Tuesday, 18 March 2014

Persis Nabi Muhammad SAW

ABDULLAH bin Mas’ud termasuk seorang sahabat yang mula-mula sekali masuk Islam. Sejak di Mekah, beliau yang dikenali sebagai Ibnu Mas'ud sangat tekun berkhidmat kepada Rasulullah SAW. Ke mana Nabi Muhammad SAW pergi, Ibnu Mas’ud selalu bersama untuk melayani keperluan baginda SAW.

Beliau menyiapkan selipar Rasulullah SAW apabila hendak dipakai dan menyimpan selipar itu apabila baginda tidak memakainya.

Dek Kerana kerapatannya dengan Rasulullah SAW, Ibnu Mas’ud diiktiraf sebagai tokoh sahabat yang sangat faham tentang Islam. Huzaifah pernah ditanya: "Siapakah sahabat Nabi yang paling mirip akhlak dan sifatnya dengan Rasulullah?" Beliau menjawab: "Ibnu Mas’ud."

Suatu hari Ibnu Mas'ud menziarahi kematian seorang kenalannya. Dalam majlis kesedihan itu, beliau melihat seseorang sedang ketawa.
Ibnu Mas’ ud menjadi sangat marah dan berkata: "Engkau tertawa padahal tengah menghadiri jenazah? Aku tidak akan berbicara denganmu selama-lamanya!" (kitab al-Zuhd Imam Ahmad)


Tunjukkan simpati

Hidup ini tidak selamanya indah. Terkadang kita bergembira, terkadang kita bersedih. Ada saatnya kita tertawa, ada saatnya kita menangis. Dinamika kehidupan ini berlaku pada diri kita, juga berlaku pada orang lain.

Adab seorang Muslim apabila tertimpa musibah ialah bersabar. Adabnya apabila melihat orang lain tertimpa musibah ialah bersimpati dan mendoakan.

Pada saat-saat susah, perasaan orang yang ditimpa musibah sangat sensitif. Justeru, fahami kesedihan hatinya dan pilihlah kata-kata yang terbaik untuk diucapkan.

Bayangkan jika musibah itu menimpa diri kita, agak-agaknya ucapan apa yang ingin kita dengarkan pada saat itu?

Bergurau tentu tidak patut dilakukan pada saat dan situasi seperti itu. Apa lagi mempersendakan penderitaan tersebut dengan pelbagai anekdot yang mengundang gelak ketawa.

Sikap itu menjadi cerminan hati yang keras membatu, hati yang tidak sensitif dengan penderitaan orang lain.

Justeru, Ibnu Mas’ ud sangat marah kepada pelaku perbuatan itu. Beliau bersumpah tidak akan berbicara lagi dengan orang yang melakukan perbuatan tersebut sebagai pelajaran baginya untuk tidak mengulangi sikap yang buruk itu.


Kepada bukan Muslim

Sikap simpati kepada pihak yang tengah bersedih bukan hanya perlu ditunjukkan kepada sesama Muslim. Bukan akhlak Muslim mempersendakan orang yang tengah ditimpa kesusahan, walaupun ia bukan Islam. Sebagai perwujudan akhlak mulia, kita sekurangnya wajib menunjukkan sikap bersimpati dengan kesusahan yang sedang menimpanya.

Apabila Sahl bin Hunaif dan Qais bin Saad berada di Qadisiyyah, mereka melihat sekumpulan orang tengah menanggung jenazah. Kedua-dua sahabat Nabi SAW ini bangkit berdiri.

Apabila diberitahu bahawa jenazah tersebut ialah jenazah Yahudi, keduanya berkata: "Sebuah jenazah pernah berlalu di hadapan Nabi SAW lalu baginda berdiri. Apabila diberitahu bahawa jenazah itu Yahudi, baginda bersabda: Bukankah ia nyawa manusia juga? (riwayat al-Bukhari)

Semoga kita mendapat kekuatan untuk mengamalkan adab yang sangat tinggi ini.







No comments:

Post a Comment