Sunday, 29 June 2014

Minum air buah ketika sahur untuk kekal cergas

Minum air buah ketika sahur untuk kekal cergas

MINUM air buah semasa bersahur adalah antara tindakan yang baik dalam memastikan umat Islam sentiasa bertenaga dan sihat sepanjang hari pada  bulan Ramadan ini, menurut pakar dietetik.

Ketua Jabatan Dietetik dan Sajian Hospital Kuala Lumpur (HKL), Ridzoni Sulaiman berkata dengan meminum air buah-buahan segar, ia dapat mencegah tubuh daripada mengalami dehidrasi pada bulan puasa ini.

Air buah-buahan ini mengandungi pelbagai jenis nutrien seperti vitamin, potasium dan glukosa, dan berperanan sebagai bekalan tenaga di dalam badan, katanya kepada Bernama baru-baru ini.

"Sebenarnya rasa letih, penat dan mengantuk bukannya disebabkan kekurangan makanan tetapi ia adalah disebabkan kuantiti air di dalam badan berada pada tahap rendah.

"Bila berlakunya dehidrasi, tubuh kita kehilangan air serta garam galian seperti sodium, potasium, kalsium, fosfat dan  sebagainya, sebab itu air memainkan peranan penting di dalam tubuh kita," tambahnya.

Memandangkan bulan Ramadan kali ini jatuh pada musim Monsun Barat Daya dengan cuaca yang panas dan kering, serta diburuk dengan jerebu yang tidak menentu dan ramalan fenomena El Nino akan melanda Malaysia pada pertengahan tahun ini, maka adalah perlu bagi umat Islam memastikan bekalan air dalam badan sentiasa dijaga.

Ridzoni berkata selain meminum air buah-buahan, orang ramai perlu mengelak daripada meminum kopi ataupun teh pada bulan puasa kerana minuman itu mempunyai kesan deuratik.

Minuman tersebut akan merangsang pengeluaran air kencing, dan akibatnya, badan akan mengalami dehidrasi dan tekak menjadi sangat haus, katanya.

Sementara itu, Pegawai Dietetik Pusat Pengajian Sains Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Mohd Hairil Nizam Abdul Hamid turut bersependapat pengambilan air yang mencukupi amat penting dalam menghadapi musim panas ketika berpuasa.

Katanya, kekurangan air ini boleh menyebabkan tubuh menghadapi masalah kerana 70 peratus daripada komposisi tubuh terdiri daripada air.

"Tubuh badan memerlukan sekurang-kurangnya lapan gelas air sehari bagi memastikan sel-sel tubuh dapat berfungsi dengan baik.

"Apabila tubuh mengalami dehidrasi masalah utama adalah buah pinggang kerana bila tubuh kekurangan air, buah pinggang akan kecut yang boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang, malah antara perkara lain yang boleh berlaku adalah pening dan pitam," katanya.

Tambah beliau, walaupun pengambilan air yang mencukupi dititikberatkan namun orang ramai turut dinasihat memakan makanan seimbang. - Bernama

Saturday, 28 June 2014

Tonton TV lebih tiga jam undang risiko mati muda

Tonton TV lebih tiga jam  undang risiko mati muda  Amalan menonton televisyen secara keterlaluan boleh meningkatkan risiko mati muda.

Golongan dewasa perlu kerap bersenam, elak tempoh rehat lama



Barcelona: Kajian di Sepanyol mendapati golongan dewasa yang menonton televisyen lebih tiga jam sehari meningkatkan risiko mereka untuk mati pada usia lebih muda. 

Penyelidik berkata, golongan berkenaan sebaliknya perlu bersenam lebih kerap, mengelakkan tempoh rehat terlalu lama dan mengurangkan menonton televisyen kepada sejam atau dua jam sehari. 
Hasil kajian kami konsisten dengan pelbagai kajian sebelum ini yang menunjukkan kaitan antara tempoh lama menonton televisyen dengan kematian” Miguel Martinez-Gonzalez, Pengerusi Jabatan Kesihatan Awam Universiti Navarra, Sepanyol

“Menonton televisyen menyebabkan diri tidak aktif dan gejala itu kian meningkat kini. Hasil kajian kami konsisten dengan pelbagai kajian sebelum ini yang menunjukkan kaitan antara tempoh lama menonton televisyen dengan kematian,” kata penulis utama kajian dan Pengerusi Jabatan Kesihatan Awam Universiti Navarra, Sepanyol, Prof Miguel Martinez-Gonzalez.

Kajian itu membabitkan seramai 13,284 graduan universiti di Sepanyol yang masih muda dan sihat, dengan purata umur 37. Daripada jumlah itu, 60 peratus adalah wanita.

Tiga aktiviti tak aktif

Tiga aktiviti tidak aktif iaitu masa menonton televisyen, masa menggunakan komputer dan masa memandu digunakan untuk menentukan risiko kematian. 


Peserta terbabit dipantau selama 8.2 tahun. Penyelidikan melaporkan 97 kematian, dengan 19 daripadanya disebabkan penyakit kardiovaskular, 46 akibat barah dan 32 lagi kerana pelbagai punca. 

Risiko kematian adalah dua kali ganda lebih tinggi di kalangan peserta yang dilaporkan menonton televisyen tiga jam atau lebih sehari berbanding mereka yang menonton sejam atau kurang.

Penemuan itu lebih jelas selepas mengambil kira pelbagai punca lain yang berkaitan dengan risiko tinggi kematian. Kajian mendapati tiada kaitan antara masa digunakan untuk komputer atau memandu dengan risiko tinggi kematian pada usia muda.

Kaji kesan memandu, guna komputer 

Penyelidik berkenaan menambah, kajian selanjutnya perlu dilakukan untuk mengesahkan kesan yang mungkin wujud antara penggunaan komputer atau memandu ke atas kadar kematian dan memastikan mekanisme biologikal yang menjelaskan kaitan itu.

“Penemuan kami menunjukkan golongan dewasa mungkin perlu meningkatkan aktiviti fizikal mereka, mengelakkan tempoh rehat yang panjang dan mengurangkan waktu menonton televisyen kepada tidak lebih sejam hingga dua jam sehari,” katanya. - AGENSI

Wednesday, 25 June 2014

Makan nasi kandar boleh positif dadah

Kuala Lumpur: Peminat nasi kandar diminta berhati-hati memakan makanan popular dari Utara Semenanjung itu kerana ujian air kencing ke atas mereka yang memakannya boleh positif dadah.

Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Selangor, Alias Jaafar, berkata ujian dilakukan anggotanya sendiri mendapati kandungan bahan rempah yang digunakan seperti kaskas menyebabkan kandungan air kencing menjadi positif seperti mengambil najis dadah.


“Pegawai kami sudah uji dengan makan nasi kandar. Lima orang yang buat ujian air kencing semuanya positif selepas makan. Oleh itu kena hati-hati, takut lepas makan, naik kereta ada sekatan jalan raya, tak pasal-pasal kita masuk lokap pula. 

Saintis Jepun dedah pembaca berita Android

SAINTIS di Jepun mendedahkan Android yang mampu membaca berita yang pertama di dunia. 

 

Android yang hampir menyerupai manusia tersebut mampu berjenaka dan juga mempunyai kemahiran bahasa yang sempurna.

 
Android yang kelihatan seperti seorang remaja tersebut 'Kodomoroid', merupakan gabungan perkataan 'Kodomo' yakni 'kanak-kanak' dan 'Android' yang bermaksud robot, telah menyampaikan berita gempa bumi dan serbuan FBI kepada wartawan di Tokyo.

Duduk barisan hadapan adalah 'Android"
 
"Anda juga kelihatan seperti robot!," Android tersebut mengusik profesor robotik, Hiroshi Ishiguro, dalam nada jenaka.
 
'Otonaroid' yang bermaksud 'Android dewasa' juga diperkenalkan dalam acara tersebut.
 


Kedua-dua Android tersebut akan 'bekerja' di Muzium Inovasi dan Sains Baharu di Tokyo.
 
"Kita akan mempunyai lebih banyak robot pada masa hadapan," Hiroshi memberitahu wartawan.
 
Hiroshi sendiri mempunyai Android peribadi yang beliau hantar ke luar negara untuk memberi ceramah.

Tuesday, 17 June 2014

Lembu Sesat Di Bumbung Rumah


Lembu ini sedang berusaha mencari jalan pulang.
BARANGKALI bosan menghabiskan masa dengan meragut rumput di padang yang sama setiap hari, lembu ini membuat keputusan untuk mencari padang rumput baharu.

Tetapi tindakan beraninya itu juga mungkin berakhir dengan kekesalan kerana pengembaraannya itu menyebabkan haiwan ini terperangkap di atas bumbung sebuah rumah di Switzerland.

Seorang pelumba basikal, Rolf Steiner ternampak haiwan itu di atas bumbung licin dan curam sebuah rumah di kawasan ladang berhampiran bandar Bern.

"Saya tidak percaya dengan apa yang saya lihat dan terpaksa melihat sebanyak tiga kali untuk memastikan apa yang saya lihat adalah benar. Seekor lembu berada di atas bumbung," katanya.

Lembu itu akhirnya berjaya mencari jalan pulang ke padang rumputnya, tetapi malangnya kepingan-kepingan jubin bumbung telah pecah.

"Dia sentiasa menjadi binatang yang paling cepat menaikkan kemarahan saya, sentiasa mahu saya ikut kehendaknya, bukan saya," jelas pemilik ladang, Dieter Mueller.

"Dia akan berada di sana untuk selama-lamanya jika dia mahu. Saya cuba untuk memujuknya supaya turun apabila pertama kali melihatnya di situ tetapi dia tidak akan berganjak.

"Dia memerlukan 'masa manisnya' sendiri. Dan saya akhirnya ditinggalkan dengan bil-bil untuk menggantikan jubin yang pecah," katanya.

Saturday, 14 June 2014

Tercekik telefon bimbit

Klerksdorp, Afrika Selatan: Insiden seseorang menderita kerana tercekik memang bukan sesuatu yang aneh, tetapi apa yang berlaku di Afrika Selatan ini boleh dianggap luar biasa.
Satu rakaman video dimuat naik di Internet menunjukkan sepasukan kakitangan perubatan berusaha mengeluarkan objek besar - yang kemudian dikenal pasti sebagai telefon bimbit - dari tekak seorang lelaki malang.
Video dirakam di sebuah hospital di Klerksdorp itu menunjukkan lelaki terbabit terbaring dan sukar bernafas ketika doktor menggunakan penyepit besi menarik objek yang menyekat kerongkongnya itu.

Tanpa mengetahui apa sebenarnya objek berkenaan, pasukan perubatan yang bertugas jelas terkejut dan tidak kurang juga ada gagal menahan ketawa apabila mendapati ia adalah telefon bimbit.
Foto
LELAKI tidak dikenali menderita sukar bernafas sehingga dia diselamatkan.

Walaupun video berkenaan baru dimuat naik, ia dipercayai dirakam pada Mei 2012 oleh Edwin Shingo yang juga seorang pegawai keselamatan yang menyaksikan kejadian luar biasa itu.
Bagaimanapun identiti lelaki terbabit tidak didedahkan dan tidak diketahui bagaimana dia boleh tertelan telefon bimbit berkenaan.
Unappetizing: A stomach-churning new video shows a cell phone being surgically removed from a man's mouth

Ia bukan kejadian kali pertama seumpamanya.

Pada 2005 seorang lelaki di Missouri dituduh melakukan serangan kejam dengan memaksa teman wanitanya menelan telefon bimbit ketika mereka bertengkar.

Wanita berusia 24 tahun itu terpaksa dikejarkan ke hospital untuk diselamatkan.


Video terbaru bertajuk “The guy with a cell phone in the mouth” mendapat 56,000 tontonan sejak dimuat naik minggu ini. - Agensi

Wednesday, 11 June 2014

Al-Quran ubat jiwa keresahan




Firman Allah yang bermaksud : “Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.” (Surah Al-Isra ayat 82).

BETAPA mahalnya harga ketenangan jiwa. Banyak yang mengorbankan apa saja untuk mendapatkannya. Namun, ramai yang salah cara. Lihat saja orang sanggup menghabiskan berjam-jam tenggelam di tempat hiburan meneguk minuman keras.
Ada yang menghabiskan wang yang banyak bagi mendapatkan pil penenang, namun ketenangan yang dicari tidak kunjung tiba. Ba­nyak perkara yang membuat seseorang berasa tertekan, kecewa dan kacau.
Pada peringkat ini, mereka yang menderita kerap melakukan tindakan di luar akal fikiran manusia. Namun, Islam memberikan ubat dan penawar merawat ketena­ngan. 

Berikut adalah langkah yang boleh dilakukan untuk mendapat ketenangan jiwa:
■ Membaca dan mende­ngarkan al-Quran 

Suatu ketika seseorang datang kepada Ibnu Mas’ud, salah seorang sahabat utama Rasulullah. Dia mengeluh: “Wahai Ibnu Mas’ud, nasihatilah aku dan berilah ubat bagi jiwaku yang gelisah ini. Seharian hidupku penuh dengan perasaan tidak tenteram, jiwa gelisah dan fikiranku kusut. Makan tak enak, tidur pun tidak nyenyak.” Ibnu Mas’ud menjawab: “Kalau penyakit itu yang menimpamu, maka bawalah hatimu mengunjungi tiga tempat. 


Pertama, tempat orang membaca al-Quran. Engkau baca al-Quran atau engkau dengar baik-baik orang yang membacanya. Kedua, engkau pergi ke majlis pengajian yang mengingatkan hatimu kepada Allah. 

Ketiga, engkau cari waktu dan tempat yang sunyi. Di sana, engkau bertafakur mengabdikan diri kepada Allah. Nasihat sahabat Nabi itu segera dilaksanakan orang itu. 

Apabila sampai di rumah, segera dia berwuduk kemudian diambilnya al-Quran dan dibacanya dengan penuh khusyuk. Selesai membaca, dia mendapati hatinya bertambah tenteram dan jiwanya tenang, fikirannya segar, hidupnya terasa baik kembali. 

Padahal, dia baru melaksanakan satu daripada tiga nasihat yang disampaikan sahabat Rasulullah itu. 



■ Menyayangi orang miskin 

Rasulullah memerintahkan kepada Muslim yang punya kelebihan harta untuk memberikan perhatian kepada orang miskin. 

Ternyata, sikap dermawan itu boleh mendatangkan ketenangan jiwa. Mengapa? Dalam sebuah hadis menjelaskan bahawa malaikat selalu mendoakan orang yang dermawan: “Setiap pagi hari dua malaikat senantiasa mendampingi setiap orang. Salah satunya mengucapkan doa: Ya Allah! Berikanlah balasan kepada orang yang berinfak. Dan malaikat yang kedua pun berdoa: Ya Allah! Berikanlah kepada orang yang kikir itu kebinasaan.” 



Daripada hadis berkenaan dapat disimpulkan bahawa orang yang dermawan itu akan memperoleh dua balasan. Pertama, dia mendapat ganjaran atas apa yang diberikannya kepada orang lain. 

Kedua, mendapatkan limpahan ketenangan jiwa dan belas kasihan daripada Allah. 


 Melihat orang yang di bawah, jangan lihat ke atas 

Ketenangan jiwa akan diperoleh jika kita senantiasa bersyukur atas segala pemberian Allah meskipun tampak sedikit. 

Rasa syukur itu akan muncul apabila kita senantiasa melihat orang yang keadaannya lebih rendah daripada kita, baik dalam hal kebendaan, kesihatan, rupa, pekerjaan dan pemikiran. 

Betapa banyak di dunia ini orang yang kurang beruntung. Rasa syukur itu selain mendatangkan ketenangan jiwa, juga ganjaran daripada Allah. 


■ Menjaga silaturahim 

Manusia adalah makhluk yang perlu menjalinkan hubu­ngan yang baik dengan manusia lain. Pelbagai keperluan hidup takkan mungkin boleh diraih tanpa adanya bantuan daripada orang lain. 

Dalam hadis Rasulullah diperintahkan untuk tetap menjalin silaturahim sekalipun terhadap orang yang melakukan permusuhan kepada kita. Rasulullah bersabda bahawa silaturahim dapat memanjang­kan umur dan mendatangkan rezeki. 


Hubungan yang baik di dalam keluarga, mahupun dengan tetangga akan menciptakan ketenangan, kedamaian dan kemesraan. Hubungan yang baik itu juga akan meleraikan sifat dengki, buruk sangka, iri hati, besar diri dan sebagainya. 

■ Banyak mengucapkan la hawla wa la quwwata illa billah 

Sumber ketenangan jiwa yang hakiki bersumber daripada Allah. Oleh itu, hendaklah kita selalu menghadirkan Allah dalam segala keadaan, baik dalam keadaan senang ataupun susah. 

Kuatnya hubungan kita de­ngan Allah akan membuatkan jiwa seseorang itu menjadi kuat, tidak mudah goyah. Apabila kita lalai mengingati Allah, maka ia membuka peluang bagi syaitan mempengaruhi fikiran kita. 


■ Mengatakan yang haq (benar) sekalipun pahit 

Hidup ini harus dijaga agar senantiasa berada di atas jalan kebenaran. Kebenaran harus diperjuangkan. 

Pelanggaran terhadap kebenaran akan mendatangkan kegelisahan. Ketenangan jiwa akan tercapai apabila kita tidak melanggar nilai kebenaran. 

Sebaliknya, pelanggaran terhadap kebenaran akan berpengaruh terhadap ketenangan jiwa. Lihat saja orang yang kerap melakukan maksiat dalam hidupnya, mereka akan berasa gelisah walaupun nampak senang dan ceria. 


■ Tidak ambil peduli terhadap celaan orang lain asalkan yang kita lakukan benar kerana Allah 
Salah satu faktor yang membuat jiwa seseorang tidak tenang adalah kerana selalu mengikuti penilaian orang terhadap dirinya. 

Seorang akan memiliki pendirian kuat jika berpegang kepada prinsip yang datang daripada Allah. 


■ Tidak meminta kepada orang lain 

‘Tangan di atas (memberi) lebih mulia dari tangan di bawah’ adalah hadis Rasulullah yang merangsang setiap mukmin untuk hidup berdikari. 

Tidak bergantung dan meminta-minta kepada orang lain kerana orang yang berdikari jiwanya akan kuat dan sikapnya lebih berani dalam menghadapi kehidupan. 

Sebaliknya, orang yang selalu meminta-minta menggambarkan jiwa yang lemah. 

■ Menjauhi hutang 

Dalam sebuah hadis, Rasulul­lah dengan tegas mengatakan: “Janganlah engkau jadikan dirimu ketakutan setelah merasai ketenangan!” Sahabat berta­nya: “Bagaimana boleh terjadi seperti itu! Sabdanya: Kerana hutang.” Begitulah kenyataan­nya. Orang yang berhutang akan senantiasa dihantui ketakutan kerana dia dikejar-kejar untuk segera membayarnya. 

Inilah salah satu faktor yang membuat ramai orang mengalami tekanan jiwa. Rasulullah juga mengatakan: “Hendaklah kamu jauhi hutang kerana hutang itu menjadi beban fikiran di malam hari dan rasa rendah diri di siang hari.” 


■ Selalu berfikir positif 

Mengapa seseorang mudah berasa tertekan? Salah satu faktornya kerana dia selalu dibayangi fikiran negatif, selalu mencela dan menyesali kekurangan diri. 

Padahal, kita diberikan Allah pelbagai kelebihan. Ubahlah fikiran negatif itu menjadi positif.

Ubahlah ungkapan keluh kesah yang membuat muka berkerut, badan lemas, ubahlah dengan ungkapan senang. 

Bukankah di sebalik kesulitan dan kegagalan itu ada hikmah yang boleh jadi pengajaran?

Haram doakan musibah, keburukan sesama Muslim

Doa sangat penting dalam kehidupan manusia dan pada masa tertentu boleh menjadi ‘senjata’ kepada umat Islam. 

Sekuat manapun usaha seorang hamba, ia masih memerlukan bantuan daripada Allah SWT. Jika ada hamba-Nya hanya bergantung pada usaha semata-mata tanpa memohon doa kepada Allah SWT, ia dianggap sebagai sia-sia dan menjurus kepada sifat angkuh kepada yang Maha Pencipta.


Allah berfirman dalam Surah Al-Ghaafir pada ayat ke-60 bermaksud: “Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Ku-perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombong diri daripada menyembah-Ku akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina dina.” 


Adab berdoa 

Bagaimanapun, sebagai umat Islam, kita diajar mengenai adab dan etika ketika berdoa. Dalam keadaan apapun, adab adalah perkara yang utama bagi orang Muslim. 

Wali Allah yang menguasai seni adab dalam berdoa mengajarkan banyak perkara yang harus diperhatikan sewaktu memohon doa kepada-Nya. 
Seorang daripada ulama dari Mesir iaitu Maulana Syeikh Mokhtar Ali Muhammad al-Dusuqi (Syeikh Tarikat Dusuqiyah Muhammadiyah) menasihati murid-muridnya adab untuk berdoa dan meminta sesuatu daripada Allah SWT. 

Ia dimulakan dengan bacaan doa bermaksud: “Ya Allah, jadikanlah hamba-Mu ini orang yang pandai bersyukur”. Jika sentiasa berdoa seperti itu maka kita akan mendapat nikmat yang berlipat kali ganda. 

Selain itu, antara adab dan etika ketika berdoa juga adalah kita perlu menghadap kiblat, berada dalam keadaan suci, berzikir, beristighfar dan berselawat ke atas Nabi. 

Saidina Ali Abi Talib pernah menyatakan bahawa semua doa akan terhenti di langit sehingga ia diiringi dengan selawat kepada Nabi Muhammad SAW dan ahlul-baitnya. 


Haram doakan musibah 

Di dalam Islam, kita diharamkan daripada mendoakan sesuatu musibah dan keburukan kepada umat Islam dan makhluk ciptaan Allah. 

Berdoalah dengan penuh pengharapan dan mintalah dari Allah dengan penuh keyakinan serta kepercayaan bahawa Allah Maha Kuasa atas segala-galanya. 

Jika doa kita tidak termakbul, janganlah kita berputus asa dan teruskan berdoa dengan penuh pengharapan kerana jika doa kita tidak dimakbulkan di dunia, berkemungkinan besar Allah ingin memberikan ganjaran berlipat kali ganda di akhirat kelak. 

Jika doa kita dimakbulkan oleh Allah S.W.T janganlah bersifat angkuh dan sombong malahan bersyukur dengan kurniaan-Nya. 

Carilah saat-saat afdal untuk berdoa, seperti di pertengahan malam, pada bulan Ramadan, malam nisfu Syaaban, Lailatul Qadar, ketika wukuf di Arafah dan sebagainya.




Credit: Muhammad Luqman Ahmad

Wednesday, 4 June 2014

Lelaki, wanita perlu jawab salam, jaga silaturahim

Memerhatikan dalil al-Quran dan sunah secara umum, tidak ada perbezaan antara lelaki dan wanita dalam hal menyebarkan salam. 

Arahan itu sama seperti yang disebut dalam kebanyakan hadis yang menyeru umat memberi makan, menyebarkan salam dan menjaga silaturahim. 

Hadis sahih menyebut: “Demi diriku yang di tangan-Nya, kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman. Dan kamu tidak dikira beriman sehingga kamu saling berkasih sayang. Apakah kamu mahu aku tunjukkan satu perkara apabila kamu melakukan perkara itu, kamu saling mencintai. Sebarkan salam antara kamu.” (Riwayat Muslim).


Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan satu ucapan hormat, maka balaslah ucapan hormat itu dengan ucapan lebih baik atau balaslah dengan ucapan yang sepadan. Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap sesuatu.” (Surah an-Nisa’, ayat 86) 


Wanita, lelaki perlu jawab salam 

Hukum asal ayat itu ditujukan kepada lelaki dan perempuan kecuali ada dalil khusus ditujukan kepada satu pihak saja. Jika seorang Muslim memberi salam kepada seorang wanita Islam, wanita itu perlu menjawab salam dengan ucapan salam yang lebih baik atau seumpamanya. 

Riwayat al-Bukhari: “Ummu Hani anak kepada Abi Talib, sepupu Nabi SAW menyatakan, beliau pergi ke rumah Rasulullah SAW pada tahun pembukaan kota Makkah. Pada ketika itu Rasulullah SAW sedang mandi dan anak perempuan Baginda Fatimah menutupi Baginda dengan kain. Ummu Hani memberi salam kepada Rasulullah SAW dan Baginda bertanya: Siapakah itu. Ummu Hani menjawab: Aku Ummu Hani, anak perempuan kepada Abu Talib. Rasulullah SAW berkata: Selamat datang Ummu Hani.”

Usahawan terbilang

BERNIAGA menerusi internet adalah perkembangan terkini dalam inovasi dunia perniagaan. - Gambar hiasan

SUATU hari Rasulullah SAW menyerahkan wang satu dinar kepada Urwah bin al-Jaad al-Bariqi. Baginda menyuruhnya pergi ke pasar untuk membeli seekor kambing korban.

Satu dinar biasanya hanya cukup untuk membeli seekor kambing. Namun kerana kepakarannya dalam berjual beli, Urwah mampu mendapat dua ekor kambing dengan satu dinar tersebut.

Di tengah perjalanan pulang, beliau berjumpa dengan seseorang yang berminat membeli salah seekor kambing yang dibawanya. Urwah lalu menjualnya dengan harga satu dinar.

Apabila berjumpa baginda Nabi SAW, Urwah berkata: "Wahai Rasulullah, ini wang dinar milik tuan. Dan ini kambing milik tuan."

Rasulullah SAW terkesan dengan kepandaian Urwah. Baginda mendoakan Urwah dengan sabdanya: "Ya Allah, berkatilah Urwah dalam setiap transaksi yang beliau lakukan."

Selepas doa Nabi SAW itu, Urwah menjadi seorang peniaga yang sangat berjaya. Sehingga dikatakan, andai ia menjual debu sekalipun, ia pasti akan mendapatkan untung. Pada akhir hayatnya, Urwah menetap di Kufah dan menjadi salah seorang yang paling kaya di negeri tersebut.

Kisah ini diriwayatkan oleh ramai ahli hadis antaranya al-Bukhari, Abu Dawud, al-Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Baihaqi dengan lafaz yang saling melengkapi satu sama lain.


Galakan berniaga

Urwah al-Bariqi ialah seorang sahabat Nabi SAW layak menjadi model usahawan Muslim. Beliau pandai menggunakan modal yang tidak seberapa untuk meraih keuntungan yang berlimpah. Dan doa Nabi SAW untuk beliau menunjukkan keredaan baginda atas perbuatan yang beliau lakukan.

Menceburi bidang perniagaan memang sangat digalakkan dalam Islam. Rasulullah pernah ditanya: "Pekerjaan apakah yang terbaik?" Baginda menjawab: "Seseorang yang menggunakan kemahiran tangannya dan setiap jual beli yang halal." (riwayat Ahmad)

Para ulama menyebut perniagaan sebagai salah satu kaedah mencari rezeki yang paling mulia. Tentu sahaja syaratnya apabila perniagaan tersebut bersih daripada penipuan, monopoli, riba dan perkara haram lainnya.


Ulama profesional

Melihat kepada lembaran sejarah hidup para ulama, kita akan mendapati ramai dalam kalangan tokoh ilmuwan dunia Islam ternyata juga para peniaga sukses. Mereka antaranya ialah: Imam Abu Hanifah, Imam Laith bin Saad, Imam Abdullah bin al-Mubarak, dan lain-lain.

Para ulama ini membuktikan bahawa jalan kejayaan boleh diraih tanpa menempuh jalan yang haram di sisi syarak. Mereka bukan hanya pakar dalam teori halal dan haram, namun juga praktis dalam bidang tersebut.
Motivasi mereka dalam perniagaan pun sangat mulia. Motivasi itu bukan untuk memperkaya diri, akan tetapi mempertingkatkan diri agar lebih dekat kepada ilahi.

Ibnu al-Mubarak pernah ditanya tentang motif perniagaan beliau. Ulama dan usahawan besar ini menjawab: "Aku melakukannya untuk menjaga air muka, memelihara kehormatan, dan membantu diriku dalam ketaatan."

Jika semangat dan motivasi keusahawanan ini dimiliki setiap Muslim, sudah pasti umat Islam akan menjadi bangsa yang disegani. Mereka kuat dalam ekonominya sebagaimana kuat dalam iman dan akidahnya. Wallahu a’lam.

Tuesday, 3 June 2014

Kesenangan dunia sebagai ujian kepada manusia

Pada dunia akhir zaman ini, golongan muda seharusnya diberi perhatian kerana mereka mudah terpedaya dengan dugaan dunia. Dalam konteks ini, Ashabul Kahfi adalah contoh terbaik kerana berani melawan arus. 

Mereka adalah anak muda yang tegas berpegang kepada prinsip kebenaran walaupun ia berisiko tinggi. Pada akhir zaman, golongan yang akan berjaya adalah mereka yang bersikap seperti Ashabul Kahfi ini. 


Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad) bahawa kisah Ashabul Kahfi dan al-Raqim (nama batu bersurat) itu saja yang menakjubkan antara tanda yang membuktikan kekuasaan Kami?” (Surah al-Kahfi, ayat 9) 


Penyebaran media massa pada akhir zaman akan menjadi begitu dahsyat sehingga mengubah nilai hidup manusia seperti perbuatan zina dihalalkan, mereka yang rendah moral dan mendedahkan aurat menjadi ikutan, pergaulan bebas dianggap lambang kemajuan dan amanah menjadi bahan permainan. 

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “(Iaitu orang yang telah sia-sia usahanya dalam kehidupan dunia sedangkan mereka menyangka mereka sentiasa betul dan baik pada apa saja yang mereka lakukan.” (Surah al-Kahfi, ayat 104) 

Tambahan pula, orang kafir sentiasa menginginkan umat Islam berpecah dan masuk ke dalam golongan mereka. Mereka tidak akan berhenti mencari helah untuk memerangkap umat Islam sehingga berjaya dengan menggunakan cara halus. 

Selain itu, umat Islam seharusnya mengawasi keseronokan sementara duniawi seperti hiburan yang melampaui batas dan melanggar syariat Islam. Kesenangan dunia adalah fitnah dan ujian bagi setiap manusia yang hidup di muka bumi ini. 
Jika ia diambil dengan sikap dan cara yang betul, seperti yang dilakukan oleh Nabi Sulaiman maka akan menguntungkan umat Islam di dunia dan akhirat. 
Sebaliknya apabila manusia sudi memperhambakan dirinya kepada lembah kehinaan, maka kebinasaan akan menimpa mereka di akhirat kelak. 

Allah SWT mengingatkan dalam firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya kerana Kami hendak menguji mereka, siapakah di kalangan mereka yang lebih baik amalnya.” (Surah al-Kahfi, ayat 7) 
Umat Islam perlu mempunyai matlamat yang jelas supaya tidak terpedaya dengan keseronokan dunia yang hanya sementara. Justeru, umat Islam haruslah sentiasa mengamalkan surah Al-Kahfi pada setiap hari Jumaat supaya dapat melindungi diri daripada fitnah Dajjal kelak.

Credit: Muhammad Luqman Ahmad

Islam bawa rahmat ke seluruh umat

Al-Quran, al-Sunah beri panduan lengkap setiap aspek hidup insangambar masjid cantik di dunia
Masjidil Haram, Makkah

Islam adalah anugerah nikmat tiada ternilai yang dikurniakan Allah SWT kepada umat manusia. Islam diutuskan Allah melalui pesuruh-Nya Rasulullah SAW untuk menyelamatkan warga alam ini daripada terjerumus ke kancah kesesatan dan sebagai gantinya Islam menaungi alam semesta. 

Hagia Sophia Mosquedi Istanbul Turkey

Islam datang ke alam semesta dalam keadaan tidak dikenali. Oleh itu, Islam dipulau, dihina dan ditentang hebat orang kafir Musyrikin. Situasi inilah yang dihadapi Rasulullah SAW pada detik permulaan menyebarkan dakwah Islam kepada masyarakat Arab. 



Selimiye Mosque di Edirne, Turkey

Sabda Rasulullah SAW: “Islam itu bermula dalam keadaan dagang dan akan kembali dalam keadaan dagang, maka beruntung dan berbahagialah golongan ghuraba’ iaitu pedagang-pedagang. Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Siapakah golongan pedagang itu? Lantas Baginda menjawab: Mereka itulah golongan manusia yang melakukan islah atau reformasi di saat berleluasanya kerosakan, kezaliman dan penindasan di kalangan manusia.” (Riwayat Muslim) 


Grand Mosque di Paris, France

Setelah Islam bertapak kukuh di bumi Madinah, Islam diangkat sebagai teras yang mendasari segala aspek kehidupan ummah. Ini bermakna Islam dipraktikkan secara menyeluruh oleh generasi Rasulullah SAW dan sahabat sehingga mereka muncul sebagai generasi terbaik dan contoh umat terkemudian. 



Banya Bashi Mosque di Sofia Bulgaria.

Pengiktirafan mereka sebagai umat contoh dan terbaik yang dilahirkan Islam telah diperakui sendiri oleh Allah SWT melalui firman-Nya yang bermaksud: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).” (Surah Ali-Imran, ayat 110) 



Sehitlik Mosque di Berlin, Jerman

Bertolak dari sini, generasi Rasulullah SAW dan sahabat mengorak langkah melebarkan sayap Islam ke seluruh pelusuk bumi yang terbentang luas ini hingga mampu menumpaskan dua kuasa besar dunia ketika itu iaitu Empayar Rom dan Parsi. 



Emperor Mosque diSarajevo Bosnia Herzegovina

Akhirnya, Empayar Islam mengambil tempat gah di persada dunia memantulkan nilai Islam ke seluruh warga alam semesta. Ringkasnya, kedatangan Islam memberikan kerahmatan, kemuliaan dan kesejahteraan kepada umat Islam sehingga memegang tampuk pemerintahan dunia satu ketika dulu. 



Kul Sharif Mosque di Kazan Russia

Perlu ditegaskan bahawa kesemuanya ini adalah janji dan jaminan Allah kepada orang yang beriman kepada-Nya. Apa yang dijanjikan Allah ini telah berlaku dan pasti akan berlaku pada masa akan datang. 



Suleymaniye Mosque di Istanbul, Turkey

Satu perkara lagi yang perlu diberi perhatian dalam hal ini ialah usaha umat Islam menuju kemuncak kejayaan itu bukanlah satu perkara yang mudah dicapai atau boleh dipandang enteng. Sebaliknya ia mempunyai syarat tertentu yang wajib dipenuhi. 



Zentral Moschee di Jerman

Syarat itu adalah antara formula dan rahsia yang telah melonjakkan generasi Rasulullah SAW dan sahabat sebagai generasi terbaik. Antara formula itu ialah beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dengan sebenar-benar iman. 



Stockholm Mosque di Sweden

Pada masa sama, setiap Muslim dituntut patuh dan tunduk kepada segala perintah Ilahi dan menjauhi segala larangan-Nya. Begitu juga, kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya hendaklah mengatasi segala-galanya daripada kecintaan kepada dunia, anak isteri, harta, pangkat dan kedudukan. 



Masjid di Skoder, Albania

Seterusnya, konsep ibadah dalam Islam sewajarnya dihayati dan diterjemahkan secara keseluruhannya di alam realiti kehidupan semasa. 

Sultan Ahmed Mosque di Istanbul, Turkey

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah! Sesungguhnya solatku dan ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagi-Nya dan yang demikian saja aku diperintahkan dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintah-Nya).” (Surah al-An’am, ayat 162-163) 



Masjid di Rotterdam, Netherlands

Apa yang berlaku kini, umat Islam begitu asyik menayangkan nostalgia silam yang gemilang tanpa mengambil iktibar terhadap yang telah berlaku satu ketika dulu. Sepatutnya, apa yang berlaku dijadikan pengajaran untuk mengulang kegemilangan itu. 



Vienna Islamic Centre di Austria

Justeru, Islam sewajibnya diletakkan di tempatnya yang sewajarnya sebagai teras menunjangi setiap lapangan hidup manusia. Ini kerana tidak ada satu masalah pun di dalam kehidupan ini melainkan Islam mempunyai penawarnya dan jalan penyelesaiannya yang ampuh. 



Piyale Pasha Mosque di Istanbul, Turkey

Di sini terletaknya ciri-ciri keunikan dan keistimewaan yang menghiasi Islam hingga diiktiraf sebagai ad-Din paling sempurna dan lengkap dengan sistem atau cara hidup menyeluruh. 



Selimiye Mosque di Edirne, Turkey

Islam yang bersumberkan al-Quran dan al-Sunah perlu dihayati secara keseluruhannya, bukannya diambil sebahagiannya dan ditolak sebahagian yang lain kerana turutkan kehendak hawa nafsu yang menyeleweng.



Masjid Kristal, Terengganu, Malaysia


Credit: Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi