Wednesday 24 September 2014

Jiwa tenang hafaz al-Quran


Lisa bersama piala dan trofi yang dimenanginya dalam pertandingan hafazan peringkat Jabatan Penjara
Malaysia.

KLUANG, JOHOR - Walaupun baru mendekatkan diri dengan menghafaz surah-surah lazim, seorang penghuni Penjara Wanita Bentong, Pahang merasakan diri dan jiwanya tenang.

Lisa,32, mengakui dia sebelum ini begitu jauh untuk membaca al-Quran dan penyertaannya memasuki pertandingan hafazan membuka hatinya untuk mendekatkan diri dengan kitab suci tersebut.

Beliau yang dijatuhi hukuman penjara selama dua tahun enam bulan atas kesalahan memiliki dadah berkata, dia tidak menyangka dipilih pihak penjara untuk menyertai pertandingan menghafaz al-Quran.

“Sebelum saya masuk penjara, saya tidak pernah menghafaz al-Quran dan memasuki pertandingan walaupun saya bersekolah agama di Johor.

“Jika dahulu, saya baca jika disuruh guru dan selepas itu saya tidak pernah mendekatkan diri dengan al-Quran, tetapi sejak Ramadan lalu, saya diberi kepercayaan mewakili Penjara Wanita Bentong menyertai pertandingan kategori hafazan.

“Setiap hari saya hafaz surah berkenaan dan dari situ saya mula suka dan rasa tenang,” katanya yang dinobatkan johan dalam kategori tersebut pada Pertandingan Hafazan dan Nyanyian Nasyid peringkat kebangsaan yang diadakan di Penjara Kluang,
kelmarin.

Lisa yang akan dibebaskan pada pertengahan tahun depan berkata, setiap hari dia menghafaz tiga hingga lima ayat al-Quran dan akan mengulangi ayat-ayat tersebut bagi melancarkan sebutannya.

Katanya, dia makin bersemangat meneruskan hafazannya selepas dinobatkan johan.

“Walaupun perlu mengambil masa lama untuk hafaz 30 juzuk al-Quran, tetapi saya akan berusaha melakukannya sebelum saya dibebaskan,” katanya.



Credit: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment