Wednesday, 16 December 2015

Mengasihi Ibu Bapa

Apakah Tanggungjawab Anak Lelaki Kepada Kedua Ibu bapa Selepas Berkahwin?
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Ramai dikalangan anak lelaki yang telah berkahwin mengabaikan tanggungjawabnya kepada kedua ibu bapanya. Mereka menyerahkan kepada kakak atau adik perempuan untuk menguruskan ibu bapa mereka yang sudah uzur. Perbuatan ini adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab. Perlu difahami bahawa perhubungan dan tanggungjawab anak lelaki terhadap ibu bapanya tidak akan terputus walaupun ia telah mendirikan rumahtangga. 
Sebaliknya anak perempuan apabila mereka berkahwin sahaja maka tanggungjawabnya dibawah jagaan suaminya. Darisegi tanggungjawab untuk menjaga dan memberi nafkah kepada ibu bapa untuk anak perempuan terputus. Melainkan dengan izin dan reda suami anak-anak perempuan atas kerelaannya boleh berkhidmat kepada kedua ibu bapanya.
Walaupun ia berhajat ingin berkunjung ke rumah ibu bapanya sendiri si isteri hendaklah terlebih dahulu meminta izin kepada suaminya. Jika kalian yakin bahawa keperluan hidup keluarga terjamin dari segi tempat tinggal dan makanan mereka, maka teruskanlah membantu kedua ibu bapa kalian demi kebahagiaan kalian sendiri baik di dunia mahupun di akhirat.
Keinginan isteri untuk bermewah-mewah sehingga mengabaikan tangungjawab kita terhadap ibu bapa sendiri adalah merupakan perkara yang tidak terpuji. Adalah lebih baik suami memberikan nasihat secara baik dan hikmah agar ia memahami kedudukan yang sebenar menurut syarak. Maka tugas seorang suami mendidik isteri menjadi wanita solehah dan tidak mengikut kehendak nafsunya secara berlebih-lebihan.
Disini kami kemukakan sebuah hadis yang agak panjang tentang sikap seorang anak lelaki yang melarang bapanya mengambil sedikit hartanya yang terjadi pada zaman Rasulullah SAW.
Diriwayatkan dari jabir Ibnu Abdillah ia berkata bahawa seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah SAW lalu berkata: "Ya Rasulullah, sesungguhnya ayahku telah mengambil hartaku".
Kemudian malaikat Jibril pun turun kepada Rasulullah SAW dan berkata: "Allah Azza Wajalla menyampaikan salam kepadamu. Apabila orang tua itu datang kepadamu maka tanyalah kepadanya tentang sesuatu yang dikatakan dalam dirinya dan hanya di dengar oleh telinga saja".
Tatkala orang tua itu datang, Rasulullah SAW pun bertanya: "Mengapa anak lelakimu mengeluh tentang sikapmu, dan apakah engkau ingin mengambil hartanya ?".
Orang tua itu pun berkata: "Tanyalah kepada anak lelaki ku itu ya Rasulullah, apakah aku menggunakannya bagi salah seorang ibu saudaranya atau bagi diriku".
Rasulullah SAW berkata: "Janganlah ceritakan hal ini kepada kami, beritahulah aku tentang sesuatu yang engkau ucapkan dalam dirimu dan hanya didengar oleh kedua telingamu". (sesuai dengan perintah malaikat Jibril tadi)
Orang tua itu pun berkata: "Demi Allah, ya Rasulullah, Allah SWT selalu menambah keyakinan kami terhadap diri baginda. Aku telah mengucapkan sesuatu dalam diriku yang hanya didengar oleh kedua telingaku".
Rasulullah SAW bersabda: "Katakanlah agar saya dapat mendengarnya". Orang tua itu pun berkata:
"Ku beri engkau makan ketika masih bayi dan ku biayai engkau ketika dewasa.
Engkau minum dari rezeki yang kuberikan kepadamu.
Bila engkau sakit di waktu malam, aku tidak tidur dan gelisah semalaman kerana penyakitmu.
Seakan akulah yang terkena penyakit itu bukannya engkau sehingga akhirnya aku menangis.
Diriku takut jika engkau binasa.
Supaya engkau tahu bahawa maut memiliki waktu tertentu.
Tatkala engkau menjadi besar dan mencapai akhir usia, aku pun tidak mengharapkanmu.
Engkau balas aku dengan kekerasan dan kebengisan, seakan-akan engkaulah pemberi kenikmatan dan kurnia.
Jika engkau tidak memelihara hak aku sebagai seorang bapa cukupah engkau lakukan seperti yang dilakukan tetangga yang berdekatan.
Lalu engkau penuhi hak tetangga terhadapku dan tidak kikir kepadaku dengan harta yang bukan hartamu".
Ketika itu Rasulullah SAW memegang leher baju anak lelaki tersebut dan berkata: "Engkau dan hartamu milik ayahmu".
Sahabat yang di muliakan,
Dengan hadis diatas maka lebih jelaslah bagi kita betapa penting tanggungjawab anak lelaki terhadap kedua ibu bapa. Walaupun dia sudah berkahwin dan mempunyai tanggungan isteri dan anak-anaknya tetapi tanggungjawab kepada kedua ibu bapa tidak boleh diabaikan.
Sekiranya ibu bapanya miskin tidak berharta, sebagai anak wajiblah membantu kedua ibu bapanya dan tidak menjejaskan nafkahnya kepada ahli keluarganya sendiri. Kerana keredaan Allah SWT bergantung kepada keredaan ibu dan bapa.
Sebagai seorang anak HARAM mengungkit-ungkit pemberian dan bantuannya kepada kedua ibu bapanya. Jika mereka (anak lelaki) tersebut tidak bertaubat dan minta maaf kepada kedua ibu bapanya kerana telah mengecilkan hatinya dia telah menjadi ANAK DERHAKA.
Anak lelaki perlu sentiasa bertanya khabar dan menziarahi kedua ibu bapanya dikampung terutama sekiranya mereka telah tua dan uzur pula. Amalan ini penting kerana kebahagiaan itu bukan terletak pada harta sahaja tetapi ianya terletak di hati dan sanubari cinta dan kasih kepada mereka semata-mata kerana mencari keredaan Allah SWT.

Isteri tidak boleh menghalang atau menyekat perhubungan kasih sayang dan prihatin suaminya kepada kedua ibu bapanya kerana hak anak tetapi wujud walaupun dia sudah mempunyai keluarganya sendiri.
Isteri harus menyayangi dan mengasihi ibu dan bapa mertuanya dan dia tidak boleh hanya mementingkan ibu dan bapanya sahaja kerana anggaplah bahawa ibu bapa suaminya adalah sama seperti ibu dan bapanya sendiri.
Oleh itu seorang suami janganlah terlalu mengikut kehendak isterinya sekiranya dia menghalang suaminya berbaik-baik dengan kedua ibu bapanya sendiri hingga dia tergolong sebagai anak yang derhaka dan tidak mendapat rahmat daripada Allah SWT, nauzubillahi minzalik.




Credit: Surau Taman Bunga Raya

Sayangi ibu bapa




Sahabat yang dimuliakan,
Apabila seorang lelaki Muslim berkahwin ia bertanggungjawab memberi nafkah dan segala keperluan kepada isterinya. Samaada nafkah zahir dan batin dan asas pendidikan Islam. Dengan kadar keperluan mengikut kemampuan suami. Bila dikurniakan anak-anak maka  tanggungjawabnya akan bertambah kerana telah menjadi ayah untuk menyara segala keperluan nafkah dan pendidikan anak-anaknya pula.

Walaubagaimana pun ia telah memiliki keluarganya sendiri tetapi tanggungjawab kepada kedua ibu bapanya tidak boleh diabaikan kerana ia masih terikat dengan tanggungjawab tersebut.

Dalam Hadith Sahih Bukhari, seorang lelaki bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w. maksudnya :
“Siapakah yang perlu kita hormati dan kasihi selepas Allah dan Nabi?”
Jawab Nabi “Ibu kamu”
“Selepas itu?”-
“Ibu kamu”
“Selepas itu?”-
“Ibu kamu”
Kali ke 4 lelaki itu bertanya, “Selepas itu?”
Jawab Nabi “Ayah kamu”

Lihatlah betapa tingginya nilai ibu di dalam Islam. Seorang ibu tidak ada apa cara sekalipun dapat kita membalasnya. Seorang lelaki datang kepada Sayyidian Umar al-Khattab r.a dan berkata, "Saya telah mendokong ibu saya sepanjang tawaf dan haji, sudahkah saya dapat membalas jasa ibu." Jawab Umar r.a., " Kamu belum dapat membalas jasa ibumu walaupun setitis air mata ibumu semasa melahirkanmu."

Hadis di atas menjelaskan  selepas Allah dan Rasul-Nya, orang yang perlu dihormati dan dikasihi adalah ibu dan bapa. Bukan setakat menghormati dan mengasihi mereka tetapi segala keperluan hidup ,keselamatan  dan hak-hak mereka perlulah di penuhi sekadar kemampuan si anak tadi.

Menurut Al Qurthubi, derhaka kepada kedua orang tua ialah menyalahi perintah keduanya, sebagaimana bakti keduanya bererti mematuhi perintah mereka berdua. Berdasarkan ini jika keduanya atau salah seorang dari mereka menyuruh anaknya, maka anaknya wajib mentaatinya, jika perintah itu bukan maksiat. Meskipun pada asalnya perintah itu termasuk jenis mubah, begitu pula bila termasuk jenis mandub (sunat).

Dalam sebuah hadis dijelaskan, Rasulullah s.a.w. bersabda: Dari Abdullah bin Amr, ia berkata: "Seorang lelaki datang kepada Rasulullah, lalu berkata: 'Wahai Rasulullah, aku datang untuk berjihad bersama baginda kerana aku ingin mencari redha Allah dan hari akhirat. Tetapi aku datang kesini dengan meninggalkan ibu bapaku dalam keadaan menangis'. Lalu sabda baginda: "Pulanglah kepada mereka. Jadikanlah mereka tertawa seperti tadi engkau jadikan mereka menangis". (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Jadi perintah ibu atau bapa yang bukan bersifat maksiat atau mempersekutukan Allah, maka kita wajib mentaatinya. Namun jika perintah nya bersifat melawan kehendak dan hukum agama, maka tolaklah dengan cara yang baik.

Sahabat yang dimuliakan,
Seorang wanita apabila telah berkahwin, segala tanggungan dirinya adalah adalah dibawah tanggungan suaminya. Amanah ini terlah diserahkan oleh bapa wanita tadi kepada suaminya.

Bagaimana pandangan Islam kedudukan wanita tersebuat terhadap ibu bapanya?

Islam amat menitik beratkan soal silaturahim, perhubungan sebagai anak dan ibu bapa perlu diteruskan seperti biasa. Wanita kena mentaati suaminya dan diberi keutamaan daripada arahan ibu bapanya kerana tanggungjawab dan ketaatan isteri perlu diberikan kepada suaminya. Walaubagaimana pun Islam melarang suami berlaku tidak adil kepada isterinya jika ada sesuatu keperluan ia ingin membantu ibu bapanya yang susah dan memerlukan bantuan.

Pihak suami perlu ingat bahawa setelah ia mengawini wanita tersebut ibu bapa mertuanya adalah telah menjadi mahramnya dan sama taraf dengan ibu bapanya sendiri. Perlulah diberi kasih sayang dan segala keperluan dan hajat mereka berdua jika mereka terdiri daripada orang miskin perlulah diberi bantuan .

Kedua-duanya (suami dan isteri)  wajib berbuat baik kepada kedua orang tua (kedua-dua belah pihak)  selagi ada hayat mereka di dunia ini. Berbuat baik dalam erti kata menyenangkan hati kedua-duanya dan menjaga serta memberikan apa-apa keperluan mereka. Anak perempuan tidak terlepas tanggungjawab dan berbakti kepada orang tuanya. Jika dia mampu dia juga hendaklah berbuat baik kepada kedua ibu bapanya.

Dalam Islam, lelaki adalah ketua keluarga, sebab itulah anak lelaki diberikan lebih tanggungjawab untuk menyara orang tua nya walaupun selepas berkahwin jika dibandingkan dengan perempuan yang kurang tanggungjawabnya untuk berbuat demikian selepas berumah tangga. Sebab itulah dalam Islam anak lelaki beroleh 1/2 nisbah faraid berbanding dengan anak perempuan, ini menunjukkan betapa Islam menghargai tanggungjawab yang dipikul oleh anak lelaki sebagai ketua keluarga.

Namun pendapat yg mengatakan anak perempuan langsung tidak mempunyai tanggungjawab terhadap ibu bapa selepas berkahwin adalah salah sama sekali. Cuba bayangkan jika ibu bapa itu mempunyai 6 orang anak dan kesemuanya adalah perempuan adakah penat lelah selama mereka membesarkan anak-anaknya langsung tidak akan dihargai anak-anaknya selepas anak-anak tersebut berumah tangga? Ini adalah sesuatu yang tidak adil memandangkan mereka tidak merancang untuk mempunyai anak perempuan semuanya.

Di zaman sekarang telah berubah, semua perempuan telah berkerjaya, seharusnya kedua-duanya anak lelaki dan perempuan sama-sama membantu untuk menyara kedua ibu bapa mereka yang telah tua sebagaimana kedua ibu dan bapa telah menyara mereka semuanya.

Walaubagaimana pun sebelum apa-apa bantuan yang ingin diberikan, isteri perlulah meminta  keizinan dan redha daripada suami, sesungguhnya seorang suami yang Mukmin tidak akan menghalang sekiranya isterinya ingin membantu dan memberi khidmat kepada kedua ibu bapanya yang memerlukannya. Isteri perlu faham bahawa redha Allah bergantung kepada redha suami tetapi bagi anak lelaki redha Allah bergantung pada redha ibu bapa.

Sahabat yang dihormati,
Dalam Islam lelaki bujang kena tanggung dosa sendiri apabila sudah baligh manakala dosa gadis bujang ditanggung oleh bapanya. Lelaki berkahwin kena tanggung dosa sendiri, dosa isteri, dosa anak perempuan yang belum berkahwin dan dosa anak lelaki yang belum baligh. 

Hukum menjelaskan anak lelaki kena bertanggungjawab ke atas ibu dan bapanya dan sekiranya dia tidak menjalankan tanggungjawabnya maka dosa baginya terutama anak lelaki yang tua. Manakala seorang perempuan hanya perlu taat kepada suaminya.

Isteri berbuat baik pahala dapat kepadanya kalau buat tidak baik sedang suaminya membiarkan sahaja tidak menasihatinya maka  dosanya ditanggung oleh suaminya.

Suami kena bagi nafkah pada isteri, sedangkan pendapatan isteri tidak perlu menanggung nafkah keluarga, walaubagaimana pun isteri boleh membantu meringankan beban suami.

Di akhirat kelak, seorang lelaki akan dipertanggungjawabkan terhadap empat wanita ini: isterinya, ibunya, anak perempuannya dan saudara perempuannya (yang belum berkahwin).

Manakala seorang wanita pula, tanggungjawab terhadapnya ditanggung oleh empat orang lelaki iaitu suaminya, ayahnya (jika belum berkahwin), anak lelakinya dan saudara lelakinya.

Seorang wanita boleh memasuki pintu Syurga melalui mana-mana pintu Syurga yang disukainya cukup dengan empat  syarat sahaja:
1. sembahyang lima waktu,
2. puasa di bulan Ramadhan,
3. taat suaminya dan
4. menjaga kehormatannya.

Seorang lelaki perlu pergi berjihad fisabilillah dan berdakwah dijalan Allah untuk mendapat redha Allah, tetapi wanita jika taat akan suaminya serta menunaikan tanggungjawabnya kepada Allah akan turut menerima pahala sama seperti pahala orang pergi berperang fisabilillah tanpa perlu mengangkat senjata.

Sahabat,
Keruntuhan rumahtangga dan penceraian yang banyak berlaku di dalam masyarakat kita adalah berpunca daripada pasangan suami isteri yang tidak memahami hukum-hukum Islam. Mereka tidak memahami hak-hak sebagai suami atau isteri. Mereka meletakkan nilai kebendaan dan hawa nafsu dihadapan dan meninggalkan nilai iman dan taqwa sebagai nilai hidup mereka. Penceraian boleh berlaku hanya berpunca daripada perkara kecil yang boleh diselesaikan dengan mudah bila ada iman dan pemikiran yang resional.

Jika suami faham bahawa kesabaran, lemah lembut dan bertolak ansur itu adalah akhlak yang ditunjukkan Nabi s.a.w. ketika berada di dalam perselishan pendapat dengan isteri maka si suami akan mengutamakan akhlak ini kerana sungguh besar pahalanya disisi Allah s.w.t.Kerana cerai adalah perkara halal yang dibenci oleh Allah s.w.t. Elakkanlah penceraian jika masih ada jalan penyelesaian yang baik.

Dan juga kalaulah si isteri fahan bahawa betapa besarnya dosa derhaka kepada suami dan tidak akan dapat mencium bau Syurga, maka si isteri akan memilih untuk bersabar dan bertolak ansur semata-mata mencari redha Allah. Perlu diingat perasaan marah, keluarkan suara yang tinggi dihadapan suami, mengeluarkan kata-kata kesat dan ungkit mengungkit perkara lama adalah dari dorongan hawa nafsu dan bisikan syaitan. Syaitan memang suka perpecahan dikalangan keluarga Islam kerana dengan perpecahan ini banyak perkara-perkara negatif akan berlaku.


Kedua ibu bapa samaada di pihak suami atau isteri perlulah menjadi penasihat dan pendamai yang baik bukannya menjadi batu api untuk merosakkan rumah tangga yang telah dibina. Ibu bapa yang menjadi pemusnah rumah tangga bahagia anak mereka sendiri adalah mereka-mereka yang melakukan dosa besar dan menempah tempat duduknya di Neraka, nauzubillah. Sebagai orang tua perlu bersikap positif dan proaktif dan tidak boleh menyebelahi mana-mana pihak jika berlaku perselisihan. Yang penting damaikanlah kerana sifat membantu dan memulihkan suasana tegang adalah sifat ibu bapa yang beriman dan bertaqwa.



Credit: Ust Abu Basyer UITM Shah Alam

Sunday, 29 November 2015

Kambing jadi sahabat harimau

DUA haiwan ini menjadi sahabat baik dan sering bersama di Taman Safari Far Eastern di Russia.

Moscow: Seekor kambing sepatutnya menjadi hidangan tengah hari seekor harimau apabila dimasukkan ke dalam tempat kurungan haiwan buas berkenaan di Taman Safari Far Eastern di Shkotovsky baru-baru ini.
Bagaimanapun, perkara sebaliknya berlaku apabila harimau itu tidak membaham kambing berkenaan, malah kedua-dua haiwan itu menjadi kawan baik.
Pekerja di safari berkenaan berkata, harimau Siberia yang diberi nama Amur itu diberi makan kambing hidup sekali setiap dua minggu.
Katanya, Amur biasanya tidak menunggu lama apabila terus membaham kambing yang dimasukkan ke dalam tempat kurungannya itu. 
“Kambing ini dimasukkan ke tempat kurungan Amur sejak beberapa hari lalu untuk dijadikan makanan harimau itu.
“Namun, kambing itu tidak menunjukkan rasa takut ketika berada dalam kandang harimau, malah mula berkawan dengan haiwan berkenaan,” katanya.
Kerana keberanian kambing itu petugas menamakannya Timur.
Persahabatan kambing dengan harimau itu semakin erat dan kedua-dua haiwan itu sering dilihat bersama-sama.
“Lebih mengejutkan, kambing itu berani tidur di tempat tidur Amur menyebabkan harimau berkenaan terpaksa tidur di luar.
“Mungkin Timur terlalu berani sehingga Amur menganggapnya bukan sebagai mangsa atau mungkin juga Amur kesunyian kerana tinggal seorang diri sejak beberapa tahun lalu,” jelasnya. - Agensi

Saturday, 28 November 2015

Lelaki bina pesawat selepas gagal menjadi juruterbang

Asmelash berhasrat untuk menggunakan pesawat ringannya jenis K-570
Asmelash berhasrat untuk menggunakan pesawat ringannya jenis K-570 itu dapat diterbangkan dalam majilis perkahwinannya kelak. Agensi

ADDIS ABABA 27 Nov. – Seorang lelaki Ethiopia yang kecewa ditolak menjadi juruterbang kerana terlalu pendek, nekad membina sebuah pesawat untuk digunakan semasa majlis perkahwinannya.
Portal berita Mail Online melaporkan Asmelash Zeferu yang ditolak untuk memasuki Akademi Penerbangan Pesawat Ethiopia Cawangan Dire Dawa pada 15 tahun lalu kerana ketinggiannya hanya 1.70 meter iaitu 1 sentimeter kurang daripada yang ditetapkan.
Oleh itu, pada hujung minggu ini, pemuda berusia 35 tahun, merancang untuk menerbangkan pesawat ringannya K-570 di Addis Ababa untuk menghadiri majlis perkahwinannya.
Zeferu berkata, dia akan me-ngahwini tunangnya, Seble Bekele sejurus mendarat.
“Saya memutuskan untuk membina sebuah pesawat saya sendiri jika saya gagal untuk menjadi seorang juruterbang. Melalui cara itu saya akan dapat terbang,” katanya kepada CNN.
Pemuda tersebut membina pesawat itu menggunakan sebuah enjin empat silinder dengan 40 kuasa kuda yang diambil dari sebuah kereta Volkswagen Beetle.
Zaferu belajar cara-cara membina dan menerbangkan pesawat tersebut menggunakan maklumat yang disiarkan di laman perkongsian video YouTube.
Zeferu akhirnya memilih sebuah pesawat dari model yang pernah digunakan oleh juruterbang pelatih di Amerika Syrikat pada 1920-an dan 1930-an.
Dia juga menerima nasihat untuk mengubahsuai pesawat tersebut daripada Persatuan Eksperiman Pesawat Belanda, Rene Bubberman.

Wednesday, 25 November 2015

Phuc Dat Bich Ucap Terima Kasih


Imej pasport yang dimuat naik Bich di Facebook.
SINGAPURA: Lelaki warga Australia yang memiliki nama pelik hingga menjadi viral di media sosial mengucapkan terima kasih kepada netizen yang memberi sokongan kepadanya.

Phuc Dat Bich, 23, yang namanya berbunyi seperti mencarut dalam bahasa Inggeris sebelum ini terpaksa menunjukkan dokumen rasminya di laman Facebook kerana selalu diminta menunjukkan 'nama sebenarnya'.

Menerusi posting terbaharu di Facebook pada 22 November lalu, selain berterima kasih, Bich berharap kisahnya berjaya "memainkan peranan dalam menceriakan hari anda" berikutan pelbagai peristiwa tragis yang berlaku di seluruh dunia akhir-akhir ini.

Pada 28 Januari lalu, Bich yang berketurunan Vietnam mengadu di Facebook dan berasa geram apabila tiada sesiapa yang mempercayai namanya.

"Saya dituduh menggunakan nama palsu dan mengelirukan, yang sebabkan saya rasa tersinggung. Apakah kerana saya adalah orang Asia?

"Setelah akaun (Facebook) saya ditutup beberapa kali dan dipaksa menukar nama kepada 'nama sebenar’ saya, jadi saya letakkan ia (gambar pasport) di sini.

"Inilah nama saya. Yang benar, Phuc Dat Bich," tulisnya yang bekerja di Bank Nasional Australia, di sini.

Dilaporkan sebutan nama Bich dalam bahasa Vietnam seharusnya berbunyi “fu da bic”.

Postinya itu dikongsikan hampir 80,000 orang dan menerima 'like' daripada lebih 140,000 pengguna Facebook.





Credit: The Star

Sunday, 22 November 2015

Jihad bukan hanya berperang

DASAR utama yang diperjuangkan oleh Islam adalah mewujudkan kedamaian dan kesejahteraan kepada semua. Keganasan, permusuhan, pembunuhan dan perpecahan bukan ajaran Islam. Pengertian kalimah Islam itu sendiri sudah membawa makna penyerahan, kedamaian dan kesejahte­raan abadi untuk sekalian alam. Perkataan Islam berasal da­ripada bahasa Arab yang bermaksud tunduk, patuh dan juga selamat, sejahtera serta damai.
Oleh yang demikian, jangan sebab segelintir orang Islam melakukan jenayah, seluruh umat Islam dilabel sebagai pengganas, pemberontak dan pelbagai gelaran antagonis. Penganut agama lain turut melakukan jenayah, pembunuhan dan kekejaman.
Namun akibat prejudis dan double standard terutama­nya media Barat, insiden yang kononnya dilakukan oleh orang Islam pantas dijaja dan dikaitkan dengan keganasan. Sehinggakan tindakan penduduk Palestin yang menjadi pengebom berani mati sebagai salah satu cara mempertahankan negara dan agama juga digelar pengganas oleh media Barat. Padahal media dan masyarakat dunia menyaksikan bagaimana kejam dan zalimnya rejim zionis. Mereka bukan sahaja membunuh rakyat Palestin tetapi merampas tanah dan rumah, mengebom kediaman orang awam, memenjarakan kanak-kanak dan melakukan macam-macam lagi jenayah.
Sebab itu, dalam insiden serangan di Paris pada 13 November lalu umat Islam seluruh dunia turut sama mengutuk dan mengecam tindakan tersebut. Ini bukan cara yang diajar oleh Islam walau atas apa alasan sekalipun termasuk jika ada yang mengaitkannya dengan jihad. Orang yang melakukan serangan sedemikian mungkin muslim tetapi mereka bukan mukmin.
Jihad adalah perkataan dalam bahasa Arab yang bermaksud berusaha keras dan bersungguh-sungguh dalam me­lakukan sesuatu.
Secara keseluruhan jihad bererti mencurahkan kemampuan dan kekuatan dengan ‘berperang’ di jalan Allah SWT dengan jiwa, harta dan lisan. Ia bertujuan memakmurkan bumi dengan syariat Allah SWT. Namun, masyarakat masa kini sering mengaitkan jihad sebagai ‘mengangkat senjata’ atau berperang.
Umat Islam dibenarkan berperang hanya selepas mereka ditindas dengan kekerasan dan diserang oleh musuh Islam iaitu kafir Qurasiy sebagaimana yang menimpa Nabi SAW semasa Baginda di Mekah. Ekoran itu, Allah menurunkan ayatnya yang bermaksud: Telah diperkenankan untuk meng­angkat senjata bagi mereka yang telah diperangi, disebabkan mereka telah diperlakukan dengan aniaya dan sesungguhnya Allah berkuasa menolong mereka. (al-Hajj: 39)
Para ulama sependapat ini adalah ayat pertama yang memberi izin kepada umat Islam mengangkat senjata mempertahankan diri mereka. Namun, umat Islam hanya boleh mengangkat senjata untuk membela diri terhadap mereka yang terlebih dahulu menyerang dan hanya jika umat Muslim memang tertindas dan teraniaya. Hal inilah yang menjadi inti pati penting dalam jihad Islamiah yang banyak di­salah-ertikan sekarang.
Islam tidak memerintahkan umatnya memerangi semua orang yang tidak menerima dakwahnya. Jika mereka sudi hidup berbaik-baik dengan orang Islam, maka mereka akan diberi hak dan tanggungjawab sama seperti yang diperoleh oleh umat Islam yang lain. Ini dibuktikan oleh Islam sepanjang sejarah pemerintahan dan kekuasaannya dahulu. Malah tercatat dalam sejarah Islam lampau bahawa kementerian tertentu di bawah kekuasaan Islam diketuai oleh orang bukan Islam yang mahir dalam bidang yang berkenaan.
Image result for berjihad dijalan allah
Tindakan segelintir orang Islam seperti kumpulan militan Negara Islam (IS) yang didakwa mencetuskan keganasan di beberapa lokasi termasuk di Paris minggu lalu tidak mewakili umat Islam secara keseluruhan. Sebaliknya ia memberi persepsi yang salah tentang agama Islam sebagai agama yang membawa rahmat ke sekelian alam.
Perbuatan itu juga menjejaskan peluang ribuan pela­rian Islam dari Syria untuk mendapat perlindungan sementara di negara-negara Eropah berikutan krisis yang berlaku di negara tersebut. Menyebar dan mencetus keganasan atas nama jihad adalah suatu kesilapan. Bentuk jihad untuk menghadapi golongan kafir adalah bergantung kepada keadaan. Islam bukanlah agama yang keras dan kaku. Ia memandu umatnya supaya bertindak sesuai dengan situasi serta kemampuan yang ada.
Image result for berjihad dijalan allah


Credit: Mohd Radzi Mohd Zin

Monday, 16 November 2015

Memperoleh keberkatan masa


PERUNTUKAN masa untuk Allah SWT dan utamakan urusan dengan-Nya terlebih dahulu 
bukan mendahulukan urusan sesama manusia. - Foto Syamsi Suhaimi 

FIKIRAN kita akan menentukan niat dan niat menentukan hasil kehidupan (4K iaitu ketenangan, kebahagiaan, kesihatan dan kekayaan). 

Niat datang dari hati dan hati yang bersih akan menghasilkan tindakan yang bersih. 

Menurut Imam al-Ghazali, hati manusia ibarat kolam sementara segala anggota dan pancaindera zahir seperti mata, telinga, lidah dan lain-lainnya umpama sungai. Apabila anggota dan pancaindera terbabit dengan dosa, setiap dosa itu akan mengalir ke dalam hati maka akan rosak binasalah seluruh kehidupan. 

Yang menentukan fikiran pula adalah sistem nilai dan akidah kita. Tujuan hidup kita ialah mencari reda Allah SWT dan mati dalam husnul khatimah. Konsep hidup kita yang pertama untuk memberikan manfaat kepada semua makhluk Allah SWT. 

Kedua, menjadi hamba Allah SWT yang bertanggungjawab menjalankan suruhan-Nya. Ketiga, mendapat reda Allah SWT bukan penghar- gaan manusia. Jika kita menjaga hubungan dengan Allah SWT, Allah SWT akan menjaga seluruh urusan kita. 

Oleh itu, peruntukan masa untuk Allah SWT dan utamakan urusan dengan-Nya terlebih dahulu, bukan mendahulukan urusan sesama manusia. Malu dan takutlah dengan Allah SWT yang dalam genggaman-Nya terletak takdir kita. 

Ingatlah, untung nasib kita bukan ditentukan oleh manusia. Namun, kini manusia lebih patuh kepada undang-undang ciptaan manusia. Contohnya, sebagai pekerja kita sering menjaga rekod kedatangan dan jika boleh tidak mahu lewat walaupun seminit. 

Tetapi kita tidak pula berkejar untuk mengerjakan solat sebaik mendengar seruan azan demi menjaga rekod kepatuhan kepada Allah SWT. Itulah diri kita yang sering alpa meniatkan hati untuk menjaga kesejahteraan hidup di akhirat yang bakal dihadapi kelak. 

Ingatlah, jika kita menjaga akhirat, dunia akan mengikut kita. Jika kita mengejar dunia, akhirat akan tercicir. Di dunia ini, kita tidak berpeluang untuk berehat dengan pengertian rehat sebenar sehinggalah tiba hari kematian. Kita akan benar-benar berehat, jika di du- nia kita tidak kenal erti berehat kerana sibuk mengerjakan amal soleh untuk bekalan di alam kubur nanti. 

Cuba fikirkan, semua orang diberi Allah SWT 24 jam masa sehari tetapi mengapakah ada yang dapat solat tepat atau seawal waktu dan mengapakah ada yang melengah-lengahkan atau terus tidak sempat bersolat dengan alasan terlalu banyak kerja. 

Solat tepat pada waktu 

Amalan paling baik ialah solat tepat pada waktunya. Ibnu Mas`ud berkata, "Aku pernah bertanya kepada Rasulullah SAW: Apakah amalan yang paling disukai oleh Allah SWT? Jawab Rasulullah SAW: Solat pada waktunya (tidak melengah-lengahkan solat).

" Apabila bekerja jadualkan aktiviti berdasarkan waktu solat. Ambil wuduk 15 minit sebelum waktu solat. Aturkan mesyuarat selepas waktu zuhur dan diselesaikan sebelum asar. Percayalah, jika kita menjaga waktu solat, kerja duniawi juga akan terencana dengan baik. 

Sejak awal pagi ketika keluar dari rumah berniat hendak solat tepat pada waktunya, kita akan dapat apa yang diniatkan. Berdasarkan pengalaman, semuanya bergantung kepada niat. Setiap hari berdoa, "Ya Allah dapatkanlah aku keberkatan waktu dan ketenangan jiwa. Apabila aku perlukan masa, masa akan panjang.

" Pagi-pagi ketika keluar rumah bayangkan secara positif apa yang ingin dilakukan hari itu akan berlangsung dengan mudah dan berjaya. Berdoa kepada Allah SWT: "Pemudahkan urusanku dan temukan aku dengan orang yang mempermudah urusanku." 

Sebenarnya pertolongan Allah SWT yang memudahkan, melancarkan kerja kita dan berasakan masa diberi terasa panjang serta mencukupi. Secara teknikalnya, untuk menangani kesibukan dunia kita perlu menyenaraikan tugas yang sedang dan akan ditangani mengikut keutamaan. 

Berikan status peringkat persediaan yang telah dan belum dibuat kepada semua tugas perlu ditangani, serta diatur mengikut statusnya. Berikan tumpuan minda, emosi dan fizikal menyelesaikan satu demi satu kerja mengikut keutamaan hingga selesai. Ertinya fokus pada kerja paling utama dan terdekat tarikh siapnya. 

Jika mengambil kira berdasarkan ibadah solat lima waktu yang wajib dilakukan setiap hari, kita hanya menggunakan masa tidak lebih satu jam sehari untuk Allah SWT. Sedangkan 23 jam lagi digunakan untuk urusan sendiri yang tidak membabitkan hubungan terus dengan Allah SWT. 

Amalan Qiamullail 

Kita masih lagi mengatakan tidak ada waktu untuk Allah SWT kerana terlalu sibuk. Adakah kita memiliki banyak masa terluang? Jawapannya, ada iaitu sepertiga malam. Ramai yang menyimpan cita-cita untuk bangun Qiamullail tetapi tidak kuat melawan mata meninggalkan tempat tidur. 

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Katakanlah: Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaanmu dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan daripada berjihad di jalan-Nya (Allah), maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya). Dan Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada orang yang fasik." (Surah al-Taubah, ayat 24) 

Sesungguhnya melawan nafsu meninggalkan tempat tidur juga satu jihad. Jika kita tahu bahawa besarnya nikmat dan manfaat berqiamullail, tentu kita tidak akan meninggalkan amalan itu. Selain berpeluang mendapat pahala besar beramal pada waktu mustajab doa, amalan itu juga baik untuk kesihatan. 

Sesungguhnya, jika kita tidak ada masa untuk Allah SWT, Allah SWT juga tidak ada masa memandang kita dengan kasih sayang-Nya. Oleh itu, tinggalkan sekejap tugas harian untuk melakukan ibadah kepada Allah SWT, termasuk menunaikan fardu haji atau umrah (jika berkemampuan).

Keberkatan waktu bermaksud boleh melakukan banyak perkara dalam waktu yang singkat. Allah SWT permudahkan urusan kita dengan melancarkan pelaksanaan kerja duniawi, tidak ditimpa halangan dan musibah yang mengendalakan kerja dalam perancangan kita.

Thursday, 12 November 2015

Guru tadika perlu jaga standard pengajaran



Tadika Nur Ummah, Seri Alam, Johor Bahru..Gambar Hiasan

KANGAR - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail meminta guru-guru tadika di negeri ini supaya mengekalkan standard pengajaran yang tinggi dalam usaha menyuburkan potensi, merangsang dan membina sikap positif murid-murid tadika Islam.


Kurikulum...Tadika Ummah Bestari dan Tadika Nur Ummah

Titah baginda, antara ciri yang perlu bagi memperkasa tadika ialah melantik guru bertauliah dan terlatih khusus untuk mendidik kanak-kanak mengembangkan bakat dan potensi mereka.

"Modul pengajaran dan kurikulum yang mantap penting untuk meningkatkan pengetahuan anak-anak yang perlu ditanam sifat integriti dengan menitikberatkan aspek sosial dan emosi, kognitif dan kerohanian agar mereka dapat membezakan antara baik dan buruk termasuk dalam pergaulan.


Puan Nurul..Pengerusi Pengelola Ummah Educations

"Dalam hubungan ini ibu bapa harus menjadi harus menunjukan contoh serta tidak boleh lepas pandang atau lepas tangan kepada guru semata-mata dalam kehidupan anak-anak," titah baginda pada perasmian Konvokesyen Murid Tadika Islam Negeri Perlis Tahun 2015 di Dewan Warisan di sini, hari ini.

Berangkat sama pada majlis itu Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.


Cawangan kedua Tadika Nur Ummah

Sebelum itu, keberangkatan tiba baginda berdua disambut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pembangunan Sumber Manusia Negeri, Khairi Hasan dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Islam Perlis (JAIPs) Mohd Sokri Hussin.

Baginda, yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), bertitah dalam konteks pendidikan kanak-kanak hari ini masyarakat perlu melihat proses pendidikan berterusan untuk menjadi insan cemerlang.



Pada majlis itu, baginda berkenan menyampaikan Anugerah Guru Cemerlang kepada Norlela Ali dari Tadika Al-Husna Bestari, Sanglang; Anugerah Pembantu Guru Cemerlang (Marizuna Masir, Tadika Al-Ansar Bestari Arau); Anugerah Tadika Cemerlang (Tadika Ar-Rahman Taqwa Padang Besar) dan 20 murid cemerlang.

Konvokesyen itu yang bertemakan 'Anak Soleh Pemangkin Keluarga Bahagia' dianjurkan oleh JAIPs, Yayasan Islam Perlis (YIPs) dan MAIPs. 



Credit: Sinar Harian/Bernama

Tuesday, 10 November 2015

Buaya 363kg berkeliaran di pusat membeli belah.

Buaya 363kg berkeliaran di pusat membeli belah

Buaya 363kg berkeliaran di pusat membeli belah.

TEXAS - AMERIKA SYARIKAT. Penduduk sekitar Sugar Land gempar selepas seekor buaya dengan berat 363 kilogram ditemui berkeliaran di luar sebuah pusat membeli belah di sini.

Buaya tersebut yang ditemui oleh pekerja di pusat membeli belah berkenaan dipercayai datang dari sungai berhampiran.

Seorang pakar haiwan itu, Christy Kroboth dipanggil untuk membantu menangkap buaya itu.


SEEKOR buaya digelar Godzilla dengan berat lebih 363 kilogram (kg) menggemparkan 
pengunjung sebuah pusat beli-belah di sini.

Christy berkata, sebaik saja buaya itu ditangkap, sebuah forklift terpaksa digunakan untuk mengangkat buaya itu ke dalam sebuah trak.

"Buaya itu mempunyai kecacatan buta di sebelah mata dan hanya mempunyai penglihatan yang terhad dan dihantar ke pusat penjagaan buaya di sana,' katanya dipetik AP