Friday, 17 February 2012

Kaki dalam mulut buaya



MIRI: “Apabila terlintas wajah dua anak, saya tiba-tiba seperti mendapat ‘kuasa’ dan terus menendang mata buaya itu sekuat hati,” kata Millie Nueh, 36, yang terselamat daripada maut selepas diserang buaya sepanjang lebih tiga meter di Sungai Kebara, Batu Niah, di sini, semalam.
Menurut Millie, ketika bergelut bagi menyelamatkan diri, badannya mula terasa lemah kerana kaki kanannya berada dalam mulut reptilia terbabit.

“Ketika itu, tiada lain di dalam benak fikiran saya melainkan perlu menyelamatkan diri kerana mempunyai dua anak yang masih kecil.
“Secara tiba-tiba saya seperti mendapat satu kuasa sehingga dapat menendang buaya berkenaan daripada terus menyeret saya ke tengah sungai,” katanya ketika ditemui di Hospital Miri, di sini.

Menurutnya, kejadian berlaku jam 6.30 pagi ketika dia mandi di pelantar di tepi sungai berkenaan sebelum diserang seekor buaya sehingga dia terjatuh dan diseret sejauh dua meter ke tengah sungai.

Menceritakan kejadian itu, Millie berkata, dia langsung tidak menyedari kehadiran buaya di kawasan itu kerana keadaan air begitu tenang sehinggalah haiwan itu tiba-tiba muncul ke permukaan air dan terus membaham kaki kanannya.

“Kejadian berlaku begitu pantas dan tanpa diduga menyebabkan saya tidak sempat berpaut pada kayu di pelantar berkenaan untuk menyelamatkan diri. Ketika itu, saya hanya fikirkan dua anak yang bersekolah dan perlu terus hidup demi mereka,” katanya.

Katanya, tendangan kuat kaki kirinya berjaya melepaskannya daripada terus diseret buaya berkenaan sebelum berenang dan terus berpaut pada sebatang kayu di situ untuk naik ke daratan.
“Saya bersyukur dengan tendangan tepat di mata buaya terbabit, kaki saya terus dilepaskan sebelum reptilia itu menghilangkan diri,” katanya.

Sementara itu, suami mangsa, Ladd Lebang, 48, berkata, ketika kejadian, dia baru saja pulang daripada menghantar dua anaknya ke sekolah dan dikejutkan dengan jeritan isteri dari sungai yang meminta tolong.

“Saya terus berlari mendapatkannya dan terkejut melihat kakinya berdarah. Lebih mengejutkan apabila isteri saya memberitahu dia diserang seekor buaya,” katanya bersyukur apabila isterinya terselamat daripada menjadi mangsa buaya itu.

Ladd berkata, sudah sampai masanya kerajaan memandang serius mengenai kejadian itu kerana penduduk rumah panjang lapan pintu di tepi sungai berkenaan mendakwa sering melihat kehadiran reptilia yang timbul di sungai berkenaan.

Credit to: H Metro

No comments:

Post a Comment