Tuesday, 29 April 2014

Bertuah terlibat dalam arena dakwah



HIDAYAH itu milik Allah. Ia akan dikurniakan buat hamba pilihan-Nya. Walaupun mungkin pada awalnya, individu tersebut adalah sejahat-jahat manusia, namun apabila cahaya keimanan meresap ke dalam jiwa, tiada siapa mampu menghalangnya memilih akidah yang suci.
Itulah yang dialami oleh pendakwah tersohor dari Boston, Amerika Syarikat (AS), Imam Suhaib Webb yang menemui sinar Islam pada usia 20 tahun.
Malah, Suhaib sangat bertuah kerana berpeluang melibatkan diri dalam arena dakwah secara menyeluruh berbanding dengan mereka yang memang dilahirkan sebagai seorang Muslim.
Di Malaysia, figura hebat ini juga semakin dikenali sejak mengacarakan rancangan berbentuk keagamaan, Reflections di saluran TV AlHijrah bermula tahun 2011.
Ironinya, Suhaib dilahirkan di Oklahoma, AS dalam sebuah keluarga yang berpegang teguh pada ajaran Kristian Protestan sementelah datuknya merupakan seorang paderi.
Bagaimanapun, pada usia 14 tahun, beliau hilang minat terhadap agama yang dianuti. Keyakinannya juga semakin pudar dalam kehidupan beragama dan situasi itu disifatkan satu krisis kerohanian dalam diri.
Jiwa mudanya mula memberontak sekali gus melakukan pelbagai perkara yang teruk selepas berkawan dengan kumpulan remaja samseng dan liar.
Menurut Suhaib, jika diimbas kehidupan lampaunya, ia hanya dipenuhi dengan sejarah hitam yang sebolehnya ingin dipadamkan dari kotak fikirannya.
Ini kerana zaman remajanya dihiasi dengan pelbagai aktiviti liar. Daripada minum arak, pergaulan bebas antara lelaki dan wanita hinggalah terlibat dengan gejala dadah.
"Pada waktu yang sama, saya juga berkecimpung dalam dunia hiburan sebagai seorang deejay dan menjadi salah seorang ahli dalam kumpulan hip hop AK Assault.
"Jujurnya kehidupan saya langsung tidak terurus. Sebagai seorang manusia di sisi Tuhan, terlalu banyak dosa yang telah saya lakukan. Memang saya sangat menyesal dengan corak kehidupan tersebut," cerita Suhaib ketika ditemui sewaktu rakaman rancangan Reflections musim ke-16 dan 17 di Kompleks Penyiaran TV AlHijrah, Kuala Lumpur baru-baru ini.
SIAPA sangka lelaki yang dilahirkan dengan nama William Webb ini akhirnya memilih Islam sebagai jalan hidupnya.



Hijrah
Memiliki bentuk tubuh yang tegap dan sasa dengan ketinggian mencecah hampir dua meter, sekali pandang Suhaib kelihatan garang dengan riak wajah yang agak serius.
Malah, sukar untuk melihat senyuman terukir di bibirnya melainkan hanya sekali dua dalam pertemuan tersebut rentetan jenaka spontannya.
Setiap persoalan yang ditanya pula, pasti dijawab dengan ringkas dan seadanya. Dalam erti kata lain, tidak meleret-leret.
Pada hemat penulis, keperibadian itu mungkin disebabkan sisi gelap yang pernah dilalui sekali gus membuatkan beliau lebih berhati-hati dalam setiap perlakuan dan tutur bicara.
Tiga tahun sebelum memeluk Islam, Suhaib terlebih dahulu telah membaca al-Quran yang dihadiahkan oleh seorang kenalan dalam industri seni.
Melalui kitab suci itulah, beliau mula menyedari betapa pentingnya kehidupan beragama yang akan memandu manusia ke jalan yang diredai.
Logik al-Quran
"Dengan membaca al-Quran dan terjemahannya, ia memberi saya banyak pengajaran. Ia mengajar saya untuk menghormati pelbagai aspek dalam kehidupan dan mempelajari tentang tauhid iaitu keesaan Allah.
"Paling penting isi kandungan al-Quran memberi penjelasan yang sangat logik dalam setiap perkara," ujarnya yang memberitahu ibu bapanya risau apabila mengetahui beliau memeluk Islam kerana ia sering dikaitkan dengan keganasan.
MENGELOLAKAN rancangan Reflections di TV AlHijrah sejak tahun 2011 telah melonjakkan populariti Suhaib dalam arena dakwah di Malaysia.



Namun, akhirnya keluarga Suhaib menerima agama Islam yang dianuti dan hubungan yang terjalin antara mereka masih baik hingga sekarang.
Sebaik memeluk Islam, Suhaib meninggalkan kerjayanya sebagai deejay dan kemudian melanjutkan pengajian di University of Central Oklahoma dalam bidang pendidikan.
Tidak ketinggalan, beliau turut mengambil inisiatif mendalami ajaran Islam dan mempelajari bahasa Arab dengan seorang ulama dari Senegal.
Bermula dari situ, Suhaib telah dilantik mengetuai pusat komuniti Islam, The Islamic Society of Greater Oklahoma City dan menjadi imam di sana.
Photo: Dallas! Imam Suhaib will be delivering the 1st Khutba at 1pm and an open Friday program for the community at 8pm, both at Plano Masjid. All of this followed by Ella Collins Institute's new class Al Munfarijah - The Reliever on Saturday!
Jelas Suhaib, menjadi imam tidak pernah terfikir olehnya kerana cita-cita awalnya hanya untuk bergelar seorang guru dengan ijazah pendidikan yang dimiliki.
Tambahan pula, usianya yang masih muda dan baru memeluk Islam menjadi faktor beliau bimbang tidak mampu melaksanakan amanah yang diberikan.
"Namun, atas permintaan guru agama, saya terpaksa akur. Kini sudah hampir 12 tahun saya menjadi imam di sana. Melalui pengalaman yang ada, saya percaya golongan muda seharusnya diberi peluang menjadi imam.
"Jangan bimbang jika anda melakukan kesilapan kerana ia memberi kita pengajaran yang bermakna. Malah kalau hendak berjaya, kita perlu gagal dahulu," tuturnya.
Pada tahun 2004, Suhaib sekali lagi melanjutkan pengajian dalam bidang syariah di Universiti Al-Azhar, Mesir. Selama enam tahun berada di Mesir, beliau turut belajar menghafal al-Quran dan mempelajari kaedah bacaan secara bertaranum dari Sheikh Abu Mustafa, seorang ulama terkenal di Mekah.
Ilmu yang dimiliki Suhaib tidak disimpan seorang diri sebaliknya disampaikan kepada komuniti Islam di Amerika Syarikat dan juga United Kingdom melalui tiket sebagai pendakwah bebas.
Photo: #ArtMonday Standing  between two suns.
HUBUNGAN Suhaib bersama komuniti Islam di Boston sentiasa baik lantaran sikapnya yang sering prihatin dengan kehidupan saudara seagama.



Kini, Suhaib merupakan imam di Masjid Boston di bawah kendalian Islamic Society of Bolton Culture Centre (ISBCC), antara komuniti Islam terbesar di AS.
Beliau turut mengendalikan sebuah laman web Suhaib Webb - Your Virtual Mosque yang boleh dilayari di www.suhaibwebb.com sebagai salah satu usaha dakwah kepada masyarakat.
Ditanya mengenai penglibatannya dalam bidang seni, Suhaib berkata, dia masih terlibat tetapi secara suka-suka seperti menonton konsert Ramli Sarip di Malaysia.
"Bidang seni merupakan satu cabang dakwah yang boleh merapatkan sesama manusia. Malah, seni juga boleh memainkan peranan penting dalam menyebarkan agama Islam atau dalam erti kata lain dakwah melalui seni," ungkapnya.

No comments:

Post a Comment