Wednesday, 6 November 2013

150 askar Bangladesh dijatuhi hukuman mati

 150 askar Bangladesh dijatuhi hukuman matiAnggota Raifal Bangladesh (BDR) diiringi meninggalkan mahkamah selepas hukuman dijatuhkan ke atas mereka. - Foto AFP
Semua sabit kesalahan menderhaka pada 2009

Dhaka: Mahkamah Bangladesh semalam menjatuhkan hukuman mati ke atas 150 anggota tentera dan memenjarakan beratus-ratus yang lain, atas kesalahan menderhaka berikutan peranan mereka dalam pemberontakan yang mengorbankan ramai pegawai atasan pada 2009.

Kira-kira 823 anggota tentera didakwa berhubung pemberontakan yang menyaksikan 74 orang termasuk pegawai ditetak sehingga mati, diseksa atau dibakar hidup-hidup sebelum mayat mereka dibuang ke dalam pembetung atau dalam kubur cetek. 


Mahkamah khas mensabitkan dan menjatuhkan hukuman mati ke atas 150 askar berhubung pemberontakan itu, yang berpunca daripada bayaran gaji rendah serta kemiskinan Anggota Raifal Bangladesh (BDR) yang meronda di sempadan negara itu. 

“Sekurang-kurangnya 150 anggota BDR dijatuhkan hukuman mati kerana membunuh pegawai tentera,” kata pendakwa utama, Baharul Islam, di luar mahkamah di Dhaka.



400 dipenjara

Seramai 400 lagi dipenjarakan, dengan tempoh daripada seumur hidup hingga beberapa tahun bagi kesalahan masing-masing, manakala sekurang-kurangnya 270 lagi dibebaskan. 
“Mereka terlalu zalim sehingga mayat pun tidak diberikan penghormatan,” kata Hakim Mohammad Akhtaruzzaman, kepada mahkamah yang penuh sesak ketika membacakan keputusan.

Seramai 823 askar didakwa membunuh, mendera, bersubahat dan kesalahan lain berhubung pemberontakan selama 30 jam yang bermula di ibu pejabat di BDR di Dhaka dan merebak ke pangkalan lain di seluruh negara.


Salahkan kemarahan

Hampir 6,000 tentera disabitkan oleh berpuluh-puluh mahkamah khas berikutan kejadian itu. Siasatan rasmi menyalahkan kemarahan selama bertahun-tahun anggota tentera kerana rayuan menaikkan gaji dan memperbaiki layanan kepada tentera biasa tidak diendahkan.

Hakim berkata, tentera perlu diberi gaji lebih baik dan keistimewaan bagi mengurangkan kemarahan, berkata mereka tidak mampu menghantar anak ke sekolah tentera. - AFP

Calon SPM rebah, meninggal dunia selepas 30 minit jawab soalan

Calon SPM rebah, meninggal dunia selepas 30 minit jawab soalan

SEBAHAGIAN daripada 198 pelajar memasuki dewan yang menempatkan seorang pelajar calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Nur Syazwani Ariffin, 17, (gambar kecil) yang meninggal dunia ketika sedang menduduki peperiksaan Kertas 1 Bahasa Melayu di Sekolah Menengah Agama Saniah, Pasir Puteh, hari ini. - Foto Zaman Huri Isa


KOTA BAHRU: Seorang calon yang menduduki hari pertama peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia di Sekolah Menengah Agama (SMA) Saniah, Pasir Puteh, dekat sini dilaporkan rebah dan meninggal dunia selepas kira-kira 30 minit menjawab soalan, pagi ini.

Pelajar terbabit dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Tengku Anis (HTA) di sini. 


Pelajar perempuan berkenaan, NurSyazwani Arifin, 17, dikatakan sedang menjawab kertas Bahasa Melayu 1 apabila tiba-tiba rebah dan pengsan di atas lantai dewan pemeriksaan sekolah itu. 

Sementara itu, Bernama melaporkan Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, pihaknya kini menunggu keputusan bedah siasat unit forensik Universiti Sains Malaysia (USM) untuk mengetahui punca kematiannya kerana Nursyazwani dikatakan tidak mempunyai rekod penyakit kronik.

Bapanya Arifin Deraman, 48, seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Tok Janggut membawa Nursyazwani ke hospital selepas diberitahu mengenai insiden itu kira-kira 8.45 pagi, katanya kepada pemberita ketika ditemui di hospital berkenaan hari ini. 

Sementara itu, Arifin ketika ditemui berkata Nursyazwani pernah mengalami pening kepala, sakit belakang dan dada selama seminggu sebelum ini.

"Ketika itu doktor hanya mengesahkan Allahyarham mengalami gastrik tetapi dalam sehari dua ini beliau didapati sihat seperti biasa. 


"Pagi tadi, sebelum peperiksaan beliau ceria dan sempat mencium tangan saya," katanya.

Beliau berkata Nursyazwani anak keempat daripada enam beradik adalah antara pelajar terbaik sekolah itu dan menyasarkan keputusan 10A.

"Arwah bercita-cita untuk menjadi seorang pensyarah," katanya yang berasal dari Kampung Kemudu Bongkok, Gaal.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Zawawi Othman antara yang menziarahi jenazah Allahyarham di hospital. - BERNAMA

Tuesday, 5 November 2013

Pemuda mati diserang sakit jantung

GEORGE TOWN - Seorang pemuda maut selepas diserang sakit jantung semasa bermain permainan video komputer hampir 15 jam di dalam bilik tidur di rumahnya di Bandar Baru Air Itam di sini kelmarin.
Mangsa, Ong Yee Haw, 23, ditemui bapa saudaranya yang cuba membuka pintu bilik kira-kira pukul 4 petang sebaik menyedari mangsa tidak keluar sejak pulang dari kafe siber berdekatan rumah mereka pada pukul 1 pagi.
Sumber berkata, bapa saudaranya terkejut sebaik melihat Yee Haw dalam keadaan kaku dan terbaring di hadapan komputer lalu terus menghubungi ambulans.

Monday, 4 November 2013

Hijrah strategik dapatkan kekuatan, keselamatan

Tiga sebab nabi melakukan hijrah iaitu untuk menyeru manusia mentauhidkan Allah SWT, bagi mempertahankan keimanan pengikut daripada diganggu dan membuka penempatan baru untuk kebaikan semua. 

Nabi Ibrahim berhijrah ke tempat lain menyebarkan agama tauhid. Baginda terpaksa meninggalkan tanah kelahirannya kerana enggan tunduk kepada Raja Namrud yang menolak agama tauhid.


Nabi Ibrahim juga berhijrah membawa isterinya Siti Hajar bersama puteranya Nabi Ismail dari Kanan menuju ke sebuah lembah kering kontang untuk membuka penempatan baru, iaitu Makkah. 

Nabi Musa pula berhijrah meninggalkan Mesir menuju ke Syam bersama pengikut setia bagi mengelak kekejaman dilakukan Firaun yang mengaku dirinya tuhan serta bertindak angkuh melakukan apa saja disukai. 

Memandangkan Nabi Musa sentiasa menyampaikan dakwah dan semakin banyak pengikut, Firaun rasa tercabar dan berusaha menghapuskan Nabi Musa. Untuk mengelak tindakan keras Firaun, Nabi Musa terpaksa berhijrah meninggalkan tanah airnya. 

Nabi Nuh pula berhijrah menaiki kapal ketika banjir besar. Perintah itu datangnya daripada Allah SWT bertujuan menyelamatkan sejumlah pengikut setia daripada terus diejek dan diganggu penduduk yang menolak seruan tauhid. 



Hijrah bukan bermakna mengaku kalah 
Penghijrahan nabi meninggalkan sesuatu tempat menuju tempat lain bukan bermakna mengaku kalah atau meninggalkan amanah menyebarkan agama tauhid. Hijrah satu strategi mendapat kekuatan dan keselamatan. 

Hijrah Nabi Muhammad SAW ke Madinah menjadi titik permulaan kejayaan umat Islam. Di Madinah, Islam dapat disebarkan secara terbuka dan mendapat sambutan. Berbanding ketika berada di Makkah, dakwah tauhid disampaikan Nabi Muhammad SAW mendapat tentangan hebat. 

Pembesar Musyrikin sedar semakin banyak orang tertarik seruan tauhid dibawakan Rasulullah SAW. Keadaan ini menimbulkan kebimbangan penduduk Makkah akan meninggalkan amalan menyembah berhala diwarisi sejak datuk nenek mereka. 

Keadaan itu mendorong tindakan jahat seperti mengancam, dikhianati, diseksa dan dihalau dari kampung. Namun, itu semua tidak mematahkan semangat Rasulullah SAW terus berdakwah. 

Penganut Islam tidak gentar untuk berdepan dengan tindakan tidak perikemanusiaan itu demi mempertahankan nur keimanan yang menyinari hati. 

Musyrikin cuba mengumpan Nabi Muhammad SAW dengan kekayaan, pangkat dan segala permintaan ditunaikan jika baginda menghentikan usaha menyebarkan agama tauhid, namun tidak berjaya. 

Menyedari Makkah tidak sesuai diteruskan dakwah, lalu Nabi Muhammad SAW mencari tempat lain difikirkan lebih selamat. Tempat pertama dipilih ialah Taif. Namun, keadaan tidak memihak kepada Rasulullah SAW. 

Tempat lain pernah dijadikan tempat hijrah ialah Habsyah. Walaupun mendapat layanan baik Raja Habsyah, terdapat beberapa keadaan menyebabkan Habsyah tidak menjadi destinasi hijrah Rasulullah SAW. Namun, ramai sahabat terus tinggal di Habsyah untuk tempoh lama. 

Penghijrahan Nabi Muhammad SAW ke Madinah tidak dilakukan secara terburu-buru. Rasulullah SAW mengkaji latar belakang atau kesesuaian sebelum berhijrah. 

Rasulullah SAW menguji penerimaan penduduk Madinah dengan berdakwah kepada mereka yang datang ke Makkah mengerjakan haji. Penerimaan baik penduduk Madinah membawa termeterainya Perjanjian Aqabah yang menjadi perintis kepada hijrah. 

Hijrah Nabi Muhammad SAW ke Madinah mendapat sambutan luar dugaan. Seluruh penduduk Madinah keluar dengan gembira menyambut ketibaan Rasulullah SAW. Masing-masing berebut-rebut memberi tempat tinggal dan bantuan. 

Beberapa dekad kemudian, Madinah menjadi pusat pemerintahan Islam terkenal dan menguasai seluruh Semenanjung Arab, Utara Afrika, sebahagian Eropah dan Asia Barat.



Credit: Lokman Ismail

Misi Bantuan Kecemasan Mercy Ke Syria: Doktor rawat pesakit dituduh belot

Foto
Doktor pakar bedah vaskular termasuk pakar dari Malaysia, Dr Mohd Mazri Yahya (kanan) melakukan pembedahan kecemasan seorang remaja yang cedera parah di paha akibat ditembak di Aleppo.

“Lebih setahun saya terpaksa memakai penutup muka setiap hari kerana mahu elak identiti terbongkar yang boleh menyebabkan saya ditangkap dan dibunuh,” kata seorang doktor pakar di Hospital As-Sakhur, di sini. 

Beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Dr Ahmad, 40, berkata tugasnya membantu merawat penduduk di kawasan bandar ini yang dikuasai Tentera Pembebasan Syria (FSA), terutama menyelamatkan nyawa mangsa perang, sememangnya mengundang risiko tinggi.


“Ramai rakan setugas ditangkap, dipenjarakan pihak kerajaan hanya kerana berkhidmat di kawasan FSA. Ada yang dibunuh semata-mata dianggap berpaling tadah kerana membantu merawat pesakit dan mangsa perang di kawasan FSA. Profesional seperti saya dan ramai lagi rakan hidup dalam ketakutan. 

“Kami menjadi buruan kerajaan yang melabel kami pembelot kerana memberi bantuan kepada penentang kerajaan,” katanya ketika ditemui dalam lawatan rombongan Misi Bantuan Kemanusiaan MERCY Malaysia ke hospital itu, semalam.

Penderitaan rakyat Syria akibat konflik di antara pihak kerajaan dan kumpulan penentang, mencetuskan penubuhan Tabung Kemanusiaan Syria Media Prima Berhad-MERCY, September lalu yang mensasarkan kutipan RM6 juta tahun ini untuk disalurkan ke negara berkenaan.
Foto
Murid menjalani proses pembelajaran di 
Sekolah Amer Alrawi di Aleppo.

Mahu rawat pesakit 


Dr Ahmad berkata, kawasan bandar yang dikuasai FSA sememangnya kekurangan pakar bedah dan kemudahan selain keadaan hospital yang serba daif. 

“Penduduk di sini tidak dibenarkan masuk ke kawasan dikuasai kerajaan yang ada sebuah hospital besar yang lengkap pelbagai kemudahan. Niat saya berada di sini hanya mahu bantu merawat pesakit serta menyelamatkan nyawa mereka yang mungkin cedera parah, sama ada akibat kemalangan biasa atau akibat perang.

“Namun, apapun niat kita, kerajaan tetap berfikiran sebaliknya dan itu yang saya bimbangkan,” katanya sambil menambah, perang saudara yang tercetus juga juga menyebabkannya terpisah dengan keluarga dan saudara mara, malah sudah tidak bertemu isteri dan tiga anaknya hampir dua tahun. 

“Ramai saudara saya berada di kawasan Aleppo yang dikawal tentera kerajaan. 


Perang memisahkan kami dan situasi sama juga dihadapi ramai lagi penduduk di sini. Mereka tidak dapat bertemu ahli keluarga kerana bimbang ditembak jika cuba merentasi garis sempadan di antara kawasan kerajaan dan FSA. 

“Keadaan huru hara dan ketidaktentuan akibat perang saudara juga memaksa isteri saya mendapatkan perlindungan di Tripoli, Libya bersama tiga anak kami berusia empat hingga tujuh tahun... di sana lebih selamat,” katanya.





Credit: Irwan Shafrizan

5 warga Myanmar diculik rakan senegara berjaya diselamat

KUALA LUMPUR 5 Nov. - Lima warga Mynamar berjaya diselamatkan sekumpulan anggota polis selepas diculik rakan senegara mereka di sebuah kondominium eksklusif di Bukit Tinggi dekat Gombak malam tadi.

Lima warga Mynamar dari etnik Rohingya itu diselamatkan sekitar pukul 11 malam tadi selepas mendapat laporan daripada abang kepada salah seorang mangsa yang diculik di Melaka.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, bertindak atas laporan itu, polis kemudian menyerbu sebuah kondominium di Bukit Tinggi dan menemui lima mangsa yang diikat dengan rantai besi.

"Mangsa diculik dari seluruh negeri dan dibawa ke kondominium ini sebelum keluarga mereka diperas ugut.

"Mereka juga dilayan seperti haiwan dan diberi makan sehari sahaja malah turut dipukul," katanya.

Abdul Hamid, Zakir Naik dipilih Tokoh Maal Hijrah 2013

Foto
YANG di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan kepada Tan Sri Abdul Hamid Zainal Abidin pada Majlis Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1435H/2013M di Dewan Plenari, PICC, Putrajaya, hari ini. - Foto Fariz Iswadi Ismail

PUTRAJAYA: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Abdul Hamid Zainal Abidin dan pendakwah antarabangsa yang juga Presiden Yayasan Penyelidikan Islam Mumbai, India, Dr Zakir Abdul Karim Naik diumumkan sebagai penerima Tokoh Maal Hijrah 2013 sempena sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, sebentar tadi.

Pengumuman dibuat Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Otman Mustapha.



Foto

Pemilihan tokoh itu dibuat berasaskan kepada sumbangan besar yang diberikan kedua-dua tokoh dalam memartabatkan Islam di peringkat kebangsaan dan global. 

Foto
YANG di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan kepada Doktor Zakir Abdul Karim Naik pada Majlis Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1435H/2013M di Dewan Plenari, PICC, Putrajaya, hari ini