Thursday, 1 March 2012

Mohon maaf, akui kesalahan, pamer sifat orang bertakwa



MEMOHON maaf dan mengakui kesalahan bukan mudah. Setiap orang sering mengalami hal itu. Ramai mengalami masalah untuk berkata maaf kerana mahu menjaga imej, maruah dan malu. 

Bahkan ada segelintir orang yang berasa tidak perlu memohon maaf dan mengakui kesalahan kerana berasa kedudukannya yang lebih tinggi.
Dalam Islam sikap memaafkan kesalahan orang lain adalah satu ciri orang bertakwa. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan bersegeralah kamu kepada keampunan daripada Tuhanmu, Allah menyediakan syurga yang seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang bertakwa iaitu orang yang menafkahkan hartanya pada waktu lapang atau sempit dan orang yang menahan marahnya dan memaafkan kesalahan orang lain, Allah menyukai orang berbuat kebajikan.” (Surah al-Imran, ayat 133-134).
Dalam sejarah dicatatkan, selepas pembebasan kota Makkah di hadapan orang yang selama ini gigih memusuhinya, Rasulullah SAW berkata: “Wahai orang Quraisy, menurut pendapat kamu sekalian apakah yang akan aku lakukan terhadapmu sekarang?” Jawab mereka: “Yang baik-baik. Saudara kami yang pemurah. Sepupu kami yang pemurah.” Mendengar jawapan itu Nabi kemudian berkata: “Pergilah kamu semua, sekarang kamu sudah bebas.” 

Dengan pengampunan dan pemberian maaf itu, jiwa Nabi melampaui kebesaran dimilikinya, hilang rasa marah, dengki dan dendam dalam hati, menunjukkan bahawa baginda bukanlah manusia yang mengenal permusuhan, atau akan membangkitkan permusuhan dalam kalangan umat manusia. 

Memberikan kedudukan tinggi kepada pemberi maaf kerana sifat pemaaf adalah sebahagian daripada akhlak luhur yang harus menyertai seorang Muslim bertakwa. Allah SWT berfirman bermaksud: “Maka barang siapa yang memaafkan dan berbuat baik, pahalanya atas tanggungan Allah.” (Surah asy-Syura, ayat 40). 

Daripada Uqbah Amir, dia berkata: “Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Wahai Uqbah, bagaimana jika aku beritahu kepadamu mengenai akhlak penghuni dunia dan akhirat yang paling utama?” Hendaklah engkau menyambung hubungan persaudaraan dengan orang yang memutuskan hubungan denganmu, hendaklah engkau memberi terhadap orang yang tidak mahu memberi kamu dan maafkanlah orang yang menzalimi dirimu.” (Riwayat Ahmad, al-Hakim dan al-Baghawi). 
Dalam buku Forgive for Good (Memaafkan demi kebaikan), Dr Frederic Luskin, menjelaskan sifat pemaaf sebagai resipi yang terbukti bagi kesihatan dan kebahagiaan. 

Buku itu memaparkan bagaimana sifat pemaaf memacu keadaan baik dalam fikiran seperti harapan, kesabaran dan percaya kepada diri sendiri, dengan mengurangi kemarahan, penderitaan, lemah semangat dan stres. 

Menurut Luskin lagi, kemarahan yang tidak dapat dikawal boleh merosak sistem suhu dalam tubuh dan boleh membakarnya lalu menjadikannya sulit berfikir secara waras malah akan memburukkan keadaan seseorang. 

Kesimpulannya, setiap manusia di dunia pasti mempunyai kesalahan tetapi hanya yang berani saja mahu mengakui kesalahannya. Setiap manusia di dunia pasti pernah disakiti hatinya. Hanya yang berjiwa kesatria yang mampu menjadi pemaaf. 
Credit to: BHarian

No comments:

Post a Comment