Monday, 9 December 2013

Hijrah orang beriman

DUGAAN yang dihadapi oleh kaum Muslimin iaitu para sahabat Rasulullah SAW di Mekah ialah penyeksaan, maki hamun, celaan yang dilemparkan oleh kaum Musyrikin. Apabila mereka diberi keizinan berhijrah, maka satu dugaan lain pula yang melanda mereka iaitu dugaan meninggalkan tanah air, harta benda, rumah tangga dan alat-alat kelengkapan masing-masing.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah (untuk membela Islam) dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia. Dan orang-orang yang beriman sesudah itu, kemudian mereka berhijrah dan berjihad bersama-sama kamu, maka adalah mereka daripada golongan kamu. Dalam pada itu, orang-orang yang mempunyai pertalian kerabat, setengahnya lebih berhak atas setengahnya yang (lain) menurut (hukum) Kitab Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (al-Anfal: 74-75)

Ibnu Jarir berkata: Mereka kembali kepada Rasulullah SAW dan golongan Muhajirin lantas mereka menolong untuk agama Allah SWT.

Ibnu Saadi berkata: Ayat-ayat terdahulu menunjukkan akad perjanjian dalam memberi walad antara orang yang beriman dalam kalangan Muhajirin dan Ansar.

Sayyid Quthub berkata: Syarat hijrah terus terbuka sehingga negeri di Mekah dikuasai Islam, iaitu ketika bumi Arab itu tunduk kepada Islam dan kepimpinannya dan orang ramai bergabung di dalam masyarakatnya. Oleh sebab itu hijrah tidak ada lagi selepas negeri Mekah dibuka oleh Islam dan yang masih kekal ialah jihad dan beramal sebagaimana telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW.

Semuanya itu berlaku dalam pusingan pertama kemunculan Islam, di mana ia dapat memerintah dunia ini selama kira-kira 1200 tahun dan meneruskan perlaksanaan syariat Islam pada masa itu tanpa putus-putus dan menegakkan kepimpinan Islamiah di atas landasan syariat Allah dan kekuasaan-Nya.

Namun kini dunia telah kembali semula kepada jahiliah dan undang-undang Allah SWT telah berangkat daripada kehidupan manusia di bumi dan kuasa hakimiyah telah kembali kepada Taghut di seluruh dunia dan manusia mulai tunduk kepada ubudiyah terhadap sesama manusia setelah Islam menyelamatkan mereka daripadanya.

Kini Islam sedang memulakan satu pusingan yang baharu yang sama dengan pusingannya yang pertama, di mana ia mula mengaturkan peraturan-peraturan atau hukum-hukumnya yang berperingkat-peringkat sehingga kepada tahap menegakkan negara Islam dan hijrah. Kemudian naungan Islam terus mengembang dan meluas sekali dengan keizinan Allah SWT sehingga tidak ada lagi hijrah kecuali jihad dan beramal sebagaimana yang telah berlaku di dalam pusingan pertama.

Dalam menghadapi zaman pembinaan kewujudan Islam yang pertama, ia melaksanakan peraturan-peraturan dan tugas-tugas yang khusus dengan zaman itu, di mana kesetiaan kepada akidah menggantikan kesetiaan kepada darah keturunan dalam segala bentuk dan rupanya dan segala komitmen dan kehendak-kehendaknya termasuk saling mempusakai, saling bertakaful dalam bayaran diat dan denda-denda yang lain.

Kemudian apabila kewujudan Islam ditegakkan pada hari Furqan atau hari peperangan Badar, maka peraturan-peraturan khas yang telah diadakan di zaman luar biasa seiring dengan proses pembinaan yang pertama di antaranya ialah peraturan pusaka dan takaful dalam bayaran diat itu dikembalikan semula kepada kaum kerabat tetapi dalam lingkungan masyarakat Islam di negara Islam.





Credit: Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Percaya bomoh, tukang tilik boleh jejas akidah

Aisyah berkata, “Ada orang bertanya kepada Rasulullah berkenaan bomoh. Baginda menjawab: Mereka tidak mampu buat apa-apa pun. Sahabat Baginda berkata: Wahai utusan Allah, tetapi kadang-kadang mereka beritahu sesuatu kepada kami dan ia benar-benar berlaku. 

Rasulullah bersabda: Itulah perkataan benar yang dicuri oleh jin, dibisikkannya pada telinga bomoh itu, dan mereka menokok tambah dengan 100 dusta.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)


Diriwayatkan rekod Bukhari, Aisyah berkata, beliau mendengar Rasulullah bersabda: “Malaikat turun ke awan dan menyebut keputusan yang dibuat di langit. Syaitan mencuri dengar dan memberitahu kepada bomoh. Bomoh itu pun menipu dengan menokok tambah sendiri pula dengan 100 dusta.” 


Tegahan jumpa bomoh, tukang tilik 

Umat Islam ditegah berjumpa bomoh dan tukang tilik malangnya perbuatan itu masih dilakukan sesetengah masyarakat untuk mendapat rawatan khususnya yang dikaitkan dengan sihir atau ilmu ghaib. 

Adalah menyedihkan bagi umat Islam yang mengakui beriman kepada Allah SWT, mengakui kekuasaan-Nya, tetapi masih percaya kepada kemampuan manusia lain untuk mengetahui perkara yang tidak tercapai ilmunya oleh manusia. 

Lebih mendukacitakan, disebabkan mempercayai kata-kata bomoh dan tukang tilik, berlaku pergaduhan serta salah faham yang akhirnya menyebabkan terputus persaudaraan. Sedangkan sejauh mana kebenaran maklumat disampaikan tidak diketahui. 


Disebabkan itu, manusia perlu kembali kepada ajaran agama yang melarang menemui bomoh atau tukang tilik kerana mempercayai apa dikatakan boleh menjurus kepada syirik, menyekutukan Allah SWT dengan sesuatu yang lain. 

Safiyyah binti Abu Ubaid berkata daripada sebahagian isteri Nabi Muhammad, Baginda bersabda: “Sesiapa berjumpa dengan tukang tilik dan bertanya sesuatu kepadanya, kemudian percaya pula kepadanya, sembahyangnya tidak diterima selama 40 hari.” (Riwayat Muslim) 

Sudah tentu kita tidak mahu sembahyang yang dilaksanakan dengan niat kerana Allah SWT menjadi sia-sia. Hanya sekali berjumpa bomoh, sembahyang 40 hari tidak diterima. Ini satu kerugian besar dan umat Islam harus mengelak terjerumus dalam lembah kerugian.

Sunday, 8 December 2013

Tujuh golongan dinaungi Arasy

JUNJUNGAN besar Nabi Muhammad SAW pernah bersabda dalam sebuah hadis yang di mana baginda menyebut terdapat tujuh golongan manusia yang akan dilindungi Allah pada hari kiamat iaitu:
Pemimpin yang adil
Pemuda yang kuat beribadah kepada Allah
Hati yang terpaut pada masjid
Sahabat bertemu dan berpisah kerana Allah
Lelaki takut dan bertaqwa kepada Allah
Lelaki bersedekah dengan ikhlas
Lelaki yang mengingati Allah dalam keadaan sunyi hingga bercucuran
air mata

Insan-insan disebutkan oleh Rasulullah itu merupakan antara jutaan umat Islam yang istimewa yang akan terselamat daripada bala seksaan pada hari kiamat seperti mana digambarkan menerusi wahyu dan hadis.

Amalan baik balasan baik

DALAM kehidupan seharian kita, umat Islam sangat digalakkan menjaga pakaian, pergaulan dan percakapan supaya menjadi umat yang beriman dan bertakwa. Apabila semua ini dijaga maka ia akan mendatangkan kebaikan dan kebajikan serta ibadah kepada diri yang tentunya mendapat balasan pahala daripada-Nya.

Sesungguhnya dengan ilmu, amal dan akhlak yang baik akan menjuruskan kepada kehidupan yang baik dan sejahtera. Begitulah juga, cara menjaga diri dan maruah sangat penting dalam kehidupan seharian setiap Muslim.

Dalam pergaulan dan hubungan kemasyarakatan, berpakaian yang sesuai, apa lagi yang menepati syariat mestilah dipraktikkan dalam kehidupan. Semua ini akan mengangkat martabat dan akhlak umat Islam, yang akhirnya Islam akan dipandang tinggi dan mulia oleh penganut agama lain.

Antara aspek yang membabitkan cara berpakaian Muslim ialah:
Memakai pakaian yang menutup aurat. Pakaian tersebut tidak ketat dan tidak jarang yang boleh menampakkan aurat.

Memakai pakaian yang kemas dan bersih sesuai dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesungguhnya Allah baik serta suka akan kebaikan, suci dan suka akan kesucian.” (riwayat Tirmidzi)

Sebagai umat Islam khususnya remaja Islam, memilih pakaian juga penting dalam kehidupan seharian. Berpakaian hendaklah mengikut cara Islam.

Tidak memakai pakaian yang terdapat lambang-lambang yang diharamkan seperti lambang-lambang kumpulan Black Metal, lambang-lambang kumpulan ajaran sesat dan lambang-lambang agama lain.

Seterusnya dalam kehidupan, cara pergaulan juga penting dipraktikkan sebagai amalan yang baik dalam rutin kehidupan seharian. Antaranya;
* Memberi salam dan berjabat tangan ketika bertemu dengan saudara Islam. (Dalam batasan syarak)
* Menjaga tata susila dan hukum syarak dalam pergaulan.
* Hormat-menghormati, berkasih-sayang dan beramah-mesra antara satu sama lain.
* Bertukar-tukar pendapat.
* Menjaga rahsia dan keaiban orang lain.
* Mementingkan sahabat lebih daripada diri sendiri.
* Menepati janji yang baik.
* Memberi salam dan berjabat tangan meninggikan kemuliaan diri.

Justeru, Nabi SAW bersabda: “Kemuliaan manusia adalah agamanya, harga dirinya (kehormatannya) adalah akalnya, sedangkan ketinggian kedudukannya adalah akhlaknya.” (riwayat Ahmad dan Al Hakim).

Di samping itu, aspek yang peri penting dipraktikkan di dalam kehidupan ialah cara percakapan yang baik. Percakapan yang baik membuktikan seseorang itu berilmu dan beramal dengan baik. Oleh itu, sebelum mengeluarkan kata-kata, perlulah berfikir dahulu. Antaranya;
* Bercakap dengan perkataan yang baik dan sekiranya tidak tahu lebih baik berdiam diri.
* Berlemah-lembut dan menggunakan bahasa yang sopan apabila berinteraksi.
* Percakapan yang menyenangkan.
* Bercakap tentang perkara yang membawa kemajuan diri, masyarakat dan negara.
* Bercakap benar tentang perkara yang diketahui.

Oleh itu, Nabi SAW selalu berpesan: Di antara akhlak seorang mukmin adalah berbicara dengan baik. Apabila mendengarkan pembicaraan, dia tekun, apabila berjumpa orang, dia menyambut dengan wajah senang dan apabila berjanji, ia ditepati.” (riwayat Ad Dailami)

Maruah diri atau akhlak mestilah sentiasa dijaga supaya kita sentiasa dipandang tinggi dan mulia di sisi manusia dan di sisi Allah SWT. Mengkesampingan perihal ini akan menatijahkan;
Kehidupan tidak diberkati kerana jauh daripada cahaya petunjuk Allah.
* Mendapat dosa kerana melanggar syariah Allah.
* Menjadi terpinggir kerana dipulaukan oleh rakan-rakan dan masyarakat sekeliling.
* Mendorong kepada berlakunya kes-kes jenayah seperti rogol dan sumbang mahram.
* Melahirkan masyarakat yang kucar-kacir dan negara yang tidak tenteram serta menyukarkan pembinaan tamadun.
* Masyarakat akan memandang rendah dan menghina orang yang tidak bermoral seperti penagih dadah.

Nabi SAW berpesan: €œTidak ada sesuatu yang lebih berat dalam timbangan (pada hari kiamat) daripada akhlak yang baik.” (riwayat Abu Daud)
Kesimpulannya, setiap amalan yang baik akan mendapat balasan yang baik di sisi-Nya. Oleh itu, laksanakan dengan sebaik-baiknya. Sebagai ibu bapa, mereka wajar mendidik anak-anak dengan percakapan, pergaulan dan berpakaian yang baik. Manakala sebagai generasi muda Islam sewajarnya memahami syariat Islam, mengikut suruhan ibu bapa yang baik ke arah kebaikan diri pada masa depan.



Credit: DR. AMINUDIN MANSOR

Friday, 6 December 2013

Nelson Mandela meninggal dunia

Nelson Mandela meninggal duniaNelson Mandela
JOHNNESBURG: Bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela meninggal dunia di kediamannya di Johannesburg hari ini selepas sekian lama menghidap jangkitan paru-paru.

Pejuang anti-aparthied itu berusia 95 tahun.


Kematian Mandela diumumkan oleh Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma. 

“Kini beliau pergi dengan aman untuk selama-lamanya," kata Zuma yang turut bersedih.

Zuma juga mengumumkan satu pengkebumian negara akan dilakukan untuk Mandela dan mengarahkan semua bendera dikibar separuh tiang mulai hari ini sehinggalah pengkebumian tokoh negara itu. - AP

Wednesday, 4 December 2013

Melancong bersyariat

PADA saat ini kita telah memasuki musim percutian. Saya pasti ramai yang telah ataupun tengah mempertimbangkan untuk keluar melancong bersama keluarga.

Seiring ekonomi yang membaik, minat melancong juga turut berkembang. Selain destinasi pelancongan negara, umat Islam ramai juga memilih bercuti ke luar negara.

Sebuah kajian tentang pasaran pelancongan global pada 2011 menunjukkan bahawa umat Islam membelanjakan USD126,076 juta untuk melancong. Dijangkakan jumlah ini terus bertambah dari tahun ke tahun.

Dengan aliran dana sebesar ini, pelancong Muslim sebenarnya memiliki kuasa tuntut yang tinggi. Sangat wajar jika meminta perkhidmatan yang patuh syariah. Dan kita tidak patut berasa takut menunjukkan identiti keislaman kita yang menjadikan takwa sebagai panduan.

Sebagaimana sabda Rasulullah: “Bertakwalah kepada Allah di mana sahaja engkau berada.” (riwayat al-Tirmizi)

Hukum melancong pada asalnya ialah harus. Namun ia boleh menjadi haram apabila aktiviti dan destinasi perlancongan itu berkaitan dengan perkara yang diharamkan. Tempat-tempat yang terkenal dengan aktiviti haram seperti judi, arak dan zina tidak patut dijadikan destinasi pelancongan Muslim.

Hukum percutian boleh menjadi sunat apabila aktiviti ini dapat meningkatkan iman.

Misalnya apabila pelancongan itu membawa kita untuk bertafakur tentang kekuasaan Allah SWT, memberi keinsafan dan pengajaran daripada umat-umat terdahulu.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Katakanlah: Mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana kesudahan orang yang berdosa itu. (al-Naml: 69)

Percutian juga bernilai pahala apabila dijadikan medium untuk menjalin kasih sayang suami-isteri atau mengeratkan tali silaturahim antara ahli keluarga.

Justeru, program percutian sedapat mungkin dirancang bukan untuk keseronokan belaka, akan tetapi untuk mencapai salah satu daripada objektif seperti di atas.


Memilih destinasi


Apabila memilih destinasi pelancongan, alangkah baiknya kita pastikan terlebih dahulu beberapa perkara untuk menjamin keselesaan bercuti keluarga Muslim.

Antara kemudahan yang mesti ada ialah khidmat makanan halal. Perkara ini sangat penting untuk dipastikan sebab makanan halal merupakan satu aspek terpenting dalam Islam.

Seorang Muslim tidak boleh memakan makanan haram melainkan apabila darurat. Dan tiada darurat dalam satu pelancongan yang bebas kita pilih destinasi dan pakej aktivitinya.

Lagi pula, pada hari ini makanan halal sangat mudah diperoleh di pelbagai belahan dunia.

Bukan hanya di negara-negara Islam, malah makanan halal dapat ditemukan di negera-negara yang majoriti penduduknya bukan Islam seperti di Britain, Austria, Jerman dan lain-lain.

Selain itu, kita wajib memastikan tempat percutian tersebut menyediakan fasiliti ibadah yang selesa, terutamanya wuduk dan solat. Sebab solat tetap wajib dilaksanakan meskipun seorang Muslim sedang dalam melancong. Seorang musafir hanya diberikan keringanan jamak dan qasar solat, bukan menggugurkan kewajiban solat sama sekali.

Tidak disyaratkan destinasi pelancongan itu menyediakan tandas yang menyediakan air untuk beristinja. Sebab tisu kertas boleh digunakan sebagai ganti.

Namun jika ada kemudahan ini di sebuah destinasi pelancongan, ia menjadi satu nilai tambah yang sangat disukai.

Semua ini hanya beberapa hukum-hakam berkaitan pelancongan Muslim.



Credit: 
UMAR MUHAMMAD NOOR

Tuesday, 3 December 2013

Abd. Ar-Rahman Al-Sufi..Saintis Muslim tersohor

Abd. Ar-Rahman Al-Sufi, salah seorang ahli sains Islam tersohor, merupakan seorang ahli astronomi Parsi (Iran) yang juga dikenali sebagai Abd al-Rahman Abu al-Hussain. Di Barat beliau dikenali sebagai Azophi.

Lahir pada 7 Disember 903 dan meninggal dunia pada 25 Mei 986, AL-Sufi tinggal di kawasan Emir adud ad-Daula di Isfahan.

Beliau melakukan tugas menterjemah dan mengembangkan kerja-kerja ahli astronomi Greek, terutama Ptolemy.

Sebagai seorang ahli astronomi terkenal pada zaman pertengahan, Al-Sufi melakukan beberapa sumbangan dengan membetulkan senarai bintang Ptolemy dan melakukan anggaran magnitud dan kejelasan yang menyimpang daripada kerja Ptolemy.

Beliau mengenal pasti Awan Besar Magellanic yang kelihatan di Yaman dan bukan di Isfahan yang tidak dapat dilihat atau ditemui oleh bangsa Eropah sehingga pengembaraan Ferdinand Magellan pada abad ke-16.


Penterjemah


Al-Sufi merupakan penterjemah utama ke Bahasa Arab mengenai Astronomi Hellenistic yang berpusat di Iskandariah.

Beliau memerhatikan dan dapat mengira panjangnya tahun tropika dan menerangkan mengenai bintang, posisi, magnitud dan warna dan menghasilkan keputusan mengenai buruj demi buruj. Bagi setiap buruj, beliau menghasilkan dua lukisan, satu daripada luaran cakerawala dan satu lagi dari sebelah dalam yang dilihat dari Bumi.

Al-Sufi juga menulis mengenai astrolab dan mencari beberapa kegunaan mengenainya. Beliau menerbitkan buku yang terkenal Book of Fixed Stars pada 964 Masihi yang memaparkan kerjayanya dalam bentuk teks dan gambar.

Dalam keterangan dan gambar mengenai Andromeda, beliau memasukkan A Little Cloud yang sebenarnya adalah Andromeda Galaxy M31. Beliau menggambarkannya berada dalam mulut ikan yang besar, yang merupakan buruh Arab dan ‘awan’ berkenaan telah dikenali oleh ahli astronomi di Isfahan sebelum 905 Masihi.

Dalam bukunya, beliau juga menerangkan mengenai gugusan Omicron Velorun IC 2391 sebagai bintang nebulous di Vulpecula, satu gugusan atau asteris yang kini dikenali sebagai Al-Sufi atau Gugusan Brocchi atau Collinder 399.

Beliau juga menggambarkan Awan Magellan sebagai Al-Bakr, lembu jantan putih di selatan Arab yang mana ia tidak kelihatan dari utara Arab kerana latitudnya. Al-Sufi menyediakan carta langit daripada pemerhatiannya dan mengubah mengubah magnitudnya dengan cermat.

Bukunya, Kitab al-Kawatib al-Thabit al-Musawwar merupakan hasil karya yang unggul dalam astronomi stellar. Bukunya boleh didapati dalam Bahasa Arab dan diterjemah ke Bahasa Peranchis oleh Schjellerup dan dikatakan penting sehingga kini bagi kajian pergerakan dan kepelbagaian. Kerja-kerja Al-Sufi tidak diketahui di Eropah.

Pada masa penciptaan teleskop, Andromeda Nebula telah ditemui oleh Simon Marius pada 1612 menggunakan teleskop. Al-Sufi juga menjelaskan mengenai warna Sims (satu bintang) tidak berubah yang kemudian disahkan melalui pemerhatian.

Seneca melaporkan melihat Sirms berwarna merah di Rom, Ptolemy pula melihat warna kemerahan di Iskandariah dan Schmidt pada 1841 nampak warna putih selepas warna kuning beberapa hari sebelumnya. Warna yang berlainan dianggap hasil daripada perubahan cuaca dari satu tempat ke tempat lain.


Kawah Azophi


Oleh sebab sumbangannya yang besar dalam bidang astronomi, sebuah kawah di bulan dinamakan Kawah Azophi yang mempunyai diameter 47 kilometer dalam sembilan bahagian peta bulan dan terletak 22.1 selatan 12.7 timur. Bear dan Madler dalam tugasannya yang terkenal, Der Mond pada 1837 menyebut kawasan permukaan bulan sempena nama al-Sufi (Azophi).