Tuesday, 8 October 2019

Belajar jadi insan sentiasa bersyukur



PADA satu masa nanti, perlahan-lahan kita pasti meninggalkan dunia ini. Benarlah, kehidupan manusia yang penuh ujian ini terlalu singkat.
Sebab itu kita perlu meninggalkan ‘kenangan’ yang baik-baik dan terindah sementara hidup ini. Pendeknya, waktu hidup ini seharusnya menyedarkan manusia untuk selalu mengharapkan rahmat, hidayah, reda serta pertolongan-Nya. Ibnu Umar melaporkan, “Rasulullah SAW memegang bahuku lalu berkata, ‘Jadilah kamu di dunia ini seperti orang asing atau perantau.’ Kemudian Ibnu Umar berkata, ‘Sekiranya kamu berada pada waktu petang, kamu jangan mengharap hidup sampai pagi hari. Sekiranya kamu berada pada waktu pagi, kamu jangan menantikan waktu petang. Gunakan waktu sihatmu sebagai bekalan pada masa sakitmu dan masa hidupmu untuk kematianmu.” (Hadis Riwayat Bukhari) Antara saat menggerunkan dalam proses kematian adalah menghadapi sakaratul maut.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan (apabila sampai ajal seseorang) datanglah ‘sakaratul maut’ membawa kebenaran (yang telah dijanjikan, serta dikatakan kepada yang mengingkarinya sebelum itu): “Inilah perkara yang engkau selalu mengelak diri daripadanya!” (Surah Qaaf, ayat 19)
Daripada Aisyah bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya orang beriman diberi ganjaran atas segala perkara, begitu juga semasa menghadapi kematian iaitu sakaratul maut.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah) Berbicara mengenai tempat roh pula, di dalam kitab Furu’ al-Masa’il wa Usul al-Wasa’il dinyatakan, roh orang beriman ditempatkan di ‘Illiyyin, manakala orang kafir ditempatkan di Sijjin. Syeikh al-Qurtubi berkata, roh para syuhada berada di dalam syurga dan ada pula pendapat mengatakan roh orang beriman semuanya di dalam syurga. Seperti yang diriwayatkan Abu Hurairah R.A, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya roh orang yang beriman dalam kalangan kamu hidup dalam keadaan gembira dan sukacita. Apabila mereka bertemu antara satu sama lain, mereka akan bertanya mengenai si polan, apakah Allah lakukan terhadap si polan yang lelaki, dan apa pula yang Allah lakukan terhadap si polan perempuan, jika mereka menjawab mengatakan bukankah si polan juga datang ke alam ini bersama-sama kita, maka mereka akan berkata, adapun si polan sudah dipertemukan dengan ibunya.” Baki usia yang tinggal ini perlu diurus supaya ia menjadi semakin baik. Maka, berusaha untuk terus berbuat baik dan membahagiakan keluarga dan orang lain, belajar menjadi insan yang sentiasa bersyukur, mendoakan keturunan menjadi generasi yang dapat terus menabur kebaikan serta sentiasa bertaubat kepada Allah. Di dalam surah Ali ‘Imran, ayat 185, Allah menyatakan: “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.

Credit: H Metro

Tuesday, 23 July 2019

Sarimin: Daging korban tak harus beri kepada bukan Islam

Sarimin: Daging korban tak harus beri kepada bukan Islam: JABATAN Mufti Negeri Perak menegaskan daging hasil penyembelihan dalam ibadat korban di negeri itu tidak harus diberikan kepada orang ...

Daging korban tak harus beri kepada bukan Islam



JABATAN Mufti Negeri Perak menegaskan daging hasil penyembelihan dalam ibadat korban di negeri itu tidak harus diberikan kepada orang bukan Islam.
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, ia kerana ibadat korban adalah perkara ‘ta’abbudiy’ (hal ehwal ibadat) yang dihukumkan sebagai sunat muakkadah (sunat yang sangat dituntut).
“(Fatwa ini dikeluarkan) selepas mengambil kira pandangan yang mashyur (popular) dalam mazhab Syafie, pandangan ulama semasa, maslahah umum serta keperluan semasa dalam negeri ini,” katanya dalam kenyataan di Ipoh hari ini.
Harussani berkata, kenyataan itu dikeluarkan berikutan isu pemberian daging korban kepada bukan Islam hangat dibahaskan di media terutama media sosial sejak akhir-akhir ini.
Beliau berkata, dalam perbahasan itu, penggunaan nas dan dalil malahan fakta sokongan seperti keterangan ulama terdahulu serta kontemporari serta maslahah semasa menjadi sandaran bagi menguatkan hujah masing-masing.
“Adalah ditegaskan bahawa amalan mengorbankan binatang ternakan dan perkara yang berkaitan dengannya (ketika sambutan Aidiladha) adalah ibadat untuk mendekatkan diri kepada Allah.
“Amalan warisan Nabi Ibrahim ini mempunyai hikmah yang sarat dengan kebaikan dunia dan akhirat,” katanya.


Credit: Shamsul Kamal Amarudin
 ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 9:50 PM

Monday, 15 July 2019

Sarimin: Ingat Saja-Saja Ke Burung Bertenggek Atas Kabel El...

Sarimin: Ingat Saja-Saja Ke Burung Bertenggek Atas Kabel El...: Kebiasaannya, kita dapat lihat sekumpulan burung yang hinggap di atas kabel elektrik yang terdapat di pelbagai tempat sama ada di kawasan ...

Ingat Saja-Saja Ke Burung Bertenggek Atas Kabel Elektrik, Ini Sebabnya Yang Ramai Tak Tahu

Kebiasaannya, kita dapat lihat sekumpulan burung yang hinggap di atas kabel elektrik yang terdapat di pelbagai tempat sama ada di kawasan bandar mahupun luar bandar. Namun, timbul juga kerisauan dalam kalangan orang ramai yang takutkan terkena dengan tahi burung yang hinggap pada kabel elektrik yang lebih tinggi.
Gambar: The Spruce
Ada juga yang tertanya-tanya mengapa perlu mereka berada di atas kabel tersebut hingga menyebabkan orang ramai risau akan tercemar dengan bahan buangan mereka. Walaupun boleh memilih tempat lain seperti bumbung rumah dan pokok-pokok yang tinggi untuk hinggap, burung mempunyai alasan yang tersendiri untuk berada di atas kabel elektrik.
Ambil masa untuk berehat
Burung terbang ke merata tempat untuk mencari makanan bagi kelangsungan hidup. Oleh itu, setelah menggunakan tenaga yang banyak, burung hinggap di tempat yang tinggi seperti kabel elektrik untuk berehat dan mengumpulkan kembali tenaganya. Kedudukan kabel elektrik yang tinggi juga memudahkan burung-burung untuk hinggap kerana tidak perlu turun dengan lebih rendah untuk beristirahat.
Gambar: Shutterstock.com
Berikan haba panas terhadap burung
Arus elektrik yang sentiasa mengalir di dalam kabel elektrik sebenarnya dapat mengeluarkan haba yang panas. Oleh itu, burung lebih gemar berada di atas kabel elektrik disebabkan suhu panas yang boleh diserap ke dalam badan mereka. Disebabkan kebiasaannya mereka hinggap pada waktu pagi dan senja, suhu panas tersebut dapat membuatkan burung berasa lebih selesa.
Elak diserang oleh pemangsa
Mungkin ramai yang tertanya-tanya mengapa burung lebih gemar hinggap di atas kabel elektrik berbanding bumbung rumah dan pokok-pokok? Tindakan tersebut adalah disebabkan burung-burung bimbang diserang oleh pemangsanya seperti ular dan juga kucing. Mungkin melucukan, tetapi kucing berpotensi untuk mengejar seekor burung yang hinggap di atas bumbung rumah. Selain itu, ular yang sentiasa bersedia di dahan-dahan pokok memberi ancaman terhadap burung yang hinggap di dahan pokok.
Gambar: Live Science
Buat perancangan awal
Kebanyakan burung akan hinggap pada kabel elektrik pada waktu pagi dan senja. Tindakan tersebut berkemungkinan burung membuat perancangan awal untuk mencari makanan dan berhijrah ke tempat yang baru. Pada waktu pagi, burung perlu menentukan arah tujunya untuk mencari makanan manakala pada waktu malam adalah untuk membuat perancangan untuk bermalam.
Sumber: KnowsWhy

Sarimin: Bagaimana ingin dikasihi Allah?

Sarimin: Bagaimana ingin dikasihi Allah?: RAHMAT Allah SWT begitu luas sehinggakan tidak terjangkau oleh akal fikiran dan tidak terhitung banyaknya. Satu daripada cara unt...

Bagaimana ingin dikasihi Allah?

Mengasihi anak yatim merupakan amalan yang dicintai Allah SWT.
RAHMAT Allah SWT begitu luas sehinggakan tidak terjangkau oleh akal fikiran dan tidak terhitung banyaknya.
Satu daripada cara untuk mendapatkan rahmat atau kasih sayang ialah dengan berbuat baik dan berlaku ihsan serta mewujudkan sifat kasih sayang sesama manusia.
Manusia yang menyayangi saudaranya, pasti akan dikasihi Allah. Sebaliknya orang yang tidak mengasihi, pasti tidak akan dikasihi oleh-Nya.
Diceritakan terdapat seorang sahabat nabi yang mempunyai 10 anak, tetapi tidak pernah mencium anak-anaknya.
Lalu Nabi SAW bersabda maksudnya: “Sesiapa yang tidak mengasihi orang lain, maka dia juga tidak akan dikasihi oleh orang lain.” - Riwayat Abu Daud & Tirmizi
Mengasihi anak yatim juga adalah sifat yang dicintai oleh Allah dan Rasul-Nya. Adalah menjadi kewajipan kita untuk mengasihi dan menjaga kebajikan mereka.
Nabi pernah bersabda yang bermaksud: “Orang yang bertanggungjawab mengurus anak yatim, baik daripada keluarga sendiri atau tidak, maka aku dan dia seperti dua jari ini di syurga kelak.” Dan baginda memberi isyarat dengan merapatkan jari telunjuk dan jari tengah (ertinya berdekatan)”. - Riwayat Bukhari
Selain itu, berbuat baik serta berlaku ihsan kepada haiwan juga merupakan sifat yang perlu kita semaikan dalam diri.

SUMBER: https://www.mks.org.sg/tazkirah-ringkas-bagaimana-ingin-dikasihi-allah/

Sarimin: Bolehkah makan masakan bukan Muslim?

Sarimin: Bolehkah makan masakan bukan Muslim?: PERSOALAN tentang boleh atau tidak orang Muslim makan makanan yang dimasak oleh seseorang yang bukan Muslim sering menjadi tanda tanya ...

Bolehkah makan masakan bukan Muslim?

ISLAM tidak menghalang makan masakan bukan Muslim, namun bersyarat.
PERSOALAN tentang boleh atau tidak orang Muslim makan makanan yang dimasak oleh seseorang yang bukan Muslim sering menjadi tanda tanya dan kekeliruan dalam masyarakat sehingga kini.
Hal ini kerana, kesucian makanan amat dititikberatkan oleh masyarakat Islam memandangkan ia memberi implikasi bukan sahaja kepada ibadah yang dilaksanakan malah berakar umbi menjadi darah daging.
Pencetus Ummah (PU) musim kedua, Azman Syah Alias atau lebih dikenali sebagai PU Azman tampil memberi pencerahan melalui hantaran di laman Instagramnya baru-baru ini.
Kata PU Azman, secara asasnya kehalalan suatu makanan tidak terletak pada siapa yang memasaknya tetapi kandungan dan bahan yang dimasak.
Sebagai contoh jelasnya, jika ayam itu disembelih cara Islam dan dimasak oleh orang bukan Islam maka ia tetap halal.
Sebaliknya, kalau kambing itu disembelih bukan dengan cara Islam dan dimasak oleh orang Islam maka ia tetap haram untuk dimakan.
“Dalam hidup kita betapa banyak makanan moden diproses di kilang yang diuruskan oleh bukan Islam. Tentang isu warak,ya. Itu pendirian terbaik untuk memilih makanan yang disediakan oleh Muslim jika terdapat keraguan. Tetapi pastikan makanan itu sendiri juga halal.
“Dalam Islam ada satu kaedah iaitu tidak wajib kita persoalkan perkara yang tidak dilihat secara terperinci kecuali apabila telah jelas haramnya,” katanya seperti dipetik dari Instagram.
Walau bagaimanapun tambahnya, jika keraguan atau sifat was-was itu tinggi, maka terserah kepada individu untuk membuat pilihan tanpa mengecam pilihan orang lain yang bersifat yakin.
Tegasnya, Nabi Muhammad sendiri pernah makan daging yang diberikan oleh seorang wanita Yahudi.

Credit: Utusan

Tuesday, 12 February 2019

Guru diminta tidak berleter ketika perhimpunan mingguan


KUALA LUMPUR - Modul 10 Minit Perhimpunan (M10MP) yang dilaksanakan sewaktu perhimpunan mingguan di sekolah rendah dan menengah tahun ini bakal memberi fokus kepada elemen amalan dan penghayatan nilai di samping mencetuskan budaya berfikir.
Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, evolusi perhimpunan sekolah alaf baharu perlu diperkasa bersesuaian dengan­ keperluan dan hasrat ke­men­terian untuk men­­capai kemen­ja­dian murid da­ri­­pada pelbagai­ ke­mahiran.
“Ucapan berjela-jela, leteran panjang dan aktiviti perhimpunan yang bersifat sehala perlu diubah serta-merta,” katanya ketika berucap merasmikan program Wadah Perhimpunan Sekolah Alaf Baharu dan Pelancaran 60 Tahun Ilmu Khas di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas di sini semalam.

Credit: Kosmo

Saturday, 26 January 2019

MANFAATKAN TEKNOLOGI UNTUK BERDAKWAH

Image may contain: Sarimin Sorno, sitting
LEDAKAN teknologi komunikasi masa kini diakui mewujudkan fenomena baharu kepada gerakan dakwah. Ini dapat dilihat melalui penggunaan pelbagai platform media sosial.
Penggunaan Facebook, WhatsApps, Instagram dan Twitter dilihat memberi peluang luas terhadap penyebaran mesej dakwah kerana sifatnya bukan hanya pantas tetapi lebih global.
Dilaporkan kini terdapat lebih 500 juta pengguna Facebook dan lebih 100 juta pengguna Twitter di seluruh dunia. Di negara ini sahaja direkodkan lebih 12 juta penduduk mempunyai akaun Facebook masing-masing dengan majoritinya berusia antara 16 hingga 35 tahun.
Kemunculan media sosial tersebut dilihat sebagai satu wadah penting untuk berdakwah. Ini kerana penyampaian mesej dakwah itu boleh merentasi sempadan seterusnya mampu menyasarkan kepada segenap lapisan bangsa.
Walau bagaimanapun, media sosial ibarat pisau memberi kebaikan dan dalam masa sama mendatangkan kemudaratan.
Ini kerana dalam keghairahan itu berkemungkinan besar kita terlupa batas-batas agama sehingga sanggup melanggar prinsip Islam dengan menjatuhkan dan mendedahkan keaiban seseorang termasuk melakukan fitnah.
Sebagaimana firman Allah dalam surah al-Hujurat: 11, bermaksud: “Wahai orang beriman! Janganlah sesuatu puak (daripada kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak daripada kaum perempuan yang mencemuh dan merendah-rendah puak perempuan yang lain,(kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka...”

Bukan mutlak

Kebebasan dalam Islam bergantung kepada rasionalisasi dan kepercayaan. Oleh itu, umat Islam perlu mempunyai sifat tanggungjawab terhadap setiap berita disampaikan agar tidak mendatangkan dusta, buruk sangka, permusuhan, fitnah dan mencela.
Bayangkan apa akan berlaku kepada agama Islam dan negara tercinta jika fitnah dan pembohongan menjadi amalan dalam media massa termasuk media cetak?
Justeru, gunakanlah media sosial untuk tujuan dakwah dan perkara-perkara kebaikan. Bercakap perkara benar atau lebih baik berdiam sahaja kerana itu lebih memberi manfaat.
Ini menepati sabda Rasulullah bermaksud: “Siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” - Riwayat Bukhari dan Muslim
Menurut pemikir Islam, Sheikh Muhammad Ali al-Sabuni dalam kitabnya Safwat al Tafasir menjelaskan pengertian dakwah dengan hikmah bermaksud menyeru dan mengajak manusia kepada agama Allah serta syariat-Nya yang suci secara bijaksana, berlemah lembut dan beradab sehingga dapat memberi kesan seterusnya diterima dengan sukarela.
Bersesuaian dengan itu, menggunakan media sosial sebagai alat dakwah melalui perkongsian ilmu, perbincangan ilmiah, peringatan dan nasihat secara berhemah merupakan satu usaha dakwah yang berhikmah.
Sehubungan itu, elakkan daripada terjerumus ke dalam dosa disebabkan keghairahan melayani pelbagai kerenah melalui media massa kerana setiap apa yang disebarkan pasti akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.
Hanya kata-kata diredai Allah akan dicatat manakala perkataan yang mendatangkan kebencian Allah akan dicatat atas kemurkaan-Nya sampai hari kiamat.
Ini bertepatan dengan firman Allah bermaksud: “Sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya).” (al-Zalzalah: 7-8)


Krerdit: Utusan


Tuesday, 1 January 2019

ISLAM KEJI SEBAR AIB ORANG

DALAM kehidupan bermasyarakat, umat Islam dituntut menjaga ukhuwah dan keharmonian berasaskan kepada nilai-nilai akhlak yang luhur.
Umat Islam juga diajar untuk mencintai dan mengasihi saudara seagama, saling mengambil berat, membantu serta menjaga aib antara satu sama lain. 
Sebagaimana sabda Rasulullah dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, bermaksud: “Seorang Muslim adalah saudara bagi Muslim yang lain. Ia tidak menzaliminya dan tidak menyerahkannya kepada musuhnya. Sesiapa memberikan pertolongan hajat saudaranya, maka Allah akan menolong dalam hajatnya. Sesiapa memberikan kelapangan kepada seseorang Muslim daripada sesuatu kesusahan, maka Allah akan melapangkan dia daripada suatu kesusahan daripada sekian banyak kesusahan pada hari kiamat. Sesiapa yang menutup aib seorang Muslim, maka Allah akan menutup aib orang itu pada hari kiamat.”
Aib saudara seagama adalah perkara yang tidak boleh dibuka atau disebarkan kepada orang lain sewenang-wenangnya. Umat Islam juga dilarang membuka aib pihak lain walaupun dianggap sebagai musuh.
Dalam politik contohnya, perbuatan memburuk-buruk dan menyebar aib individu dari parti berbeza ideologi dilihat semakin menjadi-jadi. Hari ini orang menggunakan Internet sebagai saluran untuk membuat fitnah, adu domba, serangan peribadi dan membuka aib lawannya.
Kadang kala diikuti dengan kata-kata kesat dan maki hamun tanpa menghiraukan dosa dan tegahan agama. Allah mengancam perbuatan seperti ini melalui firman-Nya dalam surah an-Nur: 19, bermaksud:
“Sesungguhnya orang yang suka menghebahkan tuduhan buruk dalam kalangan orang beriman, mereka akan beroleh azab amat pedih di dunia akhirat dan Allah mengetahui (segala perkara) sedangkan kamu tidak mengetahui.”
Perbuatan menyebarkan aib orang lain berlaku dalam pelbagai bentuk. Ada yang suka menjaja kisah keruntuhan rumah tangga orang, merakam video perlakuan seksual, menyebar poster atau gambar mengaibkan dan ada yang mengejek bentuk fizikal seseorang.
LARANGAN MENGHINA
Umat Islam dilarang mengejek, menghina kekurangan atau keaiban orang lain seperti gemuk, kurus kering, kulit hitam, wajah hodoh, kecacatan dan sebagainya.
Semua ini termasuk dalam perbuatan mengumpat, mengeji dan memperlekeh orang lain yang dikeji oleh Allah.
Sebagaimana firman Allah melalui surah al-Humazah ayat 1 maksudnya: “Kecelakaan besar bagi setiap pengumpat lagi pengeji. Mengumpat, mengeji dan mendedahkan aib orang lain umpama memakan daging saudara sendiri yang telah mati.”
Begitu juga dengan firman Allah dalam Surah al-Hujurat: 12, bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan sangkaan, kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah berdosa. Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang. Janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.”
Musuh-musuh Islam akan bergembira apabila umat Islam saling membenci, menghina, mengaibkan dan memfitnah sesama sendiri sehingga membawa kepada perpecahan.
Orang yang dalam hatinya ada perasaan benci dan hasad kepada saudara se-lslam, adalah golongan dalam dirinya mempunyai sifat-sifat munafik.
Akhirnya perbuatan ini tidak akan menguntungkan sesiapa, sebaliknya perpaduan akan menjadi semakin rapuh dan umat Islam akan semakin lemah.
Justeru, umat Islam perlu membersihkan diri daripada sebarang sifat keji khususnya seperti iri hati, hasad dengki, suka mengaibkan orang lain, suka mengumpat dan suka melihat orang lain dimalukan.


Kredit: Utusan, Jab. Agama Islam Pahang