PEGAWAI SPRM mengira wang berjumlah RM720,000, dalam serbuan di kediaman kakitangan kerajaan di Gerik, semalam.
IPOH: Seorang pegawai kanan Jabatan Perhutanan Perak ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas didapati menyembunyikan wang tunai RM720,000 dan beberapa buku amanah saham membabitkan pelaburan bernilai lebih RM4 juta di rumahnya di kuarters kerajaan berhampiran Kem Tentera di Gerik, awal pagi semalam.
Sebahagian wang tunai itu ditemui disusun rapi dalam lipatan telekung dan sebahagian lagi bersama beberapa buku pelaburan ditemui disembunyikan berasingan di beberapa lokasi, termasuk di dapur serta ruang tamu rumah pegawai kanan berusia lingkungan 50-an.
Serbuan dan tangkapan itu dibuat jam 2 pagi susulan penahanan seorang lagi pegawai kanan jabatan sama bersama seorang 'tauke balak' berkait kes mencuri balak bernilai lebih setengah juta ringgit di Hutan Kuak Luar, berdekatan Pengkalan Hulu, tengah hari kelmarin.
Sumber SPRM berkata, pegawai itu ditahan ketika berada di dalam rumah bersama isteri serta beberapa anaknya dan hasil pemeriksaan di dalam rumah menemukan sejumlah wang tunai berjumlah RM720,000.
“Semua wang tunai dan buku pelaburan amanah saham yang ditemui dirampas dan suspek dibawa ke pejabat SPRM Perak untuk disoal siasat,” katanya di sini, semalam.
Semalam, akhbar ini mendedahkan seorang pegawai kanan Jabatan Perhutanan Perak bersama seorang seorang tauke balak, masing-masing berusia 40 dan 50 tahun ditahan SPRM, Rabu lalu, berikutan penemuan lebih 300 balak siap dipotong bernilai RM600,000 di kawasan pembalakan Hutan Kuak Luar, berdekatan Pengkalan Hulu.
Dalam serbuan itu, SPRM turut menahan tiga lori sedang mengangkut balak dan merampas beberapa jentera berat di kawasan pembalakan berkenaan. Siasatan awal SPRM juga mendapati balak itu ditebang di luar kawasan tender.
Sumber berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut mengenai kes itu berikutan penemuan sejumlah wang tunai yang banyak, selain pelaburan saham membabitkan jutaan ringgit.
“Pegawai kanan itu dan dua lagi suspek yang ditangkap Rabu lalu masih ditahan untuk siasatan. Kita juga akan memanggil beberapa individu lain termasuk ahli keluarga suspek bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (A) Akta SPRM 2009,” katanya.
No comments:
Post a Comment