EMPAT individu iaitu seorang guru besar, dua guru dan seorang ejen insurans ditahan reman selama empat hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan - Foto Abd. Rahim Rahmat
KUALA LUMPUR: Empat individu iaitu seorang guru besar, dua guru dan seorang ejen insurans ditahan reman selama empat hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan kebocoran soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
Mereka adalah antara enam yang ditahan semalam dalam serbuan di Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Kuala Lumpur.
Tiga guru ditahan di Pulau Pinang, seorang di Parit Buntar, Perak dan seorang di Kuala Ketil, Kedah. Seorang ejen insurans pula ditahan di Sentul, Kuala Lumpur.
Dua orang guru pula dibebaskan atas jaminan polis malam tadi selepas diambil keterangan mereka.
Dalam prosiding di Putrajaya hari ini, Majistret Nur Dahlia Azmi mengeluarkan perintah reman itu bermula hari ini hingga Khamis ini terhadap empat lelaki berkenaan berumur antara 30 dan 50 tahun untuk siasatan mengikut Seksyen 8 (1) Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.
Seksyen 8 (1) OSA menetapkan jika seseorang yang ada dalam miliknya atau kawalannya sesuatu rahsia rasmi atau sesuatu perkataan kod, isyarat timbal atau kata laluan rasmi yang rahsia dan berhubungan dengan atau digunakan dengan apa-apa jua di sesuatu tempat, boleh dihukum penjara tidak kurang setahun dan maksimum tujuh tahun.
Setakat ini, seramai 12 individu sudah diambil keterangan yang terdiri daripada enam pegawai Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM), seorang wartawan dan lima guru.
Berikutan kebocoran itu, kertas peperiksaan Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 dibatalkan selepas murid menduduki peperiksaan itu Khamis lalu manakala kertas peperiksaan Sains 018, 028 dan 038 turut ditangguhkan.
LPM menetapkan 30 September ini sebagai tarikh baharu bagi peperiksaan semua kertas itu.
No comments:
Post a Comment