Wednesday, 9 April 2014

Hiasi diri dengan akhlak mulia untuk diteladani

Ikutlah rasmi padi, semakin berisi semakin tunduk. Peribahasa Melayu itu menyentuh pentingnya persoalan akhlak dan adab dalam kehidupan seharian kerana menjadi sunah alam akhlak sebagai sumber pengajaran bagi mereka yang berfikir. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata tempat dalam alam yang terbentang luas ini dan pada diri mereka sendiri, sehingga ia atau Dia adalah benar.” (Surah al-Fusilat, ayat 53).


Ibnu Maskawih dalam Tahzibul Akhlak, menyatakan akhlak adalah fitrah perbuatan sedia ada yang lahir dalam diri manusia dan manusia terdorong melakukannya tanpa berfikir terlebih dulu sama ada hendak melakukan atau tidak. 

Islam menyeru umatnya berakhlak dengan akhlak yang baik dan tingkah laku mereka seharusnya mencerminkan contoh terbaik sebagai teladan. 

Mengharungi ombak badai zaman fitnah hari ini, Al-Qaradhawi dalam Fiqh Aulawiyyat, menyeru
Muslimin tetap teguh beramal dengan amal soleh. Ketua Persatuan Ulama Sedunia itu turut menegaskan amal soleh adalah bukti kekuatan beragama dan kekukuhan iman.
 
Haruslah difahami, mengabaikan persoalan menegakkan akhlak dan adab bermakna mengabaikan persoalan membangunkan ketamadunan manusia. Bangunnya sebuah tamadun kerana tingginya nilai akhlak pada kaumnya dan jatuh sebuah tamadun kerana teruknya nilai akhlak kaumnya. 

Memahami hakikat akhlak, ia perlu dilihat menerusi kaca mata Islam serta ditimbang dengan neraca al-Quran dan as-Sunah. Oleh itu, adalah salah apabila terdapat golongan manusia hari ini mentafsir hakikat akhlak dengan berpandukan akal manusia yang terbatas. 

Sesungguhnya agama Islam adalah sebaik-baik akhlak sebagai agama yang selamat dan menyelamatkan. Islam telah berjaya memperkenalkan satu sistem akhlak mulia yang jelas dan bersifat menyeluruh untuk dijadikan panduan. 

Malangnya kebanyakan kita khususnya di negara Barat seolah-olah sudah cukup bijak untuk menetapkan satu sistem akhlak yang lebih baik daripada akhlak Islam, seterusnya menolak mentah-mentah sistem akhlak Islam. 

Akal dijadikan panduan, manakala kaedah ‘percubaan dan kesilapan’ mendasari hasil kajian. Natijahnya, sehingga hari ini mereka masih gagal mendapatkan hakikat sebenar sistem akhlak insani yang lebih tepat maka terkapai-kapai dan hanyut dibawa arus kemodenan. 

Lebih teruk lagi apabila hawa nafsu mulai menguasai akal yang akhirnya memperkudakan manusia, jadilah mereka hamba kepada diri sendiri. 

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Yusuf, ayat 53) 

Tegasnya, umat Islam perlu menyuburkan akhlak Islam dalam diri dan menghias peribadi mereka dengan sifat mulia. Justeru, bersama kita bermuhasabah diri dan memperbetulkan semula akhlak.







Credit:  Mohd Taqwudin Mohd Yazid

No comments:

Post a Comment