Saturday, 12 April 2014

Musibah sebagai ujian ke atas insan terpilih

Orang yang dapat melihat dengan mata hati hikmah di sebalik musibah yang menimpa, akan tetap bersyukur dengan segala kurniaan Allah SWT. Mereka juga yakin dengan setiap kehilangan harta mahupun nyawa tersayang, adalah peringatan Allah SWT supaya kita tidak terus leka dengan dunia. 

Kerugian di dunia tidak memberi kesan kepada mereka, tetapi kerugian di akhirat adalah kerugian yang sebenar. Justeru, ujian mengajar kita menjadi orang yang lebih bersabar serta meneguhkan pendirian menjadi insan lebih kuat. 


Apalah sangat kehilangan mahupun ujian yang kita terima jika dibandingkan dengan apa yang ditempuhi nabi demi mengembangkan agama Islam tercinta. Baginda SAW diuji dengan kehilangan dua insan paling dikasihi, isteri Baginda Khadijah dan bapa saudaranya, Abu Talib. 


Abu Talib ketika hayatnya menjadi pelindung dan pembela Rasulullah SAW daripada kecaman kafir Quraisy manakala Khadijah adalah kurniaan teragung buat Rasulullah SAW. Sebagai orang yang paling dekat, yang pertama memeluk agama Islam dan sentiasa berdiri teguh di sebalik perjuangan dakwah Rasulullah SAW. 

Walaupun kehilangan dua insan tercinta, beliau tetap meneruskan usaha dakwah sehinggalah agama Islam kini berkembang di serata dunia. 


Dunia bersifat sementara 

Oleh itu, kita perlu sedar segala apa yang berada di dunia hanyalah bersifat sementara dan pinjaman daripada Allah SWT. Satu saat nanti, segala bentuk harta, kekayaan mahupun keluarga pasti akan kembali kepada Yang Maha Pencipta. 

Kita juga perlu bersyukur di setiap ujian yang melanda kerana kita adalah insan terpilih. Ujian juga adalah bukti tanda kasih sayang dan rahmat Allah kepada hamba-Nya. Hilangkan dukacita ujian mahupun musibah dengan mendekatkan diri kepada Allah SWT. 


Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar. (Iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jugalah kami kembali. Mereka itu ialah orang yang dilimpahi dengan pelbagai kebaikan daripada Tuhan mereka serta rahmat-Nya dan mereka itulah yang mendapat petunjuk hidayah-Nya.” (Surah al-Baqarah, ayat 156-157).



Credit: Ummi Amirah Hamid

No comments:

Post a Comment