Tuesday, 8 April 2014

Dakwah secara bijaksana, bukan guna kekerasan

Kita dididik untuk berpegang kepada prinsip yang benar dalam apa keadaan sekalipun, sama ada suka atau derita. Kita memerlukan prinsip untuk memandu kita kerana agama Islam penuh prinsip khususnya dalam memahami hubungan Islam dengan masyarakat yang lain. 

Antara prinsip diketengahkan agama Islam ialah sebagai rahmat untuk seluruh alam. Prinsip ini diambil daripada kenyataan al-Quran yang bermaksud: “Tidak kami utuskan dikau wahai Muhammad melainkan untuk membawa rahmat kepada semesta alam.” (Surah al-Anbiya’, ayat 107)


Menunjukkan segala tindakan atau peraturan mestilah tidak bercanggah dengan sifat rahmat yang diasaskan Islam. Maka, bagi pihak berkuasa yang bertindak atas nama Islam, prinsip ini hendaklah diutamakan kerana ada kala tindakan umat Islam tidak mencerminkan makna rahmat itu sendiri. 


Berlembut dan bersantun pelihara hak Allah 
Rahmat bagi hubungan sesama manusia membawa maksud berlembut dan bersantun dalam memelihara hak Allah SWT kepada sesama manusia. 

Hak Allah SWT ke atas hambanya tidak pernah mengukur kepada aspek keturunan, pangkat, kedudukan dan agama. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Rabb-mu Dialah yang lebih mengetahui siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang yang mendapat petunjuk.” (Surah an-Nahl, ayat 125) 


Urusan dakwah dianggap sebagai kerja kebaikan kerana ia membabitkan usaha mengembangkan agama Allah SWT. 

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan apakah yang lebih baik dari seseorang yang menyeru kepada jalan Allah dan mengatakan bahawa aku adalah daripada kalangan Muslimin.” (Surah an-Nahl, ayat 33) 

Ulama tafsir berpendapat ayat yang turun di Makkah ini menyentuh tugas Nabi SAW yang besar dalam menerangkan kebenaran tauhid melalui hujah dan keterangan daripada Allah SWT. Kerja dakwah mewakili tugas nabi dan rasul secara langsung. 

Begitu juga ujian yang akan dihadapi pendakwah, tidak jauh daripada apa yang dihadapi nabi dan rasul. 

Kerahmatan Islam juga terserlah dalam menegakkan keadilan tanpa mengira status atau agama dan keadilan Islam ialah hak untuk beragama. 

Malah, segala keperluan ibadat mereka adalah hak yang tidak boleh dirampas dan hendaklah diperuntukkan kepada mereka. 

Baginda Nabi SAW menunjukkan contoh kepada kita, seorang Muslim hanya bertanggungjawab menyampaikan kebenaran, tetapi tidak boleh mengecam golongan kafir yang tidak bersedia untuk beriman. 

Perbuatan balas-membalas kecaman tidak dibenarkan Islam kerana balas membalas kecaman hanya akan mengheret pihak lain ke dalam kancah permusuhan. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: 

“Jangan kamu memaki hamun tuhan mereka yang menyeru selain daripada Allah, kelak mereka akan balas memaki Allah dengan permusuhan dan mereka tidak ada pengetahuan mengenai-Nya (Allah).” (Surah al-An'am, ayat 108) 

Ayat al-Quran dengan tegas menyebut Muhammad SAW bukan penjamin dan boleh memaksa mereka untuk beriman kerana hakikatnya Allah SWT yang berkuasa menjadikan mereka beriman, tetapi Allah SWT tidak berbuat demikian. 



Keterbukaan Islam terhadap agama lain 

Demikianlah keterbukaan Islam terhadap penganut agama lain dan pilihan mereka ketika hidup di dunia membezakan antara mereka dengan orang beriman di akhirat kelak. Mereka akan terus dibiarkan berada dalam kesesatan sehinggalah mereka berkeinginan mencari kebenaran. 

Rasul yang diutuskan tidak dapat menyelamatkan mereka pada hari kemudian. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan jika mereka terus-menerus mendustakanmu (wahai Muhammad), maka katakanlah: Bagiku amalku dan bagi kamu pula amal kamu. Kamu tidak bertanggungjawab akan apa yang aku kerjakan dan aku juga tidak bertanggungjawab akan apa yang kamu kerjakan.” (Surah Yunus, ayat 41) 

Islam agama berteraskan kepada kepercayaan dan keyakinan yang terbit dari hati. Pengakuan ketaatan kepada Allah SWT yang satu dan Nabi Muhammad sebagai pesuruh-Nya tidak dianggap sah jika tidak dituruti dengan keikhlasan hati. 

Justeru, orang Islam tidak dibenarkan memaksa orang bukan Islam memeluk agama Islam biarpun mereka itu terdiri daripada kaum kerabatnya. 

Agama Islam tidak boleh dipaksa kepada sesiapapun kerana paksaan adalah perbuatan yang keji dan dikutuk Allah SWT. 

Ibnu Kathir dalam mentafsirkan tiada paksaan dalam Islam (surah al-Baqarah, ayat 256) menyatakan umat Islam tidak memaksa sesiapapun untuk memeluk Islam kerana agama Islam telah jelas akan ajaran dan bukti ajarannya, jadi ia perlu kepada kerelaan hati dan bukan paksaan. 

Kita hendaklah memahami setiap manusia akan mempertahankan fahaman agamanya walaupun hakikatnya Islam agama yang sebenar. Namun, prinsip hormat-menghormati menjadi teras kepada keamanan dan kesejahteraan. 



Bijak guna strategi berdakwah 

Oleh itu, kita mestilah bijak menggunakan strategi bagi mengawal dan memantau kerja dakwah agama lain tanpa menggunakan kekerasan. Kata Ibn Kathir, bukti kebenaran Islam itu jelas, kita perlu menggunakan kepandaian dalam menghadapi penyerapan dakwah agama lain ini. 

Hanya apabila mereka melampaui had batasan seperti menghina Islam dan sebagainya, maka tindakan yang sewajarnya boleh diambil terhadap mereka mengikut saluran undangundang. Kesimpulannya, agama Islam menitikberatkan persoalan toleransi (tasamuh). 

Ini tidak bermakna agama Islam tunduk kepada kehendak agama lain dan tidak bermakna juga kerana tasamuh, orang Islam tidak perlu berdakwah kepada orang bukan Islam. 

Seruan Islam mestilah diteruskan dengan pendekatan dan prinsip yang disebutkan supaya urusan dakwah Islamiyah akan terus segar dalam masyarakat disamping menjaga sensitiviti penganut agama lain.




Credit: Zamanuddin Jusoh

No comments:

Post a Comment