Saturday, 4 February 2012

Degupan kencang tanda tidak normal



Kadar degupan jantung yang tidak normal adalah sebahagian daripada simptom serangan strok. - Gambar hiasan


SERANGAN strok atau angin ahmar boleh mengubah kehidupan seseorang sepanjang hayat. Ini kerana mangsa serangan strok yang terselamat daripada maut kebiasaannya akan mengalami lumpuh dan lemah anggota badan sama ada sebelah tubuh atau keseluruhan badan.

Ini menyebabkan pesakit memerlukan rawatan dan penjagaan berterusan lebih-lebih lagi jika terlantar di katil.
Di Malaysia, strok merupakan punca kematian yang ketiga terbesar selepas sakit jantung dan kanser.

Malangnya hanya segelintir sahaja yang mengetahui tanda amaran tentang apa yang patut dilakukan sekiranya disyaki mengalami strok.

Satu masalah paling kerap menyebabkan strok ialah Fibrilasi Atrium (FA) iaitu keadaan degupan jantung tidak normal berpunca daripada kegagalan impuls elektrik jantung semula jadi.

Apabila ia berlaku, jantung berdegup dengan lebih laju. Menurut Perunding Kanan Pulmonori dan Penjagaan Kritikal Hospital Kuala Lumpur, Prof. Datuk Dr. Jeyaindran Sinnadurai, FA merupakan rentak jantung tidak normal yang paling kerap berlaku.


Ia memberikan kesan terhadap keupayaan jantung menjalankan tugasnya. "Keadaan itu disebabkan wujudnya aktiviti elektrikal yang tidak terkawal di atrium kiri jantung dan mengganggu pusat isyarat elektrik yang berfungsi untuk mengawal kadar denyutan jantung. "Keadaan ini menyebabkan kadar denyutan jantung dan nadi menjadi luar biasa dan tidak stabil," ujarnya.


Kadar denyutan jantung seseorang yang normal katanya, ialah 60 hingga 100 kali seminit. Manakala dalam keadaan FA ruang atas jantung berdegup antara 350 hingga 700 kali seminit. Keadaan ini mengakibatkan aliran darah berkurangan antara 20 hingga 30 peratus dalam sesetengah keadaan.


Kata beliau, FA memberikan kesan yang berbeza kepada para pesakit. Malangnya ramai yang tidak sedar mereka mengalami masalah FA dan penyakit itu sebenarnya lebih mencabar daripada pesakit jantung yang lain. Katanya, keadaan itu menyebabkan proses mengepam darah dari jantung ke seluruh badan akan terjejas. "Pesakit akan berasa letih dan lemah. Sebahagian darah mungkin tertinggal dan bertakung dalam atrium dan akan membentuk darah beku.


Menurutnya, darah beku akibat FA mungkin terpecah dan bergerak ke otak serta bahagian tubuh yang lain, Ini yang menyebabkan strok atau kerosakan serius kepada organ lain seperti jantung (lemah jantung). Tambah beliau, pesakit FA mempunyai risiko lima kali ganda untuk mendapat strok berbanding mereka yang tidak mempunyai penyakit struktur atau organik jantung.


Ditanya mengenai simptom-simptom penyakit itu, beliau menegaskan seseorang yang menghidapi FA biasanya mudah berdebar secara tiba-tiba, merasa cepat letih, lemah dan juga sukar untuk bernafas.

Selain itu, penglihatan juga mungkin kelihatan kabur dan leher mudah berdenyut serta berpeluh selain panas badan.
Satu cara untuk mengetahui sama ada degupan jantung normal atau tidak ialah dengan mengira dan merasa denyutan nadi di pergelangan tangan. Jika denyutan terlalu cepat atau tidak sekata, segera berjumpa doktor untuk pemeriksaan.


Bagaimanapun pesakit FA kini tidak perlu gusar kerana terdapat penemuan baru di mana syarikat farmaseutikal, Bayer Healthcare baru-baru ini, melancarkan ubat terbaru yang dinamakan Xarelto sebagai perlindungan terhadap ancaman penyakit tersebut.

Xarelto yang juga dikenali sebagai rivaroxaban adalah ubat antipenggumpal oral yang dicadangkan pengambilannya sekali sehari pada dos yang ditetapkan tanpa perlu melakukan pemeriksaan darah secara rutin. Pengurus Besar Bayer Healthcare Malaysia, Singapura dan Brunei, Dr. Axel Bouchon berkata, Malaysia adalah negara pertama di Asia dan yang ketiga di dunia meluluskan penggunaan pil itu.
Credit to: Utusan

No comments:

Post a Comment