerana tidak tahan dengan sesuatu bau ataupun mabuk perjalanan tidak wajib qada kerana puasanya sah. Sesiapa yang memaksa diri untuk muntah maka dia wajib menggantikan puasanya.


Berus gigi ketika berpuasa

Islam menggalakkan bersugi (berus gigi) kerana ia mengelakkan bau busuk mulut seseorang. Bahkan, kalaulah tidak menjadi beban kepada umat ini sudah pasti kita diwajibkan bersugi lima kali sehari. Ini seperti sabda Nabi Muhammad SAW: “Jika tidak kerana bimbangkan membebankan umatku nescaya akan aku perintahkan mereka bersugi setiap kali waktu solat” (Riwayat Bukhari & Muslim)

Apabila berpuasa, bau mulut kita menjadi kuat. Ini sesuatu yang sukar dielakkan. ALLAH tahu hakikat tersebut. ALLAH Maha Tahu bau tersebut terhasil kerana kita tidak makan dan minum sepanjang hari kerana-NYA. Justeru itu, Nabi SAW bersabda: “Bau busuk mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi ALLAH daripada haruman kasturi.” (Riwayat Bukhari & Muslim)

Namun ini tidaklah bererti orang yang berpuasa itu disuruh untuk membiarkan orang lain mencium bau busuk mulutnya. Itu akan menyakiti orang lain. Apatah lagi di zaman kini yang mana kita bekerja di tempat awam, ataupun membabitkan ramai orang di sekeliling. Tambahan, jika terdapat mereka yang bukan Muslim, tentu akan menimbulkan rasa yang tidak selesa terhadap Muslim yang berpuasa pada bulan Ramadan ataupun boleh menghilang gambaran keindahan Islam.

Maka pendapat yang menyuruh kita membiarkan bau busuk mulut semasa berpuasa tidak begitu kukuh dari segi sifat semula jadi ataupun neutrality agama ini.

Dengan menghormati perbezaan pendapat, namun realiti kehidupan yang mesra menolak pandangan tersebut. Ini ditambah dengan hadis-hadis yang seakan menggalakkan untuk seseorang yang berpuasa mengekalkan bau mulutnya itu adalah lemah dari segi riwayat.

Tidak kukuh untuk disandarkan kepada Nabi SAW seperti yang dinyatakan oleh al-Imam Al-Mubarakfuri dalam Tuhfat al-Ahwazi. Maka tidak boleh menjadi hujah.

Apatah lagi bertentang dengan sifat Islam itu sendiri. Hadis yang menggalakkan kebersihan dan juga bersugi adalah umum merangkumi setiap waktu termasuk bulan Ramadan.

Antara hadis yang sangat daif digunakan dalam bab ini ialah dikatakan Nabi SAW bersabda: “Jika kamu berpuasa maka bersugilah pada waktu pagi dan jangan bersugi pada waktu petang”. Ia diriwayatkan oleh al-Bazzar, at-Tabarani dan lain-lain.

Namun ia terlalu daif yang tidak boleh dijadikan hujah. Ada hadis daif lain namun lebih kuat ataupun kurang daif daripadanya iaitu diriwayatkan ‘Amir bin Rabi’ah berkata: “Aku melihat Rasulullah bersugi sedangkan beliau berpuasa” (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Abu Daud dll).

Apa pun galakan bersugi bagi setiap waktu solat yang diriwayatkan dalam hadis yang sahih adalah asas dalam amalan Muslim. Ertinya, bersugi sentiasa digalakkan tanpa mengira sama ada puasa ataupun tidak. Nabi SAW dalam hadis sahih yang lain menyatakan tujuan bersugi dengan menyebut: “Bersugi itu membersihkan mulut dan menjadikan Tuhan reda” (Riwayat Ahmad, an-Nasai, Ibn Hibban dan lain-lain)

Justeru, jadikanlah puasa itu menzahirkan keindahan pekerti dalam perkataan dan perbuatan yang mengeratkan hubungan baik sesama masyarakat. Jangan jadikan bau mulut kita menimbulkan keresahan orang lain terhadap mereka yang berpuasa. Berpuasa dan bersugilah!


Credit: PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN

Tiada insan mampu atur rezeki sendiri

Sesungguhnya setiap sesuatu yang terjadi dan akan berlaku adalah ketentuan qada dan qadar yang ditetapkan oleh Allah SWT. Tiada sesuatu pun yang terjadi di dunia ini, kecuali dengan pengetahuan Allah SWT, izinNya dan ketentuanNya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Tiada sesuatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfudz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.” (Surah al-Hadid, ayat 22) 



Tidak boleh menyesal

Rasulullah SAW bersabda: “Segeralah melakukan perkara yang bermanfaat bagimu. Mintalah pertolongan Allah dan jangan bersikap lemah. Jika kamu ditimpa musibah, janganlah berkata: Jikalau aku melakukan begini, tentu akan begini dan begitu. Tetapi katakanlah: Apa yang telah ditakdirkan dan dikehendaki Allah SWT pasti akan terjadi.”

Oleh itu, seorang hamba tidak boleh menyesal dan bersedih dengan apa yang terjadi. Rezeki semua makhluk telah dijamin oleh Allah SWT, tiada seorang pun yang mampu mengendalikan dan mengaturnya, tidak ada seorang pun mampu menghambat datangnya rezeki. 

Disamping itu, kita juga diingatkan bahaya mempersoalkan dan memanjangkan perbincangan mengenai qada dan qadar tanpa sebab tertentu. Rasulullah SAW mengingatkan dalam sabda Baginda: “Apabila disebut mengenai qadar maka diamlah.” (Riwayat Tabrani dan Abu Nuaim) 

Umat Islam yang beriman diwajibkan mempercayai dan mengimani qada dan qadar. Segala yang berlaku adalah ketentuan Allah Taala. Kita hanya mampu berusaha dan berdoa, Allah SWT yang Maha Berkuasa menentukan segala sesuatu. Kita juga disarankan mempelajari ilmu akidah dengan lebih mendalam dan terperinci.



Credit: Nik Anis Syakira Megat Ali