Thursday, 8 March 2012

Sesak nafas kronik bahana rokok



Keadaan paru-paru yang rosak akibat COPD.


DAHULU rokok sudah menjadi sebahagian daripada hidup saya. Setiap pagi sebelum menjamah makanan lain, rokok perlu diberi keutamaan,'' ujar Lau Swe Teng.

Bagaimanapun keadaan itu sudah berubah, sebaliknya rokok kini menjadi musuh utamanya apabila baru-baru ini dia diserang sesak nafas teruk dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi selama 10 hari.

Lebih parah doktor mengesahkan Swe Teng menghidap penyakit sekatan pulmonori kronik (COPD) yang menyebabkan dia sukar bernafas.

Peristiwa itu betul-betul mengubah kehidupan lalu DIA meninggalkan 'buah hatinya' yang mula 'dikenali' ketika usianya baru mencecah 12 tahun.

Dia bermula dengan menghisap rokok daun sebelum lama-kelamaan beralih kepada rokok biasa. "Biarpun usia masih muda, tetapi waktu itu saya mampu menghabiskan lima batang rokok setiap hari,'' ujarnya lagi yang kini berusia 66 tahun.

Ketagihan rokok bagai tidak ada kesudahan sehingga dia menghabiskan tiga hingga empat kotak rokok sehari.
"Rokok adalah kekasih saya, cinta saya terhadap dia melebihi daripada isteri dan anak-anak saya sendiri,'' ujar perokok tegar itu.

Bagaimanapun kini Swe Teng mengakui dia menyesal dengan tabiat buruk tersebut yang kini telah merosakkan paru-parunya. "Sudah banyak wang dihabiskan untuk berubat. Malah semua wang simpanan saya habis dilaburkan untuk berubat,'' ujarnya penuh kesal.

Kini dia bukan sahaja tidak dapat melakukan kerja-kerja berat kerana sering mengalami sesak nafas tetapi menjadikan dirinya cepat letih.

Keadaan itu membuatkan dia nekad meninggalkan tabiat buruk dan memulakan kehidupan baru. Malah, dia turut melakukan senaman pada setiap hari selain menitikberat soal pemakanan. "Hari pertama tidak merokok ia amat sengsara. Tetapi mengenangkan penyakit yang saya tanggung memberikan semangat untuk meneruskan usaha itu,'' ujarnya yang mengambil ubat-ubatan selain menggunakan gas untuk mengurangkan masalah COPD.

Sementara itu Presiden Pertubuhan Torasik Malaysia, Prof. Dr. Roslina Manap memberitahu, biarpun COPD dianggap penyakit biasa dan jarang didiagnos, tetapi hakikatnya pesakit mengalami penderitaan yang akhirnya menjejaskan kualiti kehidupan, seterusnya terdedah kepada risiko maut.

Realitinya, COPD adalah penyakit yang kebanyakannya dialami penghisap rokok tegar di seluruh dunia dengan nisbah dua daripada lima perokok akan menderita penyakit itu. Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia ( WHO), pembunuh senyap itu mengorbankan hampir tiga juta nyawa setiap tahun selain 210 juta orang lagi hidup sengsara dibelenggu COPD.

WHO turut menjangkakan jumlah kematian disebabkan penyakit itu akan meningkat lebih daripada 30 peratus dalam tempoh 10 tahun akan datang kecuali tindakan segera diambil untuk mengurangkan faktor penyakit itu. Ia dijangka sebagai penyebab utama kepada kematian dan ketidakupayaan akibat masalah penyakit pernafasan menjelang tahun 2020.

Terang Roslina lagi, penyebab utama kepada COPD ialah rokok. Malah lebih 90 peratus daripada penderita penyakit itu ialah perokok atau bekas perokok. "COPD ialah sejenis penyakit kronik kerana ia kekal untuk tempoh yang sangat lama dengan pelbagai simptom yang kerap. Ia juga dianggap menyekat, kerana ia memberi kesan kepada aliran udara yang melalui paru-paru. "Sekatan ini menyebabkan pesakit menderita kerana gangguan pernafasan termasuklah ketika melakukan kerja harian yang mudah," ujarnya.

Punca lain COPD termasuklah persekitaran seperti pencemaran udara atau asap kimia dan juga faktor genetik.
Tegas Roslina, merokok adalah satu daripada risiko umum COPD. Tabiat tidak sihat itu menyebabkan keradangan pada saluran pernafasan.

"Ia menambahkan pengeluaran mukus yang menyebabkan halangan kronik pada saluran pernafasan," jelasnya.
Lebih menggerunkan, daripada lima orang merokok, dua daripada mereka berpotensi besar untuk dijangkiti penyakit itu.

Bagaimanapun, tegas beliau, jika tidak dirawat, COPD boleh membawa kepada sesak nafas yang teruk ketika melakukan aktiviti seharian. Katanya, kebiasaannya penyakit tersebut akan menyerang perokok tegar yang berusia 40 tahun ke atas.

Credit to: Zuhayati Yazid

No comments:

Post a Comment