Wednesday, 1 February 2012

Rentung selepas gagal selamatkan diri.


TENOM: “Saya cuba masuk semula ke dalam rumah untuk menyelamatkan seorang lagi kembar adik, tetapi tidak berjaya kerana api marak begitu cepat dan tong gas meletup sehingga memusnah rumah kami,” kata Nurezwani Mohd Irwanshah Abdullah, 18.

Dalam kebakaran jam 7.50 pagi di Kampung Saga Laut, di sini, semalam, adiknya, Nurzerlini, 5, rentung di sebuah bilik selepas gagal menyelamatkan diri.

Nurrezwani berkata, ketika kejadian, dia bersama arwah serta kembar mangsa, Mohd Ezri, 5, tidur di ruang tamu, manakala ibu mereka, Rosnah Bakri, 39, menghantar adiknya, Mohd Izwan, 17, ke sekolah. Ayah mereka, Mohd Irwanshah Abdullah di tempat kerja.

“Saya tersedar dari tidur kerana terasa panas dan terkejut melihat api marak di ruang tamu sebelum menarik Mohd Ezri selain mencari Nurzerlini, namun kelibatnya tidak kelihatan.

“Saya cuba keluar melalui pintu depan, tetapi tidak berjaya kerana api semakin marak sebelum bergegas ke pintu dapur lalu terjun bersama Mohd Ezri.

“Serentak dengan itu dapur gas meletup. Kami bernasib baik tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, semalam.

Ibu mangsa, Rosnah berkata, ketika kejadian, dia menghantar Mohd Izwan ke sekolah di Sekolah Menengah (SM) St Anthony, Tenom.

“Saya mengetahui kejadian itu selepas dihubungi abang ipar yang memberitahu rumah saya terbakar dan minta saya pulang dengan segera.

“Saya meminta seorang guru di sekolah menghantar saya pulang dan sebaik tiba di rumah, saya hanya mampu menatap mayat arwah dan rumah yang musnah,” katanya sebak.

Menurutnya, kali terakhir dia bertemu anak bongsu kepada lima beradik itu jam 5 pagi semalam (kelmarin) ketika dia hendak menghantar abangnya ke sekolah.

“Ketika itu, saya terkejut apabila arwah terjaga daripada tidur, kerana sebelum ini arwah bangun lewat.

“Saya meminta arwah tidur semula, namun dia meminta saya membuatkan susu botol sebelum menyambung tidur di ruang tamu bersama kakak dan abangnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Tenom, Runzee Abdul Thani, ketika dihubungi berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 8.01 pagi.

“Seramai 15 anggota bersama sebuah jentera dan dua kenderaan utiliti bergegas ke tempat kejadian dan tiba pada jam 8.16 pagi. “Setibanya di tempat kejadian, anggota bomba dimaklumkan seorang kanak-kanak perempuan terperangkap di dalam rumah terbabit. “Api berjaya dikawal pada jam 8.28 pagi dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 9.45 pagi,” katanya.

Runzee berkata, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih lagi dalam siasatan, manakala mayat mangsa sudah diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Credit to: HMetro

No comments:

Post a Comment