Thursday, 20 March 2014

Bencana hasil kealpaan manusia

Walaupun sukar untuk bersyukur, tiada manusia yang akan menolak nikmat anugerah Allah SWT. Nikmat kehidupan, keselesaan dan keselamatan serta seluruh pancaindera yang berfungsi adalah anugerah tidak ternilai serta terbayar dengan wang ringgit. 

Jika Dia belum berkehendakkan kita mengecapi atau tidak mahu kita merasainya lagi, pasti ada alasan yang tidak mampu kita fahami, melainkan harus juga bersyukur seadanya kerana perancangan-Nya adalah yang terbaik, hikmahnya disedari selepas segala-galanya Dia suratkan.


Lupa untuk bersyukur

Waktu itulah kita mengerti betapa Allah SWT menyayangi hamba-Nya yang dipilih merasai dunia, diberi kenikmatan sebegitu rupa hingga kadangkala ada yang lalai dan tamak haloba, lupa untuk menadah syukur, malah mencabar pula kekuasaan-Nya. 

Sesungguhnya segala bencana yang diturunkan di bumi adalah disebabkan perbuatan manusia sendiri yang tidak tahu bersyukur apabila dibuai kesenangan. Maksiat, pembohongan, kezaliman dan fitnah adalah antara malapetaka yang berlaku ke atas umat Muhammad pada zaman ini.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia. Timbulnya yang demikian kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali insaf dan bertaubat.” (Surah Ar-Ruum, ayat 41)

Sesungguhnya nikmat Allah SWT tidak terhitung, tetapi kerana kasih sayang-Nya kepada setiap hamba, selagi itulah kita akan terus mengecapi nikmat yang ada pada hari ini. 
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah yang dilimpahkan-Nya kepada kamu, tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Surah An-Nahl, ayat 18) 

Jika ditakdirkan suatu hari nanti tiada lagi orang yang bersyukur, pastilah akan ada balasannya terhadap seluruh umat manusia kerana al-Quran telah memberi peringatan antaranya kisah Kabilah Saba’, seperti dirakamkan dalam al-Quran.

Al-Quran turut menjelaskan bagaimana kisah orang yang kufur terhadap nikmat diberikan Allah SWT dengan memberikan balasan yang tidak tertanggung oleh mereka. Bencana diturunkan Allah SWT adalah peringatan terhadap sikap manusia yang tidak taat perintah serta lupa akan kebesaran-Nya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan ingatlah tatkala Tuhan kamu memberitahu, demi sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.” (Surah Ibrahim, ayat 7).


Credit: Nik Salida Suhaila

No comments:

Post a Comment