Sunday, 25 August 2013

Tolak Miss World, ketua FPI sedia ditahan

Rizieq
Riziek ketika ditemui media

JAKARTA - INDONESIA. Ketua Front Pembela Islam (FPI), Rizieq Shihab akui sedia bertanggungjawab atas kenyataannya sebelum ini yang meminta agar program Miss World dibubarkan.

Rizieq juga sedia untuk ditahan polis jika dianggap pencetus provokasi.

“Saya sedia bertanggungjawab dunia akhirat. Tak perlu susah-susah mencari pencetus provokasinya.

"Habib Rizieq ini bersedia ditahan untuk membubarkan Miss World,” katanya di Markas FPI, Jakarta Pusat, hari ini.

Rizieq yang dipetik portal Kompas turut meminta semua tokoh agama di Indonesia turut serta menolak program Miss World yang dijadualkan berlangsung di Bali, 7 September depan.

Malah, Rizieq juga mengajak beberapa pihak untuk mengadakan tunjuk perasaan bagi menolak program ratu cantik itu.

“FPI Jatim, Madura, Banyuwangi terus memberikan pendedahan kepada masyarakat Bali agar menolak Miss World.

"Bali tidak boleh eksklusif sesuka hati kerana Bali sebahagian dari NKRI,” katanya.

Rizieq menyifatkan program tersebut bertentangan dengan nilai-nilai Islam.

“Kalau tetap diadakan, kami akan minta pemerintah bertanggungjawab kerana mereka tidak boleh memberikan kelulusan terhadap pertandingan ini.

“Ia bertentangan dengan kearifan tempatan, budaya, apa lagi dengan syariat dan umat Islam,” katanya.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, buat pertama kali Indonesia menjadi tuan rumah untuk pertandingan Miss World 2013.

Glob tertua diukir atas telur burung unta

PERCAYAKAH anda, glob tertua di dunia diukir di atas sebiji telur burung unta? Penyelidik Belgium, Dr S Missinne berkata, glob bertulisan Latin itu mengandungi garisan halus sempadan negara yang sebelum ini pernah dinyatakan oleh pengembara terkenal dunia, Christopher Columbus.

"Glob ini dipercayai dibuat di Florence, Itali selain pengukirnya adalah seorang yang berbakat besar dalam bidang seni ukiran.

"Ia juga berkemungkinan besar pernah digunakan sebagai pengganti glob Lennox bermula tahun 1504, selain menggambarkan peta dunia sebaik sahaja Amerika mendapat nama," kata Missinne dalam laporan MailOnline

Sebelum ini, glob telur berkenaan dibeli oleh seorang pengumpul barangan antik Eropah di Pameran Peta London 2012, dan dipercayai menjadi glob pertama dunia selepas Missinne melihat serta mengkajinya.

"Saya amat teruja ketika diberi peluang mengkaji glob ini dan lebih gembira apabila jawapan ditemui menunjukkan ia adalah barangan yang amat bersejarah," katanya.

Setakat ini, lebih 100 pakar mengesahkan glob ukiran telur burung unta itu yang pertama di dunia.

Pulang 13 hari selepas dikebumi

Philadelphia: Seorang wanita berusia 50 tahun pulang ke rumahnya selepas dia ‘dikebumikan’ 13 hari lalu.
Sharolyn Jackson (gambar) dikebumikan di tanah perkuburan Colonial oleh keluarganya pada 3 Ogos selepas Pemeriksa Perubatan Philadelphia menandatangani sijil kematian dan menyerahkan mayat seorang wanita yang dipercayai dia.
Bagaimanapun, kelmarin, Sharolyn muncul di pusat kesihatan mental di tengah Philadelphia.
Wanita itu dilapor hilang dari kediaman keluarganya di Philadelphia Barat pada 18 Julai lalu. Apabila mayat seorang wanita yang menyerupai dia ditemui 20 Julai di jalan raya di bandar berkenaan, pegawai menyangka ia mayatnya.
Anaknya, Travis dan seorang pekerja sosial yang mengenali wanita itu mengecam gambar wanita yang mati itu sebagai Sharolyn.
Pejabat Pemeriksa Perubatan kemudian menandatangani sijil kematian yang membenarkan mayat berkenaan diserahkan kepada anggota keluarga untuk dikebumikan.
Foto
“Gambar hitam putih itu kelihatan macam Sharolyn,” kata pekerja sosial itu.

Jabatan Kesihatan Philadelphia berkata, semua prosedur dipatuhi sebelum mereka menyerahkan mayat berkenaan untuk dikebumikan.
Polis semalam memulakan siasatan untuk mengenal pasti mayat yang dikebumikan itu dan merancang untuk menggalinya semula. - Agensi

Saturday, 24 August 2013

2 pelajar kita ditahan tentera Mesir

2 pelajar kita ditahan tentera  MesirSebahagian daripada pelajar Malaysia yang menuntut di Mesir selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.
Kuala Lumpur: Dua penuntut perubatan Malaysia di Mesir dilaporkan ditahan pasukan keselamatan negara berkenaan selepas didapati melanggar arahan perintah berkurung, Selasa lalu. 

Mereka yang sepatutnya dihantar pulang ke Malaysia pada hari berkenaan, gagal dihubungi selepas mendaftarkan diri di kedutaan besar Malaysia di Kaherah.


Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Mesir, Shaiful Anuar Mohammad, ketika dihubungi BH berkata selepas diperiksa, kedua-dua penuntut yang berasal dari Sarawak dan Melaka itu didapati ditahan pasukan keselamatan di Helwan, Mesir. 


Katanya, selepas ditahan, wakil pasukan keselamatan Mesir terus menghubungi pihak kedutaan bagi memaklumkan penahanan itu sebelum wakil kedutaan dihantar bagi membebaskan mereka. 

“Kedua-dua mereka berada dalam keadaan baik dan pihak kedutaan sedang menguruskan proses bagi membebaskan mereka dari tahanan pasukan keselamatan. 

Kena bayar denda 

“Kami difahamkan pasukan keselamatan di sini (Mesir) menahan mereka selepas didapati melanggar waktu perintah berkurung yang dikuatkuasakan pemerintah sementara negara ini sejak pergolakan berlaku minggu lalu,” katanya. 


pihak kedutaan mungkin terpaksa membayar denda bagi membebaskan dua penuntut itu yang masing-masing menuntut di Universiti Al-Azhar, Kaherah dan Universiti Iskandariah. 

Dalam perkembangan lain, Shaiful berkata hingga semalam, 588 pelajar Malaysia yang menuntut di universiti sekitar Kaherah dan Iskandariah sudah dihantar pulang. 

“Kini pihak kedutaan sudah menutup pendaftaran bagi penghantaran pulang secara sukarela pelajar Malaysia yang berada di Kaherah dan Iskandariah dan memfokuskan proses penghantaran penuntut kita yang berada di daerah lain pula,” katanya. 

Terpaksa catu makanan 

Di Sepang, penuntut Malaysia yang baru tiba di sini, berkata rakan mereka yang masih berada di Mesir terpaksa mencatu dan menyimpan bekalan makanan kerana bimbang keselamatan terancam atau terkena peluru sesat jika keluar dari kediaman. 

Penuntut Universiti Al-Azhar, Nur Hidayati Suwarso, 23, dari Kedah, berkata dia dan rakannya terpaksa menyimpan stok makanan kerana bimbang keselamatan terancam jika keluar membeli barangan keperluan harian di pasar atau kedai runcit berhampiran kediamannya. 

“Kami terpaksa membeli stok makanan untuk seminggu sebagai langkah berjaga-jaga berikutan krisis yang berlaku di Mesir,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam. 

Nur Hidayati adalah antara 41 penuntut dari Mesir yang pulang ke tanah air semalam menaiki pesawat Etihad Airways dan Emirates, masing-masing pada jam 1.50 petang dan 3.10 petang. 

Ketua Pegawai Eksekutif Medic Mesir, Siti Haniza Mohd Nazri, berkata 100 daripada 350 penuntut yang diurus agensi itu mendaftar untuk mengikuti pengajian dalam program asasi di universiti swasta di negara ini.

Martabat ibu tinggi di sisi Islam

Ibu melakukan pengorbanan amat besar kepada anak dan kedua ibu bapa umumnya. Allah SWT mewasiatkan kedua-duanya kepada kita dalam kitab-Nya dan Dia menjadikan berbuat baik kepada ibu bapa suatu kebajikan asasi yang dipersetujui semua agama. 

Allah SWT menceritakan mengenai Yahya dalam surah Maryam, ayat 14: “Dan banyak berbakti kepada kedua orang tuanya dan bukanlah dia orang yang sombong lagi derhaka.” 

Kemudian Allah SWT menyifatkan Isa menerusi kata-kata Isa sendiri sewaktu dalam buaian: “Dan berbakti kepada ibuku dan Dia tidak menjadikan aku seorang yang sombong lagi celaka.” (Surah Maryam, ayat 32) 

Seterusnya Allah SWT menempatkan berbuat baik kepada kedua ibu bapa pada urutan kedua selepas menyembah Allah SWT: “Sembahlah Allah dan janganlah kamu menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa.” (Surah an-Nisa’, ayat 36) 

Kemudian ibu mendapat keistimewaan luar biasa kerana dia yang bersusah payah mengandung anaknya, melahirkannya dan menyusukannya. Sebab itulah Nabi SAW mewasiatkan ibu hingga tiga kali sedangkan untuk bapa hanya sekali. 


Bahkan ibu yang tidak memberikan kasih sayang kepada anaknya dan meninggalkannya sejak kecil juga mempunyai hak iaitu hak keibuan kerana ibu tetap ibu dan seperti kata orang, darah tidak akan menjadi air. 

Orang yang berakhlak mulia akan mengamalkan nasihat ini: “Hubungkanlah silaturahim dengan orang yang memutuskan silaturahim denganmu. Bermurah hatilah kepada orang yang kedekut kepadamu. Berilah orang yang tidak memberimu. Berbuat baiklah kepada orang yang berbuat jahat padamu.” 

Berbuat baik kepada ibu 

Jika sikap ini yang patut dibuat kepada semua orang, apa lagi dengan kaum kerabat lebih-lebih lagi kedua ibu bapa. Bagaimana halnya dengan ibu yang telah dijadikan Allah SWT syurga di bawah telapak kakinya. 

Sebab itu kami nasihatkan kepada saudari yang bertanya, hendaklah berbuat baik kepada ibunya dan hendaklah ia mencurahkan pengorbanan dan kebaikan kepadanya. Janganlah ia mengikut hawa nafsu serta bersikap ego. 

Mudah-mudahan Allah SWT menyambungkan hubungan kedua-duanya yang telah terputus kerana ibu tetap ibu. Perlu diketahui pada ketika ini boleh jadi anak tidak memahami keadaan ibu dan mudah-mudahan dia dapat memahaminya pada masa akan datang. 

Allah SWT mewasiatkan supaya anak berbuat baik kepada ibu bapanya tetapi tidak mewasiatkan ibu bapa berbuat baik kepada anak kerana hati mereka sudah dicap dengan kasih sayang kepada anaknya. 

Jika seorang ibu keluar daripada kebiasaan yang sebenarnya pasti ada sebab atau faktor yang membuatkan dia bersifat ganjil. Justeru, sebagai anak, selami kenapa perkara itu berlaku dan cuba memahaminya.



Credit: Ust Dr Zahazan Mohamed

Gopoh itu kerja syaitan

BERGOPOH-GAPAH atau dalam bahasa Arab disebut sebagai isti'jal dikira sebagai satu daripada penyakit kalbu yang berbahaya. Lawan bagi sikap gopoh-gapah ialah ana-ah, iaitu sifat tenang, berhati-hati serta berhemah dalam melaksanakan sesuatu urusan hidup.

Sikap gopoh-gapah boleh menjatuhkan seseorang ke lembah maksiat serta meluputkan pahala bagi segala kebajikan yang dikerjakan.

Imam al-Ghazali mentafsirkan gopoh-gapah sebagai sejenis penyakit kalbu yang merentap hati agar melakukan sesuatu secara tergesa-gesa atau segera sebaik ia terlintas di benak fikiran tanpa perancangan dan pertimbangan terlebih dahulu. Ia dilaksanakan mengikut apa yang diperibahasakan sebagai 'terburu nafsu.'

Dalam Islam, hanya lima perkara dibenarkan bergopoh-gapah atau melaksanakannya tanpa bertangguh, manakala yang lain, anda dikira melakukan 'tindakan syaitan' jika melakukannya tanpa perancangan dan berhati-hati.

Ini selaras hadis Rasulullah SAW bermaksud: "Tergopoh-gapah itu tindakan syaitan, kecuali dalam lima perkara, iaitu mengahwinkan anak perawan, membayar hutang, menguruskan jenazah, melayan tetamu dan bertaubat daripada dosa." (riwayat Muslim)

Di manakah bahayanya tindakan gopoh-gapah? Contoh pertama mengenai gopoh-gapah ialah melakukan amal ibadat dalam keadaan tergesa-gesa, kononnya untuk mencapai makam atau martabat tertinggi dalam tempoh cepat.

Individu yang mengerjakan ibadat secara tergopoh-gapah seperti itu biasanya akan melakukan banyak kesilapan dalam ibadatnya. Malah mungkin menyeleweng daripada syariat.

Individu berkenaan juga mungkin terkena penyakit hati yang lain, iaitu riak dan takbur. Lidahnya juga mungkin akan menuturkan perkataan dan pengucapan keji serta sia-sia, malah menggelincirkan akidahnya.

Dalam hal ini, akhlak lisan yang ditunjukkan junjungan besar Nabi 
Muhammad SAW patut dijadikan teladan.

Allah SWT berfirman bermaksud: Dan dia (Muhammad) tidak bercakap mengikut nafsunya. Tiada yang dicakapnya melainkan apa yang diwahyukan Allah kepadanya. (an-Najm: 3)

Individu yang mengerjakan amal kebajikan secara tergopoh-gapah 
kerana mahu mencapai martabat tertinggi dalam tempoh segera juga mungkin akan terjerumus ke dalam kesilapan beribadat.

Orang yang bersungguh-sungguh beribadat seperti itu biasanya hanya akan mengerjakan ibadatnya pada peringkat awal secara bersungguh-sungguh, kemudian ia mula menurun, malah terhenti langsung beberapa ketika selepas itu.

Selain itu, individu yang mengerjakan ibadat secara tergopoh-gapah semata-mata kerana mahu hajatnya dipenuhi Allah SWT, sama ada dari segi kerjaya dan perniagaan, biasanya akan mudah 'luntur' dan berhenti mengerjakan ibadat setelah hajatnya tercapai atau dia mula kecewa kerana hajat yang dihasratkannya tidak tercapai dalam masa yang dijangka atau diharapkan.

Akhirnya, individu berkenaan 'terkulai layu' meninggalkan matlamat ibadatnya dan tidak kekal istiqamah dalam amal kebajikannya. Ini berbahaya. Syaitan gembira melihat kerenah gopoh-gapah individu seperti ini.

Tindakan tergopoh-gapah juga bahaya kerana ia akan memungkinkan seseorang individu Muslim terjebak memakan dan meminum barangan haram atau daripada sumber haram seperti rasuah. Perkara lain yang turut tergolong dalam tindakan tergopoh-gapah ialah mendoakan keburukan untuk diri sendiri atau orang lain.

Ini bertepatan firman Allah SWT bermaksud: Dan manusia mendoakan kejahatan sebagaimana dia mendoakan kebaikan dan adalah manusia itu bersifat gopoh-gapah. (al-Isra': 11).


Credit: Mahaini Muhammad

Apabila ibadat jadi adat

Sepanjang Ramadan, masjid atau surau sentiasa dipenuhi dengan umat Islam yang sentiasa hadir untuk menunaikan ibadah selain dilihat masing-masing tekun melakukan amalan.

Tetapi sesudah Ramadan melabuhkan tirai, ruang-ruang rumah Allah kosong dan tidak lagi meriah seperti sebulan sebelumnya dan hanya tinggal imam, bilal mahupun tok siak serta sebilangan kecil jemaah yang tidak sampai 10 orang.

Di manakah jemaah lain yang setiap kali azan berkumandang mereka sentiasa memenuhi saf masjid sepanjang Ramadan? Adakah amalan tadarus al-Quran hanya berlaku pada penghulu segala bulan itu sahaja?
Situasi sama juga berlaku terhadap anak-anak yatim apabila mereka hanya mendapat perhatian dalam bulan Ramadan tetapi dalam bulan-bulan lain, kebajikan golongan itu dikesampingkan.

Bukan hendak menafikan atau mempertikaikan amalan-amalan itu, apatah lagi setiap ganjaran dan keikhlasan semuanya dihitung oleh Allah dan tidak siapa boleh mempersoalkan. Namun dikesalkan adalah ia berlaku secara bermusim atau disimpulkan sebagai ‘ibadah bermusim’.

Ketika diajukan persoalan berkenaan kepada Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Mohd. Sukki Othman merumuskan bahawa situasi berkenaan berlaku apabila umat Islam menjadikan ibadat sebagai adat.

Jelas Mohd. Sukki lagi, amalan memuliakan bulan Ramadan sudah semestinya mendapat ganjaran besar daripada Allah. Tetapi jika dijadikan adat, umat Islam akan meninggalkannya sesudah Ramadan berlalu.

Beliau menegaskan, ibadah akan berterusan atau istiqamah sehingga bila-bila masa kerana merebut keredaan Allah yang dijadikan sebagai satu sandaran berbanding adat.

“Apabila dijadikan sebagai adat atau tradisi yang bersifat sementara, maka ibadah dilakukan dalam tempoh singkat bukan berpanjangan. Soal sama terjadi dalam bulan Ramadan.

“Amalan yang dilakukan itu diumpamakan peribahasa ‘hangat-hangat tahi ayam’. Maka boleh dikatakan proses didikan Ramadan terhadap golongan itu adalah gagal," ujar Mohd. Sukki.

Sehubungan itu, tambah Mohd. Sukki, Rasulullah SAW mengajak umat Islam untuk berpuasa enam dalam bulan Syawal seperti mana dijelaskan oleh sepotong hadis diriwayat oleh Imam Muslim bermaksud: Barang siapa yang puasa pada bulan Ramadan, kemudian diikuti puasa enam hari pada bulan Ramadan, ganjaran seperti puasa setahun penuh.

Ketika menjelaskan objektif penganjuran puasa enam, Mohd. Sukki berpendapat ibadat itu bertujuan untuk mengajak umat Islam istiqamah dalam beribadat walaupun Ramadan telah berakhir.

“Sebagai satu kesinambungan daripada bulan Ramadan, puasa enam bererti betapa istiqamahnya amalan puasa tidak terhenti begitu sahaja, bahkan ia sebagai usaha berterusan.

“Maka sebab itu Rasulullah mengatakan ganjaran amalan sunat berkenaan seperti berpuasa selama setahun walaupun berlangsung selama enam hari. Ia seolah-olah menunjukkan kita beribadat bukan kerana kewajipan tetapi kerana bersungguh-sungguh untuk mendekatkan diri kepada-Nya," jelas Mohd. Sukki.



Credit: JANI MUNIR ABU BAKAR