Thursday, 10 April 2014

Golongan termasuk dalam seksaan kubur

Seksaan kubur bukan sekadar omong kosong. Sebaliknya seksaan kubur itu amat pasti wujud. Allah SWT berfirman yang bermaksud: 

“Alangkah dahsyatnya sekiranya kamu melihat pada waktu orang zalim (berada) dalam tekanan Sakaratulmaut, sedang malaikat memukul dengan tangannya (sambil berkata) “Keluarkanlah nyawamu.” Di hari ini kamu dibalas dengan seksaan yang amat hina kerana kamu selalu mengatakan terhadap Allah (perkataan) yang tidak benar dan (kerana) kamu selalu menyombongkan diri terhadap ayat-ayat-Nya.” (Surah al-An’am, ayat 93). 


Alam barzakh membataskan manusia antara dunia dengan akhirat. 


Mereka yang diseksa di dalam kubur adalah berpunca daripada kebodohan mereka kepada Allah, mensia-siakan perintah-Nya dan membuat maksiat. 

Allah tidak akan menyeksa mereka yang mencintai-Nya, menunaikan perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Seksaan kubur adalah kemurkaan Allah. Sesiapa yang dimurkai dan dibenci Allah tetapi tidak bertaubat dan mati dalam keadaan itu, pasti akan menerima seksaan kubur. 

Rasulullah SAW pernah melihat dua lelaki diseksa di alam barzakh. Yang pertama kerana lelaki itu gemar mengadu domba, manakala yang kedua adalah kerana tidak bersuci selepas buang air kecil. 

Golongan dapat seksaan kubur 

Mereka yang akan turut diseksa ialah pendusta, gemar menyebut keburukan orang lain, bersaksi palsu, melemparkan tuduhan ke atas wanita suci, mengajak manusia melakukan perbuatan bidaah, mengatakan atas nama Allah dan Rasulullah SAW mengenai apa yang sebenarnya tidak diketahuinya, memakan riba, memakan harta anak yatim, minum arak, berzina, meliwat, penipu, memakan riba dan seumpamanya. 

Selain itu, mereka yang sengaja melewat-lewatkan solat, tidak menunaikan haji sedangkan berkemampuan, tidak menjaga dirinya melalui ucapan, makanan dan langkahan kaki dan memperoleh harta melalui jalan haram akan turut diseksa. 

Turut diseksa adalah mereka yang takbur, gemar memfitnah, mengumpat dan mencela ulama salaf, mendapatkan perkhidmatan perubatan dukun dan tukang tilik. 

Walaupun dari segi luaran, kubur itu hanyalah tanah, di dalamnya ada pelbagai seksaan yang amat dahsyat.

No comments:

Post a Comment