Thursday, 17 April 2014

Islam agama toleransi

ISLAM adalah agama perdamaian dan agama toleransi. Ia bukan kata-kata kosong tetapi sesuatu yang dijelaskan oleh Allah SWT dalam banyak tempat di dalam al-Quran dan dibuktikan secara praktikal oleh Rasulullah SAW dalam sejarah kehidupan dan perjuangan baginda.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani) dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi) dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agama-Nya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa. (al-Haj: 40)

Antara perkara awal yang dilakukan oleh Rasulullah SAW bila tiba di Madinah ialah mengadakan perjanjian dengan orang Yahudi, yang mana antara inti pati perjanjian tersebut ialah negara Islam Madinah perlu menghormati kepercayaan dan agama mereka, mempertahankan mereka daripada segala bentuk ancaman dan menjadikan mereka sebahagian daripada masyarakat Madinah yang akan mempertahankan setiap inci buminya.

Rasulullah SAW sendiri mempunyai jiran-jiran dalam kalangan ahli kitab yang dilayan begitu baik oleh baginda. Perkara biasa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika itu ialah memberikan mereka hadiah dan begitu juga sebaliknya, di mana mereka turut menghargainya dengan memberikan hadiah kepada Nabi SAW.


Layanan Rasulullah SAW

Pernah satu ketika, rombongan Nasrani Habsyah bertandang ke Madinah, Rasulullah SAW menempatkan mereka di masjid. Secara peribadi, Rasulullah SAW melayan mereka dan mengungkapkan kata-kata yang penuh makna, "Mereka pernah memuliakan sahabat-sahabat kita dan aku suka diriku sendiri memuliakan mereka."

Sebenarnya, perbezaan agama tidak menghalang kita untuk berbuat baik, berkasih sayang dan bertoleransi dalam perkara yang diizinkan oleh syariat.

Satu peristiwa yang lebih menakjubkan lagi tentang toleransi ini ialah kedatangan rombongan daripada Nasrani Najran yang disambut oleh Rasulullah SAW. Sekali lagi baginda menempatkan tetamu yang berlainan akidah ini di Masjid Nabawi dan membenarkan mereka sembahyang berdasarkan kepercayaan mereka di satu sudut, manakala Rasulullah SAW dan para sahabat bersolat jemaah di satu sudut yang lain di dalam satu masjid.

Selepas itu, Rasulullah SAW berbincang, berdialog dan berdebat dengan mereka dengan penuh beradab dan berakhlak. Sebenarnya apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ini, tidak lain tidak bukan hanyalah sebagai kepatuhan kepada saranan Allah SWT yang bermaksud: Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka dan katakanlah (kepada mereka): Kami beriman kepada (al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah Satu dan kepada-Nyalah, kami patuh dengan berserah diri. (al-Ankabut: 46).







No comments:

Post a Comment