Thursday, 17 September 2015

Jangan Tidur Lepas Subuh



Kepada sahabat-sahabat yang disayangi mari kita muhasabah diri. Di sebalik diri kita ini, ada sifat pemalas yang perlu diubah. Jika kita tidak ubah tabiat pemalas kita ini, maka bermacam-macam impak negatif bakal menghanyutkan diri ke arah kemudharatan yang lebih besar.

Jika tidak sekarang, bila lagi bukan? Takkan mahu tunggu usia sudah senja baru kita terhegeh-hegeh mengubah diri. Ketika itu, tabiat pemalas kita sudah sebati dengan diri dan amat degil untuk disental segala kekotorannya yang sudah lama melekat dan merosakkan hati kita.

TABIAT PEMALAS YANG PERLU DIUBAH

Cuba cek diri kita, mana 1 menjadi amalan seharian :
1. Bangun subuh lewat
2. Tidur selepas subuh
3. Melewatkan waktu subuh
4. Ala kadar je bangun subuh
5. Tak bangun pun solat subuh


Sahabat-sahabat, masih ingat lagikah? Di waktu zaman berhingus dulu? Ustaz yang mengajar subjek Pendidikan Islam selalu bertanya di dalam kelas,

“Siapa yang tak cukup solat 5 waktu semalam, sila berdiri”

Tanpa segan silu, secara berjemaahnya kita pun bangun sahabat. Dan bila ditanya, rata-rata yang tak cukup solat 5 waktu, adalah kerana tidak bangun subuh. Kenapa ya sahabat?

Dan kenapa dari kecil lagi, kita dididik sebegini? Diberi penekanan betapa pentingnya bangun subuh dan meraikan ke”subuh”an dengan cara tidak tidur semula seperti bebelan mak kita.

“Jangan tidur lepas subuh. Rezeki tak masuk nanti”
“Anak dara tak manis tidur banyak. Matahari terpacak atas kepala baru nak bangun”


JIKA MAHU BERMUHASABAH

Rasulullah SAW tidak tidur selepas menunaikan solat subuh kerana Allah memberkati umat ini yang berpagi-pagi, “Ya Allah, berkatilah umatku yang berpagi-pagi.” Untuk itu, para fuqaha’ memakruhkan tidur selepas solat subuh.

Walaupun hakikatnya tiada dalil dan hadis-hadis soheh mengenai larangan tidur selepas subuh, dan yang ada cuma pendapat daripada para ulama mengenai tidur selepas subuh adalah MAKRUH tetapi tiada larangan tidur selepas subuh.

Dinukilkan oleh Imam as-Safarini mengenai kemakruhan tidur selepas solat Subuh dan Asar : “Dimakruhkan tidurmu -wahai mukallaf- selepas solat Subuh, kerana waktu itu adalah WAKTU MENCARI REZEKI dan berusaha (syara’ dan ‘uruf) di sisi orang yang BERAQAL”.

Tetapi, kita sedar tak wahai sahabat?
Kenapa seharian hidup kita tidak bermaya dan tidak bersemangat? Kadangkala kita pernah menangis kerana tiada duit untuk bayar sesuatu yang penting, malah setiap hari kita pohon kepada Allah agar dimurahkan rezeki, tetapi seolah-olah tiada kesannya?

Kalau orang perempuan, bermacam-macam jenis pencuci muka dicubanya semata-mata nak “kulit bercahaya”. Kalau orang lelaki pula, kerisauan yang tak menentu, jadi bermacamlah “ubat kuat” yang dipakainya.

Kita nak ke isteri macam ini? Nak ke suami yang sebegini?Masing-masing menggeleng tersengih sendirian. Jika kita tak nak pasangan seperti sedemikan rupa, maka kitalah orang pertama dahulu yang kena berubah. Bukan nanti, tetapi sekarang.

MASA UNTUK BERUBAH

Maka untuk itu tidak ada alasan lagi untuk menyeru kepada PERUBAHAN.
Buat diri, pastikan masa yang terluang selepas subuh diisi dengan pelbagai aktiviti yang bermanfaat. Jangan tidur terlalu lewat jika sayangkan waktu keemasan di kala subuh.

Buat ahli jemaah, sudahlah diri sibuk, hanya masa ini sahajalah waktu untuk belajar. Gunakan masa sebaiknya.
Buat suami, carilah rezeki. Jangan tidur.
“Kemudian setelah selesai solat, maka betebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing) dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan) supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat). – Surah Al-Jumuah (Ayat 10)
Buat isteri, masaklah, kemas rumah dan sebagainya. Takkan hilang seri rumahtangga kalau kehidupan bermula sebelum terbit fajar. Mak mertua pun tak bising lagi.

“Pesanan terpenting untuk para imam dan bakal imam terutamanya untuk diri sendiri, biasakan diri jangan tidur lepas subuh dan jangan tinggal solat jemaah di masjid, nanti selepas kahwin boleh didik isteri, kalau tak dua-dua hanyut.”

Buat pelajar, kalau nak tips study smart ingat hadith ini “kalau tidur selepas subuh papa dan tidur selepas asar boleh jadi ‘gila’.” Jangan salah pilih waktu untuk belajar atau menghafal.”

Ibnul Qayyim pernah berkata, “Pagi hari bagi seseorang itu seperti waktu muda dan akhir harinya seperti waktu tuanya.”

Amalan seseorang di waktu muda berpengaruh terhadap amalannya di waktu tua. Jadi jika seseorang di awal pagi sudah bermalas-malasan dengan sering tidur, maka di petang harinya dia juga akan bermalas-malasan pula.

Antara AKAL dan NAFSU. Pertarungan ini hanya dimenangi jika manusia bersandarkan IMAN. Jika tidak manusia sama sahaja seperti haiwan, tidak menggunakan akal dengan betul. Pembaziran masa adalah perkara yang sangat merugikan. Dan hanya syaitan yang suka pembaziran. Masa itu ibadah. Semoga Allah memberi kebijaksanaan dan kekuatan untuk kita sama-sama mengikut perintah-Nya.

Sedang Nabi melewati anaknya Fatimah RA yang sedang berbaring pada waktu Subuh, maka Baginda bersabda :
“Wahai anakku, bangunlah dan hadaplah rezeki Tuhanmu, dan janganlah engkau jadi dari kalangan orang yang lalai, sesungguhnya Allah membahagikan rezeki manusia di antara terbit fajar hingga terbit matahari.” (Diriwayatkan al-Baihaqi)




Credit: iloveislam.com

Monday, 14 September 2015

Sayyidina Umar ditikam



Kotak merah tersebut adalah dimana tempat Sayyidina Umar ditikam oleh Abu lu'lu al Majusi, ketika itu Sayyidina Umar sedang mengimami solat subuh, dan ditikam dari belakang. Sayidina Umar ketika ditikam, hampir hampir pada saat kematiannya, beliau wasiatkan kepada anaknya, Abdullah ibnu umar untuk ke rumah Sayidatina 'Aishah, dan minta izin, dikebumikan disebelah Rasulullah, kerana jasad Nabi dikebumikan didalam Rumah Sayidatina Aishah, Lalu dibenarkan oleh Sayidatina Aishah.

Al fatihah kepada Amirul Mukminin Sayyidina Umar Radhiyallahu'anh.






Credit:Pencinta Rasulullah (SAW), Nurul Izzati

Sunday, 13 September 2015

Zulhijjah dirai, roh pengorbanan dihayati

ZULHIJJAH adalah bulan yang sarat dengan pelbagai peristiwa sejarah. Zulhijjah sinonim dengan rukun Islam yang kelima iaitu haji dan juga ibadah korban. Keistimewaan bulan ini bukan hanya khusus untuk yang menunaikan fardu haji, tetapi juga memberi kelebihan kepada yang tidak menjadi tetamu Allah SWT. Jarang sekali kita mendengar ramai orang yang menunggu akan ketibaan malam satu Zulhijjah seperti mana menantinya kedatangan bulan Ramadan.
Image result for hari raya haji
Sedangkan, kelebihan 10 hari awal bulan Zulhijjah wajar direbut bagi umat Islam yang mencari medan pahala sebagai bekalan akhirat. Seperti mana sabda Rasullullah SAW daripada Ibnu Umar RA yang bermaksud: “Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah SWT dan beramal padanya lebih dikasihi oleh Allah daripada hari-hari yang sepuluh ini. Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertakbir dan bertahmid”.
Menurut al-Hafiz Ibnu Hajar, di antara sebab keistimewaan 10 hari Zulhijah ini ialah kerana di dalamnya terhimpun beberapa ibadah besar iaitu solat, puasa, sedekah dan haji. Sedangkan pada waktu lain, ibadah-ibadah tersebut tidak pernah terhimpun sebegitu. Ia juga seperti pesta ibadah bagi umat Islam yang tahu memanfaatkannya.
Setiap Muslim hendaklah menyambut dan meraikan kedatangan musim kebajikan dan medan pahala tersebut dengan penuh kesyukuran. Malah seharusnya perlu dihadirkan rasa bertaubat yang bersungguh-sungguh dengan meninggalkan segala dosa dan maksiat.
“Tidak ada satu pun amal soleh yang lebih dicintai oleh Allah SWT melebihi amal soleh yang dilakukan pada hari-hari ini (iaitu 10 hari pertama bulan Zulhijjah)”. Para sahabat bertanya: “Tidak pula jihad di jalan Allah?” Nabi SAW menjawab, “Tidak pula jihad di jalan Allah, kecuali orang yang berangkat jihad dengan jiwa dan hartanya dan tidak kembali lagi selepas itu (syahid).” - Ahmad at-Tirmizi.
Keistimewaan ini tidak ditawarkan pada bulan lain, apakah masih sanggup kita membiarkan ia berlalu begitu sahaja?
Mendekatkan diri kepada Allah memerlukan rasa mujahadah yang tinggi. Pengorbanan untuk melawan hawa nafsu dan mengikat diri untuk menjadi hamba yang taat perintah-Nya perlu dididik dalam jiwa setiap individu Muslim. Inilah semangat pengorbanan yang wajar dipupuk dalam erti kata menghayati pengorbanan yang dilakukan oleh dua insan yang berjiwa besar dalam sejarah Islam iaitu Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS.
Ibadah korban yang dilakukan sempena Aidiladha bukan semata-mata menyembelih binatang dan memberi sedekah kepada yang memerlukan tetapi rohnya jauh lebih besar. Simbolik daripada ibadah ini ialah semangat pengorbanan dan jihad yang tinggi perlu ada bagi setiap individu Muslim.
Kecekalan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS dalam me­laksanakan perintah Allah memberikan sumber inspirasi kepada umat manusia pada hari ini. Mereka mengorbankan jiwa raga dan perasaan demi perintah Allah. Maka itu, wajar kita mencontohi kekuatan iman dan semangat pengorbanan yang dipamerkan oleh dua susuk tubuh yang agung tersebut. Demi mencari keredaan Allah SWT, pengorbanan jiwa raga, masa dan tenaga serta harta benda ditagih. Kita tidak akan kehilangan sekiranya ada perkara yang perlu dikorbankan demi mencari keredhaan Allah SWT. Malah ia adalah satu pengorbanan yang akan dibalas jua dengan ganjaran yang sebaik baiknya oleh Allah.
Realitinya hari ini, ramai umat Islam yang sanggup mengeluarkan wang menjalani ibadah korban dengan menyembelih binatang tetapi tidak sanggup mentaati perintah Allah SWT dalam perkara berkaitan dengan hukum lain. Sikap ini seolah-olah hanya memahami ibadah korban itu sebagai ritual tanpa ada roh pengajaran yang sebenar daripadanya. Masih ramai yang tidak menunaikan solat lima waktu, menutup aurat serta tidak melaksanakan perintah Allah.
Zulhijjah akan berlalu seperti mana perginya Ramadan atau bulan-bulan lain. Banyak peluang yang Allah berikan kepada hambanya untuk dinikmati. Sekiranya kita melepaskan peluang ini maka terlepas jualah untuk kita meraih nikmat dan rahmat-Nya. Malah sekiranya semangat perjuangan dan pengorbanan Aidiladha itu tidak dihayati, manfaatnya juga tidak akan dapat dirasai.

Credit: NORKUMALA AWANG

Saturday, 12 September 2015

Besar Fadilat Tunai Solat Dhuha

solatdhuha
BERKENAAN dengan solat dhuha ada sebuah hadis riwayat Ahmad, Muslim dan Abu Daud bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Hendaklah masing-masing setiap pagi bersedekah untuk persendian (ruas tulang) tubuh badannya. Maka setiap kali bacaan tasbih (Subhanallah) itu sedekah, setiap tahmid (Alhamdulillah) itu sedekah, setiap bacaan tahlil (Lailahaillallah) itu sedekah, setiap takbir (Allahuakbar) itu sedekah, amar makruf nahi mungkar (menyuruh kebaikan dan melarang kejahatan) itu sedekah, dan sebagai ganti itu semua, cukuplah mengerjakan solat dhuha dua rakaat.”
Sunat dilaksana ketika matahari naik tinggi, panas terik
Solat dhuha waktunya iaitu selepas matahari sudah naik tinggi segalah dan berakhir ketika tergelincir matahari (masuk waktu Zuhur). Mudahnya solat dhuha bermula setengah jam selepas waktu syuruk. Namun disunatkan melaksanakannya pada waktu matahari naik agak tinggi dan panas agak terik. Hal ini seperti hadis riwayat Ahmad dan Muslim, daripada Zahid bin Arqam RA, beliau berkata:
“Nabi SAW keluar menuju tempat ahli Quba. Pada ketika itu mereka sedang menunaikan solat dhuha. Baginda bersabda: Ini adalah solat orang yang kembali kepada Allah (Awwabiin), iaitu di waktu anak-anak unta telah bangun kerana kepanasan waktu dhuha.
Sekurang-kurangnya solat dhuha ini adalah dua rakaat seperti hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah RA berkata yang bermaksud: “Kekasihku Rasulullah SAW berpesan kepada saya supaya berpuasa tiga hari tiap-tiap bulan dan solat dhuha dua rakaat dan solat witir sebelum tidur.”
Boleh juga dibuat empat rakaat seperti hadis riwayat Muslim, daripada Aisyah RA beliau berkata: “Rasulullah SAW biasa melaksanakan solat dhuha empat rakaat, dan kadang-kadang melebihi dari itu sekehendak Allah”.
Boleh juga dibuat lapan rakaat dan setiap dua rakaat satu salam seperti hadis riwayat Abu Daud, yang bermaksud: “Bahawa Nabi SAW mengerjakan solat dhuha sebanyak lapan rakaat dan tiap-tiap dua rakaat bersalam. Sehinggalah kepada 12 rakaat dan sesiapa yang mengerjakan solat dhuha 12 rakaat, nescaya dia akan mendapat istana di syurga”. Dalam sebuah hadis riwayat at-Tirmizi, daripada Anas r.a, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang solat dhuha 12 rakaat, nescaya Allah dirikan untuknya istana di syurga.”
Dalam kitab fiqah I’aanatuth Thalibin, jilid 1 muka surat 225 dinyatakan bahawa jika dikerjakan dua rakaat, disunatkan pada rakaat pertama sesudah membaca surah al-Fatihah, membaca surah “Wasy-Syamsi waduhaaha..” dan pada rakaat kedua sesudah membaca al-Fatihah, membaca surah “Wadhuhaa wal-Laili izaa saja.”
Jika dikerjakan lebih daripada dua rakaat, maka disunatkan tiap-tiap dua rakaat salam. Surah yang dibaca adalah seperti yang telah disebutkan, manakala rakaat selebihnya membaca surah al-Kafirun (Qul yaa ayyuhal kafirun) dan surah al-Ikhlas (Qul huwallahu ahad).
Cara yang terbaik apabila mengerjakan solat dhuha dua rakaat ialah pada rakaat pertama sesudah membaca al-Fatihah, membaca ayat Kursi sebanyak 10 kali dan pada rakaat kedua sesudah membaca al-Fatihah, membaca surah al-Ikhlas 10 kali juga. Hal ini seperti hadis daripada Anas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang melaksanakan solat dhuha, bacalah pada rakaat pertama surah al-Fatihah dan ayat Kursi 10 serta pada rakaat yang kedua sesudah membaca al-Fatihah, membaca surah al-Ikhlas 10 kali, pasti ia mendapat keredaan yang terbesar daripada Allah.”
Demikianlah, wallahualam.

Credit: Dr Zahazan Mohamed

Friday, 11 September 2015

Minyak zaitun bantu cegah penyakit kronik




Pemakanan sihat adalah kunci kesihatan yang baik. Pemahaman mengenai makanan sihat sangat penting untuk menjaga kesihatan. Pengetahuan mengenai lemak atau minyak sihat sangat penting untuk kesihatan kerana bukan semua lemak atau minyak tidak sihat.
Sejak 50 tahun lalu, kajian sains menunjukkan antara minyak yang sihat untuk kesihatan adalah minyak zaitun. Minyak zaitun berasal daripada buah zaitun (olea europaea) yang banyak digunakan dalam pemakanan dan juga kegunaan luar untuk disapu pada kulit.
Antara makanan sunah yang banyak diamalkan ialah minyak zaitun. Sejak 1,400 tahun lalu, Nabi Muhammad SAW menganjurkan penggunaan minyak zaitun kerana khasiatnya yang besar dikeluarkan dari pohon zaitun.
Allah SWT bersumpah dengan buah zaitun dan buah tin dalam surah at-Tin ayat satu menunjukkan buah zaitun adalah hebat dan mempunyai khasiat kesihatan yang sangat tinggi.
Firman Allah SWT dalam surah an-Nahl ayat 11: “Dia menumbuhkan bagi kamu dengan air hujan itu tanam-tanaman; zaitun, kurma, anggur dan segala macam buah-buahan. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar ada tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang memikirkan.”
Diriwayatkan oleh Ibnu Umar ra, Rasulullah SAW bersabda: “Minumlah minyak zaitun dan berminyak dengannya kerana sesungguhnya ia adalah dari pohon yang diberkati.” (HR Al-Baihaqi & Ibnu Majah).
Kajian saintifik membuktikan khasiat minyak zaitun dan ia adalah bahan utama dalam makanan Mediterranean yang terbukti secara saintifik sangat menyihatkan.
Minyak zaitun mengandungi lemak mono tak tepu (MUFA) yang menyihatkan, di samping lemak tepu dan juga lemak poli tak tepu (PUFA) termasuk Omega 3 dan 6.
Minyak zaitun juga mengandungi bahan antioksidan iaitu hydroxy tyrosol, oleocanthal, squalene dan beta karotin. Ia juga mengandungi vitamin E tokoferol dan juga vitamin K.
Kajian sains menunjukkan penduduk di Mediterranean yang banyak mengambil minyak zaitun dalam pemakanan mereka mempunyai kadar sakit jantung yang jauh lebih rendah berbanding penduduk di Amerika Utara dan utara Eropah.
Kajian yang diterbitkan dalam jurnal perubatan Pharmacological Research 2007 berdasarkan kajian mendalam yang dijalankan oleh Prof Maria Covas di Sepanyol menunjukkan seseorang yang mengambil minyak zaitun secara kerap akan mempunyai risiko lebih rendah mendapat penyakit kardiovaskular iaitu penyakit jantung, darah tinggi, strok dan kolesterol tinggi.
Kajian ini juga menunjukkan pengambilan minyak zaitun secara kerap akan mengurangkan masalah keradangan dan disfungsi endothelium saluran darah koronari serta penyumbatan saluran darah (thrombosis).
Kajian lain yang dijalankan di National Institute of Health and Medical Research (INSERM) di Bordeaux, Perancis menunjukkan pengambilan minyak zaitun setiap hari mampu mencegah angin ahmar atau strok.
Kajian ini dilaporkan dalam jurnal perubatan Neurology pada 2011 yang menunjukkan seseorang yang mengambil minyak zaitun setiap hari mempunyai 41 peratus risiko lebih rendah mendapat strok berbanding seseorang yang tidak mengambil minyak zaitun.
Satu lagi kajian menarik menunjukkan pengambilan minyak zaitun setiap hari juga boleh mencegah kanser payudara. Sepasukan ahli sains dari Universitat Autonoma de Barcelona di Sepanyol melaporkannya pada 2010.
Pengkaji ini mendapati minyak zaitun mengurangkan aktiviti onkogen p21Ras, mencegah kerosakan DNA sel dan menggalakkan kematian sel kanser payudara secara spontan.
Kajian ini menunjukkan minyak jagung yang kaya dengan Omega 6 mempunyai kesan yang bertentangan dengan minyak zaitun. Oleh itu pengambilan minyak zaitun boleh kita amalkan sebagai suplemen harian untuk mencegah penyakit berbahaya.
Kajian oleh ahli sains Jepun yang diterbitkan dalam jurnal perubatan Medical Science Monitor pada 2004 menunjukkan pengambilan minyak zaitun oleh 28 pesakit yang mempunyai masalah kolesterol tinggi selama enam minggu membantu menurunkan paras kolesterol LDL dan meningkatkan kolesterol HDL.
Saintis berpendapat kesan ini kandungan asid oleic (MUFA), phenol dan vitamin E dalam minyak zaitun. Kajian diterbitkan dalam British Medical Journal pada 2012 menunjukkan menggoreng menggunakan minyak zaitun dan minyak bunga matahari tidak meningkatkan risiko mendapat penyakit jantung.
Kajian ini membabitkan 40,000 peserta yang dijalankan oleh University Madrid di Sepanyol. Walaupun menggoreng menggunakan minyak zaitun akan mengurangkan khasiatnya, ia tetap memberi manfaat dengan tidak meningkatkan risiko penyakit jantung.
Kajian khusus mengenai penyakit Alzheimer juga mendapati minyak zaitun boleh mencegah penyakit ini kerana kandungan bahan ‘oleocanthal’ didalamnya.
Bahan oleocanthal ini membantu mengeluarkan protein beta-amyloid yang tidak normal daripada otak seseorang. Kajian ini menunjukkan penyakit Alzheimer mempunyai kadar rendah dalam kalangan penduduk di kawasan Mediterranean berbanding wilayah lain di seluruh dunia. Kajian ini diterbitkan dalam jurnal perubatan Chemical Neuroscience pada 2013.
Pelbagai lagi kajian saintifik yang dijalankan di seluruh dunia menunjukkan penggunaan mi­nyak zaitun mengurangkan masalah kemurungan, menguatkan memori, bengkak pankreas akut (acute pancreatitis), penyakit hati akibat stres oksidatif dan penyakit bengkak usus (ulcerative colitis).
Kita boleh mengamalkan minyak zaitun dalam pemakanan seharian sebagai makanan kesihatan atau diambil sebagai suplemen harian untuk membantu mencegah pelbagai penyakit kronik. Niatkan pengambilan minyak zaitun ini sebagai mengikut sunah Rasulullah SAW mudah-mudahan kita mendapat keberkatan, insya-Allah.




Thursday, 10 September 2015

Kelebihan 10 hari awal Zulhijjah

Tidak berapa hari lagi kita akan melangkah masuk ke bulan Zulhijjah, insya-Allah. Bulan yang juga dikenali sebagai bulan haji dan sinonim dengan ibadat korban. Bagi jemaah haji, apabila tiba bulan ini semakin hampir mereka dengan kemuncak ibadat itu iaitu wukuf di Arafah.
Bagi kita yang tidak berkesempatan menjadi tetamu Allah kali ini, mari kita rebut peluang 10 hari pertama Zulhijjah dengan melakukan pelbagai ibadat sunat.
Ada beberapa dalil al-Quran dan hadis yang menyebut tentang kelebihannya. Antaranya, firman Allah SWT yang bermaksud: (Demi fajar dan malam yang sepuluh). (al-Fajr: 1-2)
Menurut Ibnu Kathir: Yang dimaksudkan di sini ialah 10 malam yang pertama bulan Zulhijjah. Demikian juga tafsiran Ibnu Abbas, Ibnu Az-Zubair, Mujahid dan lainnya. (Hadis riwayat Bukhari)
Daripada Ibnu Umar r.a, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah SWT dan beramal padanya lebih dikasihi oleh Allah dari hari-hari yang 10 ini. Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertakbir dan bertahmid”. (Riwayat Ahmad)
Sementara itu, menurut al-Hafiz Ibnu Hajar: Yang jelasnya, di antara sebab keistimewaan 10 hari Zulhijjah ialah terhimpun di dalamnya beberapa ibadat yang besar iaitu solat, puasa, sedekah dan haji. Pada waktu lain, ibadat-ibadat ini tidak pernah terhimpun sebegitu.
Oleh itu, marilah kita melipat-gandakan amalan pada bulan ini terutamanya solat. Disunatkan kita keluar awal ke tempat solat fardu (berjemaah) dan memperbanyakkan solat sunat kerana ia sebaik-baik amalan.
Thauban r.a berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Hendaklah kamu memperbanyakkan sujud kepada Allah, kerana setiap kali kamu sujud kepada-Nya, Allah akan angkatkan darjatmu kepada-Nya dan dihapuskan kesalahanmu. (Riwayat Muslim). Ini umum untuk semua waktu.
• Puasa. Daripada Hunaidah bin Khalid, daripada isterinya, daripada sebilangan isteri-isteri Rasulullah SAW berkata: “Rasulullah SAW berpuasa pada hari sembilan Zulhijjah, pada hari Asyura (10 Muharam) dan tiga hari pada setiap bulan”. (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)
• Takbir, tahlil dan tahmid. Ini berdasarkan hadis Ibnu Umar di atas yang mengatakan: “Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil (mengucapkan La-ilaha-illallah), bertakbir (mengucapkan Allahu Akbar) dan bertahmid(mengucapkan Alhamdulillah)”.
Kata Imam Bukhari: “Ibnu Umar dan Abu Hurairah r.a menuju ke pasar pada hari-hari 10 dan bertakbir. Orang ramai yang mendengarnya kemudian turut sama bertakbir”.
• Puasa pada hari Arafah. Hendaklah berpuasa bagi sesiapa yang mampu pada hari Arafah (9 Zulhijjah) kerana amalan ini sabit dari Rasulullah SAW. Baginda SAW bersabda yang bermaksud: Aku mengharapkan Allah menghapuskan kesalahan setahun yang lalu dan setahun yang akan datang. (Riwayat Muslim) Bagaimanapun, amalan ini hanya disunatkan untuk orang yang tidak menunaikan haji.
• Kelebihan Hari Raya Aidiladha (Yaum an-Nahr) pada 10 Zulhijjah.
Kebanyakan orang Islam telah lupa akan kelebihan hari ini. Kebesaran dan kelebihan perhimpunan umat Islam yang begitu ramai dari seluruh pelosok dunia.
Sesetengah ulama berpendapat hari ini ialah hari yang paling afdal di dalam setahun sehingga melebihi hari Arafah.


Credit: MOHD. RADZI MOHD. ZIN

Sunday, 6 September 2015

Beruk Jantan Gemparkan Sesi Pengajian Pondok




Diterbitkan: Ahad, 6 September 2015 11:11 PM

Seekor beruk jantan besar muncul ketika orang ramai sedang mengikuti kelas pengajian agama di Mahad Dar Muhajirin, Bukit Teriak, pagi Sabtu. -fotoBERNAMA
JITRA: Orang ramai gempar selepas seekor beruk jantan masuk ke dalam surau ketika kelas agama sedang berlangsung di sebuah pondok pengajian di Kampung Bukit Teriak di sini.
Kejadian yang menjadi viral di laman sosial itu berlaku pukul 9 pagi Sabtu ketika kira-kira 390 orang sedang mengikuti kelas pengajian agama mingguan di Mahad Dar Muhajirin di Kampung Bukit Teriak.
Tenaga pengajar pondok tersebut, Ummi Kalsom Ismail, 31, berkata beruk jantan tersebut datang dari arah hutan di belakang pondok itu dan berlegar-legar di sekitar pondok tersebut tanpa mengganggu atau mencederakan orang ramai yang mengikuti kelas pengajian.
Beliau berkata haiwan itu juga memerhati setiap daripada mereka yang berada di luar surau dan tidak mengambil makanan yang diberikan kepadanya.
"Selepas berlegar di luar, haiwan itu masuk ke dalam surau dan apa yang peliknya haiwan itu hanya melihat orang yang sedang membaca kitab agama dan hanya duduk melihat kelas pengajian yang berlangsung.
"Kemudian haiwan tersebut memanjat badan guru agama yang sedang mengajar. Ustaz itu hanya membiarkan beruk itu berada di atasnya selama beberapa minit sebelum haiwan itu turun sendiri," katanya ketika ditemui di pondok itu Ahad.
Ummi Kalsom berkata ia merupakan kejadian pertama sejak pondok itu sejak dibuka pada 2001 dan ia merupakan pengalaman tidak dapat dilupakan kerana haiwan sebesar kanak-kanak berusia lima tahun itu tidak bertindak agresif seperti kebiasaan beruk lain.
Beliau berkata orang ramai kemudiannya menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk menangkap haiwan tersebut kira-kira pukul 10.30 pagi kerana bimbang berlakunya kejadian yang tidak diingini.
"Kami lihat beruk itu masuk ke dalam sangkar tanpa bertindak agresif," katanya.
Sementara itu beruk jantan, yang ditempatkan di JPAM Kota Setar buat sementara waktu sebelum ini, telah diserahkan kepada Jabatan Perhilitan untuk tindakan lanjut. - BERNAMA