Saturday, 20 October 2012

Di sebalik majlis pengijazahan universiti



Majlis pengijazahan tinggi martabatnya dalam tradisi keilmuan di seantero dunia.

Dalam majlis menyambut kejayaan penuntut dalam bidang masing-masing ini, graduan akan menyarung jubah dan diletakkan di atas kepala topi akademik (mortar board).

Dan kemudian siap sedia untuk menerima segulung ijazah daripada universiti.
Namun begitu, kini ramai yang beranggapan bahawa etika pemakaian dan pengijazahan ini hanyalah upacara rasmi universiti tanpa ada makna pengiktirafan ilmu.

Ada juga beranggapan bahawa ia upacara yang dicedok sepenuhnya daripada Barat. Jika begitu, dari mana asal tradisi ini dan apakah semangat di sebalik pemakaian topi akademik, jubah dan penerimaan ijazah?
Saya terpanggil untuk menerangkan secara ringkas empat aspek utama dalam majlis pengijazahan universiti yang perlu dihayati setiap graduan supaya berbekas dalam hati sanubari bahawa mereka sebenarnya membawa tanggungjawab yang berat.

Mereka memikul amanah guru untuk menyampaikan ilmu mereka kepada orang lain di samping menghargai sumbangan tamadun Islam dalam membentuk tradisi keilmuan dunia.


Tradisi pengajian hadis, tafsir

Istilah ijāzah berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud "kebenaran atau keizinan yang diberikan oleh guru kepada penuntut untuk menyampaikan ilmu yang dipelajari" (license to teach).

Tradisi yang asalnya diamalkan dalam ilmu hadis dan tafsir ini dibangunkan sejak abad ke-4 Hijrah atau ke-10 Masihi.

Kemudian, pada abad ke-12 Masihi, tamadun Eropah Kristian mencedok masuk ke dalam sistem pendidikan mereka dengan menggantikan istilah ijazah kepada licentia docendi.

Namun konsep itu mula dipisah-pisahkan kepada sijil, diploma, izajah dan seterusnya. Berbanding licentia docendi yang hanya dikurniakan oleh universiti, penganugerahan ijāzah terletak pada hak guru.



Ini membuatkan guru pada waktu itu amat bersungguh-sungguh mendidik penuntut kerana mereka bertanggungjawab terhadap apa yang diajar dan apa yang akan diajar oleh anak murid mereka kepada orang lain.

Para penuntut pula bersungguh-sungguh mendalami ilmu untuk mendapatkan pengiktirafan daripada guru. Tempoh untuk mendapatkan ijazah juga tidak tetap kerana bergantung kepada prestasi penuntut untuk meyakinkan guru.


Inilah faktor penting mengapa taraf pendidikan dan budaya ilmu dalam tradisi pendidikan Islam dapat dikekalkan.

Kandungan dalam ijazah pula akan dimulakan dengan basmalah, puji-pujian kepada Allah dan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat serta potongan ayat al-Qur'ān yang menyebut tentang ketinggian taraf orang yang berilmu.

Contohnya surah al-Zumar ayat ke-9. Kemudian guru akan menyatakan namanya dan berterima kasih kepada guru sewaktu mereka masih menuntut , nama penerima ijazah, akhlak serta prestasi penerima semasa menuntut ilmu dan pelbagai maklumat yang memaparkan jalur pewarisan ilmu (silsilah) mereka.

Ijazah kebiasaannya akan diberikan dalam bentuk buku kecil yang mengandungi maklumat hingga mencapai dua puluh muka surat dan lebih berbanding sijil zaman ini dalam sehelai kertas yang digulung tanpa nama guru yang mendidik mereka.

Al-Quran di atas songkok

Dalam tradisi pendidikan Islam, apabila seseorang itu layak diijazahkan, mereka akan memakai penutup kepala seperti kopiah atau songkok kemudian di atasnya akan diletakkan al-Quran (kini diganti dengan lapisan tebal berbentuk segi empat) dan kemudian diikat pada kepala si penerima ijazah.

Ia sebagai simbol ketinggian ilmu yang dimilikinya dan berikrar akan menyampaikan ilmu yang dikuasainya dengan tulus ikhlas dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap ilmu yang dimiliki.

Menariknya jika dilihat zaman ini, ramai graduan secara berjemaah melontar topi mereka ke udara dengan muka yang ceria mungkin merasakan itu sekadar topi sahaja.
Jubah yang dipakai oleh penuntut dan guru mengikut warna masing-masing bertujuan membezakan orang awam dengan penuntut ilmu dan ilmuwan. Terdapat juga kisah di mana seorang menteri perlu menukar jubah menteri kepada jubah sarjana bila ingin membacakan hadis kepada pendengar.

Jika seorang itu layak mengajar, mereka akan disarungkan jubah yang digunakan oleh ilmuwan dan upacara ini masih diteruskan sehingga kini, terutamanya penganugerahan kepada penerima ijazah doktor falsafah.
Justeru itu, seperti mana mereka tidak dibenarkan meletakkan al-Qurann di atas kepala dan menyarung jubah akademik sehingga mereka benar-benar layak, seperti itu juga para penuntut universiti kini dilarang memakai jubah dan topi akademik sebelum mereka layak memakainya.

Begitulah ketinggian budaya ilmu yang dipaparkan dalam tradisi pendidikan Islam demi menjaga kesucian ilmu dan para graduan seharusnya menjiwai setiap maksud yang terkandung di dalam majlis pengijazahan ini.



Hari yang bersejarah ini sebenarnya bukanlah hari teristimewa antara graduan dengan keluarganya mahupun rakan sekuliah walaupun tidak dinafikan mereka juga penting, tetapi saat intim antara anak murid dengan guru untuk mengimbau pengembaraan ilmu mengajar dan belajar.
Dengan mendalami setiap perkara di atas, kita boleh membuat kesimpulan bahawa setiap peri laku dan pemakaian dalam majlis pengijazahan membawa makna mengiktiraf ketinggian ilmu.

Selain itu, tujuan mendapatkan ijazah untuk menyampaikan ilmu dan melaksanakan amanah yang diberikan oleh guru.

Namun, kini, apabila tujuan mendapatkan ijazah ditumpukan semata-mata hanya kepada kemahuan ekonomi dan pasaran kerja hingga makna ilmu itu tidak meresap ke dalam diri masing-masing; maka terjadilah gejala yang tidak menzahirkan nilai kesarjanaan.

Ia antaranya menari beramai-ramai di depan Dewan Canselor dan pelbagai sambutan yang didorong dengan hawa keseronokan walhal waktu ini mereka dihormati sebagai bakal ilmuwan, bukan penghibur.

Oleh itu, adalah wajar ditanya kepada kesemua graduan, adakah kita berhak mendapat penghormatan sebagaimana dibincangkan di atas?

Credit:MOHAMAD FIRDAUS POZI (UKM).

Thursday, 18 October 2012

IBADAH QURBAN


Ibadah qurban menurut pandangan Islam

Banner QA 2010
IBADAH KORBAN MENURUT PANDANGAN ISLAM

SEJARAH ASAL USUL KORBAN

1. Korban Zaman Nabi Adam A.S (Rujuk Surah Al-Maidah : 27- 31)

2. Korban Zaman Nabi Nuh A.S

3. Korban Zaman Nabi Daud dan Sulaiman A.S

4. Korban Zaman Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail A.S

5. Korban Zaman Nabi Musa A.S

6. Korban Bangsa Yunani dan Rom

7. Korban Abdul Mutalib nenda Rasulullah S.A.W

PENGERTIAN KORBAN

Bahasa : Nama yang diberikan terhadap apa yang dikorbankan atau apa yang disembelih pada Hari Raya Adha.

Dinamakan juga sebagai ‘Udhiyyah’ yang berasal daripada perkataan ‘Dhuha’ iaitu waktu Dhuha, kira-kira antara jam 7.00 hingga 11 pagi, kerana korban disyariatkan oleh Allah SWT supaya dilaksanakan setelah selesai Solat Eidul Adha.

Ada juga yang mengatakan ianya berasal daripada perkataan Al-Udhiyyah dan Ad-Dhahiyyah yang dimaksudkan binatang sembelihan seperti unta, lembu, kambing yang disembelih pada hari Raya Korban dan hari-hari Tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijjah) dengan tujuan untuk mentaqarrubkan diri kepada Allah.

Syarak : Menyembelih haiwan yang tertentu dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah dalam waktu yang khusus (hari-hari Nahar). Ibadah ini telah disyariatkan pada Tahun Kedua Hijriyah sepertimana juga disyariatkan ibadah zakat dan Solat Dua Hari Raya (Eidul Fitri dan Eidul Adha) dan telah dipastikan syariat mengenai berdasarkan al-Quran, Sunnah dan ijma’ ulamak.

DALIL-DALIL MENGENAI KORBAN

i. DALIL AL-QURAN

Firman allah;

Maksudnya;

Sesungguhnya Kami (Allah) telah memberi engkau (ya Muhammad) akan kebajikan yang banyak. Oleh itu dirikanlah solat kerana Tuhanmu ( pada Hari Raya Haji) dan sembelihlah (binatang) korbanmu (sebagai ibadah dan mensyukuri nikmat Tuhanmu).” (Surah al-Kauthar : ayat 1-2)

Maksudnya ;

“Dan telah Kami (Allah) jadikan untuk kamu unta-unta itu sebagai syiar agama Allah. Kamu banyak memperoleh kebaikan daripadanya, maka sebutlah nama Allah ketika kamu menyembelihnya.” ( Al-Haj ; 36)

ii. DALIL HADIS MENGENAI KELEBIHAN KORBAN

Banyak hadis yang membicarakan mengenai ibadah korban, antaranya hadis daripada A’isyah, Rasulullah bersabda;

Maksudnya;

“Tidak ada satu amalan anak Adam di hari-hari Nahar (Hari-hari ‘Eidul Adha) yang paling Allah sukai selain daripada menumpahkan darah (sembelih), kerana ia (binatang korban) itu akan datang di hari kiamat nanti dengan tanduk dan kukunya dan bulu-bulunya (sebagai saksi ke atas ibadah korban tuannya), dan sesungguhnya darah (binatang korban itu) akan tumpah di sisi Allah di suatu tempat sebelum tumpah ke bumi, oleh itu pilihlah olehmu binatang terbaik (paling menarik) untuk dikorbankan. ” (Hadis riwayat Hakim, Ibnu Majah dan Tirmizi dan dianggap sebagai Hadis Hasan Gharib)

Para sahabat pernah bertanya Rasulullah SAW : “Ya Rasulullah apakah yang dimaksudkan dengan Udhiyyah?”

Rasulullah Saw menjawab: “ Itulah sunnah bapamu Ibrahim.”

Para sahabat bertanya lagi : “Apakah yang kita akan perolehi daripada ibadah Udhiyyah?”

Baginda menjawab : “ Tiap helai bulu (dari binatang yang dikorbankan) kamu akan mendapat satu kebaikan.” (Hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)

“Barangsiapa yang diberikan kemudahan, sehingga memampukan dia untuk berkorban, akan tetapi dia tidak mahu berkorban, maka janganlah dia mendekati tempat solat kami (masjid) ini.” (Hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)

(Lihat nas al-Quran Surah al-Haj : 36-37)

iii. DALIL IJMA’ ULAMAK

Para ulamak Islam telah bersepakat mengenai pensyariatan korban berdasarkan ayat dan hadis Rasulullah yang menyatakan bahawa amalan korban merupakan amalan yang paling Allah sukai di Hari-Hari ‘Eidul Adha, di mana binatang yang dikorbankan akan didatangkan di Hari kiamat sepertimana keadaan dan sifatnya ketika disembelih dan diletakkan darahnya yang telah diterima di sisi Allah, sebelum darah tersebut tumpah ke bumi. Korban juga merupakan sunnah yang telah ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim AS berdasarkan firman Allah;

Maksudnya;

“ Dan Kami tebus anak itu (Ismail) dengan seekor sembelihan (kibas) yang besar.” (Surah As-Soffaat : ayat 107)

HUKUM IBADAH KORBAN

Sebahagian ulama berpendapat bahawa korban itu hukumnya wajib, manakala sebahagian yang lain menganggapnya sebagai sunnah.

Alasan yang mengatakan amalan korban itu adalah wajib berdasarkan firman Allah;

Maksudnya;

Sesungguhnya Kami (Allah) telah memberi engkau (ya Muhammad) akan kebajikan yang banyak. Oleh itu sembahyanglah engkau pada Hari Raya Haji dan sembelihlah (binatang) korbanmu.” (Surah al-Kauthar : ayat 1-2)

Sabda Rasulullah SAW;

Maksudnya;

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW telah bersabda : “ Barangsiapa yang mempunyai kemampuan, tetapi tidak melakukan korban, maka janganlah dia menghampiri tempat solat kami.” (Hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)

Manakala mereka yang berpandangan bahawa amalan korban adalah suatu amalan sunnah adalah berpandukan hadis Nabi SAW;

Maksudnya;

“Aku diperintah untuk melakukan korban dan korban itu adalah sunnah bagi kamu.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW menyatakan;

Maksudnya;

“ Diwajibkan ke atasku supaya berkorban dan tidak diwajibkan ke atas kamu.” (Hadis riwayat Dar al-Qutniy)

Berdasarkan hadis di atas, ibadah atau amalan korban adalah wajib ke atas diri Rasulullah SAW, akan tetapi hanya dianggap sunnah ke atas umatnya.

Terdapat sat Athar sahabat (hadis mengenai sahabat Nabi) bahawa Abu bakar dan Umar, pernah tidak melakukan ibadah korban, sehingga apabila ditanya oleh orang ramai mengenai tindakan mereka berdua itu, maka mereka berdua menyatakan bahawa mereka bertindak demikian kerana khuatir sekiranya mereka berkorban, orang ramai akan menganggapnya sebagai satu amalan wajib, sedangkan asalnya tidak diwajibkan ke atas mereka. (Hadis riwayat Al-Baihaqiy dan lain-laiannya dengan sanad yang baik)

Menurut Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi ibadah qurban ialah sunnah muakkad (sunnah yang amat dituntut) menurut kebanyakan mazhab fiqah. Dalam Mazhab Imam Abu Hanifah, amalan tersebut dianggap sebagai ibadah wajib. Wajib di sini ialah sesuatu yang lebih ringan daripada ‘fardhu’ dan lebih berat daripada sunnah. (Imam Abu Hanifah membezakan antara Fardhu dengan wajib, tidak sebagaimana imam-imam yang lain).

Hukum wajib di sini bermakna sesiapa yang meninggalkannya dianggap berdosa sekiranya mereka terdiri daripada golongan yang berkemampuan dan berkedudukan. Rasulullah pernah ditanya mengenai amalan qurban tersebut, lantas baginda menjawab;

“Itulah sunnah daripada bapa kamu, Ibrahim…” (Hadis riwayat At-Tirmizi dan Al-Hakim)

Sehubungan denga itu, ibadah korban dikira sama ada Sunnah Muakkadah atau wajib. Mazhab lain, selain Imam Abu Hanifah menghukumkan ‘makruh’ jika seseorang yang mempunyai kemampuan tetapi tidak melakukan ibadah korban.

Menurut Mazhab Imam As-Syafi’ie, hukumnya adalah ‘Sunnah muakkadah’ iaitu sebagai ibadah tambahan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika baginda masih hidup. Baginda dilaporkan pernah berkorban dengan dua ekor biri-biri yang besar bagi dirinya, keluarganya dan seluruh umatnya yang tidak sempat atau tidak mampu untuk berkorban.

Namun begitu kebanyakan ulamak berpendapat ibadah korban adalah amalan yang sunnah sahaja. Seseorang itu tidak akan dianggap berdosa besar sekalipun tidak pernah melakukan ibadah korban seumur hidupnya. Jika dia tidak berkorban, lantaran tidak berkemampuan, anggaplah bahawa nabi terlah berkorban bagi pihak umatnya.

Berpandukan kepada amalan korban yang dilakukan oleh Rasululah SAW yang menyembelih dua ekor biri-biri bagi pihak dirinya, keluarga dan umatnya, maka para ulamak berpendapat adalah memadai jika seseorang ketua dalam sesebuah keluarga seperti suami bagi isteri atau bapa bagi anak-anaknya.

Bagi yang mampu digalakkan memilih binatang ternakan yang terbaik, sihat dan gemuk. Imam Muslim meriwayatkan hadis daripada Anas bin Malik, menyatakan bahawa Rasulullah SAW menyembelih korban dengan dua ekor kibas yang terbaik dengan tangannya sendirinya dengan membaca ‘Bismillah’ dan ‘Bertakbir’ dan meletakkan kakinya di atas rusuk di sebelah tengkuk kedua-dua kibas tersebut.

HIKMAH DI SEBALIK PENSYARIATAN IBADAH KORBAN

1. Mengenang dan mencontohi pengorbanan besar yang tidak ada tolok bandingnya, yang dilakukan oleh Nabi ibrahim AS yang digelar sebagai ‘Abu al-Anbiyak’ (bapa para nabi) yang sanggup mengorbankan anaknya Ismail sebagai kemuncak dalam melaksanakan ketaatannya di atas perintah Allah SWT, namun begitu Allah menggantikannya dengan seekor kibas. Selain daripada itu sebagai mengenang dan mencontohi pengorbanan Nabi Ismail yang sanggup mengorbankan dirinya bagi mematuhi dan mentaati perintah Allah Azza wa Jalla.

2. Sebagai satu ibadah yang boleh mendekatkan seoarang hamba dengan Tuhannya, melalui bukti pengorbanan yang dilakukan. Ianya juga dianggap sebagai simbolik kesedian hamba untuk mengorbankan apa sahaja demi kerana Allah, termasuklah sanggup mengorbankan dirinya demi menegakkan agama Allah yang ytercinta. Di samping itu melatih diri kita supaya sentiasa ikhlas dalam beribadah.

3. Melatih diri agar sentiasa bersedia untuk berkorban bila-bila masa diperlukan demi menegakkan agama Allah.

4. Memulia serta mengagongkan satu syiar dari syiar-syiar agama Allah sebagai memenuhi tuntutan Allah;

Maksudnya;

“Demikianlah perintah Allah dan barangsiapa yang mengagungkan syiar-syiar agama Allah, maka (perbuatan) itu timbul dari ketaqwaan hati.”

(Surah al-Haj : ayat 32)

5. Untuk melahirkan rasa syukur di atas segala nikmat Allah yang terlalu banyak ke atas diri kita dan yang masih menghidupkan kita.

6. Sebagai penghapus kepada segala kesalahan dan dosa yang kita lakukan, sama ada melakukan kemungkaran dan maksiat atau mengabaikan suruhan Allah.

7. Untuk memberikan kegemberiaan kepada keluarga yang melakukan korban dan orang-orang lain yang mendapat bahagian daripada daging korban tersebut, di mana mereka dibenarkan untuk memakan, mensedekahkan atau menyimpan daging tersebut untuk dimakan dalam jangka masa yang lama.

8. Sentiasa mengingatkan kita, bahawa hidup ini amat memerlukan kepada pengorbanan, untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan yang hakiki dalam apa jua bidang yang kita ceburi. Tanpa pengorbanan, tiada nilainya sebarang usaha yang kita lakukan.

SYARAT KORBAN DAN BINATANG YANG DIKORBANKAN

1. Binatang yang hendak dijadikan qurban itu, hendaklah dari binatang yang tidak cacat seperti pincang, sangat kurus, sakit, terpotong telinganya, terpotong ekornya. Umur yang disarankan bagi binatang yang akan diqurbankan itu adalah seperti berikut;

i. Kambing atau domba yang telah berumur satu tahun lebih atau sudah berganti gigi

ii. Kambing biasa yang telah berumur dua tahun lebih.

iii. Unta yang telah berumur lima tahun lebih.

iv. Sapi, kerbau atau lembu yang telah berumur dua tahun lebih.

v. Sekiranya ternakan betina, pastikan ternakan tersebut tidak bunting ketika hendak dikorbankan. Bagaimanapun, korban tetap dianggap sah, jika selepas disembelih didapati  haiwan ternakan itu sedang bunting.

Sabda Rasulullah SAW;

Maksudnya;

Daripada Barra’ bin ‘Azib, Rasulullah SAW bersabda;

“ Empat jenis binatang yang tidak sah dijadikan qurban, yang rosak matanya, yang sakit, yang pincang dan yang kurus dan tidak mempunyai isi.” (Hadis riwayat Muslim)

Seekor kambing hanya untuk korban satu orang diqiaskan dengan denda meninggalkan wajib haji. Akan tetapi seekor unta, lembu, kerbau  boleh dibahagikan kepada tujuh bahagian menurut pandangan Syafi’iyyah.  Sabda Rasulullah SAW;

Daripada Jabir , beliau berkata :

“Kami telah menyembelih korban bersama dengan Rasulullah SAW, pada Tahun Hudhaibiyah, seekor unta untuk tujuh orang dan seekor lembu untuk tujuh orang.” (Hadis Riwayat Muslim)

Maksudnya;

Daripada Abbbas, kami pernah bersama-sama dengan Rasululah SAW dalam satu perjalanan, ketika itu masuk hari raya qurban, maka kami bersama-sama menyembelih seekor lembu untuk tujuh orang dan seekor unta untuk sepuluh orang.” (Hadis riwayat At-Tirmizi dan An-Nasa’i)

2. Korban dilakukan pada waktu yang telah ditetapkan.

Dalam Mazhab al-Maliki ditambah dua syarat lagi, iaitu;

1. Penyembelih mestilah terdiri dari seorang muslim, oleh yang demikian tidak sah sembelihan seorang kafir yang telah diwakilkan oleh tuan korban kepadanya. sekiranya dia ahli kitab, maka harus memakan daging sembelihannya.

2. Tidak boleh berkongsi beberapa orang dalam membayar harga binatang korban, kecuali mereka terdiri daripada kaum kerabatnya yang terdiri daripada anak-anak, adik-beradik dan anak bapa saudaranya dan termasuk juga isteri atau suami dan ke semua mereka tinggal serumah dengannya.

WAKTU MELAKUKAN QURBAN

Waktu menyembelih qurban adalah bermula daripada matahari setinggi tombak, pada hari Raya Haji sehingga terbenam matahari pada 13 bulan Zulhijjah.

Sabda Rasulullah SAW;

“Barangsiapa yang menyembelih korban sebelum solat Hari Raya Haji, sesungguhnya dia menyembelih untuk dirinya sendiri dan barangsiapa menyembelih korban sesudah solah Hari Raya dan dua khutbahnya, sesungguhnya dia telah menyempurnakan ibadahnya dan telah menepati sunnah atau aturan umat Islam.” (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Maksud ‘Solat Hari Raya Haji’ dalam hadis di atas adalah waktunya, bukannya solatnya, kerana mengerjakan solat tidak menjadi syarat kepada sembelihan korban.

Sabda Rasulullah SAW;

Maksudnya;

“Semua hari tasyrik (iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah), adalah waktu yang dibolehkan untuk menyembelih qurban.” (Hadis riwayat Ahmad)

PERKARA YANG DISUNATKAN KETIKA MENYEMBELIH KORBAN

1. Menurut Mazhab Hanafi, sunat bagi orang yang hendak berkorban mengikat binatang yang akan dikorbankannya beberapa hari sebelum hari korban, untuk menunjukkan bahawa ketika bersedia untuk melakukan ibadah yang boleh mendekatkan diri kita kepada Allah dan menzahirkan rasa bersungguh-sungguh untuk melaksanakannya. Di samping itu juga dimakruhkan sekiranya kita menggunakannya untuk menunggang, mengambil susunya, bulunya dan sebagainya.

2. Sunat disembelih sendiri oleh mereka yang berkorban, kerana boleh mendekatkan dirinya kepada Allah.

3. Sunat dihadapkan binatang yang akan disembelih ke arah kiblat, sepertiman yang dilakukan oleh Rasulullah SAW berdasarkan hadis Anas bin Malik yang diriwayatkan oleh semua imam.

4. Sunat kepada orang yang berkorban menyaksikan binatang korbannya, sepertimana Rasulullah SAW berkata kepada Fatimah:

Maksudnya;

Daripada Imran bin Husain, Rasulullah SAW bersabda;

“Bangunlah menuju tempat binatang korbanmu dan saksikanlah, kerana ia akan menyebabkan dosamu terampun bagi setiap titisan darah yang tumpah, bagi setiap satu dosa yang pernah engkau lakukan…” (Hadis riwayat Al-Hakim, Al-Baihaqiy dan At-Tabraniy)

1. Membaca Basmalah (Bismillahirrahmani rrahim) sepertimana yang diriwayatkan oleh Jabir menyatakan bahawa kami telah menunaikan solat al-Adha bersama Rasulullah SAW, selepas selesai daripada solat tersebut, dibawa dihadapan baginda seeokor kibas, maka baginda menyembelihnya dan baginda membaca;

Maksudnya;

“ Dengan nama Allah dan Allah Maha besar, Ya Allah ini adalah (korban) dariku dan daripada mereka yang tidak mampu untuk berkorban dari kalangan umatku.” (Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud dan At-Tirmizi)

2. Membaca salawat ke atas Nabi Muhammad SAW.
3. Takbir (Menyebut Allahu Akbar)
4. Mendo’akan agar sembelihan tersebut diterima oleh Allah, seperti berkata “ YA Allah, ini adalah amalan yang Engkau perintahkan supaya aku kerjakan keranaMu, terimalah amalku ini)
5. Binatang yang disembelih itu hendaklah dihadapkan ke arah kiblat di atas rusuk kirinya, sekiranya binatang tersebut terdiri daripada lembu dan kambing.Sabda Nabi SAW;

Maksudnya;

Daripada Anas bahawa Rasulullah SAW telah melakukan korban dengan dua ekor kambing yang baik-baik, beliau menyembelihnya sendiri, beliau membaca bismillah dan beliau bertakbir.” (Hadis riwayat Bukhari danMuslim)

Ketika melakukan korban Rasululah membaca;

Maksudnya;

“Ya Allah terimalah kurban Muhammad, ahli kelurganya dan umatnya.” (Hadis riwayat Ahmad dan Muslim)

1. Memastikan bahawa binatang yang akan dikorbankan itu terdiri daripada binatang yang terbaik dari semua sudut, kerana binatang tersebut merupakan korban untuk mendapat ganjaran di akhirat.

2. Memastikan alat yang digunakan untuk menyembelih terdiri daripada alat yang tajam yang diperbuat daripada besi.

3. Menunggu sebentar selepas menyembelih sehingga binatang tersebut dipastikan benar-benar telah mati.

4. Menurut pandangan Mazhab Syafi’e, Malikiy dan sebahagian daripada Mazhab Hambali, disunatkan kepada mereka yang ingin melakukan ibadah korban, apabila masuknya hari ke sepuluh daripada bulan Zulhijjah, supaya tidak mencukur rambut dan memotong kuku sehinggalah selesai ibadah korban. Pendapat ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW;

Maksudnya;

“ Sekiranya kamu melihat anak bulan Zulhijjah dan salah seorang dari kamu mahu melakukan korban maka biarkan (jangan dipotong) rambut dan kuku-kukunya.” (Hadis diriwayatkan oleh semua Imam kecuali Bukhari)

PEMBAHAGIAN DAGING KORBAN
1. Terdapat dua pandangan

i . Jumhur Fuqahak (Mazhab Hanafi, Malikiy dan Hambali)

Menurut Mazhab Hanafi, harus memakan daging korban yang disunatkan, manakala korban nazar atau korban wajib diharamkan untuk memakannya.

Menurut Mazhab Malikiy dan Hambali pula memakan daging korban nazar dibolehkan sama seperti korban sunnah dan disunatkan supaya mencampurkan kedua-dua korban tersebut sama ada untuk dimakan, disedekahkan dan dijadikan sebagai hadiah. Namun begitu mereka menghukumkan makruh sekiranya kita memakan atau menyimpan kesemua daging tersebut melebihi tiga hari.

1.
1. Mengikut amalan sunnah (terutama Mazhab Hanafi dan Hambali) dalam pembahagian daging korban ialah 1/3 untuk diri dan keluarga, 1/3 untuk kaum kerabat, teman-teman, jiran tetangga walaupun mereka terdiri daripada golongan kaya, manakala 1/3 untuk golongan fakir dan miskin.  Kenyataan ini berdasarkan firman Allah;

Maksudnya;

“ Maka makanlah sebahagian daripadanya dan (sebahagian lain) berikanlah untuk dimakan oleh orang-orang sengsara lagi fakir.” (Surah Al-Haj : Ayat 28)

FirmanNya lagi;

Maksudnya;

Dan berilah makan kepada orang yang redha dengan apa yang ada pada dirinya (orang yang tidak meminta-minta) dan orang yang meminta-minta.” (Surah Al-Haj: ayat 36)

Namun begitu, sekiranya disedekahkan ke semuanya kepada orang lain, terutama fakir miskin, maka dianggap lebih baik dan sempurna. Walau bagaimanapun digalakkan kepada orang yang berkorban untuk mengambil sedikit daging korban untuk dirinya dan keluarganya sebagai ‘Tabarruk’ (mengambil bekat dari ibadah korban tersebut).

Tambahan : Menurut Mazhab daging korban juga boleh diberikan kepada orang-orang yang bukan Islam, terutama mereka yang diharapkan akan memeluk agama Islam, selepas pemberian tersebut, untuk menunjukkan kebaikan dan pengiktirafan Islam kepada mereka sebagai manusia.

BEBERAPA KESILAPAN DALAM IBADAH KORBAN

1. Ada beberapa golongan masyarakat yang melakukan kesilapan dengan melakukan ibadah korban pada malam hari raya. Amalan ini tidak menepati sunnah dan sekiranya dilakukan juga, sembelihan tersebut tidak dikira sebagai ‘Ibadah Korban’, kerana para ulamak mengaggap perbuatan tersebut sebagai ‘Makruh’.

2. Begitu juga dalam masalah pembahagian daging korban. Masih ada amalan di mana daging yang telah dikorbankan dibahagi kepada tujuh bahagian, manakala bahagian tertentu (biasanya kepala, bahagian rusuk, batang pinang) diperuntukkan atau dikhususkan kepada tukang sembelih sebagai upah. Tindakan ini sama sekali tidak dibenarkan, kerana setiap bahagian daging korban adalah sedekah dan sedekah sama sekali tidak boleh dijadikan sebagi upah. Sekiranya kita masih ingin memberikan upah kepada tukang sembelih, pihak yang berkongsi korban, boleh membayar lebih sedikit daripada harga sebenar binatang korban dan menyerahkan lebihan wang tersebut kepada tukang sembelih.

3. Melaksanakan ibadah korban dengan tujuan untuk menunjukkan kepada orang ramai akan kemampuan dirinya untuk melakukan korban, supaya dengan itu mereka akan dipandang mulia, dihormati dianggap sebagai orang yang hebat di sudut kemampuan kewangan, sedangkan dia sepatutnya insaf bahawa hanya korban yang disertakan dengan keikhlasan dan ketaqwaan sahaja yang diterima di sisi Allah. Firman Allah SWT;

Maksudnya;

“Daging-daging korban dan darahnya itu, sekali-kali tidak dapat mencapai (keredhaan) Allah, akan tetapi (keikhlasan) yang lahir dari ketaqwaan darimulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah memudahkan bagimu (binatang korban itu) untuk kamu supaya kamu mengagongkan Allah lantaran petunjukNya kepadamu dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang melakukan kebaikan.”

(Surah al-Haj : ayat 37)

4. Pembaziran daging korban. Di mana terdapat daging korban yang lambat diagih-agihkan menyebabkan daging tersebut menjadi busuk. Di samping sikap sebahagain daripada kita yang terlalu tamak menghimpunkan daging korban, tetapi akhirnya menjadi busuk dan rosak, apabila ruang peti ais rumah kita tidak mampu memuatkan semua daging korban yang kita bawa pulang.

5. Pembahagian daging korban yang hanya ditentukan kepada kumpulan-kumpulan atau puak-puak tertentu sahaja, dengan mengenepikan hak orang lain terutama yang tinggal sejiran, sekampung atau setaman dengan kita.

6. Kedatangan ke masjid, ke surau atau ke tempat sembelihan, semata-mata untuk mendapatkan bahagian dari pembahagian daging korban, namun begitu tidak mensyukuri nikmat Allah setelah memakan dan menikmati daging korban tersebut, dengan cara melaksanakan segala perintahnya dan menjauhi segala larangannya. Malah ada di antara mereka yang tidak pernah menjejakkan kaki ke suarau dan ke masjid atau bermuamalah dengan penduduk setempat.

SILA RUJUK :

1. Al-Quran dan terjemahannya

2. Al-Fiqh al-Islamiy wa Adillatuha : Dr. Wahbah Az-Zuhailiy

3. Fiq As-Sunnah : Syeikh Sabiq

4. Tarbiyatul Aulad : Dr. Abdullah Nasih Ulwan

5. Al-Fiqh al-Islamiy : Haji Sulaiman Rasyid

6. Tuntutan Qurban : Prof. Dr. T.M Hasbi As-Siddiqiy

7. Hukum Qurban dan Sembelihan : Kiyai Haji Abdurrahman

Disediakan oleh:
Ustaz Shahrom Abu Hassan
Penasihat Syariah Qurban Aqiqah JIM
1431H

KEBAIKAN YANG BAIK-BAIK



LAKSANAKAN KEBAIKAN


Berfikirlah perkara yang baik.
Bersangkalah dengan sangkaan yang baik.
Bercakaplah dengan percakapan yang baik.; 
dan Berbuatlah perkara yang baik-baik.

Salam Jumaat..Jom beramal dengan 
kebaikan...JOM!

Wednesday, 17 October 2012

Terlelap: Guru besar sekolah agama maut


Terlelap: Guru besar sekolah agama maut


KERETA Perodua Kancil dan treler yang bertembung di Batu 16, Jalan Bakri-Air Hitam, Muar kelmarin.


MUAR – Seorang guru besar sebuah sekolah agama di sini terpaksa menahan kesakitan selama 20 minit akibat tersepit dalam kereta dipandunya sebelum meninggal dunia dalam kemalangan di Batu 16, Jalan Bakri-Air Hitam dekat sini kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 7.30 malam itu, Mukinah Warno, 52, yang baru beberapa bulan bertugas sebagai Guru Besar Sekolah Agama Bukit Naning baru meninggalkan sekolahnya selepas tamat sesi persekolahan pada hari tersebut.
Mangsa yang memandu kereta Perodua Kancil dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Batu 17 namun tiba di tempat kejadian, Mukinah dikatakan terlelap menyebabkan keretanya terbabas masuk ke laluan bertentangan. Kosmo

PMR Oh PMR!!!


SMA AL-QURAN WADDIN

TERKENANG zaman ketika sedang menduduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) yang kini dikenali dengan nama Penilaian Menengah Rendah (PMR)  pada tahun 1979, di Sekolah Menengah Arab Al Quran Waddin, Majidee, Johor Bahru. Maklumlah Selasa semalam berakhirnya kertas akhir buat pelajar PMR sesi 2012.



Pagi sebelum menduduki peperiksaan itu, punyalah semangat datang ke sekolah. Tepat pukul 8 pagi, saya sudah terpacak dekat sekolah dan terus mencari rakan sebaya untuk menemani bersama menanti debaran kertas peperiksaan pertama hari itu.

Pengetua saya Ust Hj. Marzuki Abd. Salam memang banyak memberi semangat dan kata-kata perangsang. Maklumhlah saya antara sepuluh orang pelajar tajaan Yayasan Sabah yang merupakan bench mark untuk pencapaian sekolah waktu itu.


Seorang demi seorang teman menegur sambil mengucapkan kata-kata semangat dan tidak kurang juga ada yang mengejek nakal, "terujanya nak ambik periksa".

Walau bagaimanapun, zaman Tingkatan Tiga merupakan zaman paling seronok (huha-huha). Sebulan sebelum tarikh peperiksaan menghampiri, masih sibuk dengan dunia remaja. Sudahnya keputusan pun entah ke mana.

Mujurlah ada satu A, enam B dan satu C, arghh! Menyesal pun tak guna. Apa yang A,B dan C? Bahasa Inggeris, A dan B, Bahasa Malaysia, Sains, Sejarah, Geografi, Pendidikan Islam dan Kemahiran Hidup manakala C untuk subjek Matematik.



Ingatkan mata pelajaran paling saya gemari (Sejarah, Sains, Geografi dan Kemahiran Hidup) boleh dapat A tapi sayang hanya mampu dapat B.

Masa hendak mengambil keputusan pula memang menakutkan dan boleh buat jantung berhenti berdegup.
Sehingga hari ini, saya masih ingat tangisan seorang rakan kami sebaik sahaja membuka slip keputusan dan tak kurang juga yang histeria.


Itulah secebis kenangan semasa mengambil keputusan yang masih kuat terpahat dalam minda. 

Oh ya, sebelum mengakhiri tulisan ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat maju jaya buat pelajar 2012 dan berharap mendapat keputusan cemerlang.

Yang kurang cemerlang, jangan risau kerana Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menanti anda.

Tuesday, 16 October 2012

Dari Kota Kinabalu ke Tenom.

Bila Pulang Ke Kampung Halaman....


Bila sahaja musim cuti persekolahan hujung tahun, terbayang dibenak fikiran untuk bercuti. Kemana hala nak dituju. Perak, Cameron Highland, Pahang atau mungkin Kedah dan Pulau Pinang atau langsung ke Kuala Perlis serta Langkawi....

Atau ke Kuala Terengganu dan terus ke Kota Bharu? Atau pulang menjengah saudara mara dan kampung halaman di Beaufort dan Tenom, Sabah.

Untuk ke Tenom memerlukan kekuatan mental, fizikal dan tekad. Bukan sahaja kerana jarak perjalanan yang memakan masa dari Kota Kinabalu merentas banyak daerah dan perkampungan...Bahkan laluan perjalanan yang mencabar dek kerana bentuk muka buminya yang bergunung-ganang.

Sesekali perjalanan perlu menempuh sungai dan bukit-bukau yang dipagar hutan dara yang masih belum disentuh. Tapi kerinduan adakalanya menjadi pemangkin kepada perjalanan ini.

Apa pun..Jom pulang bercuti dikampung...Jom.



Jalan Sipitang-Tenom diwaktu senja.



Atas feri di Kuala Penyu.


Pemandangan pekan Tambunan.


Tugu Peringatan Datu Paduka Mat Salleh.


Plaq yang terdapat pada tugu.


Jalan Tambunan-Keningau.


Hospital Daerah Keningau.


Pemandangan dipinggir jalan...Sawah padi.


Penunjukarah ke Pusat Kebudayaan Murut di Polong, Tenom.


Pintu Gerbang Pusat Kebudayaan Murut.


Bas yang banyak berjasa sepanjang lawatan..



Di Tanjung Aru, Kota Kinabalu.


Jambatan gantung berhampiran Muzium Negeri Sabah.



Pantai Tanjung Aru...


Poskad gadis Murut.



Ini gong Murut...Ahmad Mokhtar.


Pusat Kebudayaan Murut, Tenom.



Pekan Tenom dari arah Keningau-Tomani.



Jalan Sipitang-Tenom melalui Long Pasia...


Dihadapan pejabat urusan Lumadan Estate.


Di Lapangan Terbang Kota Kinabalu..


Jalan yang berkabus dan dingin..



Kedinginan melampau..


Meredah kedinginan..


Jalan yang berbukit-bukau dan beralun..


Kabus mula menghalang pandangan.


Kena berhati-hati....Jalan yang berliku.


Hutan dikiri kanan disepanjang jalan.


Alangkah indahnya alam yang terbentang luas...


Berpapasan dengan lori balak..


Konvoi...Adek dihadapan


Menghampiri Sungai Muaya..


Hadapan Masjid Negeri di Sembulan, KK.


Tugu Tan Sri Ontoros Antenom..


Pemimpin Murut di Tomani, Tenom Sub-District....


Kabus dingin di banjaran Crocker..




Bersama sepupu di Masjid Daerah Beaufort...



Ketika tiba di Negara Brunei Darussalam...


Mendengar cerita menarik dari seorang adek kesayangan...