Thursday, 3 January 2013

Kanyon Imbak khazanah alam berharga


Khazanah alam yang sungguh berharga, itulah yang dapat ditafsirkan bagi Kawasan Konservasi Kanyon Imbak, yang terletak di Ulu Kinabatangan di tengah Sabah.

Kawasan terbesar tinggalan hutan tanah pamah rendah dipterokarpa dengan berkeluasan 30,000 hektar itu terbentang luas antara dua lagi hutan simpan dara iaitu Lembah Danum dan Lembangan Maliau.

Seseorang mungkin terfikir sama ada landskap di sini menyerupai Grand Canyon di Arizona, Amerika Syarikat.

Tidaklah sebegitu, namun perkataan ‘kanyon’ pada namanya lebih merujuk kepada kedalamannya 750 meter dan lebar tiga kilometer dari paras laut dengan cerunan batu yang diukir dari landskap oleh Sungai Imbak, yang menjadikannya seperti kanyon.

Kanyon Imbak yang dikelilingi tiga sisi cerunan batu mencapai ketinggian 1,127 meter (3,700 kaki) adalah kawasan hutan hujan dan kaya dengan flora, fauna serta memiliki biodiversiti yang tinggi.

Untuk sampai ke Kanyon Imbak, kita boleh menggunakan jalan darat dari Kota Kinabalu yang mengambil masa lima jam perjalanan atau dari Sandakan, empat jam perjalanan.

Kanyon Imbak diuruskan oleh Yayasan Sabah (YS), yang terlibat dalam kerja-kerja pemuliharaan, penyelidikan, latihan, pendidikan dan rekreasi alam semula jadi.


Kawasan tadahan

Kanyon Imbak adalah kawasan tadahan bagi Sungai Imbak dan seterusnya bagi Sungai Kinabatangan, dua sungai yang memainkan peranan penting bukan sahaja dari segi menyediakan bekalan air, malahan sebagai pengangkutan dan sumber makanan kepada kehidupan penduduk kampung di sepanjang sungai itu.
Kawasan ini juga memainkan peranan penting dalam koridor hidupan liar yang menghubungkan Lembangan Maliau dan Lembah Danum, jelas Ketua Bahagian Konservasi dan Pengurusan Alam Sekitar YS, Dr Waidi Sinun.

Melalui tiga ekspedisi saintifik yang dijalankan sejak 2000, 2004 dan 2010 masing-masing berjaya merungkai sebahagian kecil khazanah alam yang terdapat di Kanyon Imbak, mengenal pasti dan merekod 312 spesies tumbuhan dan daripada jumlah itu, 32 adalah spesies endemik di Borneo termasuk enam lagi hanya ditemui di Sabah.

Mengenai fauna, Dr Waidi berkata, lebih 200 spesies burung tinggal di Kanyon Imbak, dengan lima daripadanya adalah endemik di Borneo yang hanya ada di kawasan konservasi itu.

Ekspedisi ini juga mencatatkan kehadiran hidupan liar lain yang mendiami kawasan itu antaranya gajah Pygmy Borneo, harimau bintang, beruang, pelanduk serta badak Sumatra.

“Hutan Simpan Kelas 1 (Perlindungan) itu juga mempunyai landskap yang unik dari segi muka bumi yang berbentuk lembah dalam bentuk kanyon di dalam hutan hujan," kata Dr Waidi pada program pecah tanah Pusat Maklumat dan Jeti Ulu Kinabatangan di Kampung Imbak baru-baru ini.

Kanyon Imbak juga memiliki banyak air terjun yang menarik dan dua daripadanya berjaya ditemui yang mempunyai panorama yang menarik iaitu Air Terjun Imbak dan Air Terjun Lapan Tingkat.


Usaha konservasi

Dalam usaha konservasi Kanyon Imbak, YS telah menandatangani memorandum persefahaman dengan Petronas pada 2009 bagi menjadikan kawasan konservasi itu sebagai pusat pembelajaran dalam pemuliharaan biodiversiti dan tabung genetik serta penerokaan potensi farmaseutikal dan bioteknologi.

Menurut Waidi, pelbagai manfaat akan dinikmati masyarakat tempatan melalui pelaksanaan program kemasyarakatan, kesedaran awam, pendidikan alam sekitar dan penyelidikan yang bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai Kanyon Imbak.

“Penglibatan penyelidik dalam dan luar negara dapat membuka peluang serta meluaskan kerjasama komuniti tempatan dalam aktiviti ekonomi yang bermatlamat mempertingkatkan taraf hidup mereka tanpa menjejaskan alam sekitar," katanya.

Antara projek yang dilaksanakan dalam program kemasyarakatan di bawah kerjasama itu adalah pembinaan Pusat Maklumat dan Jeti Ulu Kinabatangan di Kampung Imbak.

Pusat maklumat itu akan dilengkapi dengan pameran berbentuk poster yang memberi maklumat tentang Ulu Kinabatangan, Kanyon Imbak serta model tiga dimensi (3D) Kanyon Imbak. Ia akan menjadi pusat hentian setempat untuk orang ramai serta masyarakat tempatan mendapatkan maklumat mengenai Ulu Kinabatangan dan Kanyon Imbak.

Persatuan pengangkut barang (porter) dan pemandu pelancong Kanyon Imbak yang menyediakan perkhidmatan untuk pelawat ke Kanyon Imbak akan menggunakan pusat maklumat itu sebagai stesen mereka, selain digunakan penduduk tempatan untuk menjual hasil kraftangan.

Waidi menyifatkan kewujudan pusat maklumat dan penubuhan persatuan porter dan pemandu pelancong itu selari dengan landasan untuk membabitkan masyarakat setempat dalam usaha memulihara Kanyon Imbak kerana mereka adalah komuniti yang hidup berhampiran kawasan konservasi itu.

“Dalam mengurus kawasan ini, penduduk kampung diharap dapat lebih menghargai Kanyon Imbak yang terletak bersebelahan dengan kawasan kediaman mereka.

“Jika mereka dapat mengekal dan menilai kawasan itu (Kanyon Imbak), kerjasama ini boleh menjadikan kawasan ini kekal dan tidak perlu kepada usaha mewujudkan satu polisi yang ketat dalam menjaga kawasan konservasi ini.

“Apa yang penting mereka sedar bahawa khazanah ini begitu tinggi nilainya dan dengan sendirinya mereka akan menjaga kawasan ini sebagaimana masyarakat di sekeliling Gunung Kinabalu menjaga kawasan itu," kata Waidi.


Pembabitan Petronas

Bagi Petronas, pembabitan syarikat petroleum negara itu dalam pemuliharaan Kanyon Imbak selari dengan sokongan terhadap banyak usaha untuk melindungi alam sekitar bagi generasi akan datang.

Pengurus Besar Kanan Bahagian Hal Ehwal Korporat (Kumpulan) Petronas, Datuk Mohammad Medan Abdullah berkata, selain mewujudkan pusat maklumat dan jeti di Kampung Imbak, menerusi kerjasama dengan YS, sebuah pusat penyelidikan akan didirikan di Kanyon Imbak.

Pusat itu kelak akan dilengkapi dengan kemudahan makmal untuk menjadi hab kepada penyelidikan dan kajian mengenai alam sekitar dan biodiversiti di kawasan itu.

"Kerjasama dengan YS dalam konservasi Kanyon Imbak akan menyediakan peluang pendidikan kepada rakyat di negara ini terutama di Sabah untuk menerokai lebih dalam lagi dari segi memungut pengetahuan dan kepakaran di kawasan konservasi Kanyon Imbak.

“Pelaksanaan Projek Kanyon Imbak juga menzahirkan prinsip-prinsip yang terkandung dalam Kerangka Kelestarian Petronas yang bertujuan melindungi sebaik mungkin ekosistem daripada pelbagai kesan buruk yang boleh memudaratkan manusia, haiwan, mahupun alam sekitar," katanya.

Menurutnya, pembabitan Petronas dalam pemuliharaan Kanyon Imbak adalah penting kepada usaha menjaga khazanah semula jadi yang berharga itu, yang menjadi nadi utama kepada negeri ini dan penduduk yang tinggal di sekitarnya.

Tahun ini adalah tahun kedua pembabitan Petronas di Kanyon Imbak melalui memorandum persefahaman yang terjalin dengan YS, yang dijangka memberi kesan yang berpanjangan kepada rakyat Sabah, terutama penduduk setempat di Ulu Kinabatangan.

Penduduk di Kampung Imbak, salah sebuah kampung yang terletak berhampiran Kanyon Imbak antara yang mendapat manfaat daripada usaha pemuliharaan kawasan itu.


Penglibatan komuniti

Ketua Kampungnya, Samiun Bungias berkata sejak dari awal usaha menerokai Kanyon Imbak, penduduk di kampung itu sudah dilibatkan dalam ekspedisi yang dijalankan sebagai pekerja sokongan iaitu penunjuk arah dan porter.

Katanya, penduduk kampung itu menghargai usaha pemuliharaan Kanyon Imbak yang dilakukan oleh YS dan Petronas kerana kawasan hutan itu mempengaruhi kehidupan mereka.

“Kami menyedari, kerjasama daripada penduduk kampung yang tinggal di kawasan berhampiran Kanyon Imbak adalah penting kepada usaha memulihara kawasan itu," kata Samiun.

Beliau berkata peluang pekerjaan dan aktiviti yang mampu menjana pendapatan penduduk sudah tentu akan wujud daripada usaha konservasi Kanyon Imbak.

Menurutnya, pengwujudan pusat maklumat Kanyon Imbak dan Jeti itu sudah tentu memberi manfaat kepada penduduk kampung termasuk dalam menjana ekonomi setempat yang berteraskan eko pelancongan.

Kekayaan flora dan fauna serta biodiversiti yang terdapat di Kanyon Imbak sememangnya tidak ternilai harganya dan usaha memulihara yang dijalankan oleh YS dengan kerjasama agensi lain juga bertepatan kepada generasi akan datang untuk menikmati khazanah alam kawasan itu.

Credit:  BERNAMA

Penjagaan kesihatan dalam Islam



SEMUA orang mengimpikan kehidupan yang bahagia dan harmoni. Seseorang itu sanggup berbuat apa sahaja demi untuk mencapai kebahagiaan dan keharmonian dalam hidup. 

Ada yang sanggup memerah keringat, membanting tulang empat kerat, mengorbankan harta dan ada yang sanggup mempertaruhkan nyawa.

Tetapi malangnya ramai yang terlupa dalam banyak-banyak perkara yang penting untuk mencapai kebahagiaan dalam hidup ialah kesihatan fizikal dan mental.

Ramai yang menabung untuk simpanan hari tua, untuk pendidikan masa depan anak-anak dan seringkali tabungan untuk kesihatan tidak ramai yang betul-betul membuat persiapan dan persediaan.

Malah, yang lebih malangnya terdapat di kalangan kita yang memandang remeh terhadap aspek tersebut dengan alasan di negara kita ini pihak kerajaan telah menyediakan perkhidmatan kesihatan.

Oleh itu, pada pandangan mereka kenapa perlu bersusah-payah lagi untuk menyediakan dana untuk tujuan tersebut. Inilah musuh yang paling bahaya iaitu zon selesa (comfort zone).

Dewasa ini kita seringkali dikejutkan dengan pelbagai jenis penyakit kritikal yang memerlukan dana yang besar untuk kos rawatannya. Penyakit darah tinggi dan kencing manis antara dua jenis penyakit yang boleh memberi kesan sampingan yang kronik termasuklah serangan sakit jantung.

Penyakit jantung merupakan penyakit pembunuh terbesar di Malaysia. Di samping itu, penyakit-penyakit seperti kanser, penyakit buah pinggang, strok dan sebagainya juga antara penyakit yang dikenal pasti menjadi pembunuh rakyat Malaysia masa kini.

Penyakit-penyakit ini memerlukan kos rawatan yang tinggi. Sebagai contoh, anggaran perbelanjaan perubatan rawatan kanser payudara di sekitar RM20,000 ke RM100,000. Tanpa ada tabungan yang cukup, mana mungkin kita boleh menampung kos perubatan yang begitu tinggi.

Akhbar-akhbar tempatan dan antarabangsa melaporkan ramai individu yang terpaksa berhutang untuk menampung pembiayaan kos perubatan hospital. Oleh kerana terlalu banyak berhutang, maka ia akan memberikan kesan negatif kepada individu berkenaan. Antaranya, kegagalan membayar balik hutang kad kredit, pinjaman rumah dan kereta disebabkan bebanan tanggungan kos perubatan.

Kos untuk perkhidmatan perubatan juga turut meningkat dari semasa ke semasa sehingga menjadi suatu beban yang akhirnya terpaksa 'merempat' untuk menagih simpati bantuan orang ramai.

Dalam keadaan sebegini sudah pasti akan menambahkan lagi bebanan, iaitu beban menanggung penyakit yang dihidapi dan juga menanggung beban kewangan.

Akibat daripada kurangnya kesedaran tentang perlindungan kesihatan, maka kebanyakan individu tidak dapat menanggung perbelanjaan perubatan dan akhirnya menyebabkan mereka berhutang.

Dalam konteks ini, Islam sebagai agama yang lengkap dan syumul yang merangkumi semua aspek kehidupan amat mementingkan penjagaan kesihatan fizikal sebagaimana Islam mementingkan penjagaan kesihatan jiwa dan akal.

Malah kaedah penjagaan kesihatan dalam Islam lebih syumul bila mana Islam menetapkan bahawa kesihatan itu bukan hanya kesihatan fizikal semata-mata, malah ia mencakupi kesihatan jiwa dan akal.

Kesihatan adalah anugerah yang sangat bernilai dan perlu dihargai. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: Sesungguhnya kamu mempunyai tanggungjawab untuk menunaikan hak terhadap tubuh badan kamu. (riwayat Bukhari ).

Sabda Nabi SAW lagi: Orang Mukmin yang kuat lebih baik dan disukai oleh Allah daripada orang Mukmin yang lemah. (riwayat Muslim).

Islam mendidik kita untuk menjaga kesihatan dengan cara mengambil langkah-langkah pencegahan sebelum ditimpa sebarang penyakit. Mencegah itu lebih baik daripada mengubati.

Apabila sudah ditimpa penyakit maka Islam mengajar kita agar tidak berputus asa dan hendaklah berusaha mencari penawar sebagaimana sabda Rasulullah SAW: Allah tidak menurunkan suatu penyakit itu kecuali diturunkan bersamanya ubat. (riwayat Al-Bukhari ).

Di antara kaedah lain yang ditekankan oleh Islam dalam penjagaan kesihatan ialah menitikberatkan kebersihan. Dari aspek perubatan, kebersihan memainkan peranan yang cukup penting dalam mengelakkan seseorang ditimpa penyakit yang meliputi kebersihan diri dan kawasan persekitaran.

Makanan seimbang adalah antara kaedah yang juga diberi penekanan oleh Islam dalam penjagaan kesihatan. Setiap hari kita menikmati pelbagai jenis juadah makanan untuk keperluan jasmani kita dan membekalkan tenaga yang secukupnya dalam melakukan aktiviti sehari hari.

Pendek kata, Islam amat prihatin dalam soal penjagaan kesihatan malah memerintahkan penganutnya sentiasa mengambil berat akan hal ini. Ia seperti yang disebut dalam pepatah Arab, akal yang sihat pada tubuh badan yang sihat.

Oleh itu, menjadi satu tuntutan untuk memastikan segala langkah diambil demi menjaga kesihatan termasuklah menyediakan dana atau sumber kewangan yang cukup.

Credit: WAN JEMIZAN W. DERAMANdan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN

Wednesday, 2 January 2013

KANANG ANAK LANGKAU MENINGGAL DUNIA


KENANGAN... Pahlawan negara Datuk Temenggong Kanang Anak Langkau, meninggal dunia pada pukul 1.45 pagi Khamis di Hospital Umum Sarawak. 
Beliau yang berusia 68 tahun meninggal dunia akibat serangan jantung. 
-fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memberi penghormatan kepada pahlawan negara, Datuk Temenggong Kanang Anak Langkau yang meninggal dunia, dipercayai akibat serangan jantung pada awal pagi Khamis.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid berkata, kerajaan mengambil keputusan untuk memberi penghormatan kepada mendiang di Sarawak pada Ahad ini.
"Yang Amat Berhormat Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) telah mengarahkan saya untuk meminta pegawai-pegawai pertahanan untuk melakukan persiapan bagi penghormatan kepada mendiang.
"Kerajaan negeri (Sarawak) juga akan mengkoordinasikan majlis penghormatan ini. Kami mengenang Kanang Anak Langkau kerana jasa-jasa beliau bukan sahaja kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tetapi juga kepada negara kita ketika beliau berkhidmat sebagai salah seorang anggota tentera," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Graduasi Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) Malaysia Siri 32/2012 di sini, Khamis.
Kanang meninggal dunia pada usianya 65 tahun di Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 1.45 pagi Khamis selepas mengadu sakit dada ketika menonton televisyen di kediamannya di Kampung Sungai Apong sebelum pengsan dan dikejarkan ke hospital.
Ahmad Zahid berkata, beliau mengenali Kanang secara peribadi dan merasakan kehilangan seorang teman yang merupakan seorang pahlawan negara.
Menurut Ahmad Zahid, jasa budi Kanang akan dikenang kerana mendiang berkesempatan untuk meriwayatkan perjuangan beliau menerusi beberapa wawancara dan pengkisahan.
"Saya agak terkilan kerana filem yang bertajuk 'Kanang Anak Langkau' belum sempat disiapkan. Bagaimanapun, saya akan meminta penerbit dan pengarah filem berkenaan agar menggunakan bahan-bahan penggambaran yang sedia ada untuk disiapkan bagi dipertontonkan kepada khalayak umum.
"Pengriwayatan beliau dalam bentuk wawancara, buku dan filem adalah sebagai mengenang jasa beliau dan menjadikan contoh kepada para pegawai dan anggota tentera yang lain," katanya.
Kanang dianugerahkan dengan Pingat Panglima Gagah Berani (PGB) pada 7 Jun 1987 dan Pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (PSP) pada 3 Jun 1981 daripada Yang di-Pertuan Agong.
Ahmad Zahid berkata, setakat ini mendiang merupakan satu-satunya penerima kedua-dua anugerah terbesar negara itu.
Kanang merupakan Pengesan Jejak Iban (Iban Tracker) pada 21 April 1962 sebelum diserapkan ke Renjer Malaysia apabila Persekutuan Malaysia diisytiharkan pada 16 September 1963 dan beliau bersara dengan jawatan terakhirnya dalam ATM sebagai Pegawai Waran 1, selepas 21 tahun berkhidmat.
Antara perjuangan beliau yang menjadi kebanggaan negara apabila berani menentang komunis ketika bersama ATM dari 1962 hingga 1963.
Credit:  IWAN SHU-ASWAD SHUAIB

Didik anak berorientasikan al-Quran




Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Setiap anak yang dilahirkan adalah fitrah dan suci. Kedua orang tua yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Ibu bapa adalah guru utama, manakala keluarga pula sekolah pertama yang berfungsi untuk melahirkan generasi terbaik yang bermanfaat kepada agama, bangsa dan negara. 
Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya orang yang beriman dan beramal soleh, mereka itulah sebaik-baik makhluk.” (Surah al-Bayyinah, ayat 7) 


Al-Quran juga mengingatkan umat Islam supaya tidak meninggalkan generasi yang lemah kerana Islam amat memerlukan generasi yang kuat, cerdas, penyejuk mata dan hati ibu bapa serta pemimpin orang bertakwa yang berjuang menegakkan Islam di bumi Allah.

Firman Allah SWT: “Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah orang) yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh daripada isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang yang (mahu) bertakwa.” (Surah al-Furqan, ayat 74) 

Oleh itu, pendidikan Islam seharusnya berorientasikan al-Quran iaitu pembentukan akhlak Islam, bukannya berorientasikan nilai akademik dan kelulusan semata-mata, apatah lagi mengabaikan aspek akhlak.

Luqman al-Hakim telah memberikan teladan terbaik dalam mendidik anak yang soleh iaitu pembinaan akidah terlebih dulu. Jika akidah tauhidnya kuat, maka keperibadiannya pun akan baik. 

Firman Allah SWT: “Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar. Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah juga tempat kembali (untuk menerima balasan).” (Surah Lukman, ayat 13-14) 

Anak perlu dipelihara serta dididik dengan baik supaya tumbuh menjadi pohon yang kukuh, yang tidak terjerumus pada hal-hal negatif. 

Nabi Yaakub bertanya kepada anak-anaknya: “Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati? Mereka menjawab: Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan datuk nenekmu Ibrahim dan Ismail dan Ishak, iaitu Tuhan yang Maha Esa, dan kepadaNyalah saja kami berserah diri (dengan penuh iman).” (Surah al-Baqarah, ayat 133) 

Begitu juga dengan perkembangan anak di tengah pergolakan kehidupan sosial yang berkecamuk ini. Gerakan musuh Islam yang sistematik cuba merosakkan akidah, pemikiran dan akhlak anak.

Anak-anak sewajarnya dibimbing, diasuh dan dipimpin menuju jalan yang benar. Jangan sama sekali mereka ditinggalkan dalam kesesatan. Adalah menjadi kewajipan ibu bapa membimbing anak membaca dan merenungi al-Quran sebagai penawar serta penyejuk hati.

Firman Allah SWT: “Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) al-Quran tidak menambahkan orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian juga.” (Surah al-Isra, ayat 82)

Tuesday, 1 January 2013

Sifat pemaaf tak calar maruah


Akhlak mulia kikis perasaan sombong, bendung pecah belah 
Jika bukan kita yang menimbulkan kemarahan, mungkin orang di sekeliling melakukannya kerana dalam pergaulan seharian ada masanya kita tidak sedar perbuatan atau perkataan diutarakan menyebabkan kemarahan pihak lain. 
Islam menyarankan kita supaya berhati-hati dalam setiap tutur kata serta tingkah laku supaya tidak menimbulkan rasa kurang senang orang lain. Malah, dinasihatkan supaya diam jika tiada perkara hendak diperkatakan. 

Ini kerana silap kata atau perbuatan boleh menyebabkan rasa marah yang jika gagal dibendung boleh menjurus kepada permusuhan. Pada masa sama, kita juga sentiasa diingatkan supaya bersedia memaafkan kesalahan orang lain. 

Berkaitan sifat memaafkan ini, Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dalam bukunya Jalan Mereka yang Menuju Allah memberi maksud memaafkan tanpa menuntut pembalasan atau ganti rugi. Alangkah indahnya akhlak yang mahu ditonjolkan oleh Islam yang perlu diwarisi setiap Muslim. 

Selalu bersifat pemaaf menterjemahkan ciri tingkah laku seorang Muslim yang telah menjadi amalan anbia. Rasulullah SAW adalah contoh terbaik untuk diteladani. 
Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, pada suatu hari Rasulullah SAW dihadiahkan masakan daging kambing oleh seorang perempuan Yahudi. Baginda SAW memakannya, begitu juga sahabat yang ada bersamanya waktu itu. Ternyata rancangan jahat perempuan Yahudi itu dapat dihidu oleh Rasulullah SAW lalu mengarahkan sahabat berhenti makan kerana masakan daging kambing itu telah ditaburi racun yang boleh membawa maut. Tatkala Rasulullah SAW mengajukan pertanyaan secara baik kepada perempuan Yahudi mengapa sanggup melakukan perbuatan kotor itu, maka perempuan Yahudi dengan tanpa berselindung menjelaskan yang dia hanya ingin tahu apakah Muhammad itu benar-benar seorang Nabi, sebab jika beliau seorang Nabi pasti masakan daging kambing itu tidak mendatangkan mudarat kerana Allah akan memberitahunya. Penjelasan perempuan Yahudi itu telah menimbulkan kemarahan sahabat, namun ditenangkan oleh Rasulullah SAW, malah baginda memaafkan perempuan Yahudi itu. 

Namun ada segelintir manusia beranggapan apabila mudah memaafkan menandakan cepat mengalah dan lemahnya jiwa. Hal ini boleh menjatuhkan maruah diri dan dipandang rendah oleh masyarakat. 

Lebih malang lagi, ada yang enggan memaafkan kerana terlampau marah hingga ke akhir hayatnya. Tindakan sedemikian bukan saja menyuburkan sifat sombong tetapi juga mencerminkan iman yang lemah kerana terpengaruh bisikan syaitan untuk memecahbelahkan orang yang beriman. 

Sebenarnya, sikap suka memaafkan tidak mengurangkan sedikit pun harga diri seperti sedekah yang tidak akan mengurangkan kekayaan dimiliki malah akan ditambah lagi kekayaan itu oleh Allah SWT. 

Begitulah orang yang memiliki sifat berlapang dada dan mudah memaafkan, maruahnya tak pernah tercemar bahkan diangkat darjatnya di sisi Allah SWT. 

Ini bertepatan sabda Rasulullah SAW: “Harta tidak akan berkurangan dengan sebab bersedekah. Allah akan menambah kemuliaan seseorang dengan sebab sikap pemaafnya dan Dia juga mengangkat tinggi kedudukan darjat seseorang yang bertawaduk kerana-Nya.” (Riwayat Muslim dan Bukhari) 

Kita perlu berusaha bersungguh-sungguh membendung kemarahan dengan banyak bersabar dan zikrullah. 

Dr ‘Aidh bin Abdullah Al-Qarni dalam bukunya ‘La Tahzan’ berkata, biarlah jiwa kita seperti laut yang luas, tidak akan terpengaruh dengan lontaran batu seorang anak kecil. Laut itu airnya suci, halal bangkainya. Begitulah perbandingan seorang insan yang memiliki kesabaran, keberanian dan kebijaksanaan, tetap mempunyai kekebalan untuk dibenci atau dicaci orang. Jiwanya tidak sedikitpun tersinggung dan terluka. 

Apabila api kemarahan sudah terpadam maka barulah muncul sinar sifat mudah memaafkan orang lain di ufuk jiwa. Inilah jalan kebaikan yang harus dijejaki bagi orang yang ingin dikasihi Allah SWT. 

FirmanNya: “...dan orang yang menahan kemarahannya, dan orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.” (Surah Ali-Imran, ayat 134) 

Menilaikan betapa pentingnya sifat ini, seharusnya kita yang selama ini mungkin keras hati amat sulit untuk memberi maaf kepada orang lain perlu segera berubah menjadi orang kaya sifat pemaaf yang melambangkan tingginya budi pekerti.
Credit: Mohd Adid Ab Rahman

Datuk, nenek ketagih Facebook


Warga tua melayari internet bersama keluarga di London.Warga tua melayari internet bersama keluarga di London.
Warga tua Britain mahir komunikasi dalam talian

London: Berbanding mengangkat telefon, ramai datuk nenek masa kini menggunakan laman rangkaian sosial untuk berhubung dengan saudara mara, dengan hampir satu perempat nenek mendakwa mereka pengguna kerap Facebook.

Kajian turut mendedahkan separuh penduduk di Britain kini berhubung dengan datuk nenek dan saudara lebih tua melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), e-mel dan Facebook. 


Hampir seorang bagi setiap 20 generasi muda mendakwa mempunyai datuk nenek dalam laman mikro blogging, Twitter. 


Kajian syarikat filem
Menurut tinjauan dijalankan syarikat perfileman, Twentieth Century Fox untuk menandakan pelancaran filem Parental Guidance, hampir suku datuk nenek di Britain kini memiliki komputer riba dan seorang bagi setiap 20 orang sering berkomunikasi dengan cucu mereka dalam Skype atau ruang sembang. Seorang bagi setiap 10 malah memiliki komputer tablet canggih.

Separuh daripadanya mahir menghantar SMS, 46 peratus pengguna kerap e-mel dan 15 peratus menghantar mesej dalam Facebook, lapor akhbar Daily Mail.

500 responden

Daripada 500 datuk nenek yang ditinjau, 78 peratus menggambarkan mereka mahir berkomunikasi secara dalam talian.

Lebih 35 peratus berpendapat, penting menonjolkan diri secara online untuk berhubung dengan keluarga.

Kajian mendapati dua pertiga orang muda berkata, purata datuk nenek masa kini lebih mahir dalam teknologi maklumat berbanding lima tahun lalu. - Agensi

Israel culik 900 budak pada 2012


Israel culik 900 budak pada 2012
Askar Israel turut menggari dan menutup mata remaja yang diculik sebelum mereka dibawa ke pusat soal siasat di kawasan penempatan haram.
Israel culik 900 budak pada 2012
Askar Israel turut menggari dan menutup mata remaja yang diculik sebelum mereka dibawa ke pusat soal siasat di kawasan penempatan haram.
Kementerian Tahanan Penjara Palestin melaporkan jumlah kanak-kanak diculik mencecah 900 orang pada 2012 berbanding 700 pada tahun sebelumnya, sekali gus membuktikan pencabulan Israel ke atas golongan lemah di negara itu semakin meningkat.

Menurut kementerian tersebut, peningkatan angka tersebut mungkin kerana faktor Perang Israel-Palestin pada bulan lalu dan kejayaan mereka menaik taraf status sebagai negara pemerhati bukan anggota di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Susulan daripada detik bersejarah itu, tentera Israel didakwa sengaja menyasarkan golongan remaja dan kanak-kanak Palestin.

Sebanyak 95 peratus budak yang diculik didakwa turut didera secara fizikal.

Kebanyakan daripada mereka diculik dari rumah masing-masing antara jam 2 dan 4 pagi iaitu semasa remaja atau kanak-kanak tersebut sedang nyenyak tidur bersama keluarga mereka.

Tentera Israel sewenang-wenangnya memecah masuk ke rumah penduduk Palestin dan merosakkan perabot dan barangan lain semasa serbuan tanpa waran itu dilakukan.

Askar rejim Zionis juga memukul ahli keluarga yang cuba untuk menyelamatkan mereka.

Dalam kebanyakan kes, ketika dalam perjalanan menuju ke pusat tahanan, askar tidak berperikemanusiaan ini akan memukul dan menendang remaja dan kanak-kanak itu tanpa belas kasihan.

Ada juga yang sengaja mahu menakut-nakutkan mereka dengan melepaskan tembakan peluru hidup dan bom tangan.   

Di pusat soal siasat itu, mereka akan dipukul dan diseksa secara berterusan sehingga budak tersebut membuka mulut dan memberi maklumat yang diperlukan oleh askar Israel.

Mereka diperlakukan dengan kejam dan ada yang dipaksa berdiri di tengah panas dan semasa hujan lebat selama beberapa jam.

Kementerian itu mendakwa ada juga penyiasat rejim Zionis yang menggunakan kekerasan seperti alat renjatan elektrik dan memaksa kanak-kanak atau remaja tersebut minum air mendidih sama seperti dilakukan ke atas Nassar Aref Jaradat, 16, yang berasal dari Sair berhampiran bandar Hebron di Tebing Barat.

Nassar diculik pada 2 Februari 2010 dan dibawa ke kem tentera Etzion, di mana dia didera secara melampau hingga tidak sedarkan diri.

Difahamkan, kebanyakan mangsa culik dibawa ke pusat soal siasat rahsia di penempatan haram Israel di Keryat Arba, Maaleh Adumin, Dan Shomron dan beberapa kawasan lain yang tidak diketahui oleh Palang Merah Antarabangsa.

Sehingga kini, seramai 140 kanak-kanak masih disoal siasat dan menanti untuk dibicarakan termasuk 32 budak di bawah umur 16 tahun.
Sama seperti tahanan dewasa Palestin, golongan itu juga tidak mendapat hak asas dan jaminan yang terkandung dalam perlindungan antarabangsa hak asasi manusia.

Peguam dan keluarga 'tahanan' kecil tersebut tidak diberikan sebarang maklumat mengenai lokasi dan sebab mereka ditahan. 

Tindakan rejim Zionis itu jelas menunjukkan mereka sengaja melanggar undang-undang antarabangsa terutamanya berhubung perlindungan kanak-kanak.

Mereka sesuka hati menggunakan kuasa berdasarkan Perintah Tentera #132 membenarkan askar menculik dan menyoal siasatan budak Palestin yang telah mencecah umur 12 tahun.

Jika dilihat semasa perang Israel-Palestin yang berlangsung selama lapan hari pada November lalu, kebanyakan mangsa terkorban adalah budak dan bayi.

Tahun 2012 sudah melabuhkan tirai, namun adakah kekejaman ke atas golongan lemah itu akan berakhir pada tahun ini? - IMEMC