Thursday, 24 May 2012

Guru Cemerlang Yang Tabah..


24 Mei 2012
Guru sakit tetap mengajar
Ismail menunjukkan pedal tambahan yang dipasang di sebelah kiri keretanya.
ALAI - Walaupun separuh badannya lumpuh akibat angin ahmar, namun ia langsung tidak memudarkan semangat kental seorang guru, Ismail Abdul Samad, 54, untuk terus mendidik anak bangsa.

Malah ketika diserang penyakit itu empat tahun lalu, Ismail hanya mampu terlantar tanpa boleh berbuat apa-apa dan dinasihatkan doktor supaya berehat selama setahun serta menjalani rawatan.

Memikirkan dia tidak boleh berkeadaan begitu selama- lamanya dan hanya menerima gaji percuma tanpa menjalankan tugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulai selepas berkhidmat lebih 15 tahun lalu, Ismail kuatkan semangat untuk bergerak sedikit demi sedikit.

Akhirnya enam bulan kemudian dia mampu mengajar semula walaupun bergerak menggunakan tongkat.

“Saya tidak lagi boleh memandu dengan keadaan sebelah badan lemah, jadi saya gagahkan diri berlatih bergerak dan yakin mampu mengajar seperti dahulu.

“Pada mulanya, saya menumpang kereta adik ipar saya yang kebetulan guru dan mengajar d bersebelahan sekolah tempat saya mengajar, namun saya akhirnya mengambil keputusan memandu sendiri dengan mengubahsuai kereta saya,” katanya.

Menurut guru yang berkelulusan Sijil Maktab Perguruan Kuantan, Pahang, ini, dia mengubah suai kereta jenis Proton Satria miliknya yang berenjin manual kepada enjin automatik dan menambah gear minyak di sebelah kiri untuk keselesaannya
memandu.
“Saya mengambil masa tiga bulan berlatih memandu di padang sekolah dengan menggunakan sebelah tangan sebelum mengambil keputusan memandu sendirian ke sekolah di Pulai, sejauh kira-kira 35 kilometer.

“Bagaimanapun selepas itu, saya menyedari kereta saya tidak berapa selesa disebabkan terlalu rendah dan saya mengambil keputusan menggunakan kereta Perodua Kenari yang lebih tinggi,” katanya yang pernah dianugerahkan Sijil Guru Cemerlang sebanyak dua kali iaitu pada 1998 dan 2008.

Ismail berkata, pengalaman bekerja sebagai jurutera enjin perkapalan di Pejabat Perikanan suatu ketika dulu banyak membantunya dalam proses mengubahsuai kenderaannya bersesuaian dengan keadaannya kini.

Menurutnya, dia bersyukur kerana setakat ini penyakit angin ahmar yang dihidapinya tidak pernah menjejaskan prestasinya sebagai pendidik.

“Saya tidak pernah jemu dengan kanak-kanak, saya sangat suka berkongsi ilmu dengan mereka terutama ilmu teknikal yang telah sebati dengan jiwa saya.

“Saya tidak merancang untuk memohon dikurangkan beban tugas dan yakin diri masih berupaya mendidik anak bangsa yang memang menjadi minat saya sejak kecil,” katanya yang merancang bersara pada usia 60 tahun. Sinar Harian

Monday, 21 May 2012

HAMKA...GURUKU JUGA........


Hamka Permata Nusantara Yang Sederhana


TOKOH ini adalah seorang ulama, pujangga dan pendakwah terkenal serta berpengaruh di Asia Tenggara yang lahir dengan nama Haji Abdul Malik Karim Amrullah. Bagaimanapun, beliau lebih dikenali dengan nama Hamka.

Ketika berusia 16 tahun, Hamka merantau ke Jawa. Di sana beliau menimba ilmu daripada HOS Tjokroaminoto, Ki Bagus Hadikusumo, RM Soerjopranoto, KH Fakhruddin dan A.R. Sutan Mansur.

Beliau aktif dalam organisasi Muhammadiyah. Pada 1936 Hamka berpindah ke Medan. Di sana beliau memulakan karier keulamaannya dan menulis banyak novel. Hamka dikenali kerana berpengetahuan luas.

Selain itu, beliau juga terkenal sebagai ulama yang berandangan sederhana. Pada tahun 1975, semasa Majlis Ulama Indonesia (MUI) ditubuhkan, Hamka terpilih sebagai presiden.

Buya Hamka
Ulama besar dan pujangga ini meninggal dunia pada hari Jumaat, 24 Julai 1981.



Mahir dengan sendiri

Hamka tidak pernah mendapat pendidikan rasmi. Beliau belajar agama di sekolah agama Padang Panjang dan Parabek (dekat Bukit Tinggi) serta daripada keluarganya.
Beliau sangat berbakat dalam bidang bahasa. Hamka mampu membaca sastera Arab, termasuk terjemahan daripada tulisan Barat.

Dunia antarabangsa mengakui kemahirannya dalam bidang keislaman yang diperoleh dengan cara belajar sendiri.
Beliau memperoleh gelaran Doktor Kehormat dari Universiti al-Azhar, Mesir dan Universiti Kebangsaan Malaysia. Salah satu karya agung Hamka ialah Tafsir al-Azhar (30 juz).

Beliau menyiapkan tafsir al-Quran itu ketika dipenjarakan selama beberapa tahun kerana dianggap menentang rejim pemerintahan Orde Lama.


Ulama sederhana

Pandangan sederhana Hamka membuatkan beliau diterima oleh semua pihak. Di kalangan orang ramai, Hamka dikenali dengan pidatonya yang menyejukan hati dan mampu menaikkan semangat. Sebagai tokoh pembaharuan, beliau menentang penguasaan adat terhadap ajaran agama, terutama di Minangkabau, seperti pola hubungan kekeluargaan yang bersifat matriarki (berdasarkan kuasa ibu).


Ulama pujangga

Hamka juga dikenal sebagai pengarang novel. Beliau pernah diberi nama julukan "Kiai Novel" kerana kegiatannya yang dianggap menyalahi tradisi keulamaan itu. Puluhan tahun kemudian barulah julukan itu berubah menjadi "Ulama Pujangga".

Karyanya yang berbentuk novel antaranya ialah Di Bawah Lindungan Kaabah, Mandi Cahaya di Tanah Suci, Di Lembah Nil, Merantau ke Deli, Tenggelamnya Kapal Van Ver Wijck dan Di Dalam Lembah Kehidupan.
Beliau juga meninggalkan lebih daripada 100 karya dalam pelbagai bidang kajian seperti politik, sejarah, budaya dan ilmu keislaman.


Muhammadiyah

Perkenalannya dengan tokoh-tokoh Muhammadiyah membuatkan Hamka aktif dalam organisasi itu. Beliau beberapa kali memangku jawatan sebagai pemimpin Muhammadiyah , antaranya Majlis Konsul Muhammadiyah di Sumatera Tengah (1934), pemimpin Muhammadiyah Sumatera Timur (1942) dan anggota pemimpin pusat Muhammadiyah (1953). Sejak 1971 beliau dilantik sebagai penasihat pemimpin pusat Muhammadiyah sehingga akhir hayat. Nama Hamka diabadikan sebagai nama pusat pengajian tinggi kepunyaan Muhammadiyah di Jakarta, iaitu Universiti Hamka.

Museum Rumah Kelahiran Buya Hamka Museum Rumah Kelahiran Buya Hamka Masuk ke museum Berbentuk rumah gadang Koleksi kursi Koleksi kursi tamu Koleksi layang-layang Buya Hamka Ternyata Buya Hamka waktu mudanya suka mencari ikan Tempat tidur Buya Hamka Jala buat cari ikan 

Sunday, 20 May 2012

GANGGUAN SEKSUAL DI SEKOLAH

Gangguan seksual di sekolah


GANGGUAN seksual boleh berlaku di mana-mana sahaja seperti di rumah, kawasan awam atau tempat kerja.


Risiko tersebut juga boleh berlaku di sekolah. Mangsanya boleh jadi dalam kalangan kanak-kanak sekolah rendah atau remaja sekolah menengah.

Mereka ini pastinya belum cukup dewasa untuk membuat pertimbangan bagi mengelakkan tragedi yang tidak diingini.

Sekolah perlu menyediakan tempat yang selamat untuk  belajar.


Malangnya terdapat segelintir pelajar, guru, kakitangan dan ibubapa yang masih tidak tahu bagaimanakah gangguan seksual ini boleh berlaku di sekolah dan apakah yang perlu dibuat untuk menanganinya.

Contoh jenis-jenis gangguan seksual pelajar di sekolah:
* Menulis, mempamer atau mengedar bahan bukan pengajaran yang berbentuk lucah.
* Bercerita atau membuat lawak jenaka berbau lucah.
* Membuat perlakuan atau isyarat lucah
* Mengejek atau menggelar pelajar dengan panggilan lucah.
* Memaksa atau mempengaruhi pelajar membuat perlakuan seksual.
* Menawar ganjaran tertentu atau upah atas perlakuan seksual.
* Melakukan sentuhan yang berunsur seksual.
* Memegang kemaluan sendiri di hadapan pelajar.
* Menyebar khabar angin berunsur seksual.

PemangsaKajian menunjukkan bahawa majoriti pemangsa sebenarnya rakan-rakan pelajar itu sendiri yang sama-sama belajar di sekolah.


Jenis gangguan yang paling popular adalah 'ejekan seksual' ke atas pelajar perempuan.

Gangguan kepada pelajar lelaki pula berlaku di asrama dan biasanya bercorak perlakuan homoseksual atau onani.
Terdapat segelintir pemangsa (minoriti) yang terdiri daripada kakitangan sekolah atau pekerja khidmat kontrak.
Mereka sanggup mengetepikan nilai moral dan etika profesionalisme dengan meminta imbuhan seks sebagai balasan di atas sesuatu pertolongan yang akan diberi.

Gangguan seksual menyebabkan trauma psikologi kepada pelajar. Perasaan malu dan takut menyebabkan kebanyakan mereka memilih untuk mendiamkan diri.

Bagaimanapun, ibu bapa dan guru boleh melihat beberapa perubahan ke atas tingkah laku pelajar terbabit bagi menyiasat kebarangkalian berlakunya kes gangguan seksual tersebut.

Panduan ibu bapa dan guruPada peringkat awal, tekanan emosi menyebabkan mangsa merasa malu dan rendah diri, ditambah dengan khabar angin cepat tersebar dalam kalangan pelajar lain.

Ini menyebabkan mereka mencari alasan untuk ponteng sekolah atau tidak menghadiri aktiviti kokurikulum.
Mangsa yang tinggal di asrama penuh pula akan meminta untuk ditukarkan ke sekolah harian.

Di rumah mangsa kelihatan murung dan kerap menyendiri. Adakala mangsa cepat melenting dan membuli adik yang lebih kecil.

Mereka juga melawan arahan ibubapa dan bersikap kurang ajar. Malah ada yang lari dari rumah.

Ini disebabkan oleh perasaan marah pelajar terhadap ibubapa yang dituduh sebagai gagal menghalang gangguan seksual tersebut.

Di sekolah pula mangsa kelihatan cemas dan takut. Mereka selalu kelihatan termenung semasa sesi pembelajaran dan akibatnya prestasi akademik menurun secara mendadak.

Kadang-kadang mereka mengadu sakit kepala atau perut. Ada juga yang mengalami histeria. Ini berlaku di bawah sedar apabila mereka tidak mampu meluahkan masalah secara terbuka.

Bagi pelajar remaja pula, mereka cenderung untuk belajar menghisap rokok atau mengambil dadah.

Dalam kes pencabulan seksual atau perkosaan, perubahan tingkah laku yang ditunjukkan berbeza mengikut umur.
Kanak-kanak biasanya tidak membenarkan ibu bapa menyentuh bahagian bawah semasa membersihkan diri.

Mereka mengadu sakit di kawasan kemaluan atau anal. Apabila diperiksa tanda kecederaan seperti kemerahan dan pengeluaran cairan dari kemaluan boleh dilihat.

Pelajar remaja pula biasanya gagal menyembunyikan tanda-tanda kehamilan sekiranya ia berlaku.
Perubahan bentuk badan, penambahan berat dan muntah-muntah pastinya mengundang kecurigaan.

Ibu bapa terutamanya dinasihatkan untuk bertanya tarikh haid terakhir pelajar. Trauma yang dialami oleh remaja yang mengandung luar nikah ini boleh menyebabkan kemurungan teruk dan percubaan membunuh diri.


Khasiat Buah Nangka


Nangka

ulas nangka

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Nangka, buah yang sememangnya dikenali ramai di Malaysia. Selain buahnya yang sedap dimakan, pokoknya menghasilkan jenis buah yang paling besar di dunia. Pokok nangka atau nama botaninya adtocarpus heterophyllus dikatakan adalah tumbuhan semulajadi di India, Bangladesh, Nepal, Filipina dan Sri Lanka, tetapi kini ia biasa ditemui di Malaysia.

Buah nangka tergolong dalam keluarga moraceae. Semasa musim berbuah, setiap pokok menghasilkan kira-kira 250 biji buah. Buahnya berbeza dari segi saiz, brat dan bentuk, sama ada bulat atau bujur. Ðalam sebiji buah akan terdapat lebih kurang 100 hingga 500 biji ulas (isi) yang boleh dimakan. Isi buah nangka tebal, berwarna kuning dan rangup. Kulit buah yang belum matang berwarna hijau. Apabila ia telah matang, kulit buahnya akan bertukar kepada warna coklat dan mengeluarkan bau yang wangi. Hampir semua bahagian pokok nangka termasuklah buahnya ini akan mengeluarkan getah apabila ditoreh.

buah nangka di pokok

buah nangka dibelah dua

Buah nangka bukan sahaja mempunyai saiz yang unik, tetapi buahnya amat kaya dengan tenaga, serat pemakanan, mineral dan vitamin. Ia juga tidak mengandungi lemak tepu atau kolesterol sekaligus menjadikannya sebagai buah yang amat sihat untuk dimakan.

Ðikenali juga dengan nama ‘jackfruit’ dalam bahasa Inggeris, buah nangka mengandungi banyak khasiat seperti vitamin A, vitamin B1 (thiamin), vitamin B2 (riboflavin), vitamin B3 (niasin), vitamin B6 (pyridoxine), vitamin B9 (folat), vitamin C, protein, kalsium, besi, magnesium, fosforus, kalium (potassium), zink, tembaga, magan, selenium, lemak asli, asid lemak omega 3, asid lemak omega 6, serat pemakanan, karbohidrat dan kalori.

ulas nangka dijadikan kerepek

Terdapat pelbagai kebaikan buah nangka. Ðikatakan isi buah yang mudah dihadam mengandungi gula mudah seperti fruktosa dan sukrosa yang apabila dimakan, mampu menambah tenaga dan menyihatkan tubuh dengan segera.

Kaya dengan serat

Buah nangka kaya dengan serat pemakanan sekaligus menjadikannya sebagai penjulap baik. Kandungan serat ini dikatakan mampu membantu untuk melindungi membran mukus usus besar (kolon) melalui cara mengurangkan masa pendedahan dan juga sebagai pengikat kimia penyebab kanser dalam usus besar.

Buah nangka segar adalah sumber terbaik vitamin. Kandungan antioksidan yang terdapat di dalam buah nangka ini amat baik untuk penglihatan. Vitamin A juga diperlukan untuk mengekalkan keutuhan membran mukus dan kulit dan untuk merangsang kekebalan tubuh.

Pengambilan buah-buahan segar kaya dengan vitamin C mampu melindungi diri daripada kanser paru-paru dan gigi berlubang. Selain itu, ia juga kaya dengan antioksidan flavonoid seperti beta karotena dan lutien. Antioksidan ini amat berguna untuk melindungi diri daripada kanser usus besar, prostat, payudara, endometrium, paru-paru dan pankreas.

Kaya protein

Buah nangka juga mengandungi sumber baik antioksidan vitamin C. pengambilan makanan kaya dengan vitamin C mampu membantu tubuh membentuk ketahanan menentang agen jangkitan dan radikal bebas yang berbahaya. Buah yang segar merupakan sumber terbaik kalium, magnesium, mangan dan besi. Kalium adalah sel juzuk dan cecair tubuh yang membantu pengawalan kadar denyutan jantung dan tekanan darah.

Bukan setakat buah, biji nangka juga dikatakan turut berkhasiat dan kaya dengan protein. Secara amnya, biji-biji ini akan dikumpul daripada buah yang matang, dikeringkan di bawah cahaya matahari dan disimpan untuk digunakan pada musim hujan.

Pelbagai resipi berbeza daripa biji buah nangka dihasilkan di Selatan India. Mereka akan memakan biji buah nangka yang telah dibakar atau biji ini dimasukkan ke dalam kari untuk menggantikan kacang dal. Biji nangka dikatakan boleh direbus dan dimakan sebagai pelawas kencing dan membuang angin dari dalam badan.

Masyarakat China menganggap isi dan biji buah nangka berkahsiat dalam mengatasi masalah mabuk. Manakala daunnya dibakar bersama jagung dan abunya dicampurkan dengan minyak kelapa dijadikan ubat ulser dan bisul.

Getah nangka yang telah dicampurkan dengan cuka dikatakan amat berguna sebagai unat merawat dan menurunkan bisa patukan ular atau binatang berbisa. Manakala jika akarnya direbus dan kemudian airnya diminum, dikatakan mampu merawat cirit-birit, demam panas dan asma. Jika terluka, anda boleh mengambil daun nangka dan panaskan atau layurkan atas api. Tampalkan daun ini pada luka kerana dengan cara ini, dikatakan mampu merawat luka dengan pantas.

Walaupun terdapat pelbagai khasiat daripada buah nangka, namun begitu penggunaannya perlulah mendapat nasihat daripada pengamal perubatan terlebih dahulu bagi mengelakkan kemudaratan di kemudian hari
 

Saturday, 19 May 2012

20 kanak-kanak tak sekolah



jalan xturap
Keadaan jalan di kampung berkenaan yang belum diturap.
ULU JELEBU - “Gara-gara masalah jalan yang tidak diturap, hampir 20 kanak-kanak di kampung ini tidak bersekolah kerana mengalami kesukaran untuk berulang-alik dari sekolah,” kata Tok Batin Kampung Banir Tengkor, Jasni Ngongok.

Menurutnya, dahulu ada van yang disediakan untuk mengambil dan menghantar anak-anak Orang Asli di kawasan itu ke sekolah. Namun kini perkhidmatan itu dihentikan kerana pemandunya tidak sanggup untuk berulang-alik ke sini ekoran jalan yang teruk.

“Malah disebabkan selalu ponteng sekolah, ramai anak-anak di kampung ini hilang minat untuk belajar,” katanya.

Jasni berkata, kampung itu sudah wujud lebih 50 tahun lalu, namun penduduk di kawasan berkenaan masih ketinggalan dari segi kemudahan jalan.

“Berikutan masalah itu, setiap hari kami berdepan risiko kemalangan apabila laluan utama sejauh lebih 1 kilometer menghubungkan Kampung Ulu Jelebu curam.

“Walaupun begitu kami terpaksa juga melaluinya untuk melakukan rutin harian dan keluar ke pekan,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini, beliau pernah mengadukan masalah itu pada mesyuarat Jawatan­kuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Ulu Jelebu, namun jawapan yang diterima ialah tiada peruntukan untuk membuat jalan di kampung berkenaan.

Jasni berkata, namun ber­lainan pula dengan kampung Orang Asli lain seperti di Ulu Kelaka, Lakai dan Tohor semuanya ada peruntukan untuk membina jalan.

“Malah, jalan baru turut dibina di Kampung Chennah sedangkan keadaan jalan di sana tidaklah seteruk di sini," katanya.

Menurutnya, motosikal milik penduduk juga sering kali rosak gara-gara melalui jalan berbatu itu.

“Sekiranya hujan , keadaan jalan di kawasan ini akan berlumpur dan ia merbahaya untuk digunakan,” katanya.

Sementara itu, penduduk, Razif Abu Hassan, 26, berkata, berikutan masalah jalan itu, dia juga mengalami kesukaran menghantar isteri yang hamil untuk membuat pemeriksaan di klinik.

Razif berkata, masalah itu bertambah rumit sekiranya ada wanita yang mahu bersalin pada malam hari.

“Kawasan di sini sangat gelap dan jalan pula teruk, namun saya terpaksa melaluinya kerana bekerja di luar kampung. Jika hujan, saya tak dapat pergi kerja dan ini menjejaskan pendapatan saya yang terima gaji hari,” katanya.

Peniaga kedai runcit, Mohd Khaidir Abdul, 50, berkata, keadaan jalan tersebut turut membebankannya apabila kenderaan yang digunakan untuk menjual barangan runcit di kawasan itu sering rosak.

“Saya berniaga di sini atas permintaan penduduk memandangkan mereka sukar untuk ke kawasan luar akibat jalan yang teruk," katanya. :-Sinar Harian

Sunday, 13 May 2012

Murid Tahun Satu lalui pengalaman ngeri lintah masuk dalam dubur


13 Mei 2012
KOTA BHARU - Seorang murid Tahun Satu Sekolah Kebangsaan Kampung Chengal, Ketereh, di sini melalui pengalaman yang mengerikan apabila seekor lintah sebesar ibu jari orang dewasa, masuk ke dalam duburnya ketika menangkap ikan di sebuah paya berdekatan rumahnya.

Mohd Farhan Adli Mohd Alpatah, 7, yang berasal daripada Kampung Paya Rambai itu, berkata dia hanya menyedari kehadiran lintah tersebut selepas mengalami pendarahan di duburnya.

"Saya masuk hospital semalam selepas tengok dubur berdarah ketika nak buang air besar dan beritahu keluarga mengenai perkara itu sebelum mendapatkan rawatan di hospital (Raja Perempuan Zainab II).

"Sebelum ini, saya dan tiga orang rakan pergi ke sebuah paya berdekatan rumah untuk mencari ikan, namun tak sangka pula ada lintah masuk dalam dubur,"
katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas menerima kunjungan isteri kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datin Seri Khamarzan
Ahmed Meah di sini, hari ini.


Kanak-kanak itu dijangka keluar daripada hospital dalam tempoh sehari dua lagi setelah lintah itu berjaya dikeluarkan. - SH/Bernama

Islam Meninggikan Kedudukan Ibu..



ISLAM amat memuliakan ibu dan kemuliaan ibu menduduki tempat kedua selepas mentaati Allah SWT. Justeru, Allah SWT mewajibkan anak memuliakan dan menghormati ibu sekalipun berlainan pegangan agama. 

Allah SWT juga secara tegas mengharamkan segala bentuk penderhakaan kepada kedua-dua orang tua selagi ibu bapa berada atas landasan syarak.
Ini ditegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada keduanya sekalipun perkataan ‘ah’, dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia.” (Surah al-Israa’, ayat 23)
Adalah satu hakikat bahawa ibu mempunyai kedudukan lebih tinggi berbanding bapa. Berdasarkan sifat dan naluri keibuan, maka tidak hairan anak lebih mengasihi, mengingati serta sering menyebut nama ibu berbanding bapa. 

Jika sakit, kita lebih suka ibu yang jaga. Jika hendak makan, kita lebih suka ibu yang masak dan suapkan. Jika ingin tidur, kita mahu ibu yang tidurkan. Jika ingin berkahwin, ibu juga yang kita risaukan. Malah sehingga saat menghadapi kematian pun, kita akan menyebut nama ibu. 

Kuatnya ingatan anak kepada ibu ialah kerana ibulah yang mengandungkan kita, menyusukan, menyuapkan makan dan minum, mendodoi dan menidurkan, membersihkan najis dan segala kotoran di badan kita. 

Oleh itu, wajarlah Allah SWT memuliakan ibu sesuai dengan pengorbanan mereka. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan atas kelemahan dan menceraikan susunya dalam masa dua tahun; bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan kepada Akulah tempat kembalimu.” (Surah Luqman, ayat 14) 
Ingatlah, ibu bapa adalah perantara yang menyebabkan kita berada di dunia ini. Mereka terlalu banyak berkorban tenaga, masa dan harta demi kebahagiaan anak. Sedarilah, ibu bapa kita kini telah tua, lemah tenaga, kabur penglihatan dan kurang pendengaran. 

Mereka sangat mengharapkan pertolongan dan perhatian anak. Gembiralah ibu bapa andainya mereka dikasihi serta dimuliakan dan hancurlah hati ibu bapa jika kita menderhaka. Sesungguhnya jasa dan pengorbanan ibu bapa amat besar dan tidak mungkin kita dapat menebusnya. 

Imam Bukhari meriwayatkan sebuah kisah daripada Said bin Abi Burdah mengenai seorang lelaki Yaman yang bertawaf sambil mendukung ibunya dengan penuh cermat. Sesudah selesai tawaf, beliau bertanya kepada Ibnu Umar: Apakah dengan khidmat dan pengorbananku ini telah dapat membalas jasa bakti ibuku? Jawab Ibnu Umar: Tidak, apa yang telah kamu lakukan tadi tidak akan dapat menebus jasa ibumu sekalipun sekadar hembusan nafas ketika kesakitan melahirkan kamu. 

Amat dukacita kerana masih ada kes penderhakaan yang dilakukan segelintir masyarakat terhadap ibu. Menunjukkan kedegilan melawan cakap ibu, lari meninggalkan rumah kerana tidak suka dinasihati ibu, membiarkan ibu yang sakit bersendirian, meminggirkan ibu tanpa khabar berita, mengherdik ibu, mengkhianati harta benda ibu, menjadikan ibu sebagai orang gaji, malah ada sanggup memukul ibu. 

Apa yang ganjilnya, ada segelintir daripada kita yang berebut-rebut mencium tangan orang lain tetapi jarang sekali mencium tangan ibu sendiri yang sebenarnya ada keberkatan. Insaflah, perbuatan menderhakai ibu bapa mendatangkan kecelakaan di dunia dan akhirat. 

Di dunia kita akan menerima giliran anak menderhaka kepada kita dan begitulah seterusnya. Manakala di akhirat, akan menerima kemurkaan Allah SWT selaras hadis diriwayatkan Imam Muslim daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Amat malanglah! Amat malanglah! Dan amat malanglah. Maka Rasulullah ditanya: Siapakah orang yang amat malang itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Seseorang yang mendapati kedua ibu bapanya atau salah seorang daripada keduanya telah tua namun dia masih gagal memasuki syurga (lantaran gagal berkhidmat kepada mereka).” 

Marilah kita bersegera mengubat kerinduan ibu sebelum mereka didatangi ajal. Gembirakanlah mereka dan carilah keredaan mereka serta perbanyakkan doa keampunan kepada mereka. Budayakan amalan memuliakan dan menghormati ibu bapa di sepanjang kehidupan dan jangan hanya dibuat pada masa tertentu saja. 

Inilah kewajipan anak yang ditegaskan Allah SWT dalam firman yang bermaksud: “Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah: Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (Sural al-Israa’, ayat 24)