Thursday, 27 October 2011

Siapa Mustafa Kamal Ataturk




KARYA yang ditunggu-tunggu bagi memperbetulkan 'nota-nota' sejarah sebelum ini yang meminta agar kita mengagumi kepimpinan Mustafa Kamal Ataturk yang kononnya memberikan wajah baru dan kemajuan kepada negara Turki.

Sungguhpun tebal, namun buku yang ditulis oleh penulis tersohor tanah air ini membuatkan kita mengenali sosok sebenar di sebalik nama besar Mustafa Kamal Ataturk.

Daripada buku-buku teks sejarah sebelum ini, beliau digambarkan atau sengaja digambarkan sebagai seorang pahlawan, hero dan negarawan yang hebat terunggul kerana berjaya meletakkan Turki sama taraf dan berkedudukan sebagai sebahagian negara Eropah, bukan lagi separuh Eropah atau separuh lagi Asia.
Malah kita perlu menganggap tindakannya menutup sekolah-sekolah agama di Turki dengan menggantikan sekolah-sekolah berasaskan moden dan sekular sebagai langkah yang tepat bagi memberikan wajah baru kepada Turki Baru dan Moden.
Begitu juga atas nama 'pembaharuan', Mustafa Kamal Atatuk melenyapkan pelbagai amalan dan budaya Turki sebelum ini. Antaranya, menukarkan hari cuti daripada hari Jumaat kepada hari Ahad, menggunakan kalendar Masihi menggantikan kalendar Hijrah dan sekurang-kurangnya laungan azan dibenarkan tetapi hendaklah dalam bahasa Turki menggantikan Bahasa Arab.
Namanya berjaya mengatasi nama pemerintah-pemerintah kesultanan dan khalifah Uthmaniah. Namun kelemahan pemerintah terakhir dalam Dinasti Khalifah Uthmaniah seperti Sultan Abdul Majid (1918-1924) yang berjaya menjadi mangsa tipu daya Mustafa Kamal Ataturk.
Sultan Abdul Majid diguling oleh Mustafa Kamal Ataturk dengan memperalatkan nama revolusi atas 'persetujuan' Ketua Majlis Rakyat yang dibentuk oleh Kamal Ataturk. penubuhan Majlis itu sebenar tidak mendapat kebenaran dan restu Sultan sendiri.
Dalam sejarah yang sebenar kelicikan Mustafa Kamal Ataturk memang tiada dua tandingannya. Ini termasuk melancarkan peperangan 'palsu' dengan bersekongkol dengan pihak musuh supaya mereka berundur dan akhirnya beliau kononnya pulang sebagai wira dan layak mendapat gelaran tokoh Al Ghazi dan meminta dibayar ganjaran sebanyak tiga juta lira.
Tetapi dengan Sultan beliau kononnya menolak ganjaran sebanyak itu dengan alasan memahami situasi kewangan negara kesan dari peperangan.
Mustafa Kamal Ataturk sanggup melakukan apa sahaja asalkan beliau beroleh kuasa dan tamakkan kuasa. Beliau mengejar segala pangkat dan kedudukan dalam kerajaan dan tentera dan beliau mahu dilihat sebagai anak muda yang bangun dan bangkit bagi membebaskan Turki dan cengkaman pemerintah Kesultanan Uthmaniah.
Sedangkan Uthmaniah hanya mempertahankan kedudukan umat Islam, terutama sama sekali tidak akan menyerahkan Palestin kepada Yahudi tetapi semua itu pastinya menyebabkan pihak Barat dengan pengaruh-pengaruh Yahudi menjadi cacing kepanasan, tidak senang duduk.
Mereka berjaya memperalatkan Mustafa Kamal Ataturk menjadi boneka bagi memudahkan usaha-usaha mereka menjatuhkan pemerintah Islam dan pengaruh Islam itu sendiri.

Mustafa Kamal Ataturk benar-benar memudahkan lagi usaha-usaha jahat Barat untuk menakluk Turki yang empayarnya ketika itu sehingga mencakupi ke Wilayah Iraq dengan hasrat untuk mendapatkan Mousul yang kaya dengan hasil limpahan minyak itu.

Bagi Mustafa Kamal biarlah Mousul diserahkan kepada pihak British asalkan sahaja British mengundurkan tentera mereka dari Istanbul dan kononnya memberi kemerdekaan sepenuhnya kepada Turki untuk rakyatnya memerintah sendiri.

Dengan alasan Turki belum ada kemampuan bagi menggali minyak di Mousul, maka biarkan sahaja jika British ingin mengambil Mousul itu.
Sukar digambarkan bagaimana Mustafa Kamal sanggup melakukan ini semua, sanggup menjual kepentingan negara sedangkan Turki selama ini menempuh zaman gemilang tanpa memerlukan campur tangan orang luar apa tah lagi pihak Barat.

Mungkinkah kerana sedikit sebanyak kerana faktor 'jenis' darah bangsa yang mengalir dalam dirinya?
Sebab itu membaca di bahagian awal buku ini sangat mengujakan kerana ia menceritakan susur galur dan peristiwa kelahiran dan bagaimana Mustafa Kamal dibesarkan! Siapa bapanya, siapa ibunya dan beliau sebenarnya berbangsa apa? Walaupun gelaran Ataturk di belakang namanya itu bermakna 'Leluhur Turki'!
Begitu juga apabila memasuki bab-bab akhir dalam buku ini, ia semakin mengujakan tanpa dapat kita berhenti membacanya apabila penulis mendedahkan saat-saat Mustafa Kamal jatuh sakit teruk sehingga membawa kepada detik-detik kematian.

Ia telah banyak diceritakan sebelum ini dan kita mungkin pernah membacanya di mana-mana. Tetapi Abdul Latip Talib menjadikan hari-hari terakhir Mustafa Kamal itu bagaikan episod-episod yang dramatik dalam sebuah drama!
Benarkah bumi langsung tidak dapat menerima Mustafa Kamal sehinggakan mayatnya dimuntahkan keluar apabila hendak dikebumikan? Semua ini diceritakan dalam buku ini dan pastinya membuatkan kita mengambil seribu satu pengajaran kepada manusia yang masih hidup ini.
Buku ini tidak sekadar sebuah catatan sisi sebenar Mustafa Kamal Ataturk dan kemampuan penulis menyelamatkan pembaca dari sejarah yang dikaburkan sebelum ini. Sebaliknya, ia memberi inspirasi supaya kita mengkaji lebih banyak sejarah umat Islam di serata dunia. Ini kerana terbukti kini bahawa Mustafa Kamal Ataturk bukanlah jelmaan panglima Islam Khalid Al Walid tetapi adalah sebaliknya, Bapa Munafik Moden sebagaimana yang menjadi tajuk buku ini, iaitu Penegak Agenda Yahudi!
Segera dapatkan di kedai-kedai buku berhampiran dan lengkapkan koleksi buku-buku karya Abdul Latip dengan mendapatkan buku Mustafa Kamal Ataturk yang sebelum ini buku-bukunya begitu mendapat sambutan hangat! Satu-satunya penulis yang merakamkan sejarah-sejarah Islam dalam bentuk novel dan novel lazimnya memangnya suka dibaca!

 Credit to: SITI AINIZA KAMSARI


Seperkara yang perlu diingat, daging korban diagihkan secara mentah, manakala daging akikah dimasak dan dijamu.


Korban lebih utama bagi orang dewasa


Daging korban sunat disedekahkan yang mentah manakala daging akikah sunat disedekahkan yang sudah dimasak. - Gambar hiasan


Saya masih keliru tentang akikah dan korban. Bolehkan kita kumpulkan akikah dan korban dalam seekor lembu. Contohnya, akikah dua bahagian dan korban lima bahagian.
2. Untuk akikah dan korban, betulkah segala tulang dan kulitnya hendaklah ditanam. Bagaimana jika saya hanya membuangnya dalam tong sampah, adakah berdosa?
3. Saya selalu memerhatikan dalam majlis korban, ada yang mengambil daging korban dua atau tiga bungkus (bukan peserta korban). Berapakah sebenarnya yang boleh kita iaitu jemaah dan petugas ambil daging korban ini?
4. Adakah had umur untuk membuat akikah? Sebabnya semasa kecil saya belum diakikahkan kini saya ada sedikit kemampuan melaksanakannya. Atau bolehkah akikah diganti dengan ibadat korban?

JAWAPAN:
Jika kita melihat kepada falsafah ibadah korban dan ibadah akikah adalah dua perkara yang seperti sama tetapi berlainan maksud dan tujuan.
Ia sama kerana akikah dan korban adalah tuntutan menyembelih binatang ternakan. Akikah dilakukan kerana tanda syukur kepada Allah SWT atas kurniaan anak. Lebih-lebih lagi ia sangat dituntut bagi mereka yang mampu melakukannya.
Rasulullah SAW mengumpamakan bagi mereka yang tidak melakukan akikah hutangnya tergantung, hutang yang tidak tertunai.
Sabda baginda yang bermaksud: "Setiap bayi itu tergadai dengan akikahnya. Disembelih untuknya pada hari ketujuh dan dicukur kepalanya dan diberi nama". (riwayat Abu Daud).
Hukum melakukan akikah adalah sunat muakkadah bagi orang yang menanggung sara hidup kanak-kanak tersebut. Jika anak itu lelaki disunatkan menyembelih dua ekor kambing, manakala jika anak itu perempuan disunatkan menyembelih seekor kambing.
Binatang seperti lembu, kerbau atau unta boleh dibahagikan kepada tujuh bahagian.
Tidak dapat dinafikan bahawa ramai di kalangan masyarakat kita yang berkongsi melakukan ibadah akikah dan korban. Mungkin mereka yang ingin melakukan ibadah akikah ingin mengambil fadilat mengorbankan binatang pada hari raya korban.
Memandangkan perkara yang tertanggung ke atasnya adalah akikah maka didahulukan akikah dalam musim korban.
Jumhur ulama berpendapat boleh melakukan akikah dengan seekor kambing, unta atau lembu. Tetapi mereka berbeza pendapat, adakah akikah mengambil hukum adhiyah (korban), atau sama dengan hukum korban, sehingga akikah boleh berkongsi pada seekor lembu atau unta.
Ini adalah masalah khilafiah. Ulama-ulama mazhab al-Sayfie berpendapat boleh kerana melihat akikah adalah sama dengan korban yang boleh berkongsi bahagian seperti yang disebut oleh al-Imam al-Nawawi.
Namun, para ulama mazhab Hambali dan Maliki berpendapat tidak boleh. Jika seseorang hendak melakukan akikah dengan seekor lembu contohnya, ia hanyalah untuk seorang anak sahaja. Tidak boleh berkongsi bahagian kerana bagi mereka akikah tidak sama hukumnya dengan korban dalam bab bolehnya berkongsi bahagian.
Dalam laman islam-qa menyebut: "dan yang lebih hampir (kepada kebenaran), bahawasanya ia (akikah) tidak boleh berkongsi, dan inilah (mazhab yang lebih hampir kepada kebenaran) mazhab al-Malikiyyah dan al-Hanabilah". (lihat al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah 30/279)
Ulama yang berpendapat tidak boleh berkongsi dalam melaksanakan akikah melihat akikah adalah satu penebusan terhadap anak yang dilahirkan.
Maka seekor binatang yang disembelih untuk akikah adalah untuk seorang anak sahaja, kerana itu tidak terdapat dalil yang menunjukkan adanya perkongsian dalam melakukan akikah, maka ibadah hendaklah dibina atas dasar al-tauqif (mengikut dalil).
Seperkara yang perlu diingat, daging korban diagihkan secara mentah, manakala daging akikah dimasak dan dijamu.

Perbezaan akikah dengan korban
Akikah tidak terikat pada masa tertentu, sedangkan korban dilakukan pada masa-masa tertentu, iaitu selepas sembahyang dan khutbah Hari Raya Aidiladha hingga 13 Zulhijjah.
Daging akikah boleh diberi milik kepada orang kaya manakala daging korban hanya boleh diberi kepada fakir miskin. Akikah dilakukan sempena menyambut kelahiran anak sebagai tanda kesyukuran kepada Allah, manakala korban dilakukan kerana memperingati peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail.
Daging korban sunat disedekahkan secara mentah, sedangkan daging akikah sunat disedekahkan setelah dimasak.
Selain melakukan korban dan akikah, umat Islam harus menjaga kebersihan semasa kedua ibadah ini dilakukan, lebih-lebih lagi ibadah korban. Kebanyakan ibadah korban dilakukan di perkarangan masjid dan surau, walaupun yang afdalnya, setiap orang melakukannya di perkarangan rumahnya sendiri.
Jadi demi menjaga kebersihan adalah sangat dituntut supaya segala tulang belulang binatang sembelihan ditanam. Yang demikian adalah bagi memastikan kebersihan persekitaran. Sekiranya ada yang membuang di tong sampah tidak dikira berdosa, tetapi adalah lebih baik menanamnya.
Melakukan ibadah akikah setelah dewasa tidak menjadi halangan. Walaupun demikian ibadah akikah adalah tanggungjawab ayah atau penjaga atau wali.
Sekiranya mereka tidak melakukannya ketika kita masih kecil, iaitu sebelum baligh atas halangan kewangan maka tidaklah dituntut keatas individu untuk melakukan atas dirinya.
Jika ada yang mahu akikah atas diri sendiri selepas dewasa tidak salah. Tapi yang lebih afdal adalah melakukan ibadah korban.
Mengenai mengambil beberapa bungkus daging adalah bergantung kepada cara pengagihan daging oleh jawatankuasa masjid atau surau atau penganjur.
Ada masjid yang memberi kupon kepada para jemaah untuk datang mengambil daging, begitu juga dengan para petugas. Biasanya petugas ambil banyak sikit, maklumlah dia bertugas.
Tetapi ini tidak bermaksud petugas boleh ambil banyak mana yang dia mahu. Harapnya tidak ada petugas mengambil peluang memenuhkan peti sejuk dengan daging korban.
Credit to: Utusan

Bangkai kapal Kublai Khan ditemui


Bangkai kapal Kublai Khan ditemui



Gambar yang diambil oleh Profesor Yoshifumi Ikeda menunjukkan penemuan serpihan kapal dipercayai daripada armada tentera laut Kublai Khan yang mahu menakluk Jepun. – AFP



OKINAWA 27 Okt. - Ahli arkeologi marin percaya bangkai sebuah kapal purba yang ditemui di dasar kawasan perairan Nagasaki, Jepun adalah sebahagian daripada armada purba milik Raja Mongolia kurun ke-13, Kublai Khan yang hilang, lapor stesen CNN.
Bangkai tersebut ditemui kira-kira 25 meter dari pantai Nagasaki, menggunakan peralatan ultrabunyi.
Ahli arkeologi percaya kapal purba itu digunakan pada 1281 dan merupakan sebahagian daripada 4,400 armada Raja Mongolia yang ditugaskan sebagai pasukan penjajah ketika pemerintahan Dinasti Yuan.
‘‘Penemuan bangkai kapal dengan lunas sepanjang 12 meter dan masih dalam keadaan baik itu akan membantu pengkaji mengenal pasti ciri dan sifat kapal perang sepanjang 20 meter tersebut,’’ ujar CNN yang memetik ketua pasukan penyelidik yang menemui kapal itu, Yoshifumi Ikeda.
Ikeda berkata, pihaknya merancang memperluaskan usaha-usaha penerokaan kawasan itu dan mencari lebih banyak maklumat bagi membantu mengembalikan kapal purba itu ke bentuk asal.
CNN melaporkan berdasarkan legenda Jepun, dua taufan dikenali sebagai Kamikaze menyelamat Jepun sebanyak dua kali dalam tempoh tujuh tahun daripada dua penjajahan armada Mongolia dengan memusnahkan kapal-kapal berkenaan.
China bagaimanapun tidak terselamat apabila diperintah Dinasti Yuan Mongolia antara 1271 hingga 1368.
‘‘Menurut buku bertajuk Lost Fleet: In Search of a Legendary Armada oleh ahli arkeologi, James P. Delgado mengenai Kublai Khan, kemusnahan 4,000 kapal penjajahan Dinasti Yuan yang mewujudkan kuantiti besar serpihan bangkai, membolehkan seseorang berjalan dari satu lokasi di darat ke lokasi kemusnahan itu,’’ ujar CNN.
CNN melaporkan, kapal purba itu diperbuat dari papan kayu dan dipercayai dicat dengan warna kelabu cerah merupakan antara lebih 4,000 artifak termasuk serpihan seramik, bata, peluru meriam dan sauh diperbuat daripada batu, ditemui di lokasi berkenaan.
‘‘Penemuan artifak itu menimbulkan kaitannya kepada armada penjajahan Dinasti Yuan,’’ kata CNN. – Agensi
Credit to: Utusan

Rangka manusia 16,000 tahun dihantar ke tapak asal




KAWASAN gua tempat penemuan rangka manusia berusia 16,000 tahun di Gua Bewah, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.


KUALA TERENGGANU – Rangka manusia berusia 16,000 tahun yang dipercayai rangka tertua pernah ditemui di negara ini akan dikembalikan ke tapak asalnya di Gua Bewah, Tasik Kenyir tidak lama lagi.
Pengarah Muzium Terengganu, Yusof Abdullah berkata, pihaknya sedang membuat persiapan terakhir berhubung urusan penghantaran rangka dikenali sebagai Bewah Man itu. Ia dijangka dilakukan pada akhir tahun ini.
Katanya, sekumpulan pakar tempatan dan ahli arkeologi kini sibuk membina satu bekas khas yang sesuai untuk menempatkan rangka manusia itu yang telah ditemui di Gua Bewah pada November tahun lalu.
“Penyelidikan ke atas rangka ini telah memasuki fasa terakhir dan selepas itu kita akan menghantarnya ke tempat ia ditemui.
“Kita juga akan pastikan rangka ini tidak diganggu dan sentiasa berada dalam keadaan baik,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Ditanya apakah jantina rangka itu, Yusof menjelaskan, sepasukan ahli arkeologi baru-baru ini telah menemui cebisan gigi ketika melakukan cari gali di Gua Bewah dan penemuan itu diharap akan dapat membantu untuk menentukan jantina rangka berkenaan.
“Ini adalah penemuan baru bagi Bewah Man namun kita akan melakukan lebih banyak ujian sebelum dapat menentukan jantina sebenar rangka yang dianggap tertua di negara kita,” jelasnya.
Yusof menjelaskan, setiap rangka yang ditemui di kawasan itu telah dihantar kepada pakar-pakar di Amerika Syarikat untuk penyelidikan lanjut.
Credit to: Kosmo

Anak Pertama

Seorang lelaki menalipon hospital untuk memberitahu isterinya hendak bersalin. Dan jururawat hospital menjawab talipon lelaki tersebut.

Lelaki: "Hello..tolong saya sebab isteri saya hendak bersalin.."
Jururawat: "Bertenang encik.....ini anaknya yang pertama ke?"
Lelaki: "Apa la punya bangang,,,ini laki dia lah!!!!"
Jururawat: "ERRKKK!!"

Wednesday, 26 October 2011

Buaya gigit tangan, paha




    

MIRI: “Saya tak sangka diserang buaya kerana ketika itu saya hanya berendam di kawasan cetek tidak jauh dari tebing sungai dan terkejut apabila tiba-tiba tangan saya disambar.
“Ketika itu, saya hanya mampu menjerit sambil cuba melepaskan tangan kiri yang digigit, sebelum buaya itu beralih menggigit paha kiri saya pula. Namun, tindakan pantas saya menumbuk tepat pada sebelah mata buaya berkenaan menyebabkan ia melepaskan gigitan sebelum saya lari menyelamatkan diri ke tebing sungai,” kata Lumeit Entabang, 63.

Berikutan kejadian Isnin lalu itu, Lumeit cedera di paha kiri.

Ketika kejadian, wanita dari Rumah Empading di sini, sedang mandi di Sungai Bakas, Sibuti dekat sini. Lumeit berkata, sudah menjadi kebiasaannya mandi di sungai itu setiap hari sejak lebih 60 tahun lalu meskipun bekalan air paip sudah disediakan di perkampungan itu.

Menurutnya, sebelum kampung itu mempunyai bekalan air paip bersih, sungai berkenaan menjadi nadi utama penduduk kampung untuk mandi dan mencuci pakaian tanpa sebarang kejadian serangan buaya dilaporkan.

Katanya, kejadian itu menyebabkan dia serik untuk mandi di sungai kerana bimbang buaya itu menyimpan dendam dan menyerangnya semula.


Terkejut dengan kejadian menimpa Lumeit, penduduk kampung mengadakan acara Miring Ngampun atau memohon perdamaian daripada buaya berkenaan, semalam.

Majlis diadakan di tempat mangsa diserang bagi memastikan kejadian sama tidak berulang sekali gus memadamkan perasaan dendam yang mungkin disimpan buaya itu terhadap penduduk kampung.


Penduduk kampung, Jackson Gawing, 63, berkata menurut kepercayaan masyarakat Iban, Miring Ngampun majlis bagi menyelesaikan permasalahan yang mungkin timbul antara keluarga mangsa dan buaya terbabit.

Menurutnya, buaya dianggap mempunyai pertalian rapat dengan masyarakat Iban, namun disebabkan kesilapan lampau segelintir masyarakat terdahulu seperti membuang bangkai anak buaya yang tersangkut di jaring ikan secara sesuka hati, dianggap mengundang kemarahan buaya.

“Keadaan ini mungkin boleh menyebabkan buaya menyimpan dendam terhadap ahli keluarga terbabit dan acara Miring Ngampun sebagai tanda memohon kemaafan dan berdamai dengan buaya terbabit.

““Biasanya melalui acara ini, nasi pulut, buah pisang, kuih, ketupat dan beberapa makanan tradisi masyarakat Iban dibungkus di dalam bakul kecil sebelum diletakkan di setiap pangkalan di sungai kampung terbabit,” katanya.

Difahamkan, kejadian serangan buaya tidak pernah berlaku di kampung terbabit sejak kampung berkenaan dibuka lebih 50 tahun lalu.

Majlis itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bekenu, Rosey Yunus yang turut meluangkan masa melawat mangsa.

Credit to HM

Sikap kumpulan pelajar terbabit yang tidak bertanggungjawab dalam menjaga tata susila hidup di situ, menyebabkan taman perumahan itu turut mendapat jolokan sebagai Taman Cahaya Maksiat.


Pelajar berpeleseran awal pagi
Oleh Mohd Yusoff Ahmad

2011/10/27

 SEGELINTIR pelajar  jadikan Taman Cahaya Masai sebagai tempat kegiatan maksiat pada awal pagi.
SEGELINTIR pelajar jadikan Taman Cahaya Masai sebagai tempat kegiatan maksiat pada awal pagi.
Penduduk Taman Cahaya Masai kesal kegiatan sumbang kawasan rumah

JOHOR BAHRU: Penduduk Taman Cahaya Masai di sini, kesal dengan gelagat pelajar institusi pengajian tinggi kerana suka berpeleseran hingga awal pagi, termasuk membawa teman berlainan jantina ke rumah masing-masing.

Sikap kumpulan pelajar terbabit yang tidak bertanggungjawab dalam menjaga tata susila hidup di situ, menyebabkan taman perumahan itu turut mendapat jolokan sebagai Taman Cahaya Maksiat.
Suri rumah, Azizah Hamzah, 42, berkata tindakan pelajar melakukan maksiat dan mengamalkan gaya hidup sosial melampau atau sesuatu yang tidak baik.
“Kebanyakan mereka menyewa sekitar taman perumahan ini kerana pusat pengajian mereka berdepan masalah kekurangan asrama. Namun, apabila duduk di rumah sewa di sini, masing-masing tidak menjaga adab dan tatasusila.

“Berdasarkan etika pakaian setiap kali hendak keluar belajar di kampus, masing-masing kelihatan berpakaian kemas termasuk bertudung bagi yang perempuan.

“Malangnya, apabila sampai di kawasan rumah masing-masing, yang perempuan hanya bersinglet dan berseluar pendek di luar rumah. Setiap hari, pasti ada lelaki yang datang bertandang di rumah terbabit," katanya.

Azizah berkata, ada di kalangan pemilik rumah sewa yang prihatin, melakukan pemeriksaan mengejut terhadap kediaman terbabit dan terserempak dengan pelajar perempuan yang membawa teman lelaki masuk rumah. 
Penduduk, Melati Rosli, 42, menyifatkan kumpulan pelajar terbabit sebagai sudah melampau batasan apabila tidak menghormati sensitiviti masyarakat setempat dan perumahan itu yang turut didiami golongan berkeluarga.

"Mereka menjadikan taman ini seperti kawasan pelacuran apabila bawa teman lelaki masuk rumah serta berpeleseran sesuka hati kerana masing-masing jauh daripada ibu bapa dan masa sama tidak dikawal oleh pengurusan pusat pengajian,” katanya.

Melati mendakwa, ada di kalang-an pelajar terbabit yang bertindak balas dengan membaling mercun atau telur busuk kepada rumah penduduk yang menegur perbuatan maksiat mereka.

Ahli Jawatankuasa Surau An-Nuur berdekatan, Muhd Zaidi Ghazali, 40, menyifatkan gejala negatif yang ditunjukkan golongan pelajar terbabit adalah barah yang boleh merosakkan diri sendiri.

“Perlakuan maksiat di kalangan pelajar ini boleh mengundang bala pada seluruh penduduk taman kerana ia merosakkan nama baik institusi pengajian mereka serta pelajar yang tidak bersalah selain memalukan perumahan ini,” katanya.

Tinjauan Berita Harian mendapati kawasan sekitar rumah yang disewa kumpulan pelajar berkenaan mulai sibuk dengan kereta yang keluar masuk menjemput pelajar perempuan mulai jam 8 malam.

Malah, sehingga jam 2 pagi, masih ada pelajar perempuan dan lelaki sedang berbual mesra di luar rumah sewa dan lorong gelap berdekatan tanpa menghiraukan jiran dan penduduk yang kurang senang dengan perbuatan terbabit.