Wednesday, 30 April 2014

Persahabatan yang sebenar

SAHABAT merupakan insan yang selalu berdampingan dengan kita. Teman, rakan, kawan atau apa jua istilahnya, ia dapat difahami sebagai sesuatu yang menjadi lumrah dalam kehidupan umat manusia. 

Sebagai sebuah agama yang lengkap lagi sempurna, Islam turut mengajar manusia tentang sahabat dan nilai-nilai penting yang perlu ada dalam sebuah persahabatan.

Sejarah bangsa terdahulu menyaksikan dengan jelas bagaimana Islam membawa nilai persahabatan yang sebenar. Dengan hadirnya Islam, permusuhan antara kaum Aus dan Khazraj di Madinah yang terjadi sekian lama berjaya dihentikan. Bahkan, bukan sekadar itu, mereka akhirnya bersahabat baik seperti saudara kandung dan berjuang bersama-sama menegakkan agama Islam ketika itu.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersepadu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. (Ali Imran: 103)

Bagi mereka yang mengamati dengan teliti, tentu akan timbul rasa kagum bagaimana permusuhan yang terjadi sekian lama mampu dihapuskan dengan nilai-nilai Islam. Islam mengajar agar sentiasa menanamkan sifat kasih dan sayang terhadap manusia baik terhadap orang Islam mahupun yang belum Islam.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Kamu akan melihat orang-orang mukmin saling mengasihi, mencintai dan menyayangi bagaikan satu tubuh. Apabila ada salah satu anggota tubuh yang sakit, maka seluruh tubuhnya akan ikut terjaga (tidak boleh tidur) dan panas (turut merasakan sakitnya). (riwayat al-Bukhari)

Islam mengajar manusia agar saling berkasih-sayang dalam kehidupan. Namun nilai ini hanya tinggal teori semata-mata. Umat Islam kini sesama sendiri saling bertelagah dan berpecah belah, seakan-akan sifat kasih-sayang sesama Muslim telah hilang sama sekali.

Sedangkan apabila adanya pertelingkahan, Islam mengajar kita agar saling mendamaikan kedua-dua pihak, bukan menambah api permusuhan. Allah SWT berfirman yang bermaksud: Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat. (al-Hujurat: 10)


Amalan mulia


Kawan menjadi tempat meminta pertolongan dalam urusan kehidupan di dunia ini. Sememangnya sifat tolong-menolong tidak dapat dipisahkan dalam persahabatan kerana ia antara sebab persahabatan itu terjalin dan menjadi kukuh.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa membebaskan seorang mukmin daripada suatu kesusahan dunia, maka Allah akan membebaskannya daripada suatu kesusahan di hari kiamat. Barang siapa memberi kemudahan kepada orang yang berada dalam kesusahan, maka Allah akan memberikan kemudahan di dunia dan akhirat. Barang siapa menutupi aib seorang Muslim, maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Allah akan selalu menolong hamba-Nya selama hamba tersebut menolong saudaranya sesama Muslim. (riwayat Muslim)
Tolong-menolong sememangnya amalan mulia. Namun, Islam hanya membataskan pertolongan kepada manusia dalam hal yang baik sahaja. 

Tidak dibenarkan tolong-menolong dalam perkara maksiat dan keburukan sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Tolong-menolonglah untuk membuat kebaikan dan bertakwa dan janganlah kamu tolong-menolong dalam melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya. (al-Maidah: 2)


Berlapang dada

Tegur-menegur juga penting antara satu dengan yang lain. Hanya kerana seseorang itu merupakan kawan kita, ia tidak bermakna dia terlepas daripada ditegur jika melakukan kesalahan. Menegur atau mengkritik bukanlah bermakna kita mahu bermusuhan dengannya. Namun atas dasar persahabatan dan inginkan kebaikan buatnya, maka kesalahan yang dilakukan hendaklah ditegur, dikritik dan dibaiki dengan baik lagi berhikmah.

Rasulullah S.AW bersabda yang bermaksud: Tolonglah saudaramu yang zalim atau yang dizalimi. Salah seorang sahabat bertanya, Wahai Rasulullah, Kami boleh menolong orang yang dizalimi tapi bagaimana mahu menolong orang yang zalim? Baginda menjawab, Menghalangnya agar tidak melakukan kezaliman. Itulah cara untuk menolongnya. (riwayat al-Bukhari)

Hari ini, menjadi satu kebiasaan jika keburukan yang dilakukan kawan dibiarkan begitu sahaja. Serba salah untuk menegur kawan sendiri kerana bimbang berkecil hati dengan teguran tersebut.

Seharusnya seorang kawan yang baik, hendaklah berlapang dada dan menerima teguran yang diberikan untuk berfikir dan memperbaiki diri. Bukan memarahi atau memandang serong apabila ditegur oleh rakan.
Semoga kita dapat memperbaiki nilai-nilai persahabatan agar ia berkekalan dengan lebih baik. Insya-Allah.






Credit: MOHAMAD DHIYAUDDIN ABDUL KADIR

No comments:

Post a Comment