Friday, 2 August 2013

Operasi mencari dan menyelamat mangsa bot karam diteruskan

KUALA LUMPUR: Operasi mencari dan menyelamat mangsa bot pancung yang karam berhampiran Tanjung Siang, Kota Tinggi, Johor, Khamis lepas diteruskan hari ini. 

Operasi yang disertai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, polis, tentera udara dan laut itu bermula jam 7 pagi tadi, kata Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah Tanjung Sedili Komander Maritim Amran Daud ketika dihubungi Bernama, di sini.
Katanya operasi akan berlangsung sehingga 7 petang dan akan disambung semula pagi esok jika semua mangsa belum dijumpai. 


Menurut Amran setakat ini hanya empat penumpang berjaya diselamatkan manakala 40 lagi masih hilang. 

Dalam kejadian lewat malam itu, sebuah bot pancung yang dipercayai membawa 44 pendatang tanpa izin warga Indonesia pulang untuk menyambut Aidilfitri di Batam, karam di antara perairan Sedili dan Penawar setelah dipukul ombak besar. 

Mereka sebelum itu dipercayai berlepas dari Tanjung Siang. - BERNAMA 

Isu pelajar Cina: Kementerian Pendidikan nafi dakwaan Ka Siong

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Kementerian Pendidikan menafikan dakwaan Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong bahawa hanya 19 peratus pelajar Cina yang mencatat Purata Penilaian Gred Kumulatif (PNGK) 4.0 mendapat tawaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Kementerian Pendidikan dalam kenyataannya memberitahu, bagi sesi akademik 2012/2014, seramai 3,584 pelajar mendapat PNGK 4.0 dan daripada jumlah tersebut, seramai 1,275 merupakan pelajar keturunan Cina.

Katanya, selebihnya meliputi pelajar bumiputera iaitu 1,673; pelajar India seramai 361 dan lain-lain keturunan sebanyak 275 orang.

"Daripada jumlah itu, seramai 3,545 pelajar telah ditawarkan tempat ke IPTA. Ini jelas menunjukkan sebanyak 99 peratus pelajar yang memperoleh PNGK 4.0 mendapat tempat di IPTA dan hanya satu peratus tidak menerima tawaran," kata kenyataan kementerian tersebut di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Kementerian Pendidikan memberitahu, kegagalan 39 pelajar berkenaan mendapat tempat di IPTA adalah disebabkan beberapa faktor.

Katanya, antara faktor tersebut meliputi pelajar tidak memenuhi syarat khusus program; unjuran tempat telah penuh terutamanya program perubatan, pergigian dan farmasi serta pelajar membuat pernyataan 'Tidak' sekiranya ditawarkan program selain daripada yang dipohon.
"Selain itu, sebab kegagalan golongan ini mendapat tawaran ke IPTA adalah kerana gagal dalam saringan temuduga dan pelajar berada pada merit yang rendah kerana markah kokurikulum yang rendah," jelas kenyataan itu.

Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan turut menafikan dakwaan Ka Siong bahawa sistem kuota yang diperkenalkan pada 2002 adalah satu bentuk sistem yang lebih buruk dan telah membawa kepada kemerosotan kadar kemasukan pelajar Cina ke dalam lapan bidang kritikal di IPTA.

Menurut kementerian itu, dasar meritokrasi yang dilaksanakan adalah mengguna pakai 90 peratus markah akademik dan 10 peratus markah kokurikulum untuk menjana markah merit calon.

"Sehubungan itu, penetapan merit tidak hanya melihat kepada pencapaian akademik semata-mata. Penentuan dibuat dengan mengambil kira kedua-dua elemen akademik dan kokurikulum calon untuk memastikan IPTA melahirkan graduan yang holistik," kata kementerian itu.

Siak meninggal dalam keadaan bersujud

Siak meninggal dalam keadaan bersujud

SHAH ALAM - Pengguna media sosial semalam, digemparkan dengan kisah seorang ahli jawatankuasa yang juga siak Surau Al Mujahiddin, Desa Surada di Bandar Baru Bangi yang meninggal dunia dalam keadaan bersujud di surau berkenaan.

Difahamkan, beliau yang dikenali sebagai Roslan ditemui sudah tidak bernyawa oleh jemaah lain surau berkenaan sewaktu sujud solat sunat Zohor, petang semalam.


“Ada jemaah terdengar suara arwah seakan-akan sebak dan dia menarik nafas panjang ketika hendak sujud sebelum menghembuskan nafas terakhirnya.”
Demikian kata Pengerusi dan juga imam Surau Al-Mujahidin, Bandar Baru Bangi, Mohamad Sukor Atan, 52, ketika menceritakan kematian siak surau itu, Ruslan Ishak, 61, dalam keadaan bersujud ketika menunaikan solat sunat selepas fardu Zuhur, kelmarin.
Gambar kematian Allahyarham dengan pengakhiran yang disifatkan sangat mulia itu mula tersebar melalui laman sosial facebook, petang hari yang sama dan menarik perhatian ramai.
Mohamad Sukor berkata, Allahyarham Ruslan amat disenangi kariah surau dan penduduk setempat kerana sikapnya yang mudah mesra selain gaya penampilan yang sentiasa kemas.
Foto

Berita kematian beliau yang dianggap istimewa itu tersebar luas di laman sosial yang turut memaparkan gambar jasad arwah yang sedang bersujud dikelilingi jemaah surau yang menyedari kematiannya.

Umumnya, umat Islam menganggap kematian dalam keadaan bersujud adalah satu kelebihan yang diberikan ALLAH SWT kepada hamba-Nya yang beriman, tambahan pula ia berlaku dalam bulan Ramadan yang penuh keampunan.

Foto
JEMAAH surau membaringkan jenazah Ruslan sementara menunggu kakitangan Hospital Serdang tiba.

“Secara zahirnya arwah pergi menghadap Allah SWT dalam keadaan yang cukup sempurna iaitu berpuasa pada bulan Ramadan dan paling bermakna dalam keadaan bersujud ketika solat di surau.

Mangsa mercun paling senior

Kota Bharu: Padah mencuba menyalakan mercun bola yang ditemui di luar rumah, seorang bapa tunggal empat anak cedera di tangan kiri dan badan, malah mengalami masalah pendengaran apabila mercun itu tiba-tiba meletup ketika dinyalakan sebelum sempat dilempar dalam kejadian di Kampung Lubok Jong, Pasir Mas di sini, kelmarin.
Dalam kejadian pada jam 6 petang itu, mangsa, Abdul Rasid Abdullah, 55, dipercayai mangsa mercun tertua di negara ini dibawa ke Hospital Pasir Mas oleh jirannya sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini, untuk rawatan lanjut dan kini dilaporkan stabil.
Menceritakan kembali kejadian itu, Abdul Rasid berkata, sebelum kejadian, dia sedang bersendirian di depan rumahnya dan ketika berjalan-jalan, dia ternampak sebiji mercun bola yang masih mempunyai sumbu.

Katanya, dia memberanikan diri dengan mengambil mercun itu dan memeriksanya sama ada masih boleh digunakan atau rosak.
Foto
HAFIZUDDIN (kiri) melawat Abdul Rasid yang dirawat di HRPZ II.

“Saya menyalakan mercun itu kerana mahu menguji sama ada masih elok atau rosak.

Credit: Muhamaad Razis Ismail

Kekal momentum Ramadan rai raya

Setiap insan akan berasa sedih atas setiap pertemuan yang berakhir dengan perpisahan. Apatah lagi Ramadan yang hanya datang setahun sekali. Kesedihan ini buat mereka yang mempunyai hati dan jiwa yang bersih merasai satu kehilangan besar apabila tibanya penghujung Ramadan. 

Di samping berdoa, persoalan yang terbayang di fikiran ialah apakah Ramadan kali ini mencapai matlamatnya iaitu ketakwaan sebenar kepada Allah SWT? Apakah kita akan diberikan peluang sekali lagi oleh Allah SWT untuk bertemu Ramadan akan datang? Hakikatnya, kesan yang akan dibawa selepas Ramadan adalah jawapan kepada semua persoalan itu.
Daripada Jabir, Baginda SAW bersabda: Apabila tibanya malam terakhir Ramadan, langit, bumi dan malaikat bersedih atas perkara yang dianggap satu musibah besar bagi umat Muhammad SAW. Sahabat bertanya: Apakah musibah itu wahai Rasulullah? Jawab Baginda SAW: Perginya Ramadan meninggalkan kita. Bulan yang dimakbulkan doa, amalan diangkat dan diterima, pahala kebajikan digandakan dan azab ditangguhkan. Apakah ada musibah yang lebih besar daripada berpisah dengan Ramadan? Apabila langit dan bumi serta malaikat bersedih untuk kita, sudah semestinya kita sebagai manusia akan lebih bersedih atas perpisahan ini. (Hayatul Qulub) 


Kita akan menempuh hari raya meraikan kemenangan dalam menghadapi ujian Ramadan. Bagi umat Islam, Aidilfitri adalah kemenangan menghadapi ujian puasa selama sebulan. Hari Raya dikaitkan dengan fitrah kerana manusia kembali kepada fitrah asal yang dihalalkan dan terlarang ketika berpuasa. 

Hadis Ibnu Masud menyebut, Baginda SAW bersabda: Apabila seseorang berpuasa dan keluar berhari raya, maka Allah akan berkata kepada malaikat, Sesungguhnya semua pekerja akan menuntut ganjarannya dan hambaku yang berpuasa keluar pada hari ini dengan ganjaran besar. Oleh itu, saksikanlah segala amalan kejahatan mereka ditukar kepada kebajikan sepenuhnya dan aku telah mengampunkan mereka. 

Menunjukkan jika seseorang mendapat kelebihan sedemikian, maka ibadat puasa yang dilakukan mencapai matlamat takwa dan mendapat keampunan. 


Dua kegembiraan 

Baginda SAW bersabda: Dua kegembiraan bagi seorang yang berpuasa iaitu ketika berbuka dan ketika bertemu Tuhannya dengan amalan ibadah puasa itu. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: Katakanlah wahai Muhammad bahawa dengan kurniaan dan rahmat Allah SWT, mereka bergembira dan itulah yang terbaik hasil daripada apa yang mereka usahakan. (Surah Yunus, ayat 58) 

Anas bin Malik berkata: Bagi seorang mukmin, terdapat lima hari raya dalam kehidupan mereka. Pertamanya, hari di mana tiada sebarang maksiat atau tiada perkara dosa dilakukan juga dianggap hari raya. Keduanya, hari yang ditentukan roh akan keluar daripada jasad dengan keimanan dan ketakwaan bertemu Allah SWT. Ketiga, hari dapat merentasi titian sirat dan terselamat daripada goncangan kiamat. Keempat, ketika kita dimasukkan ke syurga dengan aman. Kelimanya ialah ketika dapat melihat Allah SWT. 


Sentiasa bertasbih dan bertakbir 

Hari Raya pada kaum Muslimin membawa dua pengertian besar iaitu penghayatan rabbani (ketuhanan) dan penghayatan insani (kemanusiaan). Penghayatan rabbani membawa maksud manusia tidak sekali-kali melupakan Allah SWT bahkan lidah mereka sentiasa bertasbih dan bertakbir memuji kebesaran Allah SWT. 

Penghayatan insani pula bermaksud keinginan naluri manusia untuk bersuka ria, gelak tawa serta penampilan baru dengan pakaian dan wajah berseri. Kesempatan bertemu sahabat handai serta keluarga yang disayangi bagi menyambung jabatan silaturahim. 

Namun, kegembiraan menyambut Hari Raya mesti dikawal dengan iman dan takwa Ramadan. Ketika Baginda SAW menghadiri suatu perayaan, beliau mengizinkan satu kumpulan bersuka ria di rumah baginda yang berhampiran dengan Masjid Nabawi. 

Baginda SAW juga mengizinkan Saidatina Aisyah bersuka ria bersama sahabatnya bagi meraikan naluri kemanusiaan di samping memelihara tata susila agama Islam. 

Perkara kedua perlu diperhatikan ialah kawalan terhadap hawa nafsu yang melonjak ketika kita berpuasa lagi. Jangan kita berasa tamatnya Ramadan bermakna tamatlah segala ketaatan kepada Allah SWT. 

Sabda Baginda SAW: Apabila tibanya hari raya, iblis yang dilaknat memanggil sekalian saudara dan sahabat handainya seraya berkata: Wahai sahabat sekalian, pada hari ini, Allah SWT mengampunkan dosa sekalian hambanya. Oleh itu, kamu hendaklah melalaikan mereka dengan kelazatan dan nafsu syahwat sehinggalah mereka kembali kepada kemurkaan Allah SWT. 

Oleh itu, untuk meneruskan kesinambungan momentum Ramadan, kita hendaklah bersedekah, solat, berzakat, bertasbih dan bertahlil. Justeru, amalan rumah terbuka hendaklah diteruskan supaya mereka yang tidak berkemampuan meraikan hari raya dengan senang hati. 

Marilah kita menghayati Hari Raya dengan tiga saranan Baginda SAW dalam sabdanya: Mereka yang mengasihi akan dikasihi Allah SWT. Kasihanilah makhluk di bumi nescaya kamu akan dikasihi Allah. Sesiapa yang tiada sifat belas kasihan tidak akan disayangi. 

Kita hendaklah meraikan empat perkara yang dianjurkan Baginda SAW bagi menjadikan Hari Raya pada tahun ini lebih bermakna iaitu perbanyakkan ucapan salam, memberi makan kepada tetamu, menghubungkan persaudaraan dan solat malam. 


 Credit: Zamanuddin Jusoh


Thursday, 1 August 2013

Dua pegawai bank ditahan tidak puasa

Dua pegawai bank ditahan tidak puasa

BATU PAHAT – Tindakan dua pegawai bank yang makan di kedai makan bagi mengelakkan daripada di kesan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) tidak berjaya apabila kedua-duanya ditahan, semalam.

Ketika ditahan kedua-duanya memberi alasan hendak makan ubat.

Timbalan Penguatkuasa Jaij Batu Pahat, Saiful Ariffin Mohd Sopah berkata, kedua- dua lelaki terbabit merupakan antara 10  individu yang dicekup kerana makan di khalayak ramai di bulan puasa.

“Kesemua mereka yang ditahan berusia antara 40 hingga 65 tahun, termasuk tiga daripadanya sudah bergelar warga emas.

“Lebih mengejutkan, ada antara warga emas berkenaan sudah pun bergelar datuk kepada sembilan orang cucu,” katanya.

Saiful turut melahirkan rasa kecewa kerana masih ada pengusaha kedai makan Islam yang beroperasi di siang hari, sekaligus memberi ruang kepada mereka yang tidak berpuasa.




Credit: Sinar Harian

Ramadan gembleng semangat bersatu

Amalan berbuka, sahur dan bertarawih menyatupadukan umat Islam

Ramadan yang dianugerahkan Allah adalah bulan penuh kerahmatan, keampunan dan keredaan Allah buat hamba-Nya. Ibadah puasa yang dilakukan pada Ramadan adalah tonggak kepada keutuhan syiar Islam. 

Jika dibicarakan berhubung kelebihan Ramadan dari sudut yang tersurat, ia berkisar kepada wujudnya unsur ketaatan hamba kepada Penciptanya Allah SWT. Puasa Ramadan yang disyariatkan buat umat Islam adalah satu perintah daripada Allah.


Ertinya, dengan menunaikan ibadah puasa ini, kelebihan tersurat yang dapat difahami dan dihayati ialah wujudnya unsur ketaatan dan kepatuhan kepada Allah. Malahan ia diperkukuhkan dengan matlamat akhir puasa untuk melahirkan insan bertakwa. 

Justeru, nikmat kepatuhan dan ketaatan kepada Allah perlu ada dalam diri seorang Muslim. Ia bertambah indah dan bermakna kerana ibadah ini dilakukan setiap individu Muslim pada Ramadan yang diraikan bersama. 

Inilah nilai atau titik persamaan yang dianjurkan oleh syariat Islam untuk dihayati dan difahami umat Islam. Jika ditinjau secara kasar, setiap ibadah yang dituntut syarak bertujuan mewujudkan persamaan antara setiap individu Muslim. 

Wujud persamaan sesama Muslim 

Masalahnya, sama ada kita perasan atau sebaliknya. Ia bermula daripada pengucapan kalimah syahadah hinggalah menunaikan ibadah haji di Baitullah. Semuanya berperanan mewujudkan persamaan sesama Muslim jika dihayati dengan mendalam. 
Sebenarnya syariat Islam mendidik kita bersatu padu. Contohnya, amalan berbuka dan bersahur yang dilakukan mempunyai kelebihan dalam menyatupadukan umat Islam. Ini dibuktikan apabila azan Maghrib berkumandang, ia menandakan waktu berbuka umat Islam. 

Indahnya ia dilakukan serentak buat umat Islam yang berpuasa pada hari itu. Uniknya ia juga berlaku pada waktu sahur, apabila azan Subuh berkumandang menandakan bermulanya ibadah puasa dan diharamkan buat umat Islam melakukan perkara yang membatalkan puasa. 

Seperkara lagi, wujudnya unsur persamaan daripada rasa menahan lapar dan dahaga yang dialami setiap individu muslim yang berpuasa. Ia merangkumi orang kaya, golongan pertengahan apatah orang miskin dan fakir. 

Ia tidak berlaku pada bulan lain selain Ramadan kerana yang kaya dan berkemampuan menahan diri daripada makan minum, begitu juga golongan fakir serta miskin yang diumpamakan ‘kais pagi makan pagi kais petang makan petang’. Ini unsur persamaan yang diterapkan namun tidak ramai menyedari hakikatnya. 

Solat sunat Tarawih dikhususkan sempena Ramadan al-Mubarak yang dilaksanakan secara berjemaah selepas solat Isyak mampu menjadi medium terbaik untuk membentuk perpaduan dan persamaan sesama Muslim. Ganjarannya 27 darjat berdasarkan hadis Rasulullah SAW. 

Perkasa ukhuwah ummah 

Inilah kekuatan dan keampuhan perpaduan yang dianjurkan syarak dalam memperkasakan ukhuwah Islam melalui pensyariatan ibadah tertentu. Menariknya ia banyak dapat dirungkai pada Ramadan yang mulia ini. 

Ini tidak termasuk tazkirah Ramadan yang disampaikan ilmuwan Islam untuk menjadi santapan rohani dan pengukuhan akhlak sempena meraikan kedatangan bulan penuh keberkatan. 

Benarlah seperti apa yang digambarkan Baginda dalam sabdanya: “Apabila datangnya bulan Ramadan, akan dibukakan pintu-pintu syurga, ditutupkan pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan.” (Riwayat Muslim) 

Inilah peluang terbaik buat umat Islam untuk berdoa dan bermunajat kepada Allah memohon kesejahteraan diri, keluarga, masyarakat dan negara. 

Harapan yang diletakkan dalam meraikan kedatangan bulan mulia ini ialah tercapainya satu titik persamaan buat umat Islam secara menyeluruh melalui hikmah dan fadilat yang terkandung dalam setiap ibadat dianjurkan oleh syariat Islam sempena Ramadan. 





Dr Mohamad Nali Omar/API/KUIN