Wednesday, 5 March 2014

Nikmat Allah untuk disyukuri


TERDAPAT sebanyak 38 kali kalimah Alhamdulillah di dalam al-Quran. - Gambar hiasan


SATU fakta yang menarik mengenai perkataan Alhamdulillah ialah ia disebut di dalam al-Quran sebanyak 38 kali. Ini jelas menggambarkan betapa Allah SWT maha layak dipuji kerana zat-Nya, sifat-Nya, nikmat-Nya, rahmat-Nya dan panduan kehidupan yang diberikan-Nya.



Firman Allah SWT yang bermaksud: Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan jin)? (ar-Rahman: 13)



Ayat di atas diulang sebanyak 31 kali di dalam surah ar-Rahman. Ini menggambarkan betapa agungnya sifat ar-Rahman atau Maha Pemurah Allah SWT dengan menyebut nikmat-nikmat yang dikurniakan oleh-Nya. 



Mendustakan nikmat-nikmat Allah SWT bermaksud apabila seseorang manusia itu kufur terhadap Tuhan mereka dengan cara menyekutukan Allah SWT melalui sembahan selain daripada Allah SWT.



Pengulangan ayat seperti di atas sudah tentu mempunyai hikmah. Sesungguhnya, setiap nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT itu adalah untuk disyukuri. Kesyukuran itu hanya boleh dilakukan dengan mengabdikan diri kepada Tuhan yang mengurniakan nikmat-nikmat tersebut.



Syeikh Muhammad Mutawalli Al Sya’rawi berpendapat, pengulangan ayat di dalam surah ar-Rahman ini adalah kerana Allah SWT ingin menegaskan kepada kita tentang sifat pemurah dan penyayang-Nya. Bagaimana kita mendustakan nikmat ini sedangkan kita menikmatinya terus malam dan siang?



Sabda Rasulullah SAW: “Aku telah membaca surah ar-Rahman kepada saudara kamu daripada golongan jin. Dan mereka adalah lebih baik jawapannyan daripada kamu". Apabila aku membaca ayat, Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan jin)? Lantas para jin menjawab, “Tidak ada satu pun nikmat Tuhan kami yang kami dustakan. Maka bagi kamu segala kepujian". (Riwayat Tarmizi)



Inilah juga yang sepatutnya ada dalam diri kita apabila kita mendengar al-Quran yang mana perlunya kita berinteraksi dan mentadabburkan maknanya. Apabila kita menyaksikan ahlu iman mengambil sikap yang sama dengan apa yang dilakukan oleh jin apabila mendengar al-Quran, umpamanya bila disebut nama Allah SWT, mereka membalas 



Subahanallah. Apabila disebut nama Rasulullah SAW, mereka menjawab Sallallahu Alaihi Wasallam (SAW). Bila disebut syurga, mereka terus memohonnya dan apabila disebut neraka mereka berdoa agar Allah SWT menghindarinya.

No comments:

Post a Comment