Thursday, 10 April 2014

'Usah tunggu usia senja untuk bertaubat'

Pengampunan Tuhan sentiasa terbuka untuk kembali ke jalan yang benar

Sedarkah kita betapa rahmat dan maghfirah Allah amat luas kepada semua makhluk-Nya. Malah, ketika mula menciptakan sekalian makhluk, Allah SWT menyediakan limpahan rahmat yang meliputi semua makhluk-Nya.


Rahmat-Nya sentiasa mendahului kemurkaan-Nya. Inilah yang dinyatakan dalam hadis riwayat Imam al Bukhari, Rasulullah SAW bersabda: “Tatkala Allah SWT mentakdirkan penciptaan makhluk-Nya, Dia telah mencatatkan di dalam kitab-Nya yang berada di sisi-Nya di atas Arasy: Bahawa sesungguhnya Rahmat-Ku meliputi kemurkaan-Ku.” 

Subhanallah, lihatlah betapa besarnya kasih Allah SWT sehingga Dia memperuntukkan rahmat-Nya mengatasi kemurkaan-Nya kepada hamba-hamba-Nya. Semua ini diperuntukkan supaya ruang keselamatan dan kesejahteraan di dunia dan akhirat terbuka luas untuk kita. 

Ini membolehkan hamba-Nya yang terlanjur melakukan dosa dan maksiat dapat membersihkan dirinya semula dengan bertaubat serta beristighfar. Sesungguhnya semua perlakuan dosa pastinya akan mengundang rasa resah dan gelisah dalam jiwa, hilang ketenangan akibat setiap titik hitam yang memalit noda.

Maka dengan rahmat-Nya juga, Allah SWT menjanjikan pengampunan segala jenis dosa bertujuan untuk mengembalikan kebahagiaan hamba-Nya di dunia dan kesejahteraan di akhirat kelak.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah juga Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah az-Zumar, ayat 53). 

Di sebalik rahmat dan pengampunan Allah SWT yang luas ini apakah pasti termasuk dalam kalangan hamba yang mendapat rahmat-Nya. Ramai yang gagal menghayati kurniaan ini menyebabkan mereka terus melakukan dosa di samping mengharapkan keampunan. 

Taubat sering ditangguh dan akhirnya dilupakan terus. Ada beranggapan taubat hanya perlu dilakukan apabila menjelang usia senja. Persoalannya, apakah ada jaminan setiap kita hanya akan mati setelah menjangkau tua? Bukankah saban hari kita mendapat berita tentang kematian? 

Ingatlah, tanggapan sebeginilah pasti mengundang kecelakaan. Kelalaian dan maksiat dilakukan secara berterusan sepanjang hidup dan akhirnya mati dalam keadaan yang sangat menyedihkan tanpa sempat bertaubat.

Tambah malang tidak mendapat pengampunan-Nya. Bayangkanlah, apakah akibat yang akan ditanggung oleh seseorang itu jika menemui ajal dalam keadaan begini?

Sebenarnya luas pengampunan dan rahmat Allah ini bertujuan memberi peluang kepada kita untuk selalu kembali kepada-Nya dengan bertaubat di atas segala dosa yang dilakukan. Dia juga melarang kita berputus asa daripada rahmat-Nya.

Apa juga dosa dan maksiat yang kita lakukan, Allah sudi memberikan pengampunan. Ingatlah, selagi kita masih bernafas, peluang dan pilihan sentiasa berada di tangan kita. Hargailah kurniaan Allah yang Maha Pengasih ini. 

Bersegeralah bertaubat daripada segala dosa tanpa bertangguh. Meskipun ruang pengampunan ini luas namun ia tetap ada hadnya. Gunakanlah kesempatan masa yang ada ini dengan sebaiknya.

Imam Al-Tirmizi meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah masih menerima taubat hamba-Nya selagi nyawanya belum sampai di kerongkong.”

Kita harus memenuhi semua syarat taubat iaitu tinggalkan segera perbuatan dosa, menyesali kesilapan lalu dan berazam untuk tidak mengulanginya. Jika berkaitan dengan hak manusia, kembalikan hak mereka. 

Semua ini perlu dilakukan untuk menjamin keampunan Allah SWT dan memberikan ketenangan di jiwa kita.

Haruslah yakin dengan rahmat keampunan yang Allah SWT janjikan. Jangan sesekali berputus asa daripada rahmat Allah kerana ia adalah pintu utama syaitan membisikkan kekecewaan yang mendorong manusia terus kekal bergelumang dengan dosa tanpa bertaubat.

No comments:

Post a Comment