Tuesday, 10 January 2012

Belajar guna auto...Pandu hanya kereta auto


 

Ujian pandu auto hanya boleh pandu kereta automatik

IPOH 10 Jan. – Mereka yang lulus ujian memandu dengan menggunakan kenderaan transmisi automatik hanya akan diberi lesen memandu kenderaan jenis itu sahaja.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, pengenalan lesen memandu kelas automatik itu merupakan penambahbaikan yang dibuat dalam Kurikulum Baharu Pendidikan Pemandu yang bakal dilaksanakan sekitar Jun ini.

‘‘Apabila sistem baru itu dilaksanakan, pelatih boleh memilih untuk diuji dengan kereta transmisi manual atau automatik berbanding sistem sekarang yang hanya membenarkan kenderaan transmisi manual.

‘‘Jika diuji dengan kereta transmisi manual, mereka boleh memandu kedua-dua jenis kenderaan tetapi jika diuji dengan transmisi automatik, mereka hanya boleh memandu kereta automatik sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan cek sumbangan Magnum Corporation sebanyak RM69,000 untuk sebanyak 23 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili golongan kurang upaya, sakit dan tua di sini hari ini.

Sebelum ini, Dewan Rakyat diberitahu, kerajaan bercadang membenarkan penggunaan kenderaan transmisi automatik bagi ujian memandu di negara ini melalui penambahbaikan yang terkandung dalam Kurikulum Baharu Pendidikan Pemandu.

Perubahan itu melibatkan beberapa pindaan terhadap Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Lesen Memandu) 1992 serta kurikulum pemandu, sistem ujian memandu dan memperkenalkan lesen memandu kelas automatik.

Ditanya mengenai kemungkinan kos ujian menggunakan kereta transmisi automatik lebih mahal berbanding ujian sedia ada, Cho Ha berkata, ia terpulang kepada orang ramai untuk memilih jenis ujian.

‘‘Ada pihak cakap ia melibatkan tambahan kos tetapi itu terpulang kepada pelatih sendiri sama ada hendak diuji dengan kereta transmisi automatik atau seperti sekarang. Ini satu pilihan, bukan paksaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, kurikulum pendidikan keselamatan jalan raya yang diperkenalkan di sekolah rendah sejak 2007 telah mula dilaksanakan di sekolah menengah pada tahun ini.

‘‘Mulai tahun ini, kita laksanakannya untuk pelajar tingkatan satu di sekolah menengah. Kita cadang untuk teruskan sehingga tingkatan empat,” katanya.

Credit to: Utusan

No comments:

Post a Comment