Monday, 23 January 2012

Apa itu Tabarruk


Rumusan tentang tabarruk

KITA sering mendengar orang berkata: "Kami berada dalam keberkatan Rasulullah SAW" atau "Bersama kami keberkatan Rasulullah SAW". Ketika Ibnu Taimiyyah ditanya tentang perkara ini, beliau menjawab: "Adapun, orang yang berkata 'kami berada di bawah keberkatan si fulan' atau 'semenjak dia bersama kami, ada berkatnya pada kami' perkataan seperti ini daripada satu sudut adalah benar. Tetapi daripada satu sudut yang lain, ia adalah batil dan salah."

"Ia dikatakan benar dan sahih jika orang yang mengungkapkannya bermaksud: "Si fulan telah membimbing dan mengajar kami serta menyuruh kami melakukan kebaikan dan melarang kami melakukan kemungkaran. Maka dengan berkat mengikut dan mentaatinya, terhasillah kepada kami kebaikan sebagaimana yang telah tercapai."

Ungkapan seperti itu adalah betul sebagaimana yang berlaku kepada penduduk Madinah. Setelah Nabi Muhammad SAW datang ke Madinah, penduduknya mendapat keberkatan baginda kerana mereka beriman dengannya dan mentaatinya. Dengan keberkatan ini, mereka mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Bahkan, setiap Mukmin yang beriman dengan Rasulullah dan mentaatinya, menikmati daripada keberkatan Rasulullah disebabkan keimanan dan ketaatan mereka kepadanya kebahagiaan dunia dan akhirat yang tidak diketahui hakikatnya kecuali Allah.

Begitu juga, jika yang dimaksudkan dengan perkataan tersebut adalah dengan berkat doa dan kesolehannya, lalu Allah menolak bencana dan memberikan rezeki serta kemenangan; maka ia juga adalah benar.

Ia sebagaimana yang pernah disabdakan oleh Nabi: "Tidaklah kamu ditolong dan diberikan rezeki, kecuali dengan (keberkatan) orang-orang yang lemah di antara kamu dengan doa, solat, dan keikhlasan mereka."

Kadangkala, suatu azab atau bala itu tidak jadi diturunkan kepada orang kafir dan pelaku kejahatan, supaya bala atau azab tersebut tidak turut mengenai atau menimpa kaum mukminin yang ada bersama mereka, kerana kaum mukminin itu tidak berhak untuk turut menerimanya. Rujuk ayat 25 surah al-Fath.

Justeru, jika bukan kerana berkat kaum Mukminin yang lemah di sekitar Mekah, yang hidup bercampur dengan kaum kafir, sudah pasti Allah menurunkan azab kepada golongan kafir.

Demikian juga sabda Rasulullah SAW: "Jika bukan kerana di dalam rumah itu, adanya kaum wanita dan anak-anak, sudah pasti aku akan memerintahkan untuk melakukan solat, sehingga solat itu didirikan. Kemudian, akan pergi bersama-samaku kaum lelaki dengan membawa seberkas kayu kepada kaum yang tidak menyaksikan solat bersama kami (solat berjemaah), lalu aku akan membakar rumah-rumah mereka."

Begitu juga, Nabi SAW pernah menangguhkan hukuman rejam terhadap seorang wanita yang berzina kerana dia sedang hamil sehinggalah dia melahirkan anaknya.

Keberkatan para wali Allah dan orang soleh yang dilihat dari sudut manfaat kepada makhluk diperolehi melalui seruan dan ajakan mereka kepada ketaatan kepada Allah, doa mereka untuk makhluk-Nya, rahmat yang diturunkan oleh Allah kepada mereka dan perkenan-Nya menolak bencana dengan sebab mereka. Itulah yang mesti diakui kebenarannya.
Dengan demikian, barang siapa memahami berkat dengan pengertian seperti ini, maka dia adalah benar dan perkataannya juga adalah benar.

Ungkapan seperti itu juga boleh dinilai sebagai batil atau salah. Misalnya ia bermaksud menyekutukan Allah dengan makhluk.

Contohnya, orang yang telah dikuburkan (mati) di suatu tempat disangka bahawa Allah memberikan pertolongan kepada mereka kerana keberkatan orang yang telah mati tersebut, meskipun mereka (yang diberi berkat itu) tidak melakukan ketaatan kepada Allah dan rasul-Nya.

Ini merupakan suatu kejahilan. Rasulullah SAW penghulu anak Adam, disemadikan di Madinah pada tahun berlakunya pertelingkahan antara penduduk Madinah dengan tentera Yazid ibn Muawiyah.

Pada masa itu, penduduk Madinah ditimpa musibah. Ramai yang terbunuh, ditawan dan berada dalam ketakutan yang tidak diketahui puncanya melainkan Allah. Ini kerana, setelah berlalunya masa pemerintahan Khulafah al-Rasyidin, penduduk Madinah banyak melakukan perkara negatif yang mewajibkan mereka ditimpa musibah seperti itu.

Sedangkan, pada zaman Khulafah al-Rasyidin, Allah menahan bencana terhadap penduduk Madinah dengan keimanan dan ketakwaan mereka kerana para khalifah tersebut mengajak dan mendorong mereka ke arah tersebut.
Dengan berkat ketaatan mereka kepada para khalifah itu dan amalan para khalifah bersama mereka, maka Allah menolong dan menguatkan mereka.

Begitu juga al-Khalil, Nabi Ibrahim a.s disemadikan di Syam. Namun, kaum Nasrani telah menguasai negeri itu hampir 100 tahun dan penduduknya pula melakukan kejahatan.

Justeru, sesiapa yang meyakini bahawa mayat dapat menolak bencana daripada mengenai orang yang hidup, sedangkan orang yang hidup tersebut melakukan maksiat dan dosa maka ini juga kesalahan besar.

Begitu juga adalah batil apabila seseorang menyangka bahawa keberkatan seseorang akan diturunkan kepada orang yang menyekutukan Allah dan terkeluar daripada mentaati Allah dan rasul-Nya.

Misalnya, seseorang menyangka bahawa berkat sujud kepada selain Allah dan mengucup tanah yang berada dekat dengan kubur tersebut dan sebagainya menghasilkan kebahagiaan baginya sekalipun dia tidak melakukan ketaatan kepada Allah dan rasul-Nya.

Demikian juga, apabila seseorang itu beriktikad bahawa orang seperti itu layak memberi syafaat baginya dan memasukkannya ke dalam syurga, hanya kerana mencintainya dan menisbahkan diri kepadanya.

Kesemuanya ini dan yang seumpama dengannya, termasuk di antara perkara-perkara yang bertentangan dengan al-Quran dan sunnah.

Ia merupakan keadaan atau ciri-ciri orang-orang yang mensyirikkan Allah dan ahli bidaah. Ia adalah batil, tidak boleh dipercayai dan tidak boleh dijadikan pegangan. (Ibnu Taimiyyah,Fatawa, 11:113).

Credit to: PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NS/Utusan

No comments:

Post a Comment