NAFSU itu diibaratkan seperti kuda liar. Kuda liar perlu dijinakkan dengan latihan. Menunggang kuda liar boleh menyebabkan penunggang tersungkur. Melatih kuda liar ibarat menjinakkan nafsu diri. Antara batas nafsul amarah ke nafsul lawamah sehingga terbina nafsul mutmainnah, ini menuntut proses dan jihad.
Ramadan diibarat madrasah mendidik nafsu dan hati. Walaupun syaitan dan iblis dirantai tetapi nafsu manusia masih bebas. Mengekang hawa nafsu dan mendidik hati amat penting supaya madrasah Ramadan membangun jiwa muttaqeen. Jiwa muttaqeen adalah jiwa yang terpedoman dengan rasa ubudiyyah yang tinggi dengan Allah.
Rasa ubudiyyah (keterikatan dengan Allah) sangat penting bagi seseorang mukmin kerana pancang hubungan dengan Allah menjadikan kita hamba yang taat dan khalifah yang bermanfaat . Hamba yang taat mampu mengawal nafsu dan mendidik hati supaya ada rasa kepatuhan, ketaatan, ketundukan dan keakuran terhadap suruhan Allah.
Khalifah yang bermanfaat terpancar dari jiwa kehambaan supaya apa saja yang dilakukan dalam hidup ini berada dalam lingkungan ibadullah dan ibadurrahman iaitu memiliki ketaatan kepada Allah dan kasih sayang yang tinggi terhadap orang lain.
Ramadan menyediakan para mukmin ruang untuk melakukan muhasabah dan taubat. Muhasabah dan taubat menjadi sesuatu yang amat penting kerana kita ini adalah manusia berdosa dan mohon keampunan kepada Allah adalah suatu tuntutan.
Ego diri yang sombong dan degil hati yang keras harus dijinakkan supaya kembali kepada fitrah diri yang menuntut supaya manusia menginsafi bahawa kudrat upaya yang ada pada kita adalah terbatas dan Allahlah satu-satunya yang Maha Perkasa atas segala.
Apabila kita berlapar hawa nafsu kita lapar sama. Tetapi bagaimana kelaparan itu membawa kita menginsafi kelompok yang tidak bernasib golongan miskin yang minta perhatian supaya makna kemanusiaan terpancar dan mendorong kita mengerti erti kesusahan dan kepayahan.
Tarawih yang kita kerjakan mendidik hati supaya berjiwa rukuk dan sujud dan sentiasa terikat dengan jamaah. Jiwa rukuk dan sujud membawa keinsafan bahawa kita adalah hamba-Nya dan keterikatan dalam jamaah adalah penting untuk membangun ummah.
Tadarus yang kita lakukan bakal mendekatkan kita dengan al-Quran kerana Ramadan dan al-Quran terhubung erat supaya ajaran al-Quran menjadi pedoman hidup kita dan hubungan terhadap yang ghaib menjadi dekat dan rapat.
Sunat tahajjud dan qiyam yang kita kerjakan lambang kehampiran dan kedekatan kita dengan Allah. Ini adalah proses mendidik nafsu dan hati supaya memiliki kepatuhan yang tinggi terhadap suruhan dan pantang larang Allah. Inilah kunci yang menjadikan manusia sentiasa berjiwa tawaduk terhadap Allah dan juga umat manusia dan mampu mengawal diri dari melakukan sesuatu yang menyalahi.
Kita tunaikan zakat fitrah lambang membersihkan harta dan mendekati kelompok asnaf. Kelompok ini perlu didekati dengan ikhlas lantaran Islam mendidik kita bertimbang rasa dan berlaku adil terhadap yang lain.
Aidilfitri yang bakal disambut lambang titik kemenangan dalam perjalanan rohaniah meningkatkan kualiti diri supaya tidak terjebak dengan perangkap hawa nafsu dan memiliki ubudiyyah tinggi terhadap pencipta dan mampu mengembalikan diri sebagai manusia fitrah.
Menjadi manusia fitrah kembali adalah impian melalui madrasah Ramadan dengan segala sukatannya dan ingin lahir sebagai insan soleh yang mampu mendamba diri untuk kehidupan setahun lagi supaya memiliki kualiti mutmainnah dan dapat menjalani hidup dengan aman dan cekal.
Inilah maksud Ramadan dan Aidilfitri yang hakiki supaya islah diri terjadi, transformasi amal berlaku dan kita bakal mampu berperanan untuk bulan-bulan seterusnya sehinggalah Ramadan datang lagi.
Kesan Ramadan yang penuh maknawi ini adalah matlamat ibadah ini dilakukan supaya barakah dari Allah diterima dan manfaat kepada yang lain dirasai. Bila nafsu dapat dijinakkan dan hati dapat digilap dengan keinsafan bahawa kita adalah dicipta dan tertakluk sebagai hamba dan khalifah, selagi itulah kesan ubudiyyah terhadap-Nya akan sentiasa berlaku.
Ibarat kuda yang liar setelah dijinakkan berupaya memacu perjalanan diri dengan tangkas dan patuh kepada tali kekang dan tuannya supaya perjalanan diri dan kehidupan sentiasa terpedoman dan terkawal. Itulah hikmah Ramadan dan Aidilfitri.
Credit: TO'KI