Monday, 31 March 2014

Isteri juruterbang perlu sedia risiko kehilangan suami

PUTRAJAYA 31 Mac - Mental isteri juruterbang perlu sentiasa bersedia menerima risiko akan kehilangan suami mereka apabila keluar rumah untuk bertugas.

Itulah nasihat yang diberikan oleh balu Allahyarham Mejar (B) Azlizan Abdul Manas, Nor Haslina Hashim, 47, yang kehilangan suami dalam nahas helikopter terhempas di Kampung Atong, Jerangsang, Kuala Lipis, Pahang pada 3 Mac 1997.



"Sebagai isteri juruterbang, mental kami sudah dididik bahawa setiap kali suami keluar dari rumah untuk bekerja, kami berdepan risiko kehilangan suami tercinta kerana ada kemungkinan dia tidak kembali.

"Saya sudah berjanji dengan suami, jika menerima perkhabaran tidak baik mengenainya, saya tidak akan sekali-kali menitiskan air mata. Itu memang janji kami berdua," katanya ketika ditemui pemberita di Hotel Everly, di sini hari ini.

Kehadiran Nor Haslina di hotel yang menempatkan keluarga penumpang MH370 itu adalah untuk berkongsi pengalaman dan semangatnya bagaimana dia berdepan situasi berkenaan.

Foto
NOR Haslina

Nahas terbabit turut mengorbankan Pengerusi Kumpulan DRB Hicom pada ketika itu, Allahyarham Tan Sri Yahaya Ahmad dan isteri, Puan Sri Rohana Othman.


Tan Sri Yahya Ahmad

Menceritakan detik cemas itu, Nor Haslina berkata, dia pada mulanya tidak menitiskan air mata apabila mendapat berita suaminya maut dalam nahas tersebut.



"Bagaimanapun, saya tidak dapat menahan air mata apabila jenazah suami tiba di depan mata.



"Saat yang memang tidak dapat saya lupakan, tetapi saya harus kuat demi anak-anak yang pada ketika itu berusia lima dan tujuh tahun," katanya.

Bila juruterbang keluar bertugas, tidak semestinya akan pulang

Menurutnya, dia terpaksa berpindah rumah untuk melupakan tragedi tersebut dan mengelakkan anak-anak daripada terus mengingati bapa mereka.

"Saya amat memahami apa yang dirasakan ahli keluarga anak kapal dan penumpang pesawat MH370. Dugaan mereka lebih berat kerana sehingga kini tidak tahu situasi sebenar mereka.

"Redakan segalanya, jika benar mereka sudah pergi. Apa yang penting, doakan yang terbaik untuk mereka dan kita yang hidup ini terus diberi kekuatan untuk menghadapi hari mendatang serta terima qada dan qadar," katanya.

Sementara itu, Kamarul Mizan Ipit, 50, yang suaminya Mejar (B), Azhari Ghazali terselamat dalam nahas helikopter di Laut China Selatan pada 1996, berkata sikap menuding jari tidak sepatutnya timbul ketika ini.

"Memang saat kehilangan itu satu perkara yang tidak dapat digambarkan perasaannya.

"Saya yang menghadapi kehilangan suami selama lima jam, pun rasa terseksa inikan pula yang sudah lebih 20 hari. Cuma jangan tuding cari menyalahkan sesiapa," katanya.

Beliau menasihatkan kepada semua yang terlibat agar meneruskan kehidupan dan hadapi hidup mendatang dengan penuh tabah.

"Kita semua akan pergi, cuma masa dan ketikanya saja berbeza.
"Jika mereka benar-benar sudah pergi, itu hakikatnya yang perlu kita terima. Sudah sampai masanya," katanya.







No comments:

Post a Comment