Friday, 28 March 2014

Jauhi fanatik mazhab

FANATIK mazhab lahir di zaman kejumudan fiqh apabila gerakan intelektual dalam kalangan umat Islam semakin lesu. Ia semakin menular dalam kalangan umat Islam sehinggalah ke hari ini. Keterikatan kepada satu mazhab yang lahir daripada pandangan yang mewajibkan seseorang itu mengikut satu mazhab sahaja adalah antara punca berlakunya fanatik mazhab.

Sebahagian besar fuqaha yang lahir selepas zaman imam mujtahid iaitu sekitar awal kurun keempat hijrah, mewajibkan taklid kepada umat Islam, kecuali mereka yang sudah sampai kepada tingkatan ijtihad.

Sehingga ada pandangan yang mengatakan bahawa wajib bertaklid kepada salah seorang imam yang empat sahaja; iaitu sama ada Abu Hanifah, al-Syafie, Malik atau Ahmad. Dan diharamkan daripada bertaklid, selain daripada mereka walaupun bertaklid kepada sahabat atau ulama tabi’in (al-Ashqar, al-Madkhal ila dirasah al-madaris al-madhahib al-fiqhiyyah, 1998, hlm. 175).

Kesan daripada hukum wajib bertaklid ini bukan hanya sekadar menuntut seseorang itu mengikut satu aliran mazhab, tetapi lebih daripada itu. Fanatik kepada sesuatu mazhab turut menyebabkan pertembungan antara pengikut mazhab, sehingga ada yang menyesatkan pengikut mazhab yang tidak sealiran dengannya.

Inilah antara bencana yang melanda umat Islam kesan daripada kedangkalan ilmu dan ilmu yang dimiliki itu telah menjadi bala tentera nafsunya serta tidak faham terhadap tabiat nas dalam syariat Islam itu sendiri.


Perbezaan pendapat

Persoalan fanatik dalam bermazhab ini berkait rapat dengan isu perbezaan pendapat. Berbezaan pendapat dalam masalah fiqh adalah satu kenyataan yang tidak dapat dinafikan. Ia penting, kerana dapat menyelesaikan pelbagai masalah baharu berkaitan fiqh yang wujud di setiap tempat dan masa. Ini membuktikan peranan syariat Islam sebagai penyelesai semua masalah manusia pada setiap tempat dan masa.

Sebaliknya, jika dikatakan perbezaan pendapat sepatutnya tidak berlaku kerana sumber syariat hanyalah al-Quran dan al-sunnah dan kedua-duanya adalah wahyu yang tiada perbezaan padanya, maka ia secara tidak langsung mengheret syariat Islam ke lembah kejumudan. Ia secara tidak langsung, menggambarkan seolah-olah syariat itu tidak lagi sesuai untuk menyelesaikan masalah pada setiap masa dan tempat (Abu Yahya, al-Ikhtilaf lada ulama al-madhahib, 2000, hlm. 185)

Fanatik bermaksud berpegang kepada sesuatu pandangan atau aliran secara kaku dan sentiasa memenangkan pendapatnya dalam setiap masalah tanpa melihat kepada persoalan benar atau salah. Fanatik boleh berlaku terhadap sesuatu aliran (mazhab), personaliti, pendapat atau metodologi. Ia adalah dilarang oleh syarak jika ia tidak lahir daripada asas kehendak mencari kebenaran. (Sano, al-Ijtihad fi fahm al-nas: ma’alim wa dawabit, 2000:138)

Sebenarnya persoalan ini bukanlah ditujukan kepada amalan bermazhab itu sendiri. Ini kerana jika diperhalusi, orang awam yang tidak tahu selok-belok nas dan tidak tahu metodologi ijtihad perlu mengikut hukum yang diistinbatkan oleh para mujtahid. Namun, ia tidak sampai kepada had mewajibkan seseorang itu hanya berpegang kepada satu mazhab dan tidak boleh langsung menilai sesuatu pandangan di luar mazhabnya.
Memang tidak dinafikan di sesetengah tempat, amalan bermazhab adalah antara punca perpecahan dalam kalangan umat Islam. Namun perlu difahami, bahawa perpecahan yang berlaku bukanlah kerana kewujudan mazhab itu sendiri, tetapi kerana kejahilan mereka terhadap erti bermazhab (al-Khin, Athar al-ikhtilaf fi al-qawa’id al-usuliyyah fi ikhtilaf al-fuqaha’, 1982, hlm. 8)

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa masalah fiqh yang diperselisihkan oleh para ulama terdahulu yang boleh disatukan dan hanya satu hukum sahaja yang perlu diguna pakai oleh umat.

Ini boleh berlaku jika sesuatu hukum yang diistinbatkan oleh sesetengah ulama itu, berdasarkan kepada qias yang fasid, takwil yang tidak berasas atau ulama itu tidak merujuk kepada hadis-hadis sahih berkaitan masalah tersebut.

Masalah seumpama ini perlu dikembalikan kepada istinbat yang benar. Jika ini tidak berlaku, maka kita akan terperangkap dalam fanatik mazhab yang dilarang oleh syarak kerana mempertahankan pendapat yang kabur dengan mengenepikan nas yang jelas. Amalan bermazhab seperti ini adalah dimurkai oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW (al-Khin, Athar al-ikhtilaf fi al-qawa’id al-usuliyyah fi ikhtilaf al-fuqaha’, 1982, hlm. 8).

Metodologi perbezaan pendapat mengajar kita erti keterbukaan dalam menerima sesuatu pendapat. Memang tidak dapat dinafikan seseorang yang tidak mampu berijtihad dan tidak mampu memahami istinbat hukum daripada nas-nas syarak, maka dia diizinkan untuk mengikut aliran mazhab tertentu.

Begitu pun, dia perlu memahami bahawa bukan mazhabnya sahaja yang betul, manakala yang lain salah dan sesat.

Di samping itu, seseorang Muslim juga tidak boleh sewenang-wenangnya bertukar-tukar mazhab yang dirasakan serasi dengan tuntutan nafsunya. Dia boleh untuk menilai sesuatu pandangan di luar mazhabnya setelah dia mengetahui dan memahami metodologi istinbat dan istidlal yang digunakan oleh ulama tersebut.

Imam al-Zahabi berkata, “Janganlah anda beriktikad bahawa mazhab yang anda ikuti adalah mazhab yang paling utama dan paling dicintai oleh Allah SWT.

Sesungguhnya tidak ada dalil bagi anda, atas iktikad sedemikian, sebagaimana juga tidak ada dalil bagi orang yang tidak sependapat dengan anda. Bila mereka benar dalam setiap masalah yang mereka ijtihadkan, mereka mendapat dua pahala dan bila ijtihad mereka salah, mereka tetap mendapat satu pahala." (al-Buti, Bahaya bebas madzhab dalam keagungan syariat Islam, 2001, hlm. 97).





Credit:DR.ARIEFF SALLEH ROSMAN/(CFiRST), Universiti Teknologi Malaysia)





No comments:

Post a Comment