Friday, 28 March 2014

Titipan kesyukuran

DALAM kehidupan seharian, Allah SWT sering menduga kita dengan pelbagai ujian. Ujian paling getir ialah apabila kehilangan orang yang tersayang atau apabila sesuatu yang kita idamkan tidak tercapai. Ada pula yang diduga dengan kehilangan barang kesayangan atau tidak mendapat barang yang diidamkan.

Pada Khamis lepas, pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memperoleh keputusan masing-masing. Ada yang menangis kegembiraan. Ada yang menangis kesedihan. Ada yang menjerit, melompat-lompat dan sebagainya. 

Berapa ramai remaja kita yang memeluk ibu bapa mereka yang sentiasa berdoa dan bergolok-bergadai demi anak-anak? Berapa ramai juga yang mencium tangan guru seraya mengucapkan terima kasih dan yang paling penting, berapa ramai yang mengambil wuduk, solat sunat dua rakaat sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT.

Kalau berjaya, anak kitalah yang paling pandai di dunia tetapi andai gagal, pelbagai alasan diberikan. Soalan tak betul, cikgu tidak mengajar dengan betul dan sebagainya. Keghairahan untuk melihat anak berjaya, sehingga ada ibu bapa terlupa bahawa mereka juga mempunyai anak lain yang kurang berjaya.

Menyedihkan lagi, jika sepasang anak kembar yang mendapat keputusan peperiksaan. Ada ibu bapa terlalu gembira dengan berita salah seorang anak kembarnya mendapat 10A, sedangkan abang kembarnya hanya mendapat 6A. Yang dapat cemerlang itu ditatang, disanjung sedang kembarnya tidak disebut pun dipedulikan.


Beruntung

Hakikatnya, anak itu tidak bodoh, cuma dia tidak bernasib baik. Kesian emosinya. Saya beruntung kerana ibu bapa saya tidak pernah membeza-bezakan atau membanding-bandingkan kami adik-beradik. Kami diberi semangat untuk belajar dan apapun keputusan yang kami bawa pulang, ayah akan menadah tangan membaca doa kesyukuran.

Ayah sentiasa berdoa untuk kesejahteraan kami dan sentiasa bercerita kepada orang tentang kami kerana dia berbangga dengan pencapaian anak-anaknya. Begitu juga dengan pencapaian anak cucu dan yang sering beliau sebutkan ialah kebahagiaan dunia dan akhirat. Tegasnya lagi, tiada bekalan yang terbaik bagi ibu bapa selain daripada anak yang soleh.

Memanglah kita bangga dengan kejayaan anak-anak, tetapi jangan lupa bahawa pendidikan agama iaitu akidah anak adalah pendidikan yang lebih penting daripada A yang berbaris.

Apalah gunanya mempunyai anak yang cerdik pandai jika apabila dia berjaya, dia tidak ada masa melawat kita, kononnya terlalu sibuk dengan kehidupan? Apalah guna kita mempunyai anak yang berjaya di dunia sedangkan dia tidak memiliki ketakwaan dan keimanan kepada Allah SWT.
Kenapa apabila kita gagal mendapat sesuatu yang kita inginkan, baru mengingati Allah yang Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui. Semasa kita hendak menduduki peperiksaan, kita taat beramal kepada Allah kerana kita mahu Allah memakbulkan doa kita untuk memperoleh 10A. Namun, apabila ia sudah dimiliki, kita terlupa bersyukur dan dengan angkuhnya kita berkata kejayaan itu adalah hasil usaha sendiri dan sokongan ibu bapa, sedangan Allah SWT lah yang menentukan segalanya.

Sebagai ibu bapa kita juga kurang bersyukur di atas rahmat dan berkat Allah kepada kita. Semasa kita berkahwin, kita berdoa kepada Allah agar dipanjangkan jodoh dan berkekalkan hingga ke akhir hayat. Namun kebiasaan dalam majlis-majlis perkahwinan, oleh kerana terlalu sibuk, sehingga ada yang tertinggal solat.


Syukur

Selepas berkahwin, kita juga lupa mengucap syukur kepada Allah SWT apabila kita hamil dan akhirnya melahirkan anak. Hari ini ibu bapa mengumpul duit untuk mengadakan majlis cukur rambut dan akikah menunjukkan kesyukuran, sedangkan jika kita mampu, majlis itu sunat diadakan dalam tempoh tujuh hari anak dilahirkan. Paling minimum buat doa kesyukuran yang kecil atau sedekah makanan ke rumah anak yatim atau apa sahaja yang sesuai dengan syariat Islam.

Namun, apabila anak kesayangan kita sakit, kita terus panik dan tidak keharuan. Baru kita teringat bahawa sihat dan sakit itu datangnya daripada Allah SWT. Tiada ibu dan bapa yang sanggup melihat anak mereka sakit atau disakiti. Lebih-lebih lagi, si ibu rela berbuat apa sahaja demi anak-anaknya. Ada ibu yang sanggup mengharungi pelbagai kesusahan demi anak-anaknya. Tetapi sanggupkah anak-anak melalui kesusahan demi ibu mereka? Jika kita kurang bersyukur maka apabila kita diduga Allah dengan dugaan yang berat, ada masanya kita kehilangan punca.

Setiap kali Allah menduga kita, kita bersolat hajat, solat tahajud dan berdoa semoga Allah memberi kita peluang kedua. Namun ramai antara kita gagal menghadapi dugaan. Ada yang hilang pertimbangan. Ada yang menjadi gila. Tidak kurang pula yang berputus harap dan mengambil jalan pendek seperti membunuh diri.

Membunuh diri adalah dosa besar dan orang yang membunuh diri adalah orang yang rugi. Membunuh diri kerana kecewa dan tidak tahan dugaan Allah adalah sesuatu perbuatan yang berdosa. Orang yang membunuh diri adalah orang yang tidak bersyukur dan tidak sedar bahawa segala apa yang diperoleh adalah daripada Allah SWT.

No comments:

Post a Comment