Thursday, 11 September 2014

Lena lepas mencuri

Sarasota (Florida): Seorang pencuri ditangkap selepas polis menemuinya tertidur di atas katil di rumah mangsa.
Polis sempat merakam gambar dia terlena sebelum mengejutkannya.
Dion Davis, 29, ditemui tertidur di atas katil di sebuah rumah di Sarasota County oleh seorang pembantu rumah yang kemudian menelefon polis.

Di sebelahnya ialah beg plastik berisi barang kemas milik tuan rumah yang diambilnya sebelum dia tertidur.

Foto
DAVIS lena di atas katil di rumah mangsanya.

Apabila polis tiba, mereka merakam gambar Davis dengan menggunakan telefon bimbit masing-masing.

Davis kelihatan benar-benar lena sehinggakan tindakan polis itu gagal menyedarkannya.

Davis yang menyifatkan dirinya sebagai ‘Juruteknik Kelengkapan Keselamatan’ dalam Facebooknya ditahan dan dituduh merompak.

Pembantu rumah itu memberitahu polis, dia tiba untuk membersihkan rumah berkenaan dan mendapati tingkap dapur terbuka serta Davis lena di atas katil.

Polis berkata, pencuri berkenaan sebelum itu menyelongkar laci dan almari di seluruh rumah berkenaan untuk mencari barang berharga.- Agensi

Wednesday, 10 September 2014

3 elemen pekerja terbaik

Rasulullah SAW mengungkapkan saranan menerusi hadis Baginda yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah, "Sesungguhnya Allah menyukai apabila salah seorang daripada kamu melakukan sesuatu pekerjaan, ia melakukannya dengan baik, sempurna dan teliti." (Riwayat al-Baihaqi).
Pekerjaan adalah proses, wadah dan kaedah untuk beri kebaikan kepada orang lain, bukan sekadar mendapat laba, tetapi gudang memperoleh pahala. Bukan semata-mata makan gaji, tetapi menghadam sebanyak-banyaknya kebaikan dan reda Ilahi.
Ustaz Pahrol Mohd Juoi mengajak kita melihat pekerjaan daripada perspektif Islam yang kaya dengan kebaikan dan punya kaitan dengan tujuan kehidupan menerusi Islam Itu Indah di IKIMfm, Rabu lalu.
Katanya, pegang kata kunci 'beri kebaikan yang terbaik jika ingin menjadi baik' untuk membezakan pekerjaan manusia dengan makhluk Allah SWT yang lain mahupun meletakkan beza pekerjaan umat Islam dengan yang belum beragama Islam.
Menyorot kehidupan sebagai hamba Allah SWT juga khalifah di dunia, manusia diberi tanggungjawab bekerja sebagai cabang ujian dan menjadi kewajipan untuk menang dalam menyahut ujian itu. Caranya dengan melaksanakan pekerjaan pada tahap terbaik.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dialah yang mencipta mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun (bagi orang yang bertaubat)." (Surah al-Mulk, ayat 2).
Setiap pekerjaan datang dengan ujian, kecekapan, kesungguhan, keikhlasan dan akhlak semuanya diuji. Setiap ujian menjadi kayu penanda keperibadian seseorang Mukmin.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah." (Surah al-Qasas, ayat 26).
Gabungan sudut al-quwwah
Perlu menggabungkan ciri-ciri dari sudut al-quwwah iaitu kekuatan serta kemampuan bukan sekadar fizikal, tetapi juga ilmu dan kemahiran. Mempunyai amanah, ketelusan serta kasih sayang dalam melaksanakan tugasan.
Inilah sifat umat Islam dalam bekerja. Ada gabungan kepakaran juga keimanan, cantuman integriti dan kecekapan. Jika ada semuanya, dengan izin Allah SWT segala yang direncana menjadi dan diberkati.
Pekerja juga perlu melakukan kerja dengan acuan Allah SWT bukan terapan manusia jika ingin melahirkan pekerja yang punya prestasi kerja tinggi.
Terdapat tiga elemen sebagai neraca kerja yang terbaik. Pertama, capai kualiti dengan input yang sedikit menghasilkan output yang banyak. Kedua, kuantiti yang lebih baik dan ketiga ialah akhlak, etika serta adab terpuji yang membangun jati diri, sahsiah peribadi seorang Mukmin.
Imam Malik menyuarakan pendapat untuk menulis Kitab Muwatta' dan hasrat itu dipertikaikan kerana ketika itu sudah ada Kitab Muwatta' yang ditulis oleh orang terdahulu, jadi apakah perbezaan hasil tangan Imam Malik?
Lalu Imam Malik menegaskan, perbezaan terletak pada keikhlasan dan keikhlasan itu akan berkekalan. Beliau menulis dengan ikhlas dan mengharap reda Allah SWT sehinggakan beliau menyaring 3,000 daripada 10,000 hadis dalam menghasilkan Kitab Muwatta' karangannya.
Beliau begitu teliti dan hanya inginkan yang terbaik. Sebagai ganjaran ketelitian, kesungguhan dan curahan ilmu yang terbaik itu, sehingga hari ini jika menyebut Kitab Muwatta' hanya terbayang Kitab Muwatta' milik Imam Malik dan terpadam kitab muwatta' yang terdahulu sebelum beliau.
Hebatnya keikhlasan akhirnya melahirkan ketelitian dan kesungguhan. Rasulullah SAW menyatakan, Allah SWT menyayangi hamba-Nya yang sentiasa melakukan kerja dengan cara yang terbaik dan bersungguh-sungguh.
Tidak mudah lakukan kebaikan
Bukan suatu yang mudah untuk melakukan kebaikan. Terkadang setiap kebaikan dilakukan perlu kepada perlindungan daripada tempias kata-kata yang mengecewakan. Allah SWT mengingatkan, kesenangan dan kesusahan itu adalah ujian ke atas hamba-Nya dan ia adalah sunahtullah.
Bukankah syurga itu dipagari dugaan dan ujian sedang neraka dipagari kesenangan serta kenikmatan? Sedangkan Rasulullah SAW sebaik-baik manusia juga diuji apatah lagi kita manusia biasa yang selayaknya diuji.
Jika ada suara mengkritik perbuatan baik kita, Ustaz Pahrol menasihatkan kita katakan kembali bahawa perbuatan atau kerja baik kita bukan bererti kita sudah menjadi baik, tetapi itu sahaja usaha untuk menjadi orang yang baik.
Jika ditanya adakah kita sudah baik? Usah yakin bahawa kita sudah jadi baik,
tetapi jawablah dengan yakin bahawa kita sedang dalam usaha menjadi baik dengan melakukan kebaikan secara yang terbaik. Walau apa juga kekangan, lakukanlah kebaikan dengan sehabis baik, penuh kesungguhan serta iltizam kerana ia sangat berkait rapat dengan iman dan cara meraih reda Allah SWT.
Dr Yusof al-Qaradawi mengatakan, tiada pendorong dan penggerak yang lebih kuat pengaruhnya dalam usaha meningkatkan prestasi kerja dan produktiviti pengeluaran selain daripada iman. Ini akan melahirkan pekerja yang selari dengan falsafah Islam.
Etika dan profesionalisme Islam meletakkan kesetiaan kepada Allah SWT dan rasul-Nya mengatasi segala nilai yang wujud dalam sesuatu sistem atau budaya. Allah SWT sangat menyukai hamba-Nya yang memperelokkan kerjanya.
Kerja yang bersungguh-sungguh menggambarkan kesempurnaan iman dan takwa, ketulusan hati, keluhuran budi serta kemuliaan akhlak yang semua sifat itu akan dikira oleh Allah SWT dalam menentukan amal hamba-Nya diterima atau sebaliknya.
Seiring pelaksanaan kerja yang baik, prinsip kesempurnaan juga sangat menitikberatkan elemen ikhlas. Semoga dicampakkan ikhlas ke dalam hati kita ketika melaksanakannya.
Jawatan, kerja, tugas atau apa juga profesion yang kita pegang bukan suatu kebanggaan untuk digunakan sebagai alat mencapai cita-cita dunia, tetapi ia amanah yang wajib ditunaikan dengan sempurna. Mudah-mudahan kerja dilakukan membawa faedah duniawi dan manfaat ukhrawi.
Islam bukan sekadar mendidik kita untuk memberi kebaikan, malah menuntut kita menghulur kebaikan. Lakukan kerja tidak cukup dengan buat kerja yang betul, tapi laksanakan dengan betul-betul secara yang terbaik.

Ucap innalillah kepada bukan Islam....Wajarkah??

Ucapan Innalillah adalah salah satu bentuk doa yang dibacakan kepada orang Islam yang meninggal dunia atau apa-apa musibah kepada orang-orang Islam. Ia diambil daripada surah al-Baqarah ayat 156: Orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan innalillah wa inna ilayhi raji’un. (Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepada-Nya lah kami kembali)

Walaupun ada yang berpandangan bahawa kata-kata ini berbentuk umum dan tidak dikhususkan kepada orang Islam, namun dalam konteks kefahaman ayat al-Quran tersebut, penggunaannya lebih merujuk kepada musibah yang berlaku kepada orang Islam. Ayat di atas misalnya adalah penerusan daripada ayat-ayat yang merujuk kepada cabaran dan dugaan yang dihadapi mukmin.

Sementara dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, ketika api pelita Rasulullah terpadam, maka Rasulullah menyebut: Innalillah wa inna ilayhi raji’un. Maka Aisyah bertanya: “Adakah api terpadam pun satu musibah?" Jawab Nabi: “Setiap perkara yang memberi kesan buruk kepada orang mukmin adalah satu musibah."

Daripada dua asas di atas, jelas bahawa bacaan innalillah tidak ditujukan kepada mereka yang bukan Islam. 

Berkaitan ucapan Rest in Peace, sepertimana yang telah dihuraikan dalam Facebook Fatwa Malaysia sebelum ini, ia adalah satu bentuk ucapan doa yang biasa diucapkan dalam agama Kristian terutama dalam mazhab Katolik sejak abad ke-18.

Ia juga biasanya diukir di batu nisan dalam kalangan masyarakat Kristian. Versi penuh ucapan itu berasal daripada bahasa Latin ‘May his soul and the souls of all the departed faithful by God’s mercy rest in peace.’ Ia juga mengandaikan orang bukan Islam tersebut akan mendapat rahmat daripada Tuhan sebagaimana doa asal yang disebut itu.

Sedangkan daripada sudut akidah Islam seseorang yang mati dalam kekufuran tidak akan mendapat keampunan dan kerahmatan daripada Tuhan.

Ini berdasarkan ayat al-Quran surah al-Taubah ayat 113 yang bermaksud: Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabatnya sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu ahli neraka.

Namun Islam tidak menghalang umatnya mengucapkan simpati terhadap keluarga orang bukan Islam yang meninggal dunia dengan ucapan yang tidak memberi implikasi keagamaan seperti ‘saya bersimpati dengan apa yang berlaku kepada anda’ atau ‘kami mengucapkan kesedihan atas kehilangan si fulan daripada keluarga anda.’ Wallahu a’lam



Petikan dari Portal Rasmi Fatwa Malaysia (e-Fatwa), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

Monday, 8 September 2014

Agenda Besar Anti Islam

Laporan akhbar The Independent dan Daily Mail yang diterbitkan di London mengenai perancangan Kerajaan Arab Saudi untuk mengalihkan Makam Rasulullah SAW ke tanah perkuburan al-Baqi' yang terletak bersebelahan Masjid Nabawi di Madinah mendapat reaksi bantahan segera.
Tanpa mendapat pengesahan duduk sebenar, dunia penulisan maya bertalu-talu menyelar Kerajaan Arab Saudi dengan menyifatkannya sebagai satu lagi contoh ketidakpekaan pemimpin dan ulama negara itu terhadap warisan Islam dan mengingatkan langkah itu, jika dilaksanakan adalah penghinaan terhadap masyarakat Islam.
Bagaimanapun, akhbar Arab Saudi, Fimadani yang memetik sumber melaporkan, cadangan itu bukan datangnya daripada pemerintah Arab Saudi, sebaliknya ia diambil daripada sebuah jurnal ilmiah terbitan pentadbiran Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.
Malah, kata jurucakap itu, pemerintah Arab Saudi membantah sebarang usaha memindahkan jasad Nabi, apatah lagi Nabi Muhammad SAW ke perkuburan Baqi'.
Akhbar The Independent melaporkan seorang ulama Arab Saudi mengemukakan pelan kontroversi untuk memindahkan makam Rasulullah SAW selepas beberapa ulama negara itu menyuarakan kebimbangan ia semakin menjadi tempat pemujaan.
Syaikh Ali bin Abdul Aziz As-Shabal.
Menurut laporan itu, dokumen 61 muka itu diedarkan kepada anggota pihak berkuasa Tanah Suci, mencadangkan supaya makam itu dipindahkan ke tanah perkuburan al-Baqi, bersebelahan dengan Masjid Nabawi dan dikuburkan tanpa sebarang tanda. Akhbar itu memetik Pengarah Yayasan Kajian Warisan Islam, Dr Irfan Al-Alawi, sebagai berkata mereka mahu menghalang orang Islam mengunjungi makam berkenaan kerana menganggap perbuatan itu syirik.
Banyak persoalan timbul daripada penyebaran berita itu. Malah, ada yang melihat ia mempunyai agenda besar, apatah lagi kira-kira 1.75 juta jemaah haji dari 189 negara mula berkumpul di Makkah dan Madinah untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu.
Seperti kata Ketua Ulama Muda UMNO, Dr Fathul Bari Mat Jahya, cadangan itu dibuat bertujuan mengalih tumpuan masyarakat dunia mengenai isu menangani Syiah oleh banyak pihak, termasuk pemerintah Arab Saudi, selain agenda mewujudkan bibit perpecahan sesama ahli Sunah.
Hakikatnya, soal memindahkan makam Rasulullah itu sebenarnya isu lama. Rekod menunjukkan hampir setiap tahun mereka (media bukan Islam) mengeluarkan isu sama, iaitu sejak 26 Oktober 2012, 15 Mac 2013 dan yang terbaharu awal September lalu.
Agenda mereka hanya satu, iaitu mahu menimbulkan ketegangan sesama pengikut Ahli Sunah Wal Jamaah atau suni. Apabila bertelagah sesama sendiri dan ada yang cuba menghentam pemerintah, ia mewujudkan peluang untuk Syiah meluaskan pengaruhnya, bukan sahaja di Tanah Haram, malah di seluruh dunia.
Oleh itu, sewajarnya umat Islam di negara kita tidak terpengaruh dengan isu ini, apatah lagi perkhabaran itu belum disahkan oleh Kerajaan Arab Saudi dan diulang siar oleh media yang bersekongkol dengan agenda anti-Islam.
Inilah masanya kita hayatilah maksud surah al-Hujurat ayat 6 supaya kita tidak menyesal dan berhati-hati jika mendengar berita daripada orang fasik.

Credit: Azhar Abu Samah

Meraih ketenangan jiwa

DALAM kehidupan di dunia ini setiap manusia sentiasa ingin mencari ketenangan jiwa. Menurut pandangan Islam, tidak akan terdapat keamanan dan ketenteraman jiwa di dunia ini melainkan seseorang individu berada dalam keadaan aman dengan dirinya.

Oleh itu, untuk membentuk satu asas yang kukuh bagi keamanan antarabangsa, seseorang mestilah terlebih dahulu menanamkan ketenangan di dalam jiwanya. Seseorang individu yang mempunyai jiwa yang tenang dapat memainkan peranan yang penting dalam pembangunan masyarakatnya. Selain itu, individu tersebut dapat menjelmakan kepercayaan yang hebat terbentuk dalam jiwa dan dibuktikan melalui tindakan yang baik.

Jiwa dapat diertikan nyawa, roh (yang ada dalam tubuh manusia). Ia meliputi batin (perasaan, fikiran, cita-cita dan lain-lain yang terkandung dalam hati manusia). Manusia sangat inginkan ketenangan jiwa bagi kejayaan di dunia dan akhirat.

Maka, jiwa yang tenang, sanggup menghadapi dan menguasai apa juga keadaan. Ini kerana perasaan tenang seseorang akan selalu melalui jalan yang lurus dan tenang. Hati dan jiwa yang tenang dan tenteram terjadi apabila seseorang itu selalu membuat kebaikan kepada orang lain.

Sementara itu, jiwa yang menderita disebabkan oleh kesombongan, ketamakan, kedengkian dan keserakahan mengejar kekayaan di dunia dan akan rasa sentiasa gelisah serta rasa tak pernah cukup. Selain itu, jiwa yang kosong adalah jiwa yang menderita dan terseksa dalam diri seseorang.

Terdapat tiga pembahagian jiwa atau hati manusia, iaitu jiwa yang sihat, jiwa yang sakit dan jiwa yang mati. Jiwa atau hati yang sihat akan berjaya menemukan pemiliknya dengan penuh kebahagiaan dan kegemilangan. 

Hal ini dijelaskan oleh Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud: Pada hari yang tidak bermanfaat semua harta benda dan anak-anak, kecuali orang yang datang menghadap Allah dengan hati (jiwa) yang selamat (sihat). (asy-Syu’ara: 88-89)

Dalam hal ini, hati yang mati sama sekali tidak memiliki jiwa dan roh yang tenang. Ia tidak mengetahui siapa Tuhannya, apa lagi untuk menyembah-Nya. Orang yang dijangkiti penyakit hati yang mati cenderung menjadikan nafsu sebagai ikutan, syahwat sebagai pemandunya, kejahilan mengarahnya yang mengakibatkan kelalaian dan kealpaan.


Penyakit hati

Sementara itu, hati yang sakit di dalamnya terkandung jiwa dan roh, namun terdapat penyakit di dalam hatinya. Padanya memiliki dua potensi yang saling berebut dan berlawan bagi mendapat tempat bagi menguasai hati berkenaan. Pada masa hati beriman, ikhlas, tawakal dan rasa mahabbah (cinta) pada Allah SWT. Maka sebaliknya ia menderita sakit bahkan menjadi hati yang mati apabila syahwat, nafsu serta sifat mazmumah(tercela) seperti hasad, sombong, ujub (bangga dan memuji diri) takbur dan membuat kerosakan di bumi menguasai hati dan diri seseorang.

Jelaslah, syaitan dengan berbagai cara, melalui rayuan-rayuan yang dinyatakan dengan bisikan perkataan, pendengaran dan pancaindera berubah, menyesatkan manusia sehingga mematuhi arahan dan perintahnya. Syaitan menanamkan perasaan syak wawasan ke dalam hati manusia seperti mana firman Allah yang bermaksud: Yang membisikkan ke dalam hati manusia, iaitu bangsa jin dan manusia. (an-Nas:5-6)

Hidup matinya hati (jiwa) tertakluk kepada kebajikan yang dilakukan serta kezaliman dan kejahatan di dunia. Oleh itu ketenangan hati (jiwa) hanya dapat diperoleh dengan memihak kepada kebenaran. Sesiapa yang mengetahui kebenaran dan tunduk serta patuh mengikutinya, dialah orang yang beroleh kenikmatan dari Allah SWT.

Seterusnya Allah SWT berfirman yang bermaksud: Belum lah tiba masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mengingati Allah dan tunduk kepada kebenaran yang telah diturunkan (kepada mereka) dan janganlah mereka menjadi seperti orang-orang yang terdahulu yang telah diturunkan al-Kitab kepada mereka, kemudian berlalu masa yang panjang atas mereka(sedangkan mereka masih belum mahu insaf) lalu hati mereka menjadi keras. Dan kebanyakan di antara mereka adalah orang-orang yang fasik. (al-Hadid: 16)


Hati jadi keras

Berkaitan hati yang menjadi keras. Daripada Ibnu Umar r.a berkata: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Janganlah memperbanyak percakapan selain untuk berzikir kepada Allah SWT, maka sesungguhnya banyak bercakap selain daripada berzikir kepada Allah SWT. Itu adalah menyebabkan hati seseorang menjadi keras. Dan sesungguhnya sejauh-jauh manusia daripada Allah SWT adalah mereka yang berhati keras." (riwayat Tirmizi)

Sementara itu, Imam Al-Ghazali menyatakan jasad kita ini dapat di ibaratkan sebagai kuda tunggangan dan roh sebagai penunggangnya, jasad diciptakan untuk roh dan roh untuk jasad.

Kalau seseorang tidak mengetahui atau memahami jiwanya sendiri yang paling dekat padanya, maka apa gunanya dia menuntut pelbagai ilmu pengetahuan.

Orang yang semacam itu dapat diibaratkan seperti seorang peminta yang ingin memberi makanan kepada penduduk sebuah kota, pada hal dia sendiri tidak mempunyai wang untuk membeli makanan.

Oleh itu, meraih ketenangan jiwa bertujuan untuk mendapat kejayaan di dunia dan akhirat. Jika seseorang yang baik meninggalkan ketaatan, jiwanya akan merasa terhimpit seakan bumi menghimpit dirinya. Namun dia akan menyesuaikan diri sehingga lama-kelamaan jiwanya akan tenang kerananya.


Credit: DR. AMINUDIN MANSOR

Sunday, 7 September 2014

Angkara ikan puyu


Kota Bharu: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun nyaris maut apabila hampir setengah jam tercekik seekor ikan puyu selebar tiga sentimeter yang dipancingnya dalam kejadian di Kampung Padang Mokkan, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, mangsa, Suhaniza Mat Nawi, 10, dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dengan motosikal oleh salah seorang ahli keluarganya dalam keadaan berlumuran darah selepas terkena duri ikan itu. 
Ikan berkenaan berjaya dikeluarkan di HUSM daripada mulut anak kedua daripada empat beradik itu 15 minit kemudian dan dia kini dilaporkan masih berada dalam keadaan separuh sedar di Pusat Rawatan Rapi (ICU). 

Menceritakan detik cemas itu, Noraniza Mohd Noor, 34, berkata, dia difahamkan ketika kejadian, anaknya memancing ikan bersama beberapa rakannya di sebuah parit air berhampiran rumahnya.

“Sebaik saja ikan berkenaan terkena mata kail, dia cuba menariknya namun gagal lalu bertindak menggigit ikan berkenaan. Bagaimanapun, ikan itu terus masuk ke dalam mulutnya dan tersekat di kerongkong.

Saturday, 6 September 2014

Air Zam-Zam Miliki Mukjizat - Saintis Jepun


Molekul air zam-zam.

KAJIAN seorang saintis Jepun mendapati bahawa air zam-zam mempunyai keajaiban dan kandungan airnya berbeza dengan yang lain.

Dr Masaru Emoto dari Universiti Yokohama, Jepun menjalankan kajian ke atas perubahan bentuk molekul air yang didedahkan kepada pengaruh-pengaruh positif dan negatif.

Beliau mendapati apabila air didedahkan kepada kata-kata, tulisan dan pesanan yang berbentuk positif, air-air tersebut membentuk molekul yang berbentuk kristal indah.

Sebagai contoh, dalam salah satu eksperimen beliau, air didedahkan dengan bacaan doa agama Islam dan molekul air yang terhasil membentuk kristal indah berbentuk segi enam dengan lima cabang daun yang berkilauan indah.

Beliau turut mendapati molekul air yang terhasil menerusi eksperimen ke atas air zam-zam adalah bercabang-cabang dan berkilauan.

Emoto mendedahkan hasil penemuannya itu dalam persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Mac 2005 di New York.
Dr Masaru Emoto.
Dalam eksperimen tersebut turut mendedahkan pengaruh unsur-unsur negatif terhadap air.
Menurut Emoto, apabila air didedahkan kepada perkataan syaitan dan muzik heavy metal, kristal molekul air yang terhasil tidak mempunyai bentuk dan kelihatan hancur serta buruk.
"Ternyata, air boleh 'mendengar, membaca dan memahami' kata dan doa," katanya.
Pada Persidangan Air Sedunia di salah sebuah universiti di negara ini beberapa tahun lalu turut membuktikan segala fakta mengenai air.
Sewaktu persidangan itu, air dari merata dunia diambil dan diperiksa akan 'kehebatannya'.
Kamera berfrekuensi tinggi berjarak jauh digunakan untuk melihat akan gambaran yang terjadi kepada air yang sedang diuji itu.

Maka air dari Sungai Ganges dan juga termasuk air zam-zam diuji dan dikenal pasti.

Uniknya, air zam-zam membentuk molekul yang begitu kukuh, strukturnya tidak berubah disebabkan apa jua tekanan.

Malah, kehebatan air zam-zam didapati mampu merakam dengan tepat gelombang warna alam yang sering bertukar pada waktu tertentu.

Dalam penyelidikan ilmiah yang dilakukan di makmal Eropah, terbukti bahawa air zam-zam memang lain daripada yang lain.
 
Kandungan airnya berbeza dengan telaga-telaga yang ada di sekitar Mekah.
Telaga air zam-zam.

Ia mengandungi kadar kalsium dan garam magnesiumnya lebih tinggi dibanding telaga lain, berkhasiat untuk menghilangkan rasa haus dan penyembuhan.

Air zam-zam juga mengandungi zat fluorida yang berkhasiat memusnahkan kuman-kuman yang terdapat dalam kandungan airnya.
Lebih menakjubkan, tidak ada sedikitpun lumut di telaga zam-zam dan ia sentiasa bebas dari pencemaran kuman.
Justeru, dalam perubatan Islam, penggunaan air penawar dalam rawatan adalah satu aspek penting untuk diamalkan pesakit. 
Air penawar biasanya dibacakan Surah al-Fatihah atau ayat suci al-Quran yang berkaitan dengan penyakit dialami pesakit. 
Selepas pesakit membaca ayat al-Quran, mereka dikehendaki membaca doa memohon kepada Allah untuk penyembuhan dan doa ini turut dibacakan ke air penawar.
Teori Emoto mengenai perubahan kristal molekul air jelas menerangkan kemujaraban air penawar yang didedahkan kepada bacaan ayat suci al-Quran. 
Pembacaan ayat suci al-Quran ke atas air penawar menyebabkan kristal molekul air penawar berubah kepada bentuk kristal indah dan memberi kesan positif kepada peminumnya.