Sunday, 26 February 2012

Kurang interaksi punca terjebak


SUBANG JAYA: Kekurangan interaksi antara ibu bapa dengan anak dikenal pasti antara punca utama remaja perempuan mudah terjebak dengan pelbagai gejala sosial atau terpengaruh dengan janji manis lelaki hidung belang yang bijak mengambil kesempatan.

Sehubungan itu, Yang Dipertua Pertubuhan Baitul Fiqh (Baitul Fiqh), Juhaidi Yean Abdullah berkata, ibu bapa perlu menggunakan beberapa pendekatan bagi membendung pelbagai gejala sosial yang makin tidak terkawal di kalangan remaja masa kini.

Antaranya ialah meningkatkan komunikasi dengan anak berusia 10 hingga 16 tahun yang sangat penting, terutama remaja perempuan, supaya mereka tidak memindahkan tanggungjawab itu kepada teman lelaki, seterusnya membawa pelbagai musibah.
“Anak pada usia beginilah yang perlu diberikan tumpuan kerana remaja perlukan bimbingan untuk menghadapi pelbagai cabaran hidup. Pada usia begini juga anak pandai menyimpan rahsia.

“Sehubungan itu, ibu bapa perlu sentiasa ada bersama anak, walau sesibuk mana sekalipun. Jangan bina batasan atau jurang dengan anak kerana ia boleh menimbulkan kesan buruk. Itulah pentingnya komunikasi dengan mereka,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad.

Menurutnya, meskipun bilangan penghuni Baitul Fiqh tahun lalu berkurangan berbanding tahun sebelumnya, ia tidak bermakna kes membabitkan remaja, terutama hamil luar nikah, berkurangan.
“Remaja sekarang lebih berani dan agresif serta mampu bertindak di luar kawalan dan jangkaan ibu bapa. Gejala ini harus ditangani segera dan ia memerlukan kerjasama banyak pihak,” katanya.

Juhaidi berkata, selain pengaruh kawan, telefon dan Internet juga antara yang menyumbang kepada keruntuhan moral remaja.
“Berdasarkan kajian dibuat di Singapura, remaja tidak bersekolah lebih ramai terbabit dengan gejala sosial berbanding yang bersekolah.

“Ini disebabkan mereka yang tidak bersekolah ada lebih banyak masa terluang yang memberi lebih peluang melakukan kegiatan tidak bermoral.

“Apa pun, ibu bapa perlu mengawasi gerak-geri anak mereka dan jangan terlalu memberi kebebasan, terutama dalam pergaulan,” katanya.

Credit to: H Metro

No comments:

Post a Comment