Tuesday, 1 April 2014

Berdendam sifat jahiliah, cabul hak kemanusiaan

Hukuman ekstrem kerana beza pendapat bukti kezaliman
Tatkala kita menerima pengumuman rasmi meruntun jiwa mengenai nasib penumpang serta anak kapal MH370, kita dikejutkan dengan berita hukuman bunuh beramai-ramai kira-kira 529 penyokong bekas Presiden Mesir, Mohamad Morsi. 

Walaupun peristiwa itu berlaku di Mesir, umat Islam serata dunia termasuk Malaysia berasakan hukuman itu amat terlampau kepada golongan pembangkang politik. Ia bertentangan dengan prinsip asasi manusia iaitu hak untuk bersuara seperti dijamin di bawah Perlembagaan negara kita, semestinya di Mesir juga.



Perbezaan politik 


Pepatah Melayu ‘rambut sama hitam tetapi hati lain-lain’ menunjukkan kematangan budaya kita menerima perbezaan pendapat terutama pendapat politik. 


Masyarakat kita akur dengan sifat manusia yang tidak mungkin sehaluan dalam banyak perkara. 

Undang-undang pula menjadi ruang bagi golongan tidak berpuas hati dengan cara pentadbiran negara untuk meluahkan ketidakpuasan hati mereka secara aman dan munasabah antaranya melalui pilihan raya. 

Penyokong Morsi telah ditangkap, dibawa ke mahkamah dan kes mereka didengar beramai-ramai tanpa penelitian bukti mengenai pembabitan setiap seorang daripada mereka. Hakim membuat keputusan dalam masa singkat bahawa mereka bersalah dan dijatuhkan hukuman bunuh. 


Malah, ada sesetengahnya dijatuhkan hukuman tanpa kehadiran mereka di mahkamah (in absentia) atau diberi peluang bersuara. 


Pemerhati bebas antarabangsa berpendapat, keputusan hakim berdasarkan keinginan pemerintah membalas dendam dan ia adalah pencabulan tegar terhadap hak asasi manusia sementara kita menganggapnya sebagai tragedi umat Islam. 


Perbuatan membalas dendam seperti ini membawa umat Islam kembali ke zaman jahiliah sedangkan sepatutnya sebagai umat yang diajar dengan ajaran mulia, kita telah membebaskan diri daripada hasad dengki dan membalas dendam. 




Pemerintah yang tidak boleh berkompromi langsung mengenai perbezaan pendapat dan mengambil tindakan ekstrem dengan menghapuskan rakyatnya adalah pemerintah kejam serta tidak berperikemanusiaan. 



Rasulullah contoh pemimpin terbaik 

Contoh pemimpin terbaik adalah Rasulullah SAW dan antara sifat ditonjolkan sebagai amanat kepada seluruh umat Islam adalah kemaafan serta menolak kejahilan seperti keangkuhan. 

Ketika pembukaan Kota Makkah oleh tentera Islam diketuai Rasulullah SAW pada tahun 8 Hijrah, Rasulullah SAW telah memerintahkan sahabat memanggil semua penduduk Quraisy Makkah untuk bertemu dengannya di hadapan Kaabah dengan janji mereka tidak akan diapa-apakan. 

Apabila Rasulullah SAW bertanya kepada Quraisy Makkah pada fikiran mereka apakah yang akan dilakukan Baginda terhadap mereka, Quraisy Makkah menjawab: “Saudara mulia, anak kepada saudara kami yang mulia.” 

Rasulullah SAW mengisytiharkan Baginda memaafkan dan membebaskan mereka dengan menyatakan: “Wahai Quraisy, kamu semua daripada Adam dan Adam berasal dari tanah. Maka buangkanlah sifat angkuh dan sombong kamu.” 

Hikmah Rasulullah SAW memaafkan Quraisy memberi iktibar kepada Quraisy pada masa itu dan kepada bahawa Rasulullah SAW bukannya bermusuh dengan Quraisy, tetapi dengan sikap angkuh serta sombong mereka. 

Walaupun Quraisy pada asalnya musuh utama Rasulullah SAW dan umat Islam telah memerangi Baginda bersama tentera Islam dalam peperangan, sikap pemaaf Baginda menyentuh jiwa mereka. 

Quraisy akhirnya memahami hikmah Rasulullah SAW memaafkan mereka dan ia mendorong kebanyakan mereka memeluk agama Islam seterusnya ramai menyertai ekspedisi peperangan riddah (peperangan terhadap golongan murtad). 

Mereka juga berjuang dalam peperangan menentang tentera Parsi dan Rom dalam usaha kerajaan Khalifah Islam menyahut seruan dakwah agama ke seluruh alam serta menjadi wira dalam sejarah Islam. 

Rasulullah SAW berjaya memerangi sikap angkuh, sombong serta kepercayaan jahiliah Quraisy dan menggambarkan kepada masyarakat Islam kepentingan mendidik jiwa rohani umat Islam dibandingkan dengan menghukum semata-mata. 


Tindakan ekstrem perangi rakyat sendiri 

Jika pemerintah Mesir berpegang kepada sunah Rasulullah SAW, tentulah mereka tidak akan mengambil tindakan sebegitu ekstrem dengan memerangi rakyat sendiri atas kesalahan mempunyai perbezaan pendapat politik. 

Perselisihan politik bukan perkara bersangkut paut dengan akidah, tetapi lebih kepada sistem pentadbiran negara dan fahaman mengenai pelaksanaan pentadbiran negara. 

Adalah lebih wajar penyokong Morsi (yang kebanyakannya golongan profesional) diberi peluang bersuara dan membela nasib mereka melalui sistem undang-undang kehakiman yang telus serta adil supaya umat Islam tidak terikat dengan amalan serta kepercayaan jahiliah. 

Mereka sendiri akan rugi sekiranya golongan cerdik pandai yang mampu memberi sumbangan kepada pembangunan negara dihukum sedemikian rupa. 







Credit: Fakihah Azahari

No comments:

Post a Comment