Monday, 23 January 2012

Seorang lagi pelajar lemas di Pantai Sepat


Pantai Sepat ragut nyawa lagi

23/01/2012 9:19pm

KUANTAN 23 Jan. — Pantai Sepat di sini hari ini meragut satu lagi nyawa apabila seorang remaja lelaki mati lemas ketika mandi-manda bersama ahli keluarga yang lain, petang ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP, Mohd. Jasmani Yusoff berkata, mangsa, R. Alvin, 16, dari Tanah Putih di sini meninggal dunia pada pukul 6 petang manakala saudara perempuannya R. Thanusa, 13, dari Batu Arang, Selangor berjaya diselamatkan daripada lemas.

Katanya, kejadian berlaku ketika mangsa bersama empat keluarga yang terdiri daripada keluarganya dan saudara maranya berkelah di pantai itu sempena cuti Tahun Baru Cina.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat dan Thanusa turut dirawat di hospital yang sama dan keadaannya dilaporkan stabil.

Dalam kejadian petang semalam, dua beradik mati lemas di pantai yang sama ketika berkelah bersama keluarganya.
Kejadian pada pukul 5 petang itu meragut nyawa Mohd. Saiful Mohamad, 13, dan adiknya, Mohd. Zaiful, 11. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment