Tuesday, 30 September 2014

Bela harimau untuk takutkan kera

  • Kehadiran patung harimau membolehkan hasil tanaman Azizah Saad sekeluarga tidak lagi dirosakkan oleh kera.
  • Kehadiran patung harimau membolehkan hasil tanaman Azizah Saad sekeluarga 
  • tidak lagi dirosakkan oleh kera.

  • POKOK SENA, KEDAH - Setiap pengunjung yang datang ke rumah Azizah Saad, 52, di Kampung Pauh, dekat sini pasti akan terkejut dengan kewujudan seekor harimau di rumahnya itu.

    Harimau itu dikatakan sering berada di hadapan dan belakang rumah serta di bawah pokok hingga pengunjung terpaksa menelefonnya terlebih dahulu jika ada temu janji berikutan bimbang keselamatan mereka setiap kali sampai ke rumahnya itu.

    Difahamkan, harimau itu dikatakan menjadi penunggu rumahnya setiap kali dia dan suaminya, Johari Hanafiah, 56, bersama anak mereka keluar dan harimau itu menjaga hasil tanaman mereka agak tidak dicuri atau dirosakkan pihak tertentu.

    Azizah berkata, sejak mereka berpindah 15 tahun lalu, kawasan rumahnya itu dahulunya adalah hutan dan banyak kera yang sering merosakkan tanaman mereka serta orang kampung hingga memaksa mereka mencari pelbagai cara untuk menghalaunya tetapi tidak berjaya.

    “Sebenarnya harimau itu ialah patung yang digunakan untuk menghalau kera yang sering merosak dan mencuri hasil tanaman di rumah saya ini. Semenjak saya menggunakan teknik ini hasil tanaman kami tidak lagi dicuri oleh binatang perosak itu.

    "Dahulunya terdapat kira-kira 50 hingga 100 kera sering datang ke kampung kami merosakkan tanaman. Malah pernah juga turut memasuki rumah jika kami sekeluarga keluar dan binatang itu mengambil kesempatan memasukinya," katanya.

    Bagaimanapun sehingga kini, teknik yang digunakan itu telah memberi manfaat kepada keluarganya kerana semenjak itu binatang perosak tidak lagi berani mendekati halaman rumah mereka.

    Menurutnya, dia mendapat idea meletak patung harimau itu selepas melawat rumah saudaranya di Pantai Remis di kawasan kelapa sawit yang turut menghadapi masalah sama.

    "Teknik itu sangat berkesan hingga menyebabkan saya turut membeli anak patung harimau di Air Hitam, Johor dengan harga RM120 dan meletak di sekitar halaman rumah.

    “Alhamdulillah, semenjak saya meletak di sekitar halaman rumah, binatang seperti kera dan babi hutan tidak lagi berani menghampiri kawasan rumah kami," katanya.

    Malah katanya, bagi mengelirukan binatang perosak itu, dia turut sering mengubah patung harimau itu.

    "Apa yang menariknya, semasa kami meletakkan harimau di bawah pokok, kami tengok gelagat kera yang datang sekumpulan berteriakan seolah-olah bimbang akan menjadi mangsa harimau itu," katanya.

Bahaya hidup menunjuk-nunjuk

BURAIDAH bin Husaib al-Aslami seorang pejuang Islam yang gagah berani. Selepas masuk Islam pada tahun kedua hijrah, beliau ikut serta dalam banyak peperangan bersama Nabi SAW. Salah satunya ialah perang Khaibar yang mengambil masa beberapa hari untuk menundukkan benteng Yahudi.

Buraidah bercerita: “Aku ikut serta dalam perang Khaibar. Aku termasuk salah seorang tentera yang memanjat benteng musuh, lalu bertempur di sebuah tempat tinggi sehingga terlihat semua orang. Terlebih lagi, baju yang aku pakai pada masa itu berwarna merah."

Secara sekilas, apa yang dilakukan Buraidah ini sangat membanggakan. Namun bagi Buraidah, perbuatan itu sangat disesalkan. Sebab ia seolah-olah satu perbuatan menunjuk-nunjuk kehebatan dirinya di hadapan orang ramai agar dikenali. Perbuatan tersebut dibimbangi termasuk dalam kategori riak.

Buraidah berkata: “Aku tidak pernah melakukan dosa yang lebih besar dalam Islam daripada perbuatan itu." (Siyar a’lam al-Nubala)


Pujian manusia

Para sahabat Nabi SAW sangat jauh daripada sifat ingin menunjuk-nunjuk. Sedapat mungkin mereka berusaha agar amal ibadah mereka tersembunyi. Mereka suka hanya Allah SWT yang melihat perbuatan itu, bukan manusia.

Itu kerana keinginan untuk memperlihatkan amalan kepada orang lain termasuk dalam bentuk riak. Allah SWT enggan menerima amalan yang bercampur dengan sifat riak. Sebab pelakunya tidak mengharapkan pahala daripada-Nya semata, melainkan menginginkan juga pujian daripada manusia.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Allah berfirman: Aku paling tidak memerlukan kepada sekutu. Sesiapa yang melakukan suatu amalan sambil mempersekutukan diri-Ku dengan yang lain, maka Aku berlepas daripadanya. Amalan itu untuk pihak yang disekutukannya itu. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Justeru, siapa yang inginkan ganjaran sempurna daripada Allah SWT, hindari sikap ingin menunjuk-nunjuk dengan amalan. Usah isytiharkan kepada semua orang ibadah yang kita lakukan.
Media sosial


Bagi anda yang suka mengemas kini status peribadi di media sosial, berhati-hatilah. Jangan setiap aktiviti kebaikan dan ibadah yang anda lakukan dikongsikan untuk tatapan ramai. Apatah lagi memang disengaja untuk menarik “like" dan pujian daripada rakan-rakan maya.

Mungkin anda memang tidak berniat untuk menunjuk-nunjuk, namun tipu daya syaitan sangat halus. Boleh jadi, tanpa sedar semua pahala amalan anda telah terhapus. Tidak berguna pujian manusia apabila Allah SWT menolak amal ibadah kita.

Berkata Syeikh Abdul Qadir Dastuti: “Seorang hamba tidak patut berbangga dengan ilmu, harta dan jabatan yang dimilikinya sebelum ia selamat melintasi titian sirat. Apa guna pujian manusia jika kita tetap terjatuh ke dalam neraka pada hari kiamat nanti?"

Mari teladani Buraidah al-Aslami. Wallahu a’lam.

Sunday, 28 September 2014

Empat jam tidur atas pokok kelapa


RANAU. SABAH - Gara-gara merajuk dengan isteri yang membebel kerana dia tidur di ruang tamu rumah, seorang warga emas membawa hati dengan memanjat pokok kelapa setinggi sembilan meter sebelum tertidur di atasnya selama empat jam dalam kejadian di Jalan Sinarut Lama dekat sini semalam.
Sebelum kejadian pukul 8 pagi itu, pesawah yang dikenali sebagai Salimin, 76, dikatakan merajuk dengan isteri yang memarahinya tidur di ruang tamu rumah.
Difahamkan, isterinya yang dikenali sebagai Ratini, 70, memarahi suaminya kerana ketika itu wanita itu sedang membersihkan rumah dan meminta suaminya berbaring di tempat lain.
Selepas bertengkar beberapa ketika, pesawah itu terus meninggalkan rumah manakala si isteri yang merupakan seorang suri rumah memerhatikan sahaja kelakuan suaminya.
Namun, ketika melihat suaminya menuju ke arah sepohon pokok kelapa yang tinggi berdekatan rumah dan dia mula memanjat pokok itu, si isteri cemas. Wanita itu lalu mengejar dan memujuk suaminya supaya tidak meneruskan hajatnya.
Salimin yang masih hangat hati tidak menghiraukan pujukan isterinya malah dia terus memanjat sehingga ke pelepah sebelum berbaring di celahnya.


Credit:  MOHD. YUNUS YAKKUB

Wednesday, 24 September 2014

Cabaran hidup berkeluarga


INI adalah dua contoh yang ekstrim. Dalam kebanyakan masa, kita semua dibesarkan dalam sebuah kehidupan yang sederhana. Dalam kehidupan yang serba sederhana, kita tidak pernah terlupa bersyukur kepada Allah SWT dengan apa yang telah dikurniakan dan kita tidak pernah berhenti berdoa kepada-Nya supaya Dia terus memberkati kehidupan kita dengan anugerah kebahagiaan dan kesejahteraan.

Sebenarnya, apa yang kita impikan ialah sebuah kehidupan yang mawaddah warahmah dan sakinah. Sebagai manusia, sikap suka membanding-bandingkan kehidupan kita dengan orang lain adalah perkara biasa. Namun, perbandingan hanya bertujuan untuk menyerlahkan sikap suka bersaing dan keinginan kepada yang lebih baik tanpa melupakan hakikat bahawa segala sesuatu yang diingini atau dihajati itu hanya boleh menjadi kenyataan dengan izin-Nya. Jika Allah SWT tidak mengizinkan ia tidak akan berlaku.

Dalam kebahagiaan yang kita kecapi ini, hanya Allah SWT yang tahu apakah dugaan yang bakal tiba kepada kita. Seorang sahabat saya kehilangan dua daripada empat orang anaknya serentak dalam satu kemalangan jalan raya. Ketika kejadian itu, saya percaya sebagai manusia biasa, dia juga tertanya apakah hikmah di sebalik dugaan itu?

Apabila anak sulungnya berkahwin, Allah SWT takdirkan dia mendapat sepasang cucu kembar seiras. Siapalah yang akan dapat menjangka, jika Allah ambil sesuatu daripada kita, Allah SWT akan kembalikan dalam bentuk yang lain kerana daripada Allah kita datang dan kepada-Nya kita akan kembali.

Hidup ini penuh cabaran dan kekuatan seseorang itu ialah kekuatannya menerima dugaan Allah SWT dengan bersabar dan bersyukur kerana pada ketika kita diduga, kita tidak akan dapat merasa hikmahnya sehingga kita mendapat hikmah tersebut.

Lantaran itu, seorang Islam itu perlu yakin kepada ketentuan Allah SWT. Kita yakin dan beriman kepada Allah, Pencipta alam semesta, Allah yang Esa. Kita sentiasa berusaha memperbaiki diri dan keluarga supaya berada di dalam keberkatan-Nya sentiasa. Tiada siapa yang boleh mengubah hidup kita selain diri kita sendiri berusaha mengubahnya dan berdoa kepada-Nya supaya usaha kita beroleh kejayaan. Jika sudah ada usaha selainnya adalah hak-Nya.

Kehidupan kita ini penuh dengan cabaran. Tiada seorang manusia pun yang dalam kehidupannya tidak diduga atau melalui cabaran dalam kehidupan, walau bagaimana kaya atau berilmu pun mereka. 

Dugaan Allah SWT datang dalam pelbagai bentuk. Tabiat manusia, apabila berada dalam kemewahan dan kesenangan, mereka jarang mengingati-Nya. 

Apabila jarang mengingati Allah SWT, maka hati akan keras. Ia akan sering melakukan kemungkaran kerana ia senang dihasut syaitan.

Mengingati Allah SWT bukan sahaja melalui solat, ia adalah tiang segala amalan. Mengingati-Nya melalui solat adalah kewajipan namun mengingati Allah dalam semua urusan kehidupan dan sentiasa mensyukuri segala anugerah-Nya.

Setiap orang tanpa mengira kedudukan akan melalui cabaran daripada Allah SWT dalam bentuk yang berbeza. Setiap dugaan Allah SWT datang dengan hikmahnya yang tersendiri dan kekuatan seseorang yang diduga ialah sejauh mana ia bersabar dan bersyukur dengan ketentuan-Nya.

Kes 1

A dilahirkan dalam sebuah keluarga yang sederhana mewah. Dari kecil dia sudah ada pembantu rumah mengurus dirinya dan keperluan asasnya kerana ibu bapanya sibuk bekerja. Begitu pun, ibu bapanya masih ada masa untuknya dan dia dimewahkan dengan kebendaan dunia. 

Allah menyayanginya kerana ibu bapa mencarikan guru agama untuk dia belajar agama di rumah. Apabila dia bersekolah dan mula bercampur dengan lebih ramai orang, dia mula terpengaruh terutama dengan rakan sebaya yang sama mewah dan kurang didikan agama. A mula berjinak dengan rokok, dadah dan arak serta berfoya-foya.

Daripada segi akademik, A tetap cemerlang kerana dia memang pandai, ditambah dengan kehadiran guru tuisyen di rumah setiap hari. Nasibnya lebih baik kerana dihantar belajar ke luar negara. Lantas di luar negara dia terus hanyut tetapi dia masih berjaya dalam pelajarannya. Ibu bapa masih merasa amat berbangga dengan A.

Dalam kes A pendidikan agama asas yang diterimanya daripada guru agama menyebabkan timbul rasa bersalah A apabila dia melakukan perkara keji yang dilarang Allah SWT. Namun, A tiada kekuatan keimanan kerana keimanan itu lahir daripada keupayaan A mengenal Allah serta dikuatkan dengan solat dan amalan-amalan wajib dan sunat sepanjang hari.

Naluri keislaman A akan sentiasa membuat dia rasa bersalah dan terganggu, namun hasutan syaitan tetap dapat melemahkan naluri Islamnya kerana A tidak memupuk keimanannya itu. A juga tidak pernah sujud bersyukur kepada-Nya setiap kali dia mendapat keputusan peperiksaan yang baik dan dikelilingi kemewahan hidup.

Akhirnya, A pulang ke Malaysia, menjawat jawatan tinggi, bertemu jodoh dengan gadis pilihan yang sekufu. Di alam rumah tangga dan perkahwinan, A mula mendapat dugaan Allah SWT. Dia tahu akan tanggungjawab terhadap isteri dan anak. Dia mahu anaknya hidup bahagia, selamat dan tidak tersasar.

Dalam kes A, dugaan paling hebat ialah apabila isterinya ingin hidup bebas sama seperti sebelum berkahwin seperti, bertemu kawan-kawan, sesuka hati balik ke rumah ibu bapa tanpa meminta izin suami. A mula mencari pandangan, ingin tahu hukum tentang perkahwinan dan itulah cabaran hidup paling hebat yang pernah A alami. Dia tidak pernah menyangka wanita yang dicintai dan nikahi itu, mahu hidup bebas dan sebagai suami dia merasa cemburu isteri keluar dengan lelaki lain, sedangkan dia (A) adalah suaminya.

A tidak keharuan kerana selepas enam bulan berkahwin isteri memohon untuk diceraikan kerana tidak betah hidup dibelenggu perkahwinan. 

Dugaan hebat ini menyebabkan A tidak dapat memberi tumpuan kepada pekerjaan. Bagaimana A hendak menghadapi cabaran ini? Jika dia memilih hasutan syaitan, dia akan mengambil dadah dan minum arak. Namun jika dia ada kekuatan keimanan, dia akan bersolat hajat dan bermunajat memohon kepada Allah SWT petunjuk agar dapat membuat keputusan yang baik.


Kes 2

B datang daripada keluarga yang susah. Ibu bapanya petani dan dia mempunyai adik-beradik yang ramai. Sebagai anak sulung, dia hampir terpaksa berhenti sekolah kerana ingin memberi laluan kepada adik-adik. Dia anak yang pandai dan B juga sentiasa mendapat keputusan cemerlang.

Daripada sudut agama B diajar sendiri oleh ibu bapa di rumah. Dia sering menjadi imam di rumah, apabila ayahnya ke masjid. Dia bekerja sambilan di sebelah petang untuk menambah pendapatan keluarga. Akhirnya dia ke universiti. Di universiti, cabaran B ialah dia perlu bekerja untuk terus belajar, walaupun dia mendapat biasiswa kerana wang itu perlu dihantar ke kampung untuk bantu ibu bapa.

Dia telah mula bertanggungjawab walaupun dia belum bekerja. Dia sentiasa ingat bahawa Allah telah menentukan segalanya, namun dia bertekad menukar kehidupannya daripada susah kepada senang. Dia mahu ibu bapanya merasa hidup mewah. Dalam kesibukan belajar dan bekerja dia juga sering tertinggal solat kerana keletihan.

Hati kecilnya sering berbisik kenapa Allah SWT melahirkannya miskin dan susah. Jarang sekali dia bersyukur bahawa dengan takdir Allah lah dia dapat belajar dan berjaya dan masih boleh bekerja. Takdir Allah tidak berhenti di situ. Di IPT, B jatuh cinta dengan seorang gadis dari keturunan bangsawan. Tentulah pipit tidak layak terbang bersama helang. Cintanya tidak kesampaian kerana ibu bapa gadis itu menolaknya sebagai calon menantu sebelum dia masuk meminang pun.

B tambah tertekan. Rasa benci kepada orang berada sangat tinggi sedang dia juga berusaha mahu menjadi kaya dan senang. Kebencian itu adalah pemangkin untuk dia berusaha kuat sehingga dia menjadi seorang yang berjaya dan kaya. Dia dihormati dan disanjung. Dia beri segala kemewahan itu kepada ibu bapa dan adik-beradiknya. Dia berkahwin dan apabila mendapat anak, dia tidak mahu anaknya merasa susah sedikit pun seperti yang pernah dilalui.

B membenci dan cemburu dengan orang yang lebih kaya daripadanya dan dia juga membenci kemiskinan. Akhirnya dia hidup serba tidak kena kerana dia terlupa bersyukur kepada Allah SWT.

Jiwa tenang hafaz al-Quran


Lisa bersama piala dan trofi yang dimenanginya dalam pertandingan hafazan peringkat Jabatan Penjara
Malaysia.

KLUANG, JOHOR - Walaupun baru mendekatkan diri dengan menghafaz surah-surah lazim, seorang penghuni Penjara Wanita Bentong, Pahang merasakan diri dan jiwanya tenang.

Lisa,32, mengakui dia sebelum ini begitu jauh untuk membaca al-Quran dan penyertaannya memasuki pertandingan hafazan membuka hatinya untuk mendekatkan diri dengan kitab suci tersebut.

Beliau yang dijatuhi hukuman penjara selama dua tahun enam bulan atas kesalahan memiliki dadah berkata, dia tidak menyangka dipilih pihak penjara untuk menyertai pertandingan menghafaz al-Quran.

“Sebelum saya masuk penjara, saya tidak pernah menghafaz al-Quran dan memasuki pertandingan walaupun saya bersekolah agama di Johor.

“Jika dahulu, saya baca jika disuruh guru dan selepas itu saya tidak pernah mendekatkan diri dengan al-Quran, tetapi sejak Ramadan lalu, saya diberi kepercayaan mewakili Penjara Wanita Bentong menyertai pertandingan kategori hafazan.

“Setiap hari saya hafaz surah berkenaan dan dari situ saya mula suka dan rasa tenang,” katanya yang dinobatkan johan dalam kategori tersebut pada Pertandingan Hafazan dan Nyanyian Nasyid peringkat kebangsaan yang diadakan di Penjara Kluang,
kelmarin.

Lisa yang akan dibebaskan pada pertengahan tahun depan berkata, setiap hari dia menghafaz tiga hingga lima ayat al-Quran dan akan mengulangi ayat-ayat tersebut bagi melancarkan sebutannya.

Katanya, dia makin bersemangat meneruskan hafazannya selepas dinobatkan johan.

“Walaupun perlu mengambil masa lama untuk hafaz 30 juzuk al-Quran, tetapi saya akan berusaha melakukannya sebelum saya dibebaskan,” katanya.



Credit: Sinar Harian

Tuesday, 23 September 2014

Rahsia doa Saad

SUATU ketika ahli Kufah mengadukan perihal Saad bin Abi Waqqas kepada Khalifah Umar. Beliau menceritakan semua keburukannya, termasuk mengatakan bahawa Saad tidak pandai melakukan solat.

Umar lalu memanggil Saad. Beliau berkata: “Wahai Abu Ishaq, orang-orang ini mengatakan bahawa engkau tidak pandai melakukan solat."

Saad berkata: “Aku melakukan solat sepertimana solat Rasulullah SAW. Tidak kurang dan tidak lebih. Dalam solat Isyak, aku memanjangkan dua rakaat yang awal dan memendekkan dua rakaat yang akhir."

Umar berkata: “Begitulah sangkaan saya kepadamu, wahai Abu Ishaq."
Walaupun begitu, Umar tetap mengutus seseorang ke Kufah. Beliau ingin mendapatkan pandangan lebih ramai ahli Kufah berkenaan dengan kepimpinan Saad.

Setiap masjid yang ia masuki, semua memuji Saad. Melainkan sebuah masjid di kawasan Bani Abs. Seorang laki-laki di masjid ini mencela Saad dengan katanya: “Saad tidak pernah keluar berperang, tidak membahagi dengan sama rata dan tidak menghukum dengan adil."
Mendengar tuduhan ini, Saad berkata: “Demi Allah, saya akan berdoa dengan tiga perkara. Ya Allah, jika hamba-Mu ini berdusta dan hanya ingin menunjuk-nunjuk, maka panjangkanlah usianya, kekalkanlah kefakirannya dan perjumpakanlah ia dengan fitnah."

Doa Saad dikabulkan Allah SWT. Laki-laki Kufah itu panjang usia dalam kefakiran dan perilakunya tidak baik.

Abdul Malik bin Umair berkata: Aku pernah melihat orang itu telah gugur bulu keningnya kerana sangat tua. Namun, ia masih suka menggoda anak-anak gadis di tengah jalan. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Bermula dengan makanan

Antara para sahabat Nabi, Saad bin Abi Waqqas memang terkenal paling mustajab doanya. Setiap yang beliau minta, Allah SWT selalu segera mengabulkannya. Kisah di atas hanya salah satu daripada sekian banyak peristiwa yang membuktikan kemustajaban doa Saad.

Salah satu rahsia di sebalik kelebihan ini ialah makanan yang selalu terjaga kehalalannya. Seseorang pernah bertanya kepada Saad: “Apa sebab doamu selalu mustajab berbanding para sahabat Nabi yang lain?" Beliau menjawab: “Tidaklah aku memasukkan sesuap makanan ke mulutku, melainkan aku mengetahui daripada asalnya." (Jamik al-Ulum wa al-Hikam)

Kesan makanan sangat erat dengan kebersihan hati. Sebagaimana makanan halal membawa kepada ketenangan ibadah, makanan haram mencipta hijab antara hati seorang hamba dengan tuhannya.

Muhammad bin Dawud Al-Daqqi berkata: “Perut adalah tempat makanan. Jika engkau memasukkan ke dalamnya makanan yang halal, maka akan terbit amal saleh dari semua anggota tubuh. Jika engkau masukkan ke dalamnya makanan yang subahat, maka akan tersamar jalan Allah SWT daripada dirimu. Dan jika engkau memasukkan makanan yang haram, maka hijab akan terbentang antara dirimu dan Allah SWT."

Mari kita teladani Saad bin Abi Waqqas dan pastikan hanya makanan halal yang masuk ke dalam tubuh kita dan ahli keluarga kita. Wallahu a’lam

Monday, 22 September 2014

Besarnya kuasa istighfar

ISLAM sebuah agama yang penuh dengan kasih sayang dan kebahagiaan. Sesiapa sahaja berpeluang untuk memperbaiki diri dan memperoleh kedudukan yang mulia di sisi Islam. Syaratnya mudah iaitu dengan bertakwa dan beramal soleh kerana Allah SWT.

Sudah menjadi lumrah manusia, sering melakukan salah dan dosa. Tidak ada insan yang bebas daripada sebarang dosa iaitu maksum, melainkan junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW.

Begitu pun, agama Islam sering kali memberikan peluang kepada hamba-hamba-Nya untuk bertaubat dan menjadi manusia yang lebih baik. 

Sebanyak mana dosa yang pernah dilakukan, pintu keampunan itu sentiasa ada. Hal ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Dan mintalah ampun kepada Tuhanmu, kemudian kembalilah bertaubat kepada-Nya, Sesungguhnya Tuhanku Maka Penyayang Maha Pengasih. (Hud: 90)

Perkataan ampun diulang lebih 50 kali di dalam al-Quran dan menunjukkan betapa penting dan besarnya nilai keampunan di sisi Allah SWT. Hanya Dia yang mampu mengampunkan dosa-dosa kita yang begitu banyak dan membebaskan kita daripada azab api neraka di akhirat nanti.

Allah berfirman yang bermaksud: Dan orang-orang yang apabila melakukan perbuatan yang keji atau menganiaya dirinya sendiri (melakukan dosa), mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa mereka melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salah dan akibatnya). (Ali Imrah: 135)

Begitu juga firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’ ayat 106 yang bermaksud: Dan hendaklah engkau memohon ampun kepada Allah kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.


Menghapuskan dosa

Memohon keampunan di dalam Islam cukup mudah dan boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja. Tidak ada ritual-ritual tertentu yang perlu dilakukan untuk menghapuskan dosa-dosa silam. Cara memohon ampun kepada Allah telah diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW dan menjadi kewajipan kepada kita semua untuk ittiba’ (mengikuti) apa yang telah diajarkan olehnya sebagai jalan untuk beribadah kepada Allah SWT.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Demi Allah, Aku beristighfar (memohon ampun) kepada Allah dan bertaubat kepada-Nya lebih 70 kali dalam sehari. (riwayat al-Bukhari)

Di dalam riwayat Imam Muslim disebutkan bahawa Nabi melakukannya sebanyak 100 kali sehari.

Sungguh mengagumkan bagi orang yang berfikir. Nabi Muhammad yang maksum (bebas daripada dosa) dan telah dijamin syurga sendiri beristighfar dan bertaubat kepada Allah. Ini tidak lain dan tidak bukan untuk mengajar kepada kita bahawa amalan itu begitu penting dan besar kedudukannya di sisi Allah SWT sehingga baginda SAW melaziminya sepanjang hari.

Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi, para sahabat Nabi SAW pernah melihat baginda duduk dan beristighfar sebanyak 100 kali. Nabi SAW membaca: Rabbighfirli wa tubb ‘alayya innaka antattawwaburrahim.


Istighfar terbaik

Antara bacaan istighfar yang juga pernah dibacakan oleh Rasulullah SAW ialah sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibnu Mas’ud r.a: Astaghfirullahal ‘aziim allazi la ilaha illa huwal hayyul qayyum wa atuubu ilaih. (riwayat Abu Daud)

Istighfar yang paling baik disebut sebagai Sayyidul Istigfar yang bermaksud penghulu segala istighfar sebagaimana yang disebutkan oleh Nabi SAW: Sayyidul Istighfar ialah siapa yang menyebutkan ‘Allahumma Anta Rabbi la ilaha illa Anta khalaqtani wa ana ‘abduka wa ana ‘ala ‘ahdika wa wa’dika mastato’tu, aa’uzubika min sharri ma sona’tu, abuu’ulaka bini’matika ‘alayya wa abuu’u bizanbi, faghfirli fainnahu la yaghfiruzzunuba illa anta (Ya Allah ya Tuhanku, engkaulah Rabbku. Tidak ada Tuhan selain Engkau, Engkaulah yang menciptakanku. Aku adalah hamba-Mu. Aku akan setia pada perjanjianku dengan-Mu semampuku. Aku berlindung kepada-Mu daripada keburukan yang aku lakukan. Aku mengakui nikmat-Mu kepadaku dan aku mengakui dosaku. Oleh itu ampunilah aku. Sesungguhnya tidak ada yang dapat mengampuni dosa melainkan Engkau. (iwayat al-Bukhari)

Itulah antara lafaz istighfar yang diajarkan oleh Nabi SAW kita. Kesemuanya mengandungi nilai akidah dan berserah diri yang mendalam. Semoga kita dapat beramal dengannya.



Credit: MOHAMAD DHIYAUDDIN ABDUL KADIR

Wednesday, 17 September 2014

Meneladani Zainab


SUATU hari Rasulullah SAW memberitahu isteri-isteri baginda: “Orang yang paling panjang tangannya di antara kamu akan menjadi orang pertama yang menyusul diriku selepas kematianku."

Aisyah bercerita: selepas Rasulullah SAW wafat, isteri-isteri baginda sering berkumpul dan mengukur tangan sesama mereka. Masing-masing berharap dialah orang yang dimaksudkan oleh baginda.

Apabila Zainab binti Jahsy meninggal dunia pada tahun 20 Hijrah, isteri-isteri Nabi SAW baru faham bahawa kalimat “panjang tangan" yang dimaksudkan baginda bukan hakikat. Sebab tangan Zainab tidak lebih panjang daripada isteri-isteri Nabi yang lain.



Panjang tangan yang dimaksudkan ialah suka bersedekah dan pemurah. Aisyah menjelaskan, Zainab memang rajin bekerja untuk mendapat wang sendiri lalu bersedekah dengannya. (riwayat Muslim)

Sebuah hadis riwayat al-Hakim menyebutkan bahawa pekerjaan yang dilakukan Zainab ialah menjahit pakaian dan menyamak kulit, lalu menjualnya.


Kerjaya dan keluarga

Zainab ialah figura Muslimah yang mampu menyeimbangkan antara ibadah, tuntutan kerja dan tugasan rumah. Beliau layak menjadi teladan bagi setiap muslimah yang bekerjaya pada hari ini.

Islam tidak pernah melarang wanita untuk bekerja. Terutama apabila terdapat keperluan mendesak untuk menyara hidup sendiri ataupun membantu suami.



Walaupun begitu, tugasan terpenting wanita Muslimah ialah di dalam rumahnya. Ia wajib melaksanakan tugasan sebagai isteri bagi suaminya dan ibu untuk anak-anaknya. Tidak dilupakan juga tugasannya sebagai hamba Allah SWT yang taat kepada perintah dan larangan-Nya.

Justeru, para ulama telah menggariskan panduan tertentu untuk kaum wanita bekerjaya. Sebahagian besar hukum-hakam dan panduan wanita bekerja telah dijelaskan dalam majalah al-Ustaz isu 30.



Dr. Yusuf al-Qaradawi menjelaskan bahawa kaum perempuan dibenarkan bekerja di luar rumah dengan tiga syarat. Pertama, pekerjaan yang dilakukan halal. Kedua, ia selalu menjaga adab-adab Islam semasa bekerja. Dan ketiga, pekerjaan tersebut tidak menjejaskan kewajipannya kepada suami, anak-anak dan keluarga.

Setinggi mana pun jawatan seorang muslimah di tempat kerja, ia tetap berkewajipan mencurahkan perhatian kepada keluarganya dan kasih sayang kepada anak-anaknya. Sebab kecemerlangan seorang Muslimah diukur dengan keadaan rumahnya.

Semoga kita boleh meneladani ummul mukminin Zainab binti Jahsy. 

Wallahu a’lam.

Monday, 15 September 2014

Warga Emas Tumbuk Perompak, Gagalkan Cubaan Ragut


Gambar hiasan.
CUBAAN seorang lelaki untuk merompak wanita berusia 80 tahun gagal apabila wanita warga emas itu menumbuk mulut suspek untuk mempertahankan dirinya.

Wanita itu diserang ketika sedang berjalan-jalan bersama dengan anjingnya di antara Bellevue Road dan Invicta Road di Whitstable, Kent kira-kira pukul 7.20 pagi waktu tempatan.

Perompak terbabit yang berpakaian serba hitam dan memakai penutup kepala cuba meragut beg tangan wanita tersebut.

Namun, sebaliknya berlaku apabila wanita warga emas itu bertindak menumbuk mulut perompak itu.

Akibatnya, perompak tersebut bergegas melarikan diri.

Ketua Polis Kent, Inspektor Paul Fotheringham berkata, suspek tersilap dalam memilih mangsa yang masih kuat untuk mempertahankan dirinya.


"Sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung serangan itu diminta tampil untuk membantu siasatan," katanya.

Terlalu sedih buat hati jadi mati



Dr Aidh bin ‘Abdullah al-Qarni Islam di dalam bukunya yang terlaris, La Tahzan (Jangan Bersedih) menyampaikan satu nasihat kepada umat supaya jangan terus menerus bersedih. 
Sesungguhnya bersedih itu membuatkan hati menjadi mati.
Jangan bersedih kerana sedih akan mengganggu mengingatkan kita kembali kepada zaman lalu.
 Kesedihan itu hanya membawa kepada kerisauan mengenai kemungkinan yang akan berlaku kepada masa depan, seterusnya membuatkan kita terperuk di dalam bilik meratapi kemungkinan yang belum terjadi.
Jangan bersedih kerana rasa sedih itu menghilangkan seri pada wajah. Wajah menjadi suram, suasana persekitaran juga menjadi kelam. Semangat yang tersisa semakin menghilang dan harapan serta optimis menjadi sirna. 

Jangan bersedih kerana kesedihan membuatkan musuh menjadi gembira, orang yang dengki mengambil peluang dan menyebabkan kawan semakin menjauh.

Jangan bersedih kerana kesedihan yang melampau umpama menentang qada dan qadar yang ditetapkan.

Jangan bersedih kerana rasa sedih tidak akan mengembalikan sesuatu yang hilang dan yang berlalu pergi. Tidak dapat menolak takdir dan tidak mendatangkan sebarang manfaat. 


Jadilah diri sendiri 

Perkembangan mutakhir di negara ini membimbangkan dengan kes bunuh diri yang semakin meningkat. Tidak kurang juga akibat desakan hidup yang akhirnya boleh mendatangkan ‘kecederaan’ kepada mental seseorang sehingga menjadikannya kurang siuman. 

Dalam menghadapi situasi sukar ini, ramai yang terjatuh dan dilihat gagal bangkit menghadapi dugaan ini sehingga mengharapkan dirinya menjadi seperti orang atau makhluk lain. 


Ada yang berharap untuk tidak menjadi dirinya apabila ditimpa sesuatu musibah. Apabila melihat burung, dia mengatakan: “Alangkah baiknya jika aku menjadi seperti burung. Bebas bergerak ke sana ke mari, boleh melepaskan diri daripada menjadi buruan orang.” 

Apabila melihat budak kecil yang seronok bermain, dia mengatakan pada dirinya: “Alangkah baiknya jika aku seperti budak itu. Seronok bermain tanpa memikirkan apa-apa masalah.” 

Ketika lalu di tepi rumah banglo milik orang kaya, dia berkata pula: “Alangkah baiknya jika aku menjadi seperti orang kaya di dalam rumah ini. Tentu tidak pernah berdepan masalah kewangan dan bebas memiliki apa saja.” 

Kita boleh mengeluh dan mengeluh, tetapi keluhan itu hanya membunuh jiwa yang sudah lemah. Keluhan itu juga tidak akan membuatkan kita menjadi seperti apa yang kita mahukan. 




Jadilah diri sendiri kerana orang lain hanya watak yang menempel di dalam kehidupan kita. Jadilah diri sendiri kerana orang yang mempunyai jati diri sentiasa yakin dapat menghadapi segala rintangan yang terbentang di depannya. 

Setiap kesusahan pada hari ini sebenarnya adalah tiket untuk kesenangan pada masa depan, selagi mana kita bersabar dan yakin dengan perancangan Allah terhadap diri kita. 

Ada antara kita terpaksa bertungkus lumus untuk mencari sesuap nasi. Itu sebenarnya adalah ujian kerana Allah mahukan dia menghargai setiap kurniaan rezeki kepadanya pada masa dia senang nanti. 


Ia juga supaya dia sentiasa beringat saat-saat sukar dulu, mudah-mudahan dia memahami kesusahan orang yang pernah melalui zaman sepertinya, lantas tidak lokek menghulurkan bantuan. 

Ada juga yang dikurniakan anak istimewa yang memerlukan lebih banyak kesabaran, tetapi kesabaran itu sebenarnya antara tiket yang dijanjikan Allah untuk memasuki syurga pada kehidupan selepas itu. 

Jadilah diri sendiri kerana hanya kita yang dapat mengubah nasib kita. Jangan sesekali lari daripada masalah. Berdepanlah dan bunuhlah masalah itu sebelum ia sempat menjadi virus untuk membunuhmu.


Credit: Mohd Hassan Adli Yahaya

Rumah Tergantung Tepi Tebing, Depan Laut


Kediaman tergantung yang sedang dibina di Australia berhadapan Lautan Hindi yang luas.

CANBERRA: Tidak pernah terbayang akan ada kediaman berkonsep tergantung, lebih-lebih lagi di tebing tinggi berhadapan lautan luas di pinggir Australia.

Portal berita melaporkan rekaan yang dihasilkan arkitek negara itu dari Modscape's Ambitious Designs.

Siput laut atau teritip yang melekat dan tergantung di bawah kapal atau perahu memberi ilham kepada pereka firma berkenaan.


"Rekaannya ini sesuai dengan permintaan pelanggan yang inginkan sesuatu yang luar biasa di kawasan pantai di Australia.

"Rumah ini bukan sahaja tergantung di tebing bukit, malah memiliki pemandangan Lautan Hindi yang indah," kata jurucakap firma tersebut.

Kediaman mewah itu memiliki lima tingkat, selain digantung di tebing dengan menggunakan pin keluli kejuruteraan tinggi.

Beberapa arkitek dan pakar kejuruteraan daripada firma berkenaan akan bekerjasama membina rumah pasang siap ini.


 

Mohd Lotfi Rakyat Malaysia Ketiga Terbunuh Di Syria

Mohd Lofti (kiri) mengakui berjuang untuk pergerakan Ajnad As Syam.
PETALING JAYA: Bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Mohd Lofti Ariffin menjadi rakyat Malaysia ketiga terkorban di Syria.

Menurut sumber, Mohd Lofti,46, dari Kuala Ketil, Kedah  mengalami kecederaan di lengan dan kepala ketika pengeboman dilancarkan di pusat militan di Timur Hama pada pagi Selasa lalu.

Berikutan kecederaan itu, Mohd Lofti yang berjuang untuk pergerakan Ajnad As Syam dihantar ke hospital di Hatay, Turki.

"Doktor telah cuba yang terbaik untuk menyelamatkannya. Dia gagal bertahan kerana kecederaan dan meninggal dunia selepas Maghrib pada Sabtu," jelas satu sumber kepadaThe Star pada Ahad.

Difahamkan jenazah Mohd Lofti akan dikebumikan di Turki.

Dalam serangan itu, seorang lagi rakyat Malaysia Mohammad Fadhlan Shahidi Mohammad Khir, 21, turut terkorban.

Rakyat Malaysia yang telah terkorban di Syria sejak 10 Ogos lalu ialah Zainan Harith yang dikenali sebagai Abu Turob, manakala Ahmad Tarmimi Maliki, 26, terkenal selepas kematiannya kerana menjadi pengebom berani mati yang pertama dari negara ini.

Sebelum ini The Star melaporkan Mohd Lofti,  bekas Exco Pemuda Pas Kedah sedang menjalani misi berani mati di Syria, namun di laman Facebooknya mendakwa dia bukan pasukan Negara Islam atau anggota Levant (Isil).

Mengikut abang sulungnya Zainon Ariffon,52, Mohd Lofti pergi ke Syria untuk berperang kerana bersebab.

Mohd Lofti meninggalkan lapan anak yang berumur lapan bulan hingga 17 tahun.

Dia dikatakan tidak balik ke rumah ketika adiknya yang berusia 41 tahun meninggal dunia kerana serangan jantung Mac lalu.

Dalam laporan eksklusif sebelum ini, Mohd Lofti antara 40 orang rakyat Malaysa termasuk empat bekas tahan ISA.

Mereka ialah bekas anggota Kumpulan Mujahiddin Malaysia (KMM) Zainuri Kamaruddin dan bekas Jemaat Islamiah (JI) iaitu Rafi Udin, Samad Shukri, Zid Saharani Mohamad Esa.

Mohd Lofti ditahan ISA pada Ogos 2001 hingga Spetember 2003 kerana terlibat dengan KMM.
Foto
USTAZ Lotfi (kiri) bersama rakan.
Pada awal tahun 1990-an, Mohd Lofti telah menyertai latihan senjata di Afganistan dan terlibat dalam dua konflik berasingan di Tajikistan dan Poso Sulawesi.

Sehari semalam lawan komunis

Marang: “Tidak mudah untuk memastikan negara bebas daripada mana-mana pihak musuh ketika itu, kemerdekaan adalah satu perkara yang sangat berharga dan mahal harganya serta generasi sekarang perlu menghargainya dan mengekalkannya,” kata Koperal (B) Tuan Mahmud Tuan Bahru, 76, dari Kampung Sentul Patah, di sini, ketika ditemui Harian Metro.
Katanya, sebagai salah seorang pejuang kemerdekaan yang terbabit secara langsung dalam pertempuran menentang pihak musuh, dia berharap generasi sekarang lebih menghargai kemerdekaan yang dinikmati sehingga sekarang.
Menurutnya, pengalaman bertempur sehari semalam dengan komunis pada 1954 di Kuala Lipis, Pahang masih segar dalam ingatannya.
“Malah, pengalaman bergelut dan membunuh anggota komunis ketika menyertai operasi risikan di Thailand paling mendebarkan sepanjang berkhidmat dalam tentera,” katanya.
Tuan Mahmud berkhidmat dalam Pasukan Polis Special Constable (SC) bermula 1953 sebelum menyertai Royal Air Force Regiment Malaya pada 1955 hingga 1960 dan pada 1963 hingga 1979 menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta berkhidmat sebagai anggota Grup Gerak Khas (GGK).
Katanya, peristiwa bertempur sehari semalam dengan sekumpulan komunis yang diketuai seorang lelaki dikenali sebagai Abu Bakar ketika itu memang mengerikan.
“Bayangkan ketika itu saya bersama enam anggota Polis SC lain bertempur dengan lebih 30 komunis.
Pertempuran kami lebih mencabar apabila hujan lebat menyebabkan hampir keseluruhan kawasan pertempuran dan tempat persembunyian dinaiki air.
“Saya dan enam anggota Polis SC terpaksa berundur ke kawasan lain bagaimanapun sebelum hujan, kami sudah membunuh ramai anggota komunis.
“Selepas hujan reda, kami menjejaki semula kumpulan komunis itu, bagaimanapun Abu Bakar yang ditemani orang kanannya, Ali terlebih dulu keluar dari tempat persembunyian dan menyerah kalah sebelum saya ditugaskan ke kubu pihak lawan bagi mengesahkan kematian anggota komunis itu, tetapi malangnya semua mayat dan peralatan pihak musuh sudah dibawa arus deras banjir ketika itu,” katanya.
Tuan Mahmud anak jati Kampung Kijal, Kemaman yang dikenali sebagai Rambo Malaya dalam kalangan rakannya berkata, selain pertempuran itu, dia juga terbabit dengan misi risikan di Thailand pada 1958.
“Saya terpaksa membunuh seorang anggota komunis di dalam kem di situ menggunakan pisau jika tidak saya akan dibunuhnya, lebih buruk jika kehadiran saya dan enam anggota pemantau yang menyelinap masuk ke kem mereka diketahui komunis lain,” katanya.
Menurutnya, selain mempunyai pengalaman bertempur dengan komunis dia juga terbabit dengan Konfrontasi iaitu ketegangan yang terjadi pada 1963 yang berubah menjadi perang antara Indonesia dan Malaysia mengenai Sabah.
“Saya bersama tujuh anggota GGK berperang dengan anggota tentera Indonesia dua hari dua malam tanpa henti di sebuah Kampung di Sarawak.

Biarpun jumlah kami kecil dan mereka 23 orang, kami tetap berjaya mengalahkan mereka.
“Saya mempunyai prinsip iaitu tidak akan sesekali membenarkan satu inci pun Tanah Melayu menjadi milik pihak musuh biarpun terpaksa menggadai nyawa.
“Setelah apa yang kami korbankan untuk negara, penghargaan daripada mana-mana pihak tidak penting bagi kami malah ramai antara kami yang dahulunya dikenali sebagai ‘Singa Malaya’ kini merempat bagai kucing kurap tanpa sebarang penghargaan dan pembelaan.
“Semua itu kami boleh maafkan dan reda dengan perjalanan hidup ini namun kami pantang jika mereka tidak mempertahankan kemerdekaan yang dikecapi sekarang hasil kepayahan pejuang kemerdekaan terdahulu,” katanya.


Foto
TUAN Mahmud melihat gambar lama sewaktu berkhidmat dalam ATM.


Credit: Ahmad Rabiul Zulkifli

UPSR BOCOR: GURU BESAR, 2 GURU DAN 1 EJEN INSURAN DI TAHAN


EMPAT individu iaitu seorang guru besar, dua guru dan seorang ejen insurans ditahan reman selama empat hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan - Foto Abd. Rahim Rahmat



KUALA LUMPUR: Empat individu iaitu seorang guru besar, dua guru dan seorang ejen insurans ditahan reman selama empat hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan kebocoran soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
Mereka adalah antara enam yang ditahan semalam dalam serbuan di Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Kuala Lumpur.
Tiga guru ditahan di Pulau Pinang, seorang di Parit Buntar, Perak dan seorang di Kuala Ketil, Kedah. Seorang ejen insurans pula ditahan di Sentul, Kuala Lumpur.
Dua orang guru pula dibebaskan atas jaminan polis malam tadi selepas diambil keterangan mereka.
Dalam prosiding di Putrajaya hari ini, Majistret Nur Dahlia Azmi mengeluarkan perintah reman itu bermula hari ini hingga Khamis ini terhadap empat lelaki berkenaan berumur antara 30 dan 50 tahun untuk siasatan mengikut Seksyen 8 (1) Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.
Seksyen 8 (1) OSA menetapkan jika seseorang yang ada dalam miliknya atau kawalannya sesuatu rahsia rasmi atau sesuatu perkataan kod, isyarat timbal atau kata laluan rasmi yang rahsia dan berhubungan dengan atau digunakan dengan apa-apa jua di sesuatu tempat, boleh dihukum penjara tidak kurang setahun dan maksimum tujuh tahun.
Setakat ini, seramai 12 individu sudah diambil keterangan yang terdiri daripada enam pegawai Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM), seorang wartawan dan lima guru.


Anggota polis mengiringi empat individu iaitu seorang guru besar, dua guru dan seorang ejen insurans untuk mendapatkan perintah tahanan reman bagi membantu siasatan berhubung kes kebocoran soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Isnin.
Berikutan kebocoran itu, kertas peperiksaan Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 dibatalkan selepas murid menduduki peperiksaan itu Khamis lalu manakala kertas peperiksaan Sains 018, 028 dan 038 turut ditangguhkan.
LPM menetapkan 30 September ini sebagai tarikh baharu bagi peperiksaan semua kertas itu.

Kantoi sebab kentut

Segamat: Seorang perompak yang bersembunyi di sebalik susunan tong gas ketika memecah masuk sebuah gudang di Paya Pulai di sini, kelmarin, berjaya ditahan polis.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.40 malam itu, suspek berusia 21 tahun memecah masuk sebuah gudang milik syarikat pembinaan bersama seorang rakannya sebelum kehadiran mereka dikesan sepasukan polis yang menjalankan rondaan.
Ketika itu, seorang daripada perompak berkenaan terus melarikan di ke dalam semak manakala suspek bersembunyi di sebalik susunan tong gas di dalam gudang itu.

Ketua Polis Daerah Superintendan Mohd Kamil Sukarmi berkata, pihaknya menerima laporan berlaku kejadian pecah masuk di gudang berkenaan dan bergegas ke lokasi bagi menjalankan siasatan awal.
Foto
PELBAGAI barangan antaranya peralatan kimpalan dan beberapa unit tong gas yang cuba dilarikan dua lelaki.

“Apabila tiba di lokasi, anggota kami dapat melihat dua lelaki memasuki gudang itu dan terus menghampiri kawasan berkenaan.

“Anggota kami memperkenalkan diri dan meminta mereka menyerah sebelum salah seorang daripada mereka melarikan diri ke kawasan gelap berhampiran semak dan gagal dikesan.

“Anggota yang menjalankan pemeriksaan di dalam gudang itu menggunakan lampu suluh sebelum terdengar bunyi kentut dan terhidu bau busuk,” katanya.



Credit: Ahmad Ismail