Wednesday, 2 April 2014

Mohon dilindungi daripada seksaan neraka

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Maka peliharalah dirimu daripada api neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu, yang disediakan bagi orang kafir.” (Surah al-Baqarah, ayat 24) 

Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Wahai orang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat kasar, yang harus, yang tidak pernah menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (Surah at-Tahrim, ayat 6).


Jika seseorang itu tahu seksaan neraka, nescaya dia tidak akan tenang dalam hidupnya dan tidak menutup pintu ketaatan kepada Allah SWT walau sedetik pun serta tidak melakukan maksiat kepada Allah SWT. 

Rasulullah SAW meskipun sudah dijamin Syurga, Baginda tetap sentiasa memohon perlindungan daripada Allah SWT supaya tidak diazab di dalam neraka jahanam. Baginda juga sentiasa mengingatkan sahabat dan umat Islam supaya sentiasa memohon perlindungan daripada Allah SWT supaya tidak diseksa dalam neraka. 



Dicipta untuk jin, manusia lakukan maksiat 

Neraka dicipta untuk jin dan manusia yang melakukan maksiat serta kejahatan. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka jahanam kebanyakan daripada jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak digunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak digunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah) dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak digunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah).” (Surah al-A’raf, ayat 179) 

Malaikat yang sentiasa beribadah kepada Allah SWT juga sering memohon perlindungan daripada Allah SWT supaya tidak diazab dalam api neraka. 
Mengenai pintu neraka, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Jahanam itu benar-benar tempat yang telah diancam kepada mereka (pengikut syaitan) semuanya. Jahanam itu mempunyai tujuh pintu. Tiap-tiap pintu (telah ditetapkan) untuk golongan yang tertentu dari mereka.” (Surah al-Hijr, ayat 42-44) 

Suara mereka yang diseksa dalam neraka adalah seperti himar yang diiringi dengan tarikan nafas panjang dan kemudian berakhir dengan teriakan keras. Ahli neraka merasai seksaan yang amat pedih, lalu mereka meminta pertolongan, tetapi pintu neraka tertutup rapat. 
Selain itu, mereka berasa sangat lapar, dahaga, pedih dan pelbagai kesakitan lain. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan jika mereka meminta minum, nescaya akan diberi minuman air seperti logam yang terlebur dan menghanguskan muka mereka. Itulah seburuk-buruk minuman dan tempat istirehat yang paling buruk.” (Surah al-Kahfi, ayat 29). 



Sumber Ensiklopedia Kiamat

No comments:

Post a Comment