Monday, 14 April 2014

Ribut Petir di Perjalanan Pulang...



Perjalanan Pulang Yang Berliku..

Ketika mula memandu untuk pulang dari sekolah pada petang Ahad 14/04/2014, langit seakan gelap. Awan mula berlapis dan seakan berbaris dengan warna kelabu dan hitam. Namun aku tak menghiraukannya. Sememangnya akhir-akhir ini cuaca tak menentu. Pohon-pohon juga seakan berpesta dengan bunga-bungaan. Memang tak pernah berlaku sebelum ini. Mungkin sejak awal 2014 ini Johor, bahkan seluruh negara dilanda musim kemarau dan kering. Lalu hujan mula turun sejak awal April ini menyebabkan fenomena bunga-bungaan ini berlaku.

Perjalanan pulang kerumah dari sekolah di Pt Raja, Batu Pahat kira-kira 256 kilometer pergi dan balik. Perjalanan harian ini telah menjadi rutin harianku sejak awal Januari 2012. Bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa.

Kira-kira dua jam memandu aku terasa aneh melihat kenderaan hampir semuanya memandu agak perlahan dari biasanya. Gerimis mula turun sebaik kenderaanku memasuki daerah Kulai Jaya. Namun aku bersyukur perjalananku kian menghampiri Johor Bahru.


Ribut Petir Mula Melanda

Sebaik tiba di Skudai dan melepasi Tol, langit tiba-tiba gelap. Lebuhraya PLUS Utara Selatan kelihatan berbalam-balam dan seakan hilang dari pandangan. Pemanduan menjadi perlahan. Speedometer menunjukkan kelajuan 10 kilometer sejam. Bagaimanapun alhamdulillah, sepertinya semua pemandu dihadapan dan belakang menyalakan lampu sekaligus menjadi petunjuk jalan pulang.






Dihadapan ku lihat petir mula menerjah dikaki langit yang gelap tiba-tiba menjadi terang seiring gegak gempita bunyi guruh yang sabung menyabung. Kemilau kilat seakan mengamuk dikiri dan kanan kenderaan yang kupandu. 

Namun entah mengapa secara tiba-tibanya kereta yang kupandu seakan hilang kendali. Semua lampu di dashboard menyala dan berkelip-kelip sebaik kemilau terang menyinari sekitaranku. Lebih membimbangkan perasaanku apabila brek yang kupijak tidak lagi berfungsi.

Dalam suasana demikian, aku terus berdoa dan berharap rahmat Allah terus melimpah. Kutarik brek tangan dalam keadaan kenderaan terus meluncur laju. Alhamdulillah kenderaan dapat kukawal dan perlahan kucari tempat berhenti. Kuaktifkan isyarat kecemasan dan membuat beberapa panggilan penting tapi tidak kerumah kerana tak mahu keluargaku bimbang. Orang pertama kuhubungi, CEO MITT Ust Hj Abd Razak Borhan. 

Hujan masih lebat ketika aku berdiri dibelakang kenderaanku. Kulihat jam menghampiri jam 6 petang. Jalan ini bakal sesak dengan kenderaan yang balik dari Johor Bahru dan Singapura. Lori dan kontena seakan tak terkesan oleh cuaca dan terus dipandu dengan laju.Sangat menggerunkan perasaan.

Lebih kurang 15 minit menanti, alhamdulillah, lori penunda Volvo tiba dan pemandunya, lelaki cina meminta maaf kerana terlewat akibat tersalah tempat mencari kenderaanku.

Duduk didalam trak penunda dengan basah kuyup. Namun amat bersyukur kepada Allah diatas segala anugerah keselamatan yang diberikanNya. Alhamdulillah.

Dibengkel Volvo Permas Jaya, beberapa mekanik berbincang dan kehairanan kerana kata mereka beberapa peralatan elektronik dibahagian enjin telah terbakar namun api tidak merebak ke bahagian bahan bakar dimana petrol sangat cepat dan mudah terbakar yang akan berakibat fatal kepada kenderaan dan juga pemandunya.

Allah...sekali lagi terima kasih ya Allah..Alhamdulillah...terima kasih


No comments:

Post a Comment