Saturday, 12 March 2016

ANAK BOLEH GEMBIRAKAN ROH IBU BAPA


Kunjung mengunjungi antara cara boleh mengeratkan silaturahim-Gambar hiasan

Kelompok manusia yang kufur kepada Allah SWT, siang dan malam yang dilalui sepanjang kehidupannya di alam kubur adalah sangat menggerunkan. Firman Allah SWT bermaksud: "Mereka didedahkan kepada bahang api neraka pada waktu pagi dan petang (semasa mereka berada di alam barzakh) dan pada hari berikutnya kiamat (diperintahkan kepada malaikat): Masukkanlah Firaun dan pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang seberat-beratnya!" (Surah al-Ghafir, ayat 46)

Huzair Ibnu Abi Syaibah menyatakan, roh Firaun berserta orang kafir itu sentiasa berada di dalam perut burung berwarna hitam, berulang-alik ke neraka dan diperlihatkan keadaan kepada dirinya, setiap hari pada waktu siang dan malam. 

Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi slot Mau'izati di IKIMfm setiap Khamis, jam 5.15 petang, berkata perkara kedua yang diperlihatkan ialah amalan orang yang hidup kepada roh orang Mukmin yang ketika itu sedang berada di Illiyeen melalui saat indah dalam keadaan tertentu. 

Berdasarkan hadis daripada Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya amal kalian itu diperlihatkan kepada kaum kerabat dan keluarga kalian yang sudah meninggal dunia. Jika amal itu baik, mereka akan berasa gembira, dan jika sebaliknya mereka akan memohon: Ya Allah jangan kamu matikan mereka sehingga Kamu berikan petunjuk kepada mereka." 

Elak khianati orang meninggal dunia 

Diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dalam kitab Nawadir al-Usul, Abdul Ghafur Ibnu Abdul Aziz menuturkan bahawa ayahnya pernah menerima riwayat daripada datuknya dan menceritakan Rasulullah SAW bersabda: "Amal perbuatan itu diperlihatkan pada hari Isnin dan Khamis kepada Allah, manakala amalan nabi serta ibu bapa mereka diperlihatkan pada Jumaat." 

Baginda SAW juga berpesan supaya jangan sekali-kali melakukan khianat kepada orang yang telah meninggal dunia dengan amalan buruk dan keji. Alangkah sedih dan kecewanya orang yang meninggal dunia apabila melihat tingkah laku kita yang melanggar syariat Allah SWT. 

Selain itu, antara perkara yang dapat membantu kita menjaga dan menghormati mereka yang telah meninggal dunia ialah dengan menyambungkan silaturahim. 

Ibnu al-Mubarak meriwayatkan daripada Uthman Ibn Abdillah Ibn Ash bahawa Said bin Jubir pernah berkata kepadanya: "Mintalah izin kepada puteri saudaraku, dia adalah isteri Uthman, puteri Amru bin Ash. Kemudian dia berangkat dan meminta izin supaya dapat menemuinya. Setelah dia masuk, kemudian bertanya bagaimana perlakuan suaminya terhadap dirinya, sama ada baik atau tidak. Lalu dijawab: "Ya, dia sentiasa berbuat baik kepadaku. Kemudian dia berpesan: Uthman, berbuat baiklah kepadanya (isterinya) kerana kamu tidak berbuat sesuatu kepadanya melainkan ia akan diketahui oleh Amru bin Ash." Pada ketika itu Amru bin Ash sudah meninggal dunia. Lalu menantunya bertanya: "Apakah orang yang meninggal dunia dapat mendengar mengenai orang yang masih hidup? Dia menjawab: "Ya. Tidaklah seorang yang sudah meninggal dan memiliki keluarga terdekat melainkan akan datang pada amalnya perbuatan keluarga yang masih hidup. Jika dia berbuat baik, dia akan merasa senang. Jika melakukan keburukan, dia akan berdukacita." 

Bunyi roh berterbangan seperti lebah 

Rasulullah SAW menceritakan keadaan roh akan datang menziarahi sahabatnya yang telah meninggal dunia. Di dalam keadaan roh yang kesunyian ketika berada di alam kubur, pada waktu itu mula terdengar bunyi roh yang berterbangan, seumpama bunyi lebah. 

Apabila disoal dari mana datangnya bunyi itu, malaikat menjawab itulah bunyi roh yang telah meninggal dunia sebelum ini. Sayup-sayup kedengaran dari jauh, roh itu berbicara sesama mereka dan menyatakan bahawa lebih baik roh yang baharu meninggal dunia itu dibiarkan beristirahat dahulu kerana dia mungkin keletihan. 

Namun roh itu berkata, dia tidak letih malah dengan bangganya memperlihatkan kain kapan dipakaikan kepadanya oleh anaknya yang salih ketika menyempurnakan jenazahnya. Sesungguhnya setiap mayat itu bergembira dengan kain kapan yang dipakaikan kepadanya. 

Kemudian roh yang lain akan datang bertanya keadaan anak mereka, sama ada mereka datang menziarahi ketika hidupnya. Jika roh yang baharu meninggal dunia itu menjawab dia tidak pernah diziarahi oleh anak dan kaum keluarga setelah ketiadaan mereka, roh itu akan berasa sangat sedih kerana mungkin sahaja anaknya tidak lagi menyambung silaturahim dan dihumban ke dalam neraka Hawiyah. 

Apabila timbul persoalan bagaimana ingin melakukan kebaikan kepada mereka yang telah meninggal dunia terutamanya ibu bapa, suami atau isteri, anak serta keluarga terdekat kita, Abu Usaid al-Saidi berkata, "Ada seorang yang datang berjumpa dengan Rasulullah SAW dan berkata: "Ya Rasulullah, apakah masih mungkin saya berbuat baik kepada kedua orang tua saya yang telah meninggal dunia, kerana saya tidak tahu bagaimanakah keadaan yang dilalui mereka setiap hari. Baginda menjawab: "Ya, ada empat cara yang boleh kamu terus lakukan walaupun mereka telah meninggal dunia. Pertama, jangan tinggalkan di dalam doa kamu supaya sentiasa menyebut mengenai mereka. Kedua, tunaikanlah janji yang ingin dipenuhi oleh mereka ketika hidup dahulu, tetapi tidak berkesempatan untuk melakukannya. Pahala daripada amalan perbuatan baik yang dilakukan akan sampai pahalanya kepada mereka yang sudah meninggal dunia. Ketiga, muliakanlah sahabat dan teman yang baik terhadap arwah sewaktu dia hidup dahulu, kerana dengan berbuat demikian, Allah akan tunjukkan amalan itu kepada arwah. Keempat, sambung silaturahim yang menjadikan kamu dan dia tidak mendapat kasih sayang, melainkan daripada kedua-duanya."





Credit: Fairuz Noordin

Thursday, 10 March 2016

GUNA KECERDIKAN AKAL SUSUN ATUR KEHIDUPAN


Mengingati Allah SWT dengan zikrullah dapat membersihkan hati dan tidak terpedaya dengan bisikan syaitan. - Gambar hiasan 

Hikmah adalah kebijaksanaan yang tertinggi merujuk kepada kejernihan akal dan kebersihan hati seseorang Mukmin yang selalu meletakkan Allah SWT sebagai keutamaan dalam hidup. Bahkan hikmah itu sendiri akan diperoleh bukan sahaja melalui ilmu tetapi pengalaman serta pengajaran dalam kehidupan. 

Melalui rancangan Islam Itu Indah yang bersiaran setiap Rabu, jam 10.30 pagi di IKIMfm, Ustaz Pahrol Mohd Juoi menjelaskan, seorang Mukmin mempunyai hikmah yang tinggi dalam diri akan menggunakan kecerdikan akal untuk menyusun atur kehidupan. 

Andai berdepan kegagalan dalam sesuatu usaha yang dilakukan, ia dapat menerima kegagalan itu sebagai pengajaran untuk mencari hikmah tersembunyi di sebalik kejadian yang berlaku. 

Sesungguhnya nilai hikmah bagi seorang Mukmin akan dimatangkan oleh pengalaman hidup. Sebab itu orang yang lebih berusia atau lebih dahulu 'makan garam' dalam hidup akan lebih jelas hikmah pertimbangan terhadap sesuatu keadaan dalam hidup mereka. 

Berbanding orang muda yang kurang matang atau pengalaman, mereka kurang berhikmah dalam mendepani pelbagai situasi kehidupan. Justeru, dalam perjalanan hidup menuju kehidupan lebih bermakna, seorang Mukmin hendaklah mengisi dirinya dengan kematangan. 

Memiliki akal fikiran yang berhikmah, keluasan hati serta kekuatan jiwa yang kental supaya setiap suka duka atau pahit manis menyulami kehidupan ini sentiasa dipandu oleh perbuatan membawa kepada kebaikan. 

Terdidik hadapi kesulitan 

Manusia yang melihat kesulitan atau kekurangan dalam kehidupan dari sudut pandang penuh hikmah akan selalu terdidik di hatinya rasa ikhlas dan sabar. Begitu juga seorang Mukmin yang sabar dan reda menempuh ujian serta takdir yang menyakitkan, akan dapat melihat betapa hebatnya perancangan Allah SWT. Pada setiap perkara yang menyakitkan itu akan disulami kemanisan di hujungnya. 

Seorang yang berhikmah mempunyai kejernihan hati suci murni. Ia diperoleh melalui hubungan pertalian dengan pemilik alam iaitu Allah SWT. Manusia yang hati dan bibirnya sentiasa dibasahi ungkapan zikrullah kepada Allah SWT mempunyai ketenangan luar biasa, bahkan jiwanya melihat seluruh kehidupan dari sudut pandangan yang baik. 

Kejernihan hati pastinya tidak akan diperoleh tanpa latihan berterusan membina pertalian hubungan dengan Allah SWT melalui amal ibadah kepada-Nya. Begitu juga hati yang jernih dan bersih hasil solat taubat nasuha kepada-Nya serta tidak sekali-kali mendekati perkara yang dilarang Allah SWT. 

Nabi Muhamad SAW beristighfar sekurang-kurangnya sebanyak 70 kali sehari kepada Allah SWT kerana takut azab Allah SWT dan mahu meletakkan diri Baginda dalam keadaan sentiasa mengingati Allah SWT. 

Sebagai Mukmin yang tidak lari daripada melakukan kesilapan, mengingati Allah SWT dengan zikrullah dan selawat kepada Baginda Rasulullah SAW dapat membersihkan hati serta menyelamatkan diri supaya tidak terpedaya dengan bisikan syaitan yang sentiasa menyesatkan manusia. 

Hikmah juga terdapat pada akal fikiran yang sihat dan cerdas. Seorang yang akalnya bijaksana, waras dan matang akan memberikan pandangan yang bermanfaat kepada orang di sekeliling. Akal yang tidak cerdik atau tidak matang tidak mampu mendorong seseorang bertindak secara hikmah. 

Tingkat kualiti diri 

Selain itu, setiap Mukmin disarankan untuk mempertingkatkan kualiti diri melalui sudut pandangan yang positif. Kekuatan dalaman akan diterjemahkan melalui perbuatan dan kata-kata yang baik. Bersangka baik dengan Allah SWT dan sesama manusia akan membina kekuatan diri luaran serta dalaman. 

Pesanan Saidina Umar al-Khattab: "Jangan kamu membuat sangkaan terhadap satu kalimat yang keluar daripada seorang saudara Mukminmu (sangkaan) keburukan, selagi kamu masih ada cara untuk meletakkannya di tempat yang baik." 

Allah SWT mengingatkan supaya tidak bersangka buruk kerana perbuatan itu tidak memberi kebaikan kepada manusia. Firman-Nya yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, jauhilah daripada banyak berprasangka buruk. Sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. (Oleh itu, patuhilah larangan itu) dan bertakwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani." (Surah al- Hujurat, ayat 12) 

Sesungguhnya Allah SWT Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang sentiasa membuka pintu taubat kepada hamba yang melakukan kesilapan dan kesalahan. Berdoalah kepada Allah SWT tanpa rasa putus asa kerana Allah SWT sentiasa membuka pintu rahmat untuk setiap hamba-Nya. 

Credit: Nik Hasnah Ismail