Wednesday, 12 March 2014

Awasi lidah dan telinga



ANTARA tuntutan ajaran Islam kepada kita ialah memberi ucapan dan menzahirkan perkataan-perkataan yang baik. Ia adalah nikmat dan hak yang dikurniakan oleh Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Setiap individu mempunyai hak untuk berbicara." (Riwayat Ahmad)

Allah SWT telah mengurniakan kepada kita kemampuan untuk berkata-kata dan memberi kefahaman kepada orang lain. Ia merupakan suatu kemampuan yang tidak akan sempurna, melainkan jika dilakukan dengan kata-kata yang baik.

Perkataan yang baik adalah perkataan yang mengandungi kebenaran dan manfaat. Setiap orang diwajibkan untuk berkata yang benar dan tidak boleh berbohong. Jika sekiranya seseorang mengetahui bahawa perkataannya tidak akan membawa manfaat dan akan menimbulkan permusuhan atau bahaya maka wajib perkataan tersebut ditinggalkan.

Sesungguhnya tiada sesuatu yang lain pun dapat merosakkan jalan yang betul, mendatangkan kemudaratan dan membunuh ketakwaan kecuali lidah yang tidak terkawal. Banyak kemusnahan hidup yang dihadapi oleh manusia dan masyarakat yang dicetuskan oleh kata-kata yang tidak bersumberkan maklumat yang betul dan hanya diasaskan kepada sangkaan semata-mata. Kata-kata yang kotor dan dusta sebenarnya boleh menjatuhkan maruah, mematikan persahabatan dan memutuskan apa yang diperintahkan Allah SWT supaya dihubungkan. 

Hanya satu keadaan sahaja Allah SWT mengizinkan kepada seseorang untuk mengeluarkan kata-kata yang buruk untuk memberi peringatan terhadap orang yang menzaliminya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dianiayakan. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (an-Nisa’: 148)

Syeikh Ibrahim Al-Qattan menyebut, sesungguhnya Allah melindungi reputasi seseorang selagi dia tidak menzalimi orang lain, jika dia menzalimi orang lain maka dia tidak memerlukan perlindungan tersebut. Di saat itu orang yang dizalimi berhak menghebahkan kata-kata yang buruk kepada orang yang menzaliminya. Perbuatan demikian sesuai dengan kehendak agama yang menginginkan kepada keadilan dan akhlak yang baik.
Keaiban

Kata-kata yang menyakitkan ialah kata-kata yang membuat orang yang diperkatakan itu tidak senang hati seperti menyebut keaibannya atau ucapan yang menjatuhkan kehormatannya. Allah SWT tidak menyukai dalam kalangan hamba-hamba-Nya menyebut-nyebut keaiban dan keburukan orang lain.

Ini adalah kerana, perbuatan seperti itu boleh menimbulkan pelbagai kesan yang tidak baik. Antaranya;
Pertama, menimbulkan permusuhan dan kebencian antara mereka yang menyebut-nyebut keaiban dan yang menjadi sasarannya. Kadang-kadang, kes seperti ini boleh mengakibatkan pelanggaran hak dan pertumpahan darah.

Kedua, meninggalkan kesan buruk pada pendengarnya mengenai diri orang yang dibicarakannya. Jika seseorang melihat orang lain mencela lawannya kerana perasaan benci atau dendam kesumat, lalu orang lain akan terus memburukkannya, lebih-lebih lagi sekiranya orang yang melakukannya mempunyai kedudukan yang tinggi.

Ini disebabkan orang awam sering menurut perbuatan yang dilakukan 
oleh pemimpin mereka dan akhirnya perbuatan itu akan terus merebak di kalangan mereka.

Ucapan dan kata-kata yang dilahirkan merupakan imaginasi luaran seseorang, baik atau buruk pekerti seseorang dan ia juga menggambarkan kedalaman atau kedangkalan pemikiran seseorang individu. Kadang-kala apa yang diperkatakan itu tidak mempunyai apa-apa nilai dan ia tidak memberi kesan kepada jiwa yang mendengarnya.




No comments:

Post a Comment