Friday, 15 January 2016

10 Tanda Anak Anda Hidap Autisme. Kenal Pasti Sebelum Terlambat!

Secara ringkasnya, Autisme boleh dilabelkan sebagai satu gangguan dimana kanak-kanak menghadapi kesukaran dalam berinteraksi dan komunikasi (lisan dan bukan lisan), tingkah laku berulang-ulang serta obsesi melampau terhadap sesuatu objek yang berpusing.
Penyakit ini tidak dapat dikesan sebelum atau sewaktu anak anda baru dilahirkan. Anda boleh mula memerhatikan petanda-petandanya apabila umur sudah menjejak 12 bulan dan ke atas. Tetapi secara jujurnya, anak istimewa ini kelihatan sangat biasa seperti kanak-kanak lain di sekitar mereka.
Sebagai ibu bapa yang prihatin, anda harus peka terhadap tingkah laku si anak. Pengesanan di peringkat awal adalah penting supaya dapat membantu mereka untuk pulih. Jika lewat kelak akan memberi kesan langsung terhadap perkembangannya terutama dari segi mental.

10 TANDA ANAK ANDA HIDAP AUTISME

1. Sangat-sangat susah untuk memahami arahan apatah lagi melaksanakannya
2. Lebih gemar menyampaikan pesanan melalui isyarat tangan, bukannya lisan
3. Eye contact adalah sesuatu yang asing baginya. Mengelak bertentangan mata semasa bercakap
4. Menolak untuk disusui oleh ibunya
5. Tidak mengecam ibu bapanya. Di mata mereka, semua orang adalah sama
6. Sering terjaga pada tengah malam lantas menganggu sesiapa sahaja di sekitarnya
7. ‘Alergik’ dengan sentuhan. Berasa tidak selesa apabila orang lain menyentuhnya
8. Tidak menyukai permainan seperti kebiasaan kanak-kanak lain
9. Suka meluangkan masa bersendirian
10. Minat terhadap benda yang pelik seperti suis lampu, benda berpusing
Jangan panik sekiranya anak anda memiliki tanda-tanda di atas. Jumpa doktor pakar autisme untuk mengesahkannya dan dapatkan khidmat nasihat tentang apa yang harus dilakukan.
baby-einstein450
Namun, jangan berasa sedih sekiranya anak anda memang disahkan autisme. Albert Einstein merupakan antara penghidap autisme di zaman kanak-kanaknya. Lambat bercakap, sukar berkomunikasi dengan orang lain. Tetapi lihat apa yang terjadi terhadapnya sewaktu membesar. Terlampau banyak sumbangannya terhadap perkembangan sains dunia. Isaac Newton pun menunjukkan simptom autisme sewaktu kecil ðŸ˜‰
Berurusan dengan anak autisme memang sangat memenatkan. Oleh itu, anda harus sentiasa bersabar dan melayan sahaja karenah mereka. Insyaallah banyak pahala anda kerana menjaga anak istimewa ini.

Credit: Timang Tingi-Tinggi, M Zanna, Ohsem Mamma

Wednesday, 16 December 2015

Mengasihi Ibu Bapa

Apakah Tanggungjawab Anak Lelaki Kepada Kedua Ibu bapa Selepas Berkahwin?
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْÙ…ِ ٱللَّÙ‡ِ ٱلرَّØ­ْÙ…َÙ€ٰÙ†ِ ٱلرَّØ­ِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Ramai dikalangan anak lelaki yang telah berkahwin mengabaikan tanggungjawabnya kepada kedua ibu bapanya. Mereka menyerahkan kepada kakak atau adik perempuan untuk menguruskan ibu bapa mereka yang sudah uzur. Perbuatan ini adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab. Perlu difahami bahawa perhubungan dan tanggungjawab anak lelaki terhadap ibu bapanya tidak akan terputus walaupun ia telah mendirikan rumahtangga. 
Sebaliknya anak perempuan apabila mereka berkahwin sahaja maka tanggungjawabnya dibawah jagaan suaminya. Darisegi tanggungjawab untuk menjaga dan memberi nafkah kepada ibu bapa untuk anak perempuan terputus. Melainkan dengan izin dan reda suami anak-anak perempuan atas kerelaannya boleh berkhidmat kepada kedua ibu bapanya.
Walaupun ia berhajat ingin berkunjung ke rumah ibu bapanya sendiri si isteri hendaklah terlebih dahulu meminta izin kepada suaminya. Jika kalian yakin bahawa keperluan hidup keluarga terjamin dari segi tempat tinggal dan makanan mereka, maka teruskanlah membantu kedua ibu bapa kalian demi kebahagiaan kalian sendiri baik di dunia mahupun di akhirat.
Keinginan isteri untuk bermewah-mewah sehingga mengabaikan tangungjawab kita terhadap ibu bapa sendiri adalah merupakan perkara yang tidak terpuji. Adalah lebih baik suami memberikan nasihat secara baik dan hikmah agar ia memahami kedudukan yang sebenar menurut syarak. Maka tugas seorang suami mendidik isteri menjadi wanita solehah dan tidak mengikut kehendak nafsunya secara berlebih-lebihan.
Disini kami kemukakan sebuah hadis yang agak panjang tentang sikap seorang anak lelaki yang melarang bapanya mengambil sedikit hartanya yang terjadi pada zaman Rasulullah SAW.
Diriwayatkan dari jabir Ibnu Abdillah ia berkata bahawa seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah SAW lalu berkata: "Ya Rasulullah, sesungguhnya ayahku telah mengambil hartaku".
Kemudian malaikat Jibril pun turun kepada Rasulullah SAW dan berkata: "Allah Azza Wajalla menyampaikan salam kepadamu. Apabila orang tua itu datang kepadamu maka tanyalah kepadanya tentang sesuatu yang dikatakan dalam dirinya dan hanya di dengar oleh telinga saja".
Tatkala orang tua itu datang, Rasulullah SAW pun bertanya: "Mengapa anak lelakimu mengeluh tentang sikapmu, dan apakah engkau ingin mengambil hartanya ?".
Orang tua itu pun berkata: "Tanyalah kepada anak lelaki ku itu ya Rasulullah, apakah aku menggunakannya bagi salah seorang ibu saudaranya atau bagi diriku".
Rasulullah SAW berkata: "Janganlah ceritakan hal ini kepada kami, beritahulah aku tentang sesuatu yang engkau ucapkan dalam dirimu dan hanya didengar oleh kedua telingamu". (sesuai dengan perintah malaikat Jibril tadi)
Orang tua itu pun berkata: "Demi Allah, ya Rasulullah, Allah SWT selalu menambah keyakinan kami terhadap diri baginda. Aku telah mengucapkan sesuatu dalam diriku yang hanya didengar oleh kedua telingaku".
Rasulullah SAW bersabda: "Katakanlah agar saya dapat mendengarnya". Orang tua itu pun berkata:
"Ku beri engkau makan ketika masih bayi dan ku biayai engkau ketika dewasa.
Engkau minum dari rezeki yang kuberikan kepadamu.
Bila engkau sakit di waktu malam, aku tidak tidur dan gelisah semalaman kerana penyakitmu.
Seakan akulah yang terkena penyakit itu bukannya engkau sehingga akhirnya aku menangis.
Diriku takut jika engkau binasa.
Supaya engkau tahu bahawa maut memiliki waktu tertentu.
Tatkala engkau menjadi besar dan mencapai akhir usia, aku pun tidak mengharapkanmu.
Engkau balas aku dengan kekerasan dan kebengisan, seakan-akan engkaulah pemberi kenikmatan dan kurnia.
Jika engkau tidak memelihara hak aku sebagai seorang bapa cukupah engkau lakukan seperti yang dilakukan tetangga yang berdekatan.
Lalu engkau penuhi hak tetangga terhadapku dan tidak kikir kepadaku dengan harta yang bukan hartamu".
Ketika itu Rasulullah SAW memegang leher baju anak lelaki tersebut dan berkata: "Engkau dan hartamu milik ayahmu".
Sahabat yang di muliakan,
Dengan hadis diatas maka lebih jelaslah bagi kita betapa penting tanggungjawab anak lelaki terhadap kedua ibu bapa. Walaupun dia sudah berkahwin dan mempunyai tanggungan isteri dan anak-anaknya tetapi tanggungjawab kepada kedua ibu bapa tidak boleh diabaikan.
Sekiranya ibu bapanya miskin tidak berharta, sebagai anak wajiblah membantu kedua ibu bapanya dan tidak menjejaskan nafkahnya kepada ahli keluarganya sendiri. Kerana keredaan Allah SWT bergantung kepada keredaan ibu dan bapa.
Sebagai seorang anak HARAM mengungkit-ungkit pemberian dan bantuannya kepada kedua ibu bapanya. Jika mereka (anak lelaki) tersebut tidak bertaubat dan minta maaf kepada kedua ibu bapanya kerana telah mengecilkan hatinya dia telah menjadi ANAK DERHAKA.
Anak lelaki perlu sentiasa bertanya khabar dan menziarahi kedua ibu bapanya dikampung terutama sekiranya mereka telah tua dan uzur pula. Amalan ini penting kerana kebahagiaan itu bukan terletak pada harta sahaja tetapi ianya terletak di hati dan sanubari cinta dan kasih kepada mereka semata-mata kerana mencari keredaan Allah SWT.

Isteri tidak boleh menghalang atau menyekat perhubungan kasih sayang dan prihatin suaminya kepada kedua ibu bapanya kerana hak anak tetapi wujud walaupun dia sudah mempunyai keluarganya sendiri.
Isteri harus menyayangi dan mengasihi ibu dan bapa mertuanya dan dia tidak boleh hanya mementingkan ibu dan bapanya sahaja kerana anggaplah bahawa ibu bapa suaminya adalah sama seperti ibu dan bapanya sendiri.
Oleh itu seorang suami janganlah terlalu mengikut kehendak isterinya sekiranya dia menghalang suaminya berbaik-baik dengan kedua ibu bapanya sendiri hingga dia tergolong sebagai anak yang derhaka dan tidak mendapat rahmat daripada Allah SWT, nauzubillahi minzalik.




Credit: Surau Taman Bunga Raya

Sayangi ibu bapa




Sahabat yang dimuliakan,
Apabila seorang lelaki Muslim berkahwin ia bertanggungjawab memberi nafkah dan segala keperluan kepada isterinya. Samaada nafkah zahir dan batin dan asas pendidikan Islam. Dengan kadar keperluan mengikut kemampuan suami. Bila dikurniakan anak-anak maka  tanggungjawabnya akan bertambah kerana telah menjadi ayah untuk menyara segala keperluan nafkah dan pendidikan anak-anaknya pula.

Walaubagaimana pun ia telah memiliki keluarganya sendiri tetapi tanggungjawab kepada kedua ibu bapanya tidak boleh diabaikan kerana ia masih terikat dengan tanggungjawab tersebut.

Dalam Hadith Sahih Bukhari, seorang lelaki bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w. maksudnya :
“Siapakah yang perlu kita hormati dan kasihi selepas Allah dan Nabi?”
Jawab Nabi “Ibu kamu”
“Selepas itu?”-
“Ibu kamu”
“Selepas itu?”-
“Ibu kamu”
Kali ke 4 lelaki itu bertanya, “Selepas itu?”
Jawab Nabi “Ayah kamu”

Lihatlah betapa tingginya nilai ibu di dalam Islam. Seorang ibu tidak ada apa cara sekalipun dapat kita membalasnya. Seorang lelaki datang kepada Sayyidian Umar al-Khattab r.a dan berkata, "Saya telah mendokong ibu saya sepanjang tawaf dan haji, sudahkah saya dapat membalas jasa ibu." Jawab Umar r.a., " Kamu belum dapat membalas jasa ibumu walaupun setitis air mata ibumu semasa melahirkanmu."

Hadis di atas menjelaskan  selepas Allah dan Rasul-Nya, orang yang perlu dihormati dan dikasihi adalah ibu dan bapa. Bukan setakat menghormati dan mengasihi mereka tetapi segala keperluan hidup ,keselamatan  dan hak-hak mereka perlulah di penuhi sekadar kemampuan si anak tadi.

Menurut Al Qurthubi, derhaka kepada kedua orang tua ialah menyalahi perintah keduanya, sebagaimana bakti keduanya bererti mematuhi perintah mereka berdua. Berdasarkan ini jika keduanya atau salah seorang dari mereka menyuruh anaknya, maka anaknya wajib mentaatinya, jika perintah itu bukan maksiat. Meskipun pada asalnya perintah itu termasuk jenis mubah, begitu pula bila termasuk jenis mandub (sunat).

Dalam sebuah hadis dijelaskan, Rasulullah s.a.w. bersabda: Dari Abdullah bin Amr, ia berkata: "Seorang lelaki datang kepada Rasulullah, lalu berkata: 'Wahai Rasulullah, aku datang untuk berjihad bersama baginda kerana aku ingin mencari redha Allah dan hari akhirat. Tetapi aku datang kesini dengan meninggalkan ibu bapaku dalam keadaan menangis'. Lalu sabda baginda: "Pulanglah kepada mereka. Jadikanlah mereka tertawa seperti tadi engkau jadikan mereka menangis". (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Jadi perintah ibu atau bapa yang bukan bersifat maksiat atau mempersekutukan Allah, maka kita wajib mentaatinya. Namun jika perintah nya bersifat melawan kehendak dan hukum agama, maka tolaklah dengan cara yang baik.

Sahabat yang dimuliakan,
Seorang wanita apabila telah berkahwin, segala tanggungan dirinya adalah adalah dibawah tanggungan suaminya. Amanah ini terlah diserahkan oleh bapa wanita tadi kepada suaminya.

Bagaimana pandangan Islam kedudukan wanita tersebuat terhadap ibu bapanya?

Islam amat menitik beratkan soal silaturahim, perhubungan sebagai anak dan ibu bapa perlu diteruskan seperti biasa. Wanita kena mentaati suaminya dan diberi keutamaan daripada arahan ibu bapanya kerana tanggungjawab dan ketaatan isteri perlu diberikan kepada suaminya. Walaubagaimana pun Islam melarang suami berlaku tidak adil kepada isterinya jika ada sesuatu keperluan ia ingin membantu ibu bapanya yang susah dan memerlukan bantuan.

Pihak suami perlu ingat bahawa setelah ia mengawini wanita tersebut ibu bapa mertuanya adalah telah menjadi mahramnya dan sama taraf dengan ibu bapanya sendiri. Perlulah diberi kasih sayang dan segala keperluan dan hajat mereka berdua jika mereka terdiri daripada orang miskin perlulah diberi bantuan .

Kedua-duanya (suami dan isteri)  wajib berbuat baik kepada kedua orang tua (kedua-dua belah pihak)  selagi ada hayat mereka di dunia ini. Berbuat baik dalam erti kata menyenangkan hati kedua-duanya dan menjaga serta memberikan apa-apa keperluan mereka. Anak perempuan tidak terlepas tanggungjawab dan berbakti kepada orang tuanya. Jika dia mampu dia juga hendaklah berbuat baik kepada kedua ibu bapanya.

Dalam Islam, lelaki adalah ketua keluarga, sebab itulah anak lelaki diberikan lebih tanggungjawab untuk menyara orang tua nya walaupun selepas berkahwin jika dibandingkan dengan perempuan yang kurang tanggungjawabnya untuk berbuat demikian selepas berumah tangga. Sebab itulah dalam Islam anak lelaki beroleh 1/2 nisbah faraid berbanding dengan anak perempuan, ini menunjukkan betapa Islam menghargai tanggungjawab yang dipikul oleh anak lelaki sebagai ketua keluarga.

Namun pendapat yg mengatakan anak perempuan langsung tidak mempunyai tanggungjawab terhadap ibu bapa selepas berkahwin adalah salah sama sekali. Cuba bayangkan jika ibu bapa itu mempunyai 6 orang anak dan kesemuanya adalah perempuan adakah penat lelah selama mereka membesarkan anak-anaknya langsung tidak akan dihargai anak-anaknya selepas anak-anak tersebut berumah tangga? Ini adalah sesuatu yang tidak adil memandangkan mereka tidak merancang untuk mempunyai anak perempuan semuanya.

Di zaman sekarang telah berubah, semua perempuan telah berkerjaya, seharusnya kedua-duanya anak lelaki dan perempuan sama-sama membantu untuk menyara kedua ibu bapa mereka yang telah tua sebagaimana kedua ibu dan bapa telah menyara mereka semuanya.

Walaubagaimana pun sebelum apa-apa bantuan yang ingin diberikan, isteri perlulah meminta  keizinan dan redha daripada suami, sesungguhnya seorang suami yang Mukmin tidak akan menghalang sekiranya isterinya ingin membantu dan memberi khidmat kepada kedua ibu bapanya yang memerlukannya. Isteri perlu faham bahawa redha Allah bergantung kepada redha suami tetapi bagi anak lelaki redha Allah bergantung pada redha ibu bapa.

Sahabat yang dihormati,
Dalam Islam lelaki bujang kena tanggung dosa sendiri apabila sudah baligh manakala dosa gadis bujang ditanggung oleh bapanya. Lelaki berkahwin kena tanggung dosa sendiri, dosa isteri, dosa anak perempuan yang belum berkahwin dan dosa anak lelaki yang belum baligh. 

Hukum menjelaskan anak lelaki kena bertanggungjawab ke atas ibu dan bapanya dan sekiranya dia tidak menjalankan tanggungjawabnya maka dosa baginya terutama anak lelaki yang tua. Manakala seorang perempuan hanya perlu taat kepada suaminya.

Isteri berbuat baik pahala dapat kepadanya kalau buat tidak baik sedang suaminya membiarkan sahaja tidak menasihatinya maka  dosanya ditanggung oleh suaminya.

Suami kena bagi nafkah pada isteri, sedangkan pendapatan isteri tidak perlu menanggung nafkah keluarga, walaubagaimana pun isteri boleh membantu meringankan beban suami.

Di akhirat kelak, seorang lelaki akan dipertanggungjawabkan terhadap empat wanita ini: isterinya, ibunya, anak perempuannya dan saudara perempuannya (yang belum berkahwin).

Manakala seorang wanita pula, tanggungjawab terhadapnya ditanggung oleh empat orang lelaki iaitu suaminya, ayahnya (jika belum berkahwin), anak lelakinya dan saudara lelakinya.

Seorang wanita boleh memasuki pintu Syurga melalui mana-mana pintu Syurga yang disukainya cukup dengan empat  syarat sahaja:
1. sembahyang lima waktu,
2. puasa di bulan Ramadhan,
3. taat suaminya dan
4. menjaga kehormatannya.

Seorang lelaki perlu pergi berjihad fisabilillah dan berdakwah dijalan Allah untuk mendapat redha Allah, tetapi wanita jika taat akan suaminya serta menunaikan tanggungjawabnya kepada Allah akan turut menerima pahala sama seperti pahala orang pergi berperang fisabilillah tanpa perlu mengangkat senjata.

Sahabat,
Keruntuhan rumahtangga dan penceraian yang banyak berlaku di dalam masyarakat kita adalah berpunca daripada pasangan suami isteri yang tidak memahami hukum-hukum Islam. Mereka tidak memahami hak-hak sebagai suami atau isteri. Mereka meletakkan nilai kebendaan dan hawa nafsu dihadapan dan meninggalkan nilai iman dan taqwa sebagai nilai hidup mereka. Penceraian boleh berlaku hanya berpunca daripada perkara kecil yang boleh diselesaikan dengan mudah bila ada iman dan pemikiran yang resional.

Jika suami faham bahawa kesabaran, lemah lembut dan bertolak ansur itu adalah akhlak yang ditunjukkan Nabi s.a.w. ketika berada di dalam perselishan pendapat dengan isteri maka si suami akan mengutamakan akhlak ini kerana sungguh besar pahalanya disisi Allah s.w.t.Kerana cerai adalah perkara halal yang dibenci oleh Allah s.w.t. Elakkanlah penceraian jika masih ada jalan penyelesaian yang baik.

Dan juga kalaulah si isteri fahan bahawa betapa besarnya dosa derhaka kepada suami dan tidak akan dapat mencium bau Syurga, maka si isteri akan memilih untuk bersabar dan bertolak ansur semata-mata mencari redha Allah. Perlu diingat perasaan marah, keluarkan suara yang tinggi dihadapan suami, mengeluarkan kata-kata kesat dan ungkit mengungkit perkara lama adalah dari dorongan hawa nafsu dan bisikan syaitan. Syaitan memang suka perpecahan dikalangan keluarga Islam kerana dengan perpecahan ini banyak perkara-perkara negatif akan berlaku.


Kedua ibu bapa samaada di pihak suami atau isteri perlulah menjadi penasihat dan pendamai yang baik bukannya menjadi batu api untuk merosakkan rumah tangga yang telah dibina. Ibu bapa yang menjadi pemusnah rumah tangga bahagia anak mereka sendiri adalah mereka-mereka yang melakukan dosa besar dan menempah tempat duduknya di Neraka, nauzubillah. Sebagai orang tua perlu bersikap positif dan proaktif dan tidak boleh menyebelahi mana-mana pihak jika berlaku perselisihan. Yang penting damaikanlah kerana sifat membantu dan memulihkan suasana tegang adalah sifat ibu bapa yang beriman dan bertaqwa.



Credit: Ust Abu Basyer UITM Shah Alam

Sunday, 29 November 2015

Kambing jadi sahabat harimau

DUA haiwan ini menjadi sahabat baik dan sering bersama di Taman Safari Far Eastern di Russia.

Moscow: Seekor kambing sepatutnya menjadi hidangan tengah hari seekor harimau apabila dimasukkan ke dalam tempat kurungan haiwan buas berkenaan di Taman Safari Far Eastern di Shkotovsky baru-baru ini.
Bagaimanapun, perkara sebaliknya berlaku apabila harimau itu tidak membaham kambing berkenaan, malah kedua-dua haiwan itu menjadi kawan baik.
Pekerja di safari berkenaan berkata, harimau Siberia yang diberi nama Amur itu diberi makan kambing hidup sekali setiap dua minggu.
Katanya, Amur biasanya tidak menunggu lama apabila terus membaham kambing yang dimasukkan ke dalam tempat kurungannya itu. 
“Kambing ini dimasukkan ke tempat kurungan Amur sejak beberapa hari lalu untuk dijadikan makanan harimau itu.
“Namun, kambing itu tidak menunjukkan rasa takut ketika berada dalam kandang harimau, malah mula berkawan dengan haiwan berkenaan,” katanya.
Kerana keberanian kambing itu petugas menamakannya Timur.
Persahabatan kambing dengan harimau itu semakin erat dan kedua-dua haiwan itu sering dilihat bersama-sama.
“Lebih mengejutkan, kambing itu berani tidur di tempat tidur Amur menyebabkan harimau berkenaan terpaksa tidur di luar.
“Mungkin Timur terlalu berani sehingga Amur menganggapnya bukan sebagai mangsa atau mungkin juga Amur kesunyian kerana tinggal seorang diri sejak beberapa tahun lalu,” jelasnya. - Agensi

Saturday, 28 November 2015

Lelaki bina pesawat selepas gagal menjadi juruterbang

Asmelash berhasrat untuk menggunakan pesawat ringannya jenis K-570
Asmelash berhasrat untuk menggunakan pesawat ringannya jenis K-570 itu dapat diterbangkan dalam majilis perkahwinannya kelak. Agensi

ADDIS ABABA 27 Nov. – Seorang lelaki Ethiopia yang kecewa ditolak menjadi juruterbang kerana terlalu pendek, nekad membina sebuah pesawat untuk digunakan semasa majlis perkahwinannya.
Portal berita Mail Online melaporkan Asmelash Zeferu yang ditolak untuk memasuki Akademi Penerbangan Pesawat Ethiopia Cawangan Dire Dawa pada 15 tahun lalu kerana ketinggiannya hanya 1.70 meter iaitu 1 sentimeter kurang daripada yang ditetapkan.
Oleh itu, pada hujung minggu ini, pemuda berusia 35 tahun, merancang untuk menerbangkan pesawat ringannya K-570 di Addis Ababa untuk menghadiri majlis perkahwinannya.
Zeferu berkata, dia akan me-ngahwini tunangnya, Seble Bekele sejurus mendarat.
“Saya memutuskan untuk membina sebuah pesawat saya sendiri jika saya gagal untuk menjadi seorang juruterbang. Melalui cara itu saya akan dapat terbang,” katanya kepada CNN.
Pemuda tersebut membina pesawat itu menggunakan sebuah enjin empat silinder dengan 40 kuasa kuda yang diambil dari sebuah kereta Volkswagen Beetle.
Zaferu belajar cara-cara membina dan menerbangkan pesawat tersebut menggunakan maklumat yang disiarkan di laman perkongsian video YouTube.
Zeferu akhirnya memilih sebuah pesawat dari model yang pernah digunakan oleh juruterbang pelatih di Amerika Syrikat pada 1920-an dan 1930-an.
Dia juga menerima nasihat untuk mengubahsuai pesawat tersebut daripada Persatuan Eksperiman Pesawat Belanda, Rene Bubberman.

Wednesday, 25 November 2015

Phuc Dat Bich Ucap Terima Kasih


Imej pasport yang dimuat naik Bich di Facebook.
SINGAPURA: Lelaki warga Australia yang memiliki nama pelik hingga menjadi viral di media sosial mengucapkan terima kasih kepada netizen yang memberi sokongan kepadanya.

Phuc Dat Bich, 23, yang namanya berbunyi seperti mencarut dalam bahasa Inggeris sebelum ini terpaksa menunjukkan dokumen rasminya di laman Facebook kerana selalu diminta menunjukkan 'nama sebenarnya'.

Menerusi posting terbaharu di Facebook pada 22 November lalu, selain berterima kasih, Bich berharap kisahnya berjaya "memainkan peranan dalam menceriakan hari anda" berikutan pelbagai peristiwa tragis yang berlaku di seluruh dunia akhir-akhir ini.

Pada 28 Januari lalu, Bich yang berketurunan Vietnam mengadu di Facebook dan berasa geram apabila tiada sesiapa yang mempercayai namanya.

"Saya dituduh menggunakan nama palsu dan mengelirukan, yang sebabkan saya rasa tersinggung. Apakah kerana saya adalah orang Asia?

"Setelah akaun (Facebook) saya ditutup beberapa kali dan dipaksa menukar nama kepada 'nama sebenar’ saya, jadi saya letakkan ia (gambar pasport) di sini.

"Inilah nama saya. Yang benar, Phuc Dat Bich," tulisnya yang bekerja di Bank Nasional Australia, di sini.

Dilaporkan sebutan nama Bich dalam bahasa Vietnam seharusnya berbunyi “fu da bic”.

Postinya itu dikongsikan hampir 80,000 orang dan menerima 'like' daripada lebih 140,000 pengguna Facebook.





Credit: The Star

Sunday, 22 November 2015

Jihad bukan hanya berperang

DASAR utama yang diperjuangkan oleh Islam adalah mewujudkan kedamaian dan kesejahteraan kepada semua. Keganasan, permusuhan, pembunuhan dan perpecahan bukan ajaran Islam. Pengertian kalimah Islam itu sendiri sudah membawa makna penyerahan, kedamaian dan kesejahte­raan abadi untuk sekalian alam. Perkataan Islam berasal da­ripada bahasa Arab yang bermaksud tunduk, patuh dan juga selamat, sejahtera serta damai.
Oleh yang demikian, jangan sebab segelintir orang Islam melakukan jenayah, seluruh umat Islam dilabel sebagai pengganas, pemberontak dan pelbagai gelaran antagonis. Penganut agama lain turut melakukan jenayah, pembunuhan dan kekejaman.
Namun akibat prejudis dan double standard terutama­nya media Barat, insiden yang kononnya dilakukan oleh orang Islam pantas dijaja dan dikaitkan dengan keganasan. Sehinggakan tindakan penduduk Palestin yang menjadi pengebom berani mati sebagai salah satu cara mempertahankan negara dan agama juga digelar pengganas oleh media Barat. Padahal media dan masyarakat dunia menyaksikan bagaimana kejam dan zalimnya rejim zionis. Mereka bukan sahaja membunuh rakyat Palestin tetapi merampas tanah dan rumah, mengebom kediaman orang awam, memenjarakan kanak-kanak dan melakukan macam-macam lagi jenayah.
Sebab itu, dalam insiden serangan di Paris pada 13 November lalu umat Islam seluruh dunia turut sama mengutuk dan mengecam tindakan tersebut. Ini bukan cara yang diajar oleh Islam walau atas apa alasan sekalipun termasuk jika ada yang mengaitkannya dengan jihad. Orang yang melakukan serangan sedemikian mungkin muslim tetapi mereka bukan mukmin.
Jihad adalah perkataan dalam bahasa Arab yang bermaksud berusaha keras dan bersungguh-sungguh dalam me­lakukan sesuatu.
Secara keseluruhan jihad bererti mencurahkan kemampuan dan kekuatan dengan ‘berperang’ di jalan Allah SWT dengan jiwa, harta dan lisan. Ia bertujuan memakmurkan bumi dengan syariat Allah SWT. Namun, masyarakat masa kini sering mengaitkan jihad sebagai ‘mengangkat senjata’ atau berperang.
Umat Islam dibenarkan berperang hanya selepas mereka ditindas dengan kekerasan dan diserang oleh musuh Islam iaitu kafir Qurasiy sebagaimana yang menimpa Nabi SAW semasa Baginda di Mekah. Ekoran itu, Allah menurunkan ayatnya yang bermaksud: Telah diperkenankan untuk meng­angkat senjata bagi mereka yang telah diperangi, disebabkan mereka telah diperlakukan dengan aniaya dan sesungguhnya Allah berkuasa menolong mereka. (al-Hajj: 39)
Para ulama sependapat ini adalah ayat pertama yang memberi izin kepada umat Islam mengangkat senjata mempertahankan diri mereka. Namun, umat Islam hanya boleh mengangkat senjata untuk membela diri terhadap mereka yang terlebih dahulu menyerang dan hanya jika umat Muslim memang tertindas dan teraniaya. Hal inilah yang menjadi inti pati penting dalam jihad Islamiah yang banyak di­salah-ertikan sekarang.
Islam tidak memerintahkan umatnya memerangi semua orang yang tidak menerima dakwahnya. Jika mereka sudi hidup berbaik-baik dengan orang Islam, maka mereka akan diberi hak dan tanggungjawab sama seperti yang diperoleh oleh umat Islam yang lain. Ini dibuktikan oleh Islam sepanjang sejarah pemerintahan dan kekuasaannya dahulu. Malah tercatat dalam sejarah Islam lampau bahawa kementerian tertentu di bawah kekuasaan Islam diketuai oleh orang bukan Islam yang mahir dalam bidang yang berkenaan.
Image result for berjihad dijalan allah
Tindakan segelintir orang Islam seperti kumpulan militan Negara Islam (IS) yang didakwa mencetuskan keganasan di beberapa lokasi termasuk di Paris minggu lalu tidak mewakili umat Islam secara keseluruhan. Sebaliknya ia memberi persepsi yang salah tentang agama Islam sebagai agama yang membawa rahmat ke sekelian alam.
Perbuatan itu juga menjejaskan peluang ribuan pela­rian Islam dari Syria untuk mendapat perlindungan sementara di negara-negara Eropah berikutan krisis yang berlaku di negara tersebut. Menyebar dan mencetus keganasan atas nama jihad adalah suatu kesilapan. Bentuk jihad untuk menghadapi golongan kafir adalah bergantung kepada keadaan. Islam bukanlah agama yang keras dan kaku. Ia memandu umatnya supaya bertindak sesuai dengan situasi serta kemampuan yang ada.
Image result for berjihad dijalan allah


Credit: Mohd Radzi Mohd Zin