Wednesday, 7 March 2012

Pulau Kukup mengecil setiap bulan


 
  • Foto
    PULAU Kukup yang semakin mengecil.
  • Foto
    POKOK bakau yang mati akibat hakisan yang serius di Pulau Kukup.
PONTIAN: Pulau Kukup dekat Tanjung Piai yang tercatat sebagai pulau kedua terbesar di dunia tidak berpenghuni, mungkin akan kehilangan gelaran itu akibat keluasannya yang semakin mengecil disebabkan hakisan pantai yang serius.

Kawasan hutan bakau di situ menyusut lebih 100 meter daripada keluasan sebenar sejak 10 tahun lalu. Malah, hakisan di pesisir pantainya makin ketara apabila air pasang besar, ombak besar kerana aktiviti perkapalan tidak terkawal dan kegiatan mencuri bakau.
Kajian Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) mendapati berlaku hakisan kira-kira satu meter setiap bulan di kawasan pulau hutan bakau berkeluasan 647 hektar yang dikelilingi dataran lumpur seluas 800 hektar itu.
Hakisan serius itu juga menyebabkan sebatang pokok bakau Minyak (Rhizophora Apiculata) berusia lebih 100 tahun dan dipercayai terbesar di negara ini dengan garis pusat pada paras ketinggian dada 57.1 sentimeter (sm), mungkin tumbang beberapa bulan lagi disebabkan kedudukannya yang terletak kurang 20 meter dari kawasan hakisan.

Pengarah Perbadanan Taman Negara Johor, Suhairi Hashim, mengakui terkejut melihat Pulau Kukup yang semakin terhakis, berbanding 10 tahun lalu apabila banyak kawasan yang sebelum ini hijau dengan pokok bakau kini diliputi air.

Katanya, pulau itu menempatkan lebih 38 spesies tumbuhan hutan paya bakau dengan nilai komersial tinggi seperti bakau minyak, kurap, berus, lenggadai, tumu merah, nyireh batu dan tengar berdepan, akan berkurangan jika tiada usaha menyelamatkan pulau itu daripada hakisan.

"Pokok bakau Minyak yang dipercayai tertua di negara ini juga akan tumbang dalam tempoh 30 bulan lagi jika tiada usaha menyelamatkan khazanah itu kerana jarak yang terlalu dekat dengan kawasan hakisan. 
“Pencemaran yang berpunca daripada tumpahan minyak disebabkan oleh kapal dagang ketika berlabuh di luar perairan Taman Negara Johor (TNJ) Tanjung Piai dan Pulau Kukup juga dikatakan punca kemusnahan hutan bakau yang semakin meluas sejak lima tahun lalu. 

“Kita berharap satu kajian menyeluruh dilakukan pihak berkaitan bagi menyelamatkan Pulau Kukup yang turut diiktiraf sebagai Tapak Ramsar, iaitu tanah lembap yang ada kepentingan antarabangsa,” katanya.

Sementara itu tinjauan Berita Harian menaiki bot mendapati pesisir pantai Pulau Kukup mengalami hakisan teruk kerana banyak pokok tumbang di pantai.

Pesisir pantai Taman Negara Tanjung Piai yang menjadi tanah penghujung benua Asia juga mengalami hakisan teruk apabila banyak pokok tumbang, manakala pondok dan laluan pejalan kaki mengalami kerosakan. Laluan pejalan kaki ke penghujung benua itu juga ditenggelami air akibat mendapan.

Difahamkan, apabila air surut, kawasan di Tanjung Piai berhampiran pokok bakau minyak tertua itu tidak dapat dimasuki dengan bot disebabkan kawasan itu semakin cetek.

Suhairi berkata, bagi kajian oleh UTHM, dana sebanyak RM300,000 diperlukan bagi membina cerucuk, batu penghadang hakisan dan jeti untuk menghalang pergerakan tanah di kawasan pokok bakau tertua itu.

"Tahun lalu hampir 2,000 bakau di kawasan seluas 20 hektar dekat Tanjung Piai musnah, manakala 3,000 lagi sekitar pantai Pulau Kukup berdepan masalah sama berpunca daripada kesilapan manusia dan fenomena alam.

“Jika tidak dibendung, ia boleh mengakibatkan hakisan terus berlaku dan kawasan berhampiran pesisir pantai ditenggelami air. Kita harap ada pihak yang prihatin dapat menyediakan dana bagi menyelamatkan pokok tertua itu,” katanya.



Credit to: B Harian.

No comments:

Post a Comment